KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) menggesa supaya pekerja-pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kompleks Kargo MAS diperiksa dalam usaha mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan di lapangan terbang itu.
Keselamatan lapangan terbang di seluruh dunia telah dipertingkatkan berikutan rancangan pengeboman sebuah pesawat Amerika Syarikat yang mahu ke Detroit tetapi berjaya dipatahkan.
"KLIA dan Kompleks Kargo MAS adalah kawasan berisiko tinggi dan sebuah kawasan larangan yang dikategorikan sebagai tempat pengawasan ketat.
"Oleh itu, syarikat-syarikat vendor mesti mempunyai latar belakang lengkap mengenai pekerja mereka terutama rekod jenayah mereka dari negara asal. Mereka mesti menyediakan semua maklumat lengkap ini kepada polis dan Jabatan Imigresen sebelum dibenarkan bekerja di tempat-tempat berkenaan," kata Setiausaha Eksekutif MASEU, Mustafar Maarof dalam satu kenyataan semalam.
Mustafar berkata, berdasarkan data tidak rasmi, dijangkakan 700 pekerja asing bekerja di KLIA dan 300 lagi di Kompleks Kargo MAS, dan mereka terlibat dalam memasukkan atau mengeluarkan sama ada bagasi penumpang atau kargo dari pesawat.
Di Kompleks Kargo MAS, pekerja asing juga dibenarkan memandu trak angkat susun oleh syarikat vendor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: