Friday, January 22, 2010

20,000 menari di Esplanade

Berjayakah acara 1Population 1World di Esplanade Padang Kota Lama, Pulau Pinang mengangkat imej bandar raya itu di peta pelancongan dunia?


PEKARANGAN Esplanade Padang Kota Lama berubah wajah seawal pukul 5.30 petang dengan kehadiran orang ramai.

LIMA hari sebelum acara bermula, perasaan Adelyn Lim bercampur-baur. Mengambil tempat di Esplanade Padang Kota Lama, Pulau Pinang, ada misi besar yang ingin dicapainya.

Merencanakan cubaan memecah rekod kelas tarian paling ramai di dunia pada malam itu di negeri tercinta, Pengarah Urusan CreatiVision D.C. Sdn. Bhd. (CreatiVision) sentiasa berfikiran positif agar segala yang dirancang sejak setahun lalu itu berjalan lancar.

Hakikatnya, bukan mudah bagi wanita muda itu merealisasikan rancangan tersebut. Jumlah 20,000 peserta kelas tarian yang disasarkan pada malam itu bukan kecil. Malah angka tersebut adalah tiga kali ganda daripada yang dicatat pemegang rekod sedia ada di Cebu, Filipina iaitu seramai 7,770 orang.

Bersama tenaga kerjanya, sejak enam bulan lalu Adelyn sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke George Town setiap minggu untuk memastikan perancangannya itu mengikut jadual.

Bertemakan 1Population 1World, dengan pelaburan mencecah RM1.2 juta bagi menjayakan acara tersebut, beliau percaya ia akan menjadi penganjuran yang bukan sahaja menghiburkan bahkan mengangkat imej bandar raya itu di peta pelancongan tempatan dan dunia.

Uniknya, acara tersebut juga merupakan projek tanggungjawab sosial CreatiVision bagi menyokong badan antarabangsa UNICEF terhadap kempen kesedaran kanak-kanak. Bagi memastikan kejayaan persembahan tarian itu, empat sesi latihan turut diadakan di Padang Kota Lama di bawah bimbingan beberapa jurulatih tarian.

Langkah pertamanya sedikit mudah apabila berjaya menarik penyedia rangkaian komunikasi terbesar negara, Celcom Axiata Sdn. Bhd. (Celcom) sebagai rakan strategik. Selain berhibur secara percuma, menerusi kerjasama itu pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai barangan tajaan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM100,000 termasuk hadiah cabutan bertuah berupa dua buah motosikal.

Seronok


ADELYN Lim (kiri) dan Saiful Bahrin menunjukkan poster PG2010 1 Pop Countdown pada sidang akhbarnya di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.

Ia diikuti dengan kesediaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Global Tourism Penang untuk memberikan kerjasama. Selain sambutan tahun baru, Penang Golden 2010

atau dikenali sebagai PG2010 juga diadakan bagi meraikan ulang tahun pengisytiharan George Town sebagai bandar raya oleh kerajaan British 53 tahun lalu.

Pekarangan Esplanade, Padang Kota Lama mula berubah wajah seawal pukul 5.30 petang apabila pentas utama mula berkumandang dengan muzik yang dimainkan DJ petang itu.

Tepat pukul 8 malam, kawasan padang mula dibanjiri tidak kurang 20,000 warga Pulau Pinang sebelum mencecah kira-kira 30,000 menjelang pukul 9 malam. Kehangatan mula terasa apabila tiga pengacara malam itu, TP Lim, KK Wong dan Tria muncul di pentas memperkenalkan artis-artis jemputan. Pengunjung mula merasai keseronokan sambutan tahun baru sebaik persembahan pentas bermula.

Didahului dengan persembahan kumpulan The Villanz, pemenang band muzik India terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2007, diikuti dengan Amy Wang, naib juara Astro Talent Quest 2004 sebelum kemunculan Juara Akademi Fantasia 2009, Hafiz menghiburkan peminatnya.

Tanpa dijangka, pengunjung dikejutkan dengan kehadiran pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi yang pantas menghangatkan lagi kerancakan malam itu. Aura yang dibawanya cukup jelas apabila teriakan nama Aznil dilaung-laungkan oleh peminatnya yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa.

Sehingga pukul 10 malam, seramai 15,000 nama didaftarkan penganjur bagi menyertai kelas tarian malam itu. Sebaik diumumkan Aznil, pengunjung memberi ruang di kawasan lapang berhadapan pentas utama bagi membolehkan peserta-peserta kelas tarian mengambil tempat.

Dua percubaan dilakukan oleh para peserta bagi mempersembahkan rentak tari bash pop dengan iringan para jurulatih. Tidak berpuas hati dengan kehangatan tarian, Aznil sekali lagi meminta para penari melakukannya semula dan aksi yang ketiga ini kelihatan lebih kemas, tersusun dan seragam.

Tarian telah dipersembahkan dan keputusan sama ada George Town layak menggantikan Cebu hanya diketahui pertengahan Februari ini. Video rakaman tarian itu dihantar ke ibu pejabat Guiness World Record di Britain untuk dinilai dan jika berjaya nama Pulau Pinang akan tercatat di peta dunia.

Dengan wajah yang mampu tersenyum, Adelyn berpuas hati dengan cubaan yang dilakukan di negeri kelahirannya itu.

"Sokongan penduduk negeri ini cukup mengujakan saya dan rakan-rakan. Jika gagal sekalipun, cubaan ini tidak sia-sia dan mungkin tahun depan kita boleh lakukan cubaan yang sama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: