Thursday, January 7, 2010

Aizat, Yuna sudah bersedia


AIZAT dan Yuna dikagumi kerana bakat istimewa yang dimiliki oleh mereka yang bukan sekadar menyanyi tetapi juga sebagai komposer dan penulis lirik.


SEBETULNYA ini merupakan sesi fotografi pertama yang menggandingkan Aizat dan Yuna.

Memang hajat di hati sudah lama mahu menggabungkan dua anak muda ini dalam satu sesi fotografi lantaran persamaan yang mereka miliki sebagai penyanyi serta komposer baru yang semakin meningkat naik.

Apatah lagi, karya mereka juga mendapat perhatian meluas sekali gus meletakkan mereka di dalam carta bakat baru yang mampu merobah iklim industri hiburan tanah air yang semakin dingin.

Karya mereka mendapat perhatian meluas dan menjadi siulan ramai lantas membuktikan bahawa mereka hadir dengan satu matlamat iaitu menjual bakat mereka yang mungkin tiada pada artis baru yang lain.

Maka dengan itu, apabila karya mereka mara ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) yang akan berlangsung pada 10 Januari ini, Aizat dan Yuna hanya mampu melahirkan rasa syukur serta berbangga apabila karya mereka diangkat setinggi rupa.

Biarpun baru dua tahun aktif sebagai anak seni tetapi prestasi dan kejayaan Aizat memang di luar dugaan.

Tahun lalu, dia berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang finalis AJL dengan mempertandingkan karyanya sendiri yang berjudul Lagu Kita.

Untuk edisi kali ini, sekali lagi lagu dendangan Aizat berjaya mara ke pentas akhir. Bukan satu lagu tetapi dengan dua buah lagu iaitu Pergi dan Kau Aku.

Tekanan sudah pasti dirasai oleh Aizat kerana dua buah lagu itu memiliki kekuatan dan keistimewaan yang tersendiri.

Apatah lagi, membawakan lagu Pergi bagi Aizat merupakan satu tanggungjawab baru apabila lagu tema filem Talentime itu bukanlah hasil karyanya sendiri.

Sebaliknya, ia merupakan lagu ciptaan Pete Teo manakala liriknya pula oleh Amran Omar sementara lagu Kau Aku adalah ciptaan sepenuhnya oleh Aizat.

"Memang saya akui, tekanan memang ada dan ia adalah seimbang untuk kedua-dua lagu yang akan saya bawakan.

"Tetapi saya tidak mahu terlalu tertekan dengan memikirkan soal kemenangan sehingga tidak mampu memberikan persembahan terbaik pada malam itu.

"Tujuan saya hanya satu iaitu mahu mereka terhibur selain merasai emosi untuk setiap lagu yang saya persembahkan.

"Bagi saya, minat saya dalam dunia muzik tidak mampu saya ungkap dengan kata-kata dan apabila terpilih ke AJL24, tiada lain bagi saya hanyalah untuk menjadikan persembahan saya itu akan dapat dikenang sampai bila-bila," kata Aizat penuh bersungguh dalam sesi fotografi yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, petang Isnin lalu.

Lagu Pergi dan Kau Aku akan bersaing dengan lagu Dan Sebenarnya oleh Yuna, Aurora (Estranged), Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah), Cinta Adam dan Hawa (Misha Omar) dan Bengang (Akim).

Tujuh lagu lain ialah Bencinta (Faizal Tahir), Rindu Terhenti (Tomok), Situasi (Bunkface), Aku Scandal (Hujan), Aku Rindu Sayang Kamu (Black), Pakai Buang (Stacy) dan Masih Jelas (Hafiz).

Satu yang pasti jelas Aizat, dalam tempoh setahun beraksi di pentas AJL, tahap keyakinan kini semakin meningkat dan semakin yakin dengan langkahnya.

Bukan mahu mendabik dada tetapi baginya, pengalaman di pentas AJL tahun lalu banyak mengajar serta memperbaiki dirinya sebagai seorang penyanyi, komposer serta penghibur.

Saat ditanya tentang persediaannya untuk AJL24, tanpa berselindung jejaka berusia 21 tahun ini memberitahu dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menghiburkan audiens pada malam gilang-gemilang itu.

Diajak untuk berkongsi konsep persembahannya, dengan pantas pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan ini mengetap bibirnya sambil mengukir senyuman manis.

"Itu kena tunggu pada malam itu nanti. Jika saya beritahu sekarang, hilanglah nanti elemen kejutan itu," kata anak kelima daripada enam adik-beradik ini penuh makna.

Berbicara lanjut, membawakan lagu Pergi dan Kau Aku memang mencabar kredibiliti Aizat sebagai seorang penyanyi sementelah kedua-duanya memiliki karakter tersendiri.

Lagu Pergi katanya, merupakan sebuah lagu yang sarat dengan emosi dan memerlukan penghayatan yang cukup mendalam memandangkan liriknya yang cukup puitis serta syahdu sekali.

"Sebaliknya, lagu Kau Aku pula lebih santai dan ia adalah sesuatu yang memang saya suka bawakan kerana ia adalah makanan ruji saya.

"Kajian perwatakan untuk setiap lagu semuanya sudah saya serapkan dalam minda apabila kali pertama merakamkannya.

"Cuma, saya perlu berlatih sekerap mungkin untuk memperkemaskan lagi persembahan saya dengan susunan muzik yang baru serta segar yang telah digubah oleh Genervie Kam," ujarnya yang terharu dengan sokongan keluarganya yang turut sama melontarkan idea untuk persembahannya pada malam AJL24 nanti.

Jika Aizat sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik pada malam itu nanti, Yuna yang mempertaruhkan lagu Dan Sebenarnya pada malam itu nanti juga tidak mahu ketinggalan.

Sejak dua minggu lalu, dia bersama barisan pemuziknya memang giat menjalani latihan bagi memantapkan lagi persembahan mereka.

"Memang saya dan pemuzik kerap menjalani latihan kerana mahu memperkemaskan lagi muzik agar ia mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

"Apatah lagi, ini merupakan penyertaan pertama saya di pentas penuh berprestij ini dan sudah pasti saya mahu melakukan yang terbaik," ujar Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai penuh bersungguh.

Terasa dirinya masih lagi seperti bermimpi apabila lagu hasil nukilannya itu berjaya ke peringkat akhir, tetapi bagi Yuna, dia menganggap itu sebagai satu penghormatan dan penghargaan bagi karyawan seni muda sepertinya.

Tidak mahu memikirkan soal menang dan kalah, apa yang penting bagi Yuna, penyertaannya di pentas AJL diharapkan sebagai permulaan untuk terus memperkasakan lagi namanya di persada seni.

"Di sini letaknya keistimewaan AJL yang mengangkat dan mengiktiraf hasil karya komposer dan penulis lirik tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Apa yang membanggakan saya apabila dapat bersaing dengan komposer muda dan senior yang selama ini saya perhatikan dari jauh.

"Sepanjang saya mengikuti perkembangan AJL, memang tidak pernah saya bermimpi bahawa satu hari saya akan jejakkan kaki di pentas keramat ini," katanya dalam nada penuh rendah diri.

Bukan itu sahaja, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga melahirkan rasa gembiranya dapat bertanding di AJL sekali gus dapat merasa pengalaman berlatih dan beraksi di pentas akhir.

Manakan tidak, sebelum ini kata Yuna, dia bersama pemuziknya hanya menyanyi dan bermain muzik untuk persembahan yang melibatkan mereka sahaja.

"Untuk persembahan saya di AJL nanti, ia akan diiringi oleh lima orang pemuzik dan saya mengambil keputusan untuk tidak memasukkan elemen muzik orkestra.

"Bukan untuk menunjuk diri saya hebat atau lagu saya terlalu bagus untuk tidak diselitkan orkestra, sebaliknya saya ada alasan tersendiri.

"Memang saya ada fikir untuk memasukkan muzik orkestra tetapi bila difikirkan kembali, saya tidak mahu sentuhan lagu itu hilang.

"Namun begitu, persembahan saya malam itu nanti akan menampilkan satu kelainan yang belum pernah disaksikan sebelum ini," katanya sambil dipersetujui sepupu merangkap pembantu peribadinya, Wawa.

Saat ditanya tentang kekuatan lagu Dan Sebenarnya sehingga layak ke peringkat akhir, Yuna tidak menolak kemungkinan kerana karyanya itu merupakan sebuah lagu yang sarat dengan kejujuran dan keikhlasan sewaktu menghasilkannya.

"Untuk pertandingan ini, saya melihat persaingan saya semuanya hebat dan sengit sekali. Kerana itu, saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi kerana lagu-lagu lain juga bagus.

"Seandainya saya menang, memang ia akan memberi signifikan yang tersendiri kerana orang akan tahu bahawa lagu itu merupakan hasil karya saya sendiri," kata Yuna sambil menamakan lagu Bencinta dan Pergi antara lagu-lagu yang mampu mencuri perhatian pada malam itu nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: