Sunday, January 17, 2010

Betty Banafe tidak tolak jika benar ditakdirkan jodohnya dengan Nash

Selang beberapa hari negara dikejutkan dengan berita tentang pengasas produk kecantikan terkenal, Sosilawati ditangkap ‘khalwat’ bersama suami barunya, timbul pula cerita tentang bekas suaminya, Nash atau Jamaludin Elias, 51, intim pula dengan seorang pelakon dan penyanyi jelita, Betty Banafe, 31.

Namun di sebalik hubungan yang sedar ‘mekar’ itu, ada cakap-cakap belakang yang memperlekehkan hubungan mereka. Manakan tidak, wanita secantik Betty yang menjadi ramai idaman VIP, bukan sahaja di negara ini bahkan di luar negara seperti Timur Tengah, sanggup memilih penyanyi separuh usia yang 'kaya' dengan anak sebagai calon hidupnya.

Betty bagaimanapun, tidak mudah melatah dengan cemuhan yang datang, sebaliknya menganggap itu semua sebagai cabaran dalam hubungan mereka. Bagi Betty, Nash seorang lelaki yang terlalu baik dan sempurna untuknya. Malah sikap matang dan ciri kebapaan yang tinggi dalam diri Nash membuatkan dia selesa mendampingi penyanyi hitam manis itu.

Soal status mahupun kedudukan Nash sebagai duda beranak lima dan pernah dua kali gagal dalam perkahwinan juga sedikit pun tidak menjadi penghalang. Sebaliknya dia sedia menerima segala kelemahan yang ada pada Nash.

“Saya tidak nafikan, ada sesetengah pihak yang cuba mempengaruhi hubungan kami. Ada yang kata saya tak padan dengan Abang Nash dan boleh cari yang lebih baik dari dia. Tapi saya tak pandang semua tu. Bagi saya, harta dan kekayaan boleh dicari, tapi lelaki yang benar-benar baik sukar dicari.

“Sebelum ini saya dah jumpa macam-macam orang, tapi semua itu palsu dan saya selalu berdoa pada Tuhan, agar kurniakan saya seorang lelaki yang baik dan boleh membimbing saya dalam hal-hal agama dan kerohanian. Dan saya percaya Abang Nash seorang lelaki yang baik dan mempunyai ciri-ciri yang saya inginkan.

“Saya adalah seorang yang sukar untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki dan saya tak akan permainkan perasaan orang. Saya pernah beritahu pada Abang Nash, saya bukannya jenis yang mudah jatuh cinta dan tak mahu dilukakan. Apa pun saya percaya, Abang Nash tak akan buat saya bersedih atau menangis,” katanya yang ditemui ketika Majlis Penuh Rahsia Azwan Ali di Palace Golden Horses, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ditanya adakah dia bersedia menjadi isteri kepada bekas kumpulan Lefhanded itu, tanpa berselindung, Betty berkata, dia tidak akan menolak sekiranya sudah tertulis jodohnya dengan Nash. Soal bolehkan dia menjadi ibu kepada anak-anak Nash yang ramai itu, wanita kacukan Melayu dan Arab ini tidak menganggapnya sebagai bebanan walaupun dia tidak pernah berkahwin.

“Saya percaya Abang Nash sudah memberikan didikan yang baik terhadap anak-anaknya dan hubungan kami semakin bertambah baik walaupun mereka memanggil saya dengan gelaran ‘Kak Betty’,” katanya yang ada memberitahu Nash memanggilnya dengan gelaran ‘Dik Yang’.

Diajukan tentang reaksi orang tuanya, kata Betty, ia merupakan satu cabaran bagi Nash untuk meyakinkan orang tuanya kerana mana-mana ibu bapa sekalipun pasti mengharapkan yang terbaik untuk anak mereka, apatah lagi dia adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya.

“Abang Nash sedar jurang antara kami. Malah dia juga pernah beritahu saya, kalau saya ada orang lain, dia pun tak kisah asalkan saya bahagia. Tapi dia sanggup tunggu saya, walaupun saya janda sekalipun,” katanya secara berseloroh.

Mengimbau detik perkenalannya dengan Nash, kata Betty, dia sudah mengenali Nash sejak tahun 2000 lagi. Ketika itu dia merupakan artis kepada BMG, namun hubungan mereka semakin rapat sejak bergerak sama dalam persatuan Karyawan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: