
PORT-AU-PRINCE - Hello. Itulah ucapan ringkas seorang anggota penyelamat kepada tiga mangsa gempa bumi di Haiti iaitu Maria, Ariel dan Lamy kelmarin sejurus mereka ditarik keluar setelah terperangkap lebih 100 jam di bawah runtuhan sebuah pasar raya lima tingkat di sini.
Usaha sukar menyelamat ketiga-tiga mangsa itu bermula dua hari lepas setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Seseorang telah menghantar SMS menyatakan mereka terperangkap di dalam pasar raya Caribbean berhampiran rak daging, buah-buahan dan daging beku," kata seorang anggota pasukan penyelamat Amerika Syarikat (AS), Joseph Fernandez.
Usaha menyelamat ketiga-tiga mangsa itu mengambil masa kira-kira 12 jam.
"Sepanjang tempoh itu, kami kerap mengetuk runtuhan dan mereka membalas ketukan itu.
"Apabila kami bergerak lebih jauh, kami terdengar suara mereka," kata seorang sukarelawan Turki di lokasi runtuhan, Umut Dingsahin.
Menurut Fernandez, semasa terperangkap, Ariel, berusia tujuh tahun, Lamy berumur tiga tahun dan Maria, 50 tahun, berada di tempat yang dikelilingi makanan sekali gus membolehkan mereka bertahan walaupun selepas terperangkap selama beberapa hari.
Trio berkenaan keletihan tetapi berada dalam keadaan baik serta boleh menjawab soalan yang diacukan kepada mereka.
Pada hari sama, seorang rakyat Denmark, Jen Kristensen berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan ibu pejabat PBB di sini.
"Dia langsung tidak cedera," kata seorang jurucakap badan dunia itu
Kristensen ialah pakar hal ehwal awam yang berkhidmat dengan misi PBB di Haiti, Minustah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: