
Bermula dengan gambar cium bersama teman lelakinya, kini Sarah dihambat satu lagi kontroversi apabila dikatakan tidak melunaskan bayaran Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sewaktu belajar di sebuah universiti tahun lalu.
Sarah agak terkejut dengan insiden itu kerana tidak pernah menerima apa-apa surat daripada pihak PTPTN namun akur dan sudah pun membayar separuh daripada hutang tersebut sebanyak RM15 ribu bersama ibunya baru-baru ini.
Namun, kisah sedih itu tidak tamat di situ. Sarah kini dalam dilema dan berasa sedikit takut kerana bekas teman lelakinya yang juga seorang pelakon masih memburu cinta daripadanya biarpun antara mereka sudah tidak ada apa-apa ikatan.
“Saya dan pelakon itu pernah bercinta, tapi tak lama. Kami hanya kenal dan mula bercinta di lokasi penggambaran drama. Kiranya inilah cinta lokasi saya. Tapi, hubungan kami tak berpanjangan kerana tiada keserasian di antara kami. Sikapnya yang agak panas baran dan tidak menghormati saya sebagai seorang perempuan membuatkan saya meninggalkan dia.
“Memang pada awalnya dia tak bersetuju, tapi bila fikirkan masa depan, saya nekad kerana tak mahu ambil risiko. Keadaan saya bertambah tertekan kerana pelakon itu asyik mengganggu saya sehingga sekarang biarpun tahu saya sudah ada teman lelaki.
“Pada masa tu juga saya masih lagi belajar di Pulau Pinang. Selepas putus dengan pelakon itu, saya berkenalan dengan Ammar melalui Facebook. Ternyata Ammar seorang lelaki yang memahami saya dan yang paling penting dia menghormati saya dan keluarga. Saya senang dengannya.
“Tapi pelakon itu masih mengganggu saya sehingga sekarang. Saya tak tahu apa lagi yang dia mahu daripada saya. Saya tak mahu rosakkan hubungan saya dengan Ammar yang susah masuk dua tahun berkenalan,” katanya.
Sarah berkata, tindakan pelakon lelaki itu membuatkan dirinya agak tertekan dan takut perkara tidak baik akan terjadi selepas ini.
“Saya khuatir. Lagi pula sekarang ni saya sibuk dengan pengajian peringkat ijazah dan sibuk juga dengan jadual penggambaran drama. Saya tak mahu fikiran saya terganggu. Saya amat berharap pelakon lelaki itu tidak ganggu kehidupan saya lagi. Itu sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: