POS Malaysia Bhd melancarkan dua perkhidmatan iaitu mesin Post-Automated-Machine atau mesin automatik pos (PAM) dan Pos-on-Wheels atau pejabat pos bergerak bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
BARU...kenderaan Pos-on-Wheels yang dilancarkan, semalam.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata projek perintis PAM dilaksanakan di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur dan dijangka diperluaskan ke lokasi lain di seluruh negara secara berperingkat.
"PAM serupa dengan mesin ATM (mesin juruwang automatik) bank, tetapi yang pertama seumpamanya yang disepadukan dengan perkhidmatan pos.
"Maklum balas daripada orang ramai amat menggalakkan dan kami merancang memasang 30 unit PAM tahun ini. Sasaran kami menempatkan PAM di setiap pejabat pos di seluruh negara. Ia beroperasi 24 jam," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.
Perkhidmatan ditawarkan PAM termasuk pembelian setem, penghantaran surat tidak standard (sehingga 2 kilogram), penghantaran barangan domestik melalui PosLaju (sehingga 2kg), penghantaran bungkusan domestik melalui PosParcel dan barangan PosDaftar (sehingga 2kg) dan tambah nilai bagi Akaun Deposit Kiriman Tetap (Soda).
"Pelanggan juga boleh membuat bayaran bil melalui mesin itu kepada Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Syabas, Indah Water Konsortium dan Maxis," katanya.
"Pos-on-Wheels akan membolehkan kami memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai orang kerana unit bergerak ini boleh pergi ke beberapa tempat dalam sehari," katanya.
Perkhidmatan yang ditawarkan Pos-on-Wheels serupa yang ditawarkan di pejabat pos biasa seperti pembelian setem, bayaran bil, pembelian kiriman wang dan kiriman pos, pindahan wang antarabangsa, pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu.
"Di Pos-on-Wheels, transaksi secara online juga boleh dilakukan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: