![]() |
Filem berteknologi tinggi dan paling mahal dengan bajet pembikinan lebih RM800 juta
Filem: Avatar
Genre: Aksi, Pengembaraan, Fiksyen Sains
Pengarah: James Cameron
Pelakon: Sam Worthington, Zoe Saldana, Sigourney Weaver, Stephen Lang, Michelle Rodriguez, Giovanni Ribisi, Joel Moore, CCH Pounder, Wes Studi, Laz Alonso, Dileep Rao
Tayangan: Mulai 17 Disember
KETEPIKAN judul lain, kini tiba masanya untuk filem terbaru arahan James Cameron bergegar di pawagam! Avatar, filem yang dihasilkan dalam bentuk 3-D selepas sedekad menggegarkan dunia hiburan dengan judul klasik, Titanic, kini bersedia mencatat lembaran baru dalam industri perfileman antarabangsa.
Bersama Titanic, Cameron mencatat kutipan RM6.3 bilion, apabila filem yang menyentuh hati jutaan penonton itu ditayangkan pada 1997. Dia kemudian mendiamkan diri agak lama bagi mencari formula terbaik menghasilkan filem seterusnya. Bagi Avatar, walaupun ceritanya sudah ada di depan mata 14 tahun lalu, tetapi teknologi yang mampu merealisasikan semua gambaran berkenaan belum wujud ketika itu.
Buat penggemar pembikin filem berkaliber ini, penantian lebih sedekad nyata berbaloi. Avatar tentu sekali menjadi hidangan hebat dan menghiburkan. Filem yang ditulis sendiri oleh Cameron ini seperti meletakkan penanda aras baru dalam dunia pembikinan filem.
![]() |
| FILEM terbaru arahan James Cameron yang dihasilkan dalam bentuk 3-D bakal mencatat lembaran baru dalam industri perfileman antarabangsa. |
Menggunakan teknologi terkini, pembuatan filem 3-D, Cameron menzahirkan fantasi penerokaan ke sebuah planet asing sebagai sebuah realiti. Avatar tampil sebagai persembahan cukup mantap, disokong kesan visual yang mengatasi segala judul pernah ditayangkan, serta penceritaan yang kukuh lagi mengesankan.
Filem ini mengisahkan bekas askar Amerika Syarikat yang tidak berupaya, Jake Sully (Sam Worthington), mengambil bahagian dalam program Avatar, bagi membolehkannya berjalan semula. Program itu membawanya mengembara ke planet Pandora, yang berada sejauh 4.3 tahun cahaya dari Bumi.
Dunia Pandora penuh dengan kehidupan amat mengagumkan, dengan sebahagiannya amat cantik manakala sebahagian lagi menggerunkan. Ia juga menjadi tempat tinggal bangsa Na'vi, sejenis makhluk setinggi tiga meter dan berkulit biru berkilau. Mereka hidup secara harmoni bersama alam sekitar yang tidak tercemar.
Namun, apabila manusia makin jauh meneroka hutan tempat kediaman mereka bagi mencari galian bernilai tinggi, dikenali sebagai unobtainium, bangsa Na'vi kini harus menggunakan segala kemahiran keperwiraan mereka dalam menentang ancaman pendatang.
![]() |
Jake pula menyertai program itu dengan separuh hati, selepas kematian abangnya. Disebabkan manusia tidak mampu bernafas dengan biasa di Pandora, mereka mencipta hibrid manusia Na'vi yang dikenali sebagai Avatar. Di Pandora, menerusi tubuh Avatar, Jake berupaya untuk berjalan semula.
Dia dihantar ke hutan Pandora sebagai pemerhati untuk memudahkan kerja manusia meneroka hutan terbabit, apabila mereka memahami kehidupan penduduk asal planet ini. Bagaimanapun dalam usaha mempelajari cara kehidupan Na'vi, Jake mula menyayangi kehidupan barunya. Kini, dia terperangkap antara kesetiaan kepada bangsa manusia yang makin hebat meneroka dengan bangsa Na'vi yang seboleh mungkin ingin mempertahankan kesucian alam mereka.
Sepanjang hampir tiga jam tayangan, penonton tidak akan sedikit pun kebosanan apabila hampir setiap saat diisi dengan visual yang tidak terjangkau dek fikiran. Maka tidak hairanlah apabila pengkritik melabelkan filem ini sebagai judul paling mahal dan paling berangan dalam dunia perfileman. Avatar yang menelan belanja kira-kira RM830 juta untuk disiapkan, nyata mempamerkan apa yang seharusnya terhasil oleh perbelanjaan cukup besar sedemikian.
Lihat saja pada watak Jake setelah dia bertukar menjadi Na'vi. Walaupun pada dasarnya dia hanyalah watak ciptaan grafik komputer, namun kebenarannya hampir tercapai. Makhluk biru itu menunjukkan emosi yang dapat dirasa, menerusi mimik muka dan cahaya matanya. Watak Na'vi perempuan, Neytiri (Zoe Saldana) turut mengagumkan. Bagaimana penonton boleh terasa dengan wataknya, sedangkan ia hanyalah watak ciptaan hasil kemahiran pakar komputer? Itulah yang dinamakan keajaiban teknologi pembikinan filem masa depan.
Sam Worthington yang ditampilkan sebagai Jake turut memberikan persembahan memberangsangkan. Cacat pada bahagian pinggang ke bawah, kita amat memahami mengapa dia teringin untuk berjalan semula. Namun, lelaki ini akhirnya berperang dengan perasaan sendiri, apakah dia harus kekal memperjuangkan ketamakan manusia, atau mempertahankan kesucian alam Pandora setelah dia sendiri mengerti kehidupan di planet baru berkenaan. Rasa itu ditunjukkan Sam dengan berkesan.
Avatar, selain daripada paparan visual tiga dimensi yang jelas lagi mengagumkan, juga sebuah pendedahan Cameron terhadap sifat manusia yang gemar menjajah dalam usah mengaut laba hanya buat mereka. Selepas bumi makin tandus dikerjakan, kini mereka menjelajah ke dunia lain dengan tujuan serupa. Dalam usaha mereka, kepentingan hidupan lain tidak diendah.
Lalu, sambil berhibur bersama kepintaran Cameron, usah lupa menilik pesanan pembikin filem berusia 55 tahun itu menerusi judul terbarunya. Selamat menonton.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: