
Menurut Penerbit Eksekutif Enfiniti Production, Datin Tiara Jacquelina, yang merupakan ‘mentor’ kepada ketiga-tiga anak muda ini, Roket! Destinasi Bintang merupakan satu-satunya program realiti memaparkan persiapan artis mengadakan konsert. Selain memberi pendedahan kepada ketiga-tiga artis muda ini untuk bergelar bintang, program ini juga bertujuan untuk membawa penonton merasai pengalaman yang dilalui mereka sepanjang persiapan menjelang konsert.
“Biasanya, penonton hanya melihat sesuatu konsert itu berlangsung, tanpa mengetahui bagaimana kita bersusah payah untuk mengadakan konsert itu. Jadi kita buat program ini khas untuk mendedahkan pahit getir yang dilalui ketiga-tiga artis ini sepanjang menjayakan konsert tersebut,” katanya ketika pelancaran program tersebut di Borneo Rainforest, Sunway.
Jelas Tiara, ketiga-tiga artis tersebut akan ditempatkan dalam satu kediaman dan turut menyorot tentang kehidupan mereka seharian. Bagaimanapun, Tiara menafikan program realiti ini mempunyai persamaan dengan AF.
“Roket! Destinasi Bintang lebih kepada melatih mereka semula agar lebih bersedia dalam industri ini dan pembelajarannya lebih menyeluruh, baik dari segi fizikal atau pun mental. Kalau di AF, mereka dilatih untuk menjadi artis, tapi untuk program ini, sebagai ‘juara’ mereka dilatih untuk membentuk diri agar bertahan lebih lama dalam industri,” katanya.
Sementara itu, Aril, Akim dan Hafiz, meluahkan rasa gembira kerana mereka bertiga terpilih untuk menerajui program realiti tersebut dan sekali gus mengadakan konsert eksklusif, Roket! yang bakal berlangsung di Borneo Rainforest, Sunway, pada 31 Januari 2010. Meskipun musim baru AF bakal tiba tidak lagi dan semestinya akan muncul muka baru yang bakal memberi saingan pada mereka, namun baik ketiga-tiga anak muda ini tidak getir untuk menghadapinya.
Tiara ketika diminta mengulas konsert eksklusif yang melibatkan ketiga anak muda ini, berkata, dia percaya dengan kebolehan dan bakat yang ada pada mereka. Malah bayaran yang dikenakan, iaitu RM38 pada peminat yang ingin menyaksikan persembahan eksklusif mereka juga dirasakan setimpal.
“Tempat ini (Borneo Rainforest) agak eksklusif dan cantik, ada latar belakang air terjun yang pastinya akan memberi ketenangan pada pengunjung yang datang. Malah inilah kali pertama kita bawa artis realiti kita, Aril, Akim dan Hafiz buat persembahan di sini. Mereka akan membuat persembahan selama 90 minit dengan menyanyikan lagu-lagu popular mereka, seperti Masih Jelas, Menatap Matamu, Bengang serta lagu-lagu hits lain. Selain persembahan mereka, konsert ini juga akan diserikan dengan tarian dan pertunjukan fesyen yang cukup menarik,” kata Tiara.
Konsert Roket! ini hanya akan ditayangkan pada penonton pada episod akhir program realiti Roket! Destinasi Bintang. Program terbitan Ten On Ten Pictures dan kerjasama Enfiniti Production ini baru sahaja membuka tirainya di Astro Ria, bermula Jumaat lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: