![]() MISHA akan memberi saingan hebat kepada Faizal Tahir |
Lagu Cinta Adam & Hawa dijangka beri saingan sengit
LAGU Bencinta ciptaan Faizal Tahir hasil gandingan bersama Audi Mok diramal mempunyai potensi besar menggondol trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke -24, Ahad ini.
Lagu dendangan Faizal itu bukan saja mempunyai kekuatan dari aspek susunan muzik yang unik tetapi liriknya juga kuat untuk membolehkan penyanyi itu bersama Audi membawa pulang wang tunai bernilai RM 35,000.
Masih belum terlambat untuk penyanyi ini memikat hati juri menerusi vokal dan penghayatan kerana 30 peratus lagi markah lagi dinilai pada malam pertandingan. Sekiranya Bencinta dinobatkan Juara Lagu, kekecewaan tewas di tangan Meet Uncle Hussein pada AJL 23 yang lalu mungkin terubat. Namun tidak adil melihat kepada kekuatan Faizal Tahir sahaja, seolah-olah 13 lagu lain tidak berpeluang untuk dinobatkan sebagai Juara Lagu bagi edisi kali ke-24.
Memberi saingan terdekat kepada lagu Bencinta adalah karya nukilan Loloq dan Azmeer iaitu lagu Cinta Adam & Hawa dendangan Misha Omar. Kejayaan menggondol anugerah Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2009 (AIM) ini berkemungkinan mempengaruhi keputusan juri dan mengulangi semula kejayaan pada AIM.
Menghayati bait-bait seni kata lagu Cinta Adam & Hawa mempunyai maksud yang sangat luas, bukan sekadar kisah cinta biasa.
![]() |
| KEMUNCULAN Yuna memberi lebih perhatian terhadap AJL24. |
Melodinya tersendiri, manakala liriknya yang puitis memberi kelebihan untuk lagu ini dinobatkan sebagai Juara Lagu. Selain mengulangi kejayaan pada AIM 2009, mungkinkah penyanyi kelahiran Kelantan ini bakal mengulangi semula kejayaan AJL 2003? Lagu dendangannya Bunga-Bunga Cinta nukilan komposer terkenal Adnan Abu Hassan pernah diangkat sebagai Juara Lagu dan turut memenangi kategori Lagu Balada Terbaik.
Selain memenangi Juara Lagu, Misha berpotensi membawa pulang trofi Vokal Terbaik yang menawarkan wang tunai RM10,000 kerana di antara penyanyi yang membuat persembahan pada malam kemuncak AJL24 nanti, vokal penyanyi wanita ini diakui antara terbaik. Namun jangan lupa kepada bakat baru, Black anak muda yang menggalas tanggungjawab membawakan lagu dan lirik ciptaan Yuzai akan memberi saingan terdekat kepada Misha Omar.
Jika Black berjaya ‘menumpaskan’ vokal penyanyi yang sudah lapan tahun mewarnai industri muzik tanah air, ia bukanlah satu keputusan mengejutkan. Ini kerana vokal anak muda ini boleh mencapai nada paling tinggi, dan dilihat sebagai satu kelebihan kerana tidak ramai penyanyi lelaki memiliki vokal sedemikian.
Namun semua itu terletak di tangan di juri. Siapa saja pilihan mereka, kita harus akur kerana keputusan adalah muktamad. Bagaimanapun apabila menyelak kembali sejarah penganjuran, keputusan AJL yang lalu sentiasa di luar jangkaan dan mencetuskan kontroversi.
Pernah beberapa kali keputusannya dipertikaikan kerana lagu yang dipilih kononnya tidak mempunyai kelayakan untuk diangkat sebagai juara. Dua tahun kebelakangan ini pula, arus indie melanda AJL. Pada AJL 22 dan 23, Juara Lagu menjadi milik kumpulan indie iaitu Estranged dan Meet Uncle Hussein, mungkinkah fenomena indie akan terus mempengaruhi keputusan AJL untuk tahun ketiga berturut-turut?
Yuna yang juga lahir dari arus muzik indie dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai juara. Penyanyi yang juga pencipta lagu Dan Sebenarnya ini turut dilihat sebagai salah seorang pencabar terdekat kepada Bencinta dan lagu Cinta Adam & Hawa. Kekuatan lagu Yuna terletak kepada karyanya yang segar.
Selain Yuna, lagu Situasi dendangan Bunkface juga mempunyai peluang untuk meraih gelaran juara. Muzik yang diperjuangkan dua penyanyi ini mempunyai elemen segar, apatah lagi ia mewakili arus muzik sekarang.
Lagu ciptaan Aizat, Kau Aku turut dilihat mempunyai potensi untuk bergelar juara. Kemampuan penyanyi muda itu mencipta sendiri lagunya adalah bonus kepada penyanyi ini, selain Kau Aku, sebuah lagi lagu dendangan Aizat iaitu Pergi ciptaan Pete Teo dan Amran Omar juga dikatakan mempunyai peluang cerah.
Sementara itu, bagi kategori Persembahan Terbaik menawarkan wang tunai RM10,000, ramai berasakan ia mungkin milik Stacy. Penyanyi lagu Pakai Buang ini sering kali memberikan persembahan bertenaga tetapi kita masih belum melihat persembahan penyanyi lain. Selain juara yang akan membawa wang tunai RM35,000, naib juara pula bakal menerima RM15,000 dan tempat ketiga RM12,000.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: