![]() BARISAN jawatankuasa FDAM baru yang diketuai ahmad ibrahim (empat dari kiri) dengan sebahagian besarnya bukan pengarah filem. |
Barisan kepimpinan baru persatuan pengarah filem dilihat janggal, pelik
PERSATUAN Sutradara Malaysia atau Film Director Associaton of Malaysia (FDAM) harus merenung kembali siapa yang sepatutnya menjadi ahli supaya sejajar dengan matlamat penubuhannya.
Sejak kebelakangan ini, termasuk dalam Mesyuarat Agung FDAM ke-14 pada 31 Disember 2009 yang lalu, entah ‘siapa-siapa’ dibawa masuk menjadi ahli sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan sutradara sebenar yang memang terbabit dalam profesion pengarah secara profesional.
Barisan kepimpinan baru FDAM yang dilihat sangat janggal dan pelik kerana sebahagian besarnya tidak ada latar belakang pengarah filem kukuh dan berkewibawaan, bahkan drama TV, tetapi ada hati untuk mewakili suara ‘Film Directors’.
Bekas Presiden pertama yang juga antara pengasas FDAM, Mahadi J Murat, berkata apabila persatuan tidak lagi dianggotai oleh kalangan pengarah dan jawatankuasanya terdiri daripada mereka yang menyangka sebagai pengarah filem, sedangkan adalah penumpang yang bermimpi, persatuan boleh menjadi tidak releven.
“Saya menyeru semua pihak merenung sedalam-dalamnya apa yang sudah terjadi dan berusaha memelihara semula nilai-nilai yang sepatutnya menjadi amalan kepada pengarah filem.
![]() |
| ANTARA ahli FDAMyang hadir. Ada yang tidak pernah mengarahkan filem mahupun drama. |
“Kita mempunyai cabaran untuk mempertahankan kedudukan filem Melayu dan filem Malaysia yang semakin ditinggalkan kemajuan. Sepatutnya FDAM dijadikan tempat untuk menyumbang kepada usaha yang boleh memperbaiki kedudukan kita,” katanya kepada Hip apabila diminta mengulas perkembangan terbaru FDAM.
Dalam mesyuarat agung FDAM baru-baru ini, Ahmad Ibrahim atau Mat London sekali lagi mengekalkan jawatannya sebagai Presiden FDAM untuk penggal ketiga berturut-turut. Kemenangan Mat London menimbulkan persoalan kerana ada dakwaan mengatakan bagi memastikan dirinya dipilih sebagai presiden, beliau membawa masuk ramai muka baru yang diragui status dan kelayakannya sebagai pengarah filem.
Ini menjadikan barisan Kabinet FDAM yang baru dilihat janggal dan pelik. Bagaimana mereka hendak mewakili suara pengarah filem, sedangkan hampir semuanya tidak pernah mengarahkan filem.
Bahkan status mesyuarat itu diadakan juga diragui kerana pindaan tarikh mesyuarat diadakan tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada notis sekurang-kurangnya 15 hari dikeluarkan kepada ahli. Sebaliknya, tarikh asal mesyuarat pada 30 Disember ditukar dengan sesuka hati oleh presiden daripada 30 Disember kepada 31 Disember.
Mahadi berkata, sebagai presiden pertama dan antara pengasas FDAM yang hadir dan mengambil bahagian dalam mesyuarat Agung FDAM lalu, bukan sebagai pemerhati, sudah tentu berhak untuk melihat perkembangan dengan dekat.
“Tujuan persatuan ditubuhkan ialah untuk menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan profesionalisme pengarah filem Malaysia, mewujudkan suasana kerja lebih baik dan berfaedah dan memainkan peranan berkesan dalam pembangunan industri filem tempatan.
“Keutamaan ahli-ahlinya hanya terdiri daripada pengarah filem dan drama televisyen yang mempraktikkan profesionnya. Itu yang disebut dalam perlembagaan. Tetapi FDAM ini hari ini nampaknya dianggotai oleh ramai orang yang tidak pernah bekerja sebagai pengarah filem. Saya pun hairan mengapa orang yang tak ada kena-mengena dengan kerjaya pengarah filem hendak menjadi ahli persatuan ini,” jelasnya.
Menurutnya, dalam Mesyuarat Agung FDAM baru-baru ini, lalu sebahagian besar dari kira-kira 130 orang yang hadir, terdiri daripada orang-orang yang tidak dikenali.
“Industri filem ini kecil bukan susah hendak mengenali yang mana satu pengarah filem dan drama TV atau pun tidak. Orang yang tidak dikenali inilah yang memutuskan semua perkara termasuk mengundi calon yang bertanding.
“Mereka tak sepatutnya melakukan perkara ini. Mereka sepatutnya faham FDAM bukan untuk mereka. Tak mungkin mereka tidak cerdik, terencat pemahaman sehingga menyangka layak menjadi ahli FDAM, sedangkan ketidakfahaman mereka boleh menyebabkan entiti penting bidang perfileman ini binasa.
“Sehinggakan untuk saya bertanya perkara-perkara penting pun sangat sulit dibuatnya. Mesyuarat agung bukan lagi forum membincangkan perkara berkaitan kerjaya kepengarahan dan industri, tetapi menjadi medan sorakan dan memperkecil perkara penting. Akibatnya jawatankuasa persatuan dianggotai oleh mereka yang bukan pengarah filem,” katanya.
Tambah Mahadi lagi, pengendalian Mesyuarat Agung ke-14 itu juga dibuat dengan cara yang tidak mengikut lunas mesyuarat dan melanggar beberapa perkara yang bercanggah dengan perlembagaan persatuan sehingga menyebabkan laporan tahunan dan laporan kewangan tidak diundi dan diluluskan.


hmmmm.
ReplyDelete