Tuesday, January 19, 2010

Bandar karnival Haiti hampir lenyap


DUA wanita menjual buah-buahan dan sayur-sayuran kelmarin di depan sebuah rumah yang ranap akibat gempa bumi di Haiti pada Selasa lalu.

JACMEL - Bandar Jacmel yang terkenal di Haiti ini amat popular dengan festival apabila ramai penduduk bersuka ria memakai topeng berhias sambil menari di jalan raya dan suasana meriah dipenuhi pelbagai lagu gembira sebelum gempa bumi berlaku pada minggu lalu.

Namun, gempa bumi terburuk di pulau Caribbean itu Selasa lalu mengubah bandar Jacmel, 32 kilometer dari bandar raya Port-au-Prince yang kini dipenuhi dengan banyak runtuhan bangunan dan bau mayat.

Bandar itu dihuni oleh 40,000 penduduk.

"Segala-galanya diambil daripada saya kecuali nyawa saya sendiri," kata Gabriel Mollet, 31, yang kini tiada pekerjaan.

Dia mengharapkan kedatangan pelancong asing dapat mengubah nasib masyarakat kembali kepada kehidupan normal.

"Kami belum menemui mangsa yang selamat daripada runtuhan.

"Apa yang boleh kami lakukan ialah kami cuba membantu penduduk yang selamat kerana kami tiada jentera untuk melakukan kerja-kerja berat," kata seorang anggota bomba Colombia, Jenny Ramirez.

Gempa minggu lalu mengakibatkan hospital di bandar itu musnah sekali gus menyebabkan sepasukan kecil doktor dan jururawat merawat pesakit dari sebuah klinik manakala lebih 100 penduduk masih terlantar di beberapa khemah.

Seorang pengarah sebuah rumah kebajikan kanak-kanak, Danny Pye berkata, anggaran awal menunjukkan 3,000 penduduk maut dan banyak mayat terbiar.

Tiga perempat rumah di pinggir Jacmel musnah tetapi jalan utama menghubungkan Port-au-Prince yang memakan masa tiga jam perjalanan kini dihalang runtuhan sekali gus menyukarkan usaha penghantaran bantuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: