jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, November 30, 2009

'Kami terhina'



JOHOR BAHRU: Disebabkan kedaifan hidup, sepasang suami isteri mualaf yang mempunyai 12 anak terpaksa bergantung pada sumber air parit dicemari sisa baja dan bangkai untuk kegunaan seharian, termasuk membancuh susu bayi mereka yang baru berusia sebulan.

Akibatnya, 14 beranak itu kini digelar ‘keluarga jijik’ oleh segelintir penduduk di sekitar penempatan setinggan Kampung Sungai Plentong di sini, semata-mata kerana mereka sanggup menggunakan sumber air kotor untuk kegunaan harian sejak lebih 16 tahun lalu.

Ketua keluarga berkenaan, Mohamad Jeeva Abdullah, 43, berkata meskipun menyedari penggunaan air parit boleh memudaratkan kesihatan dirinya dan anak-anak, keluarganya tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mendapatkan bekalan air bersih dari luar.

Menurutnya, penduduk lain berkeupayaan mendapatkan air bersih bagi kegunaan seharian biarpun kampung berkenaan tidak disalurkan bekalan air bersih oleh pihak berkuasa, sedangkan keluarganya bergantung pada air parit berhampiran termasuk untuk mandi, mencuci pakaian, memasak serta minuman.

“Kami digelar keluarga jijik oleh penduduk kampung dengan alasan kami minum air kotor dan berbau busuk. Namun, bagi saya dan isteri, Salmah Abdullah, 40, serta anak-anak, kami lali dengan keadaan ini kerana hanya air parit dan air hujan saja boleh diperoleh secara percuma.“Sebelum ini kami menggunakan air perigi, tetapi kini airnya berkeladak dan mengeluarkan bau busuk sehingga tidak boleh digunakan.


“Kebiasaannya kami akan memasak dulu air diambil dari parit kerana warnanya agak keruh dan kadangkala tercemar sehingga mengakibatkan anak-anak mudah mengalami alahan selain demam dan cirit-birit.

“Apa yang mengecewakan, biarpun rata-rata penduduk di perkampungan setinggan ini menyedari keluarga saya bergantung pada bekalan air berkenaan, mereka sanggup membuang sisa baja mahupun bangkai haiwan ke dalam parit,” katanya.

Mohamad Jeeva memeluk Islam sembilan tahun lalu manakala hati Salmah terbuka untuk menerima agama Islam pada Oktober lalu.

Menyingkap sejarah hidupnya memeluk Islam, Jeeva berkata, dia ingin mencari kebenaran dan petunjuk dalam hidupnya.

Menurutnya, dia dan isterinya tabah menghadapi pelbagai dugaan termasuk bagi menyara kehidupan 12 cahaya mata termasuk anak ketiga mengalami masalah lembam.

“Isteri saya juga terpaksa membanting tulang bagi menambah pendapatan keluarga dengan menjadi buruh kontrak mengecat bangunan biarpun dia masih dalam pantang kerana pendapatan bersih saya RM200 yang diperoleh hasil bekerja sebagai buruh ladang tidak mencukupi.

“Manakala bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan hanya mampu menampung perbelanjaan dapur selain persekolahan anak,” katanya ketika menerima kunjungan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Pasir Gudang, kelmarin.

Hadir menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga itu, Bendahari Umno bahagian Pasir Gudang, Rosli Mohamad dan Pengerusi Biro Kebajikan Pemuda bahagian itu, Mohd Khalimi Mohd Lia Khad Ali.

Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh anak perempuan dan lima lelaki termasuk Raju, 16, Shalini, 11, Sarla, 11, Sakti, 9, Visali, 9, Tavita, 8, Roja, 7, Deevankumar, 6, Uganindran, 4, Priya, 2, Selvakumar, berusia setahun dan Arvind, bayi berusia sebulan.

Akibat kesempitan hidup, Jeeva berkata, dua daripada cahaya matanya terpaksa menumpang di kediaman saudara-mara bagi memudahkan mereka ke sekolah memandangkan dia tidak dapat menghantar mereka kerana tidak berkemampuan memperbaharui cukai jalan dan insurans motosikalnya.

“Sudah lebih empat tahun saya dan isteri tidak membelikan baju baru pada anak dan mereka masih memakai baju terpakai yang disumbangkan kenalan mahupun baju kakak dan abang mereka,” katanya.

Sementara itu, Salmah berkata, dia yang memeluk Islam sehari sebelum melahirkan anak bongsunya juga berhajat mengislamkan semua anaknya dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya dia sekeluarga menghadapi kesulitan hendak ke pejabat agama di pusat bandar raya bagi menyelesaikan urusan kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk tambang pengangkutan awam ke sana.

“Saya boleh mengucap kalimah syahadah dan begitu juga dengan anak-anak yang tidak sabar menjalani kehidupan sebagai umat Islam.

“Kami berharap pihak berkuasa menyediakan bimbingan dan panduan agama selain sayangi kami sebagai saudara Islam.

“Kami berharap mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna pada tahun depan di mana anak-anak turut menunjukkan minat bagi mengikuti kelas Fardu Ain secepat mungkin,” katanya sambil menunjukkan sijil perakuan Islamnya yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam negeri.

Ceritanya sama saja!



NAZRUDIN, Linda dan Fazilah Hani lega sistem giliran membolehkan mereka bercuti secara saksama pada musim perayaan.

AIDILFITRI baru saja diraikan dua bulan yang lalu dan Jumaat lalu umat Islam menyambut satu lagi hari kebesarannya iaitu Aidiladha. Lazimnya perayaan menjadi hari untuk sesebuah keluarga berkumpul serta bertemu sanak saudara jauh dan dekat. Namun apabila terikat dalam dunia kewartawanan, bersiap sedia dipanggil bertugas bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekali gus membenam hasrat untuk bergembira di samping keluarga.

Disebabkan itu, tiga personaliti Saluran Ceria Anda ini tidak lekas berlapang dada sebaliknya akur jika dipanggil bertugas. Bagaimanapun ia bergantung juga kepada nasib. Pembaca berita Edisi 7 yang turut bergelar penerbit program, Linda Mohd Salim yang memulakan kerjaya di ntv7 sejak pertengahan Disember 2004, belum pernah mempunyai pengalaman bekerja di hari raya.

Aidilfitri lalu juga dia tidak dipanggil bertugas, begitu juga pada Aidiladha kerana dia sudah pun bertugas malam sebelumnya. Personaliti kelahiran Pulau Mutiara tetapi dibesarkan di kota metropolitan Kuala Lumpur ini berkata mujur keluarga terutama anak tunggalnya yang berusia tiga tahun memahami jadual kerja ibunya yang berbeza dengan orang lain.

"Istilah berat hati meninggalkan keluarga tidak hanya timbul pada hari raya saja tetapi juga apabila perlu 'outstation'.


"Oleh kerana jadual kerja yang tidak menentu, saya akan pastikan segala keperluan keluarga dijaga sebelum keluar bertugas untuk jangka masa yang panjang. Manakala apabila ada kelapangan saya akan menghabiskan sepenuhnya masa bersama keluarga serta melakukan perkara yang saya gemari," katanya yang minat membaca, malah hobinya itu turut menjadi ikutan puterinya.

Memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran sebagai wartawan penyiaran rogram di TV3 seperti Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini dan Remaja, Linda kemudian terbabit dalam program Lanskap pada 2003 malah turut mengacarakan program berkenaan sebelum berhijrah ke ntv7.

FAZILAH Hani (kiri) dan Linda selesa bertugas di ntv7.

Hampir lima tahun berpayung di bawah stesen urban itu, wanita ini ternyata masih belum puas dengan kerjayanya. Malah dia menyimpan hasrat menerbitkan dokumentari yang mempunyai elemen peristiwa bersejarah pada skala lebih besar. Justeru, buat masa ini dia tidak terfikir untuk meninjau peluang pekerjaan lain meskipun memiliki ijazah dalam bidang Psikologi Kanak-kanak dan Perkembangan Keluarga.

Sementara itu bagi pengacara The Breakfast Show, Nazrudin Habibur Rahman pula, disebabkan dia terpaksa bertugas pada sebelah pagi hari raya lalu mengendalikan program bual bicara itu, jadi dia hanya dapat berkunjung ke rumah orang tuanya pada sebelah petang.

Bukan saja dia, malah isterinya Sheahnee Iman Lee yang turut berkhidmat di bawah stesen yang sama turut berkerja. Memandangkan isterinya saudara baru, Naz tidak berdepan dilema beraya di rumah siapa terlebih dulu.

Katanya, dia mempunyai pengalaman lucu ketika pertama kali berhari raya dengan isterinya. Disebabkan Iman tidak mengenali budaya Melayu sebelum ini, isterinya terkejut apabila melihat sesi bermaaf-maafan di hari raya.

"Ketika kami bersalam-salaman, isteri saya bimbang jika dia perlu memberi ucapan sebelum bersalam bersama ibu bapa saya. Saya pun terangkan padanya, ia bukan ucapan tetapi kita memohon maaf kepada orang tua di atas segala silap dan salah," kata Naz yang mula dikenali dengan program Kelab Disney Malaysia pada 2001.

Mempunyai pengalaman mengendalikan pelbagai program seperti MyStarz LG, Celebrity Karaoke, My Australian Adventure dan banyak lagi, Naz yang berkahwin dengan Sheahnee pada pertengahan 2008, kini berdebar menantikan kehadiran cahaya mata sulung.

Bagaimanapun, Naz tidak mahu terlalu teruja kerana tidak mahu insiden sedih berulang kembali. Sheahnee yang kini mengandung enam bulan pernah mengalami keguguran awal tahun ini ketika kandungannya berusia tiga bulan. Apa yang lebih menyedihkan, kandungannya yang dulu adalah kembar. Namun Naz tetap bersyukur kerana dia masih dikurniakan zuriat.

Personaliti yang masih solo Fazilah Hani Harun yang memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di ntv7 pada 2007, sebelum beralih membaca berita awal tahun ini sudah biasa bertugas pada hari raya.

Memandangkan dia sudah bertugas pada Aidilfitri, pada Aidiladha ini Hani berpeluang bercuti. Justeru dapatlah bekas graduan Universiti Tenaga Nasioanl (Uniten) ini menunaikan solat sunat bersama keluarga, sebelum pulang ke kampung bagi menyempurnakan ibadah korban.

"Saya tak kisah bertugas bila-bila masa saja kerana memang itu lumrah kerja dalam bidang ini. Dengan adanya sistem giliran, semua orang mendapat cuti secara saksama, ia langsung tidak dipengaruhi status sama ada sudah berkahwin atau solo," kata pembaca berita pertama yang bertudung di ntv7 itu.

Bertudung setelah menyertai ntv7, sekembali daripada mengerjakan umrah, Hani tidak menolak pada mulanya bimbang majikan tidak dapat menerima penampilannya itu. Namun dia bersyukur kerana niat murninya itu tidak mendapat tentangan.

Biarpun bidang yang dipelajari tersasar daripada kerjaya yang disandang, bekas graduan dalam bidang kewangan itu tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri. Bahkan dia semakin selesa dengan kerjaya sekarang apatah lagi berpeluang menemuramah tokoh ternama dan berpeluang melihat negara orang.

"Banyak pengalaman istimewa yang saya kutip hampir dua tahun dalam bidang ini. Selepas ini saya ingin bergelar penerbit dan mahu menerbitkan program jelajah kerana saya minat mengembara," katanya.

Cara balas jasa pendengar


SEELAN (kiri) dan Borhanuddin (berdiri, empat dari kanan) bersama sebahagian artis dan penyampai pelbagai stesen radio.

Radio Fest 2009 di Shah Alam berlangsung dalam suasana penuh meriah apabila 19 stesen radio bergabung tenaga menjayakannya

PADA dasarnya, mereka memang saling bersaing bagi meraih perhatian pendengar. Namun, apabila tiba saja ke bab membantu perkembangan industri radio secara sepadu, 19 stesen radio swasta negara ini utuh bersatu, sebagaimana mereka tunjukkan sewaktu menjayakan Radio Fest 2009 di Shah Alam, baru-baru ini.

Acara yang dianjurkan oleh Persatuan Radio Komersial Malaysia (CRM) itu berlangsung selama dua hari, dengan hari pertama membabitkan penganjuran sukan persahabatan yang hanya dijayakan penggiat industri dan agensi media. Ia dilangsungkan di Bukit Jalil.

Hari kedua pula dipenuhi acara lebih terbuka seperti permainan, pertunjukan silap mata, beberapa pertandingan untuk kanak-kanak, pembukaan gerai serta konsert membabitkan artis dan kumpulan popular tanah.


Artis yang menyemarakkan konsert berkenaan ialah Aizat, Suki, Bunkface, Bittersweet dan Pesawat.

Menurut Presiden CRM, Datuk Borhanuddin Osman, selain Radio Fest, persatuan itu sudah pun merancang pelbagai lagi aktiviti yang membabitkan kesemua anggota CRM, dalam usaha merapatkan hubungan antara radio dan orang awam, serta kalangan penggiat industri itu sendiri.

SUKI menghiburkan peminat dengan beberapa lagu popular.

Antara agenda yang sudah disusun termasuk hari terbuka radio yang berkemungkinan besar diadakan di Astro Bukit Jalil, Disember ini, serta pemberian biasiswa kepada pelajar terpilih, sebagai tanda terima kasih mereka kepada khalayak.

Karnival Radio Fest sendiri julung kali diadakan untuk orang awam, apabila penganjuran pertama dua tahun lalu hanyalah membabitkan tenaga kerja industri itu.

Tidak menghampakan apabila kira-kira 5,000 pengunjung silih berganti memenuhi kawasan Bulatan Bazarena, Stadium Melawati, sejak 10 pagi. Karnival berakhir kira-kira jam 6 petang dengan konsert yang sememang ditunggu-tunggu peminat, apabila mereka sedikit pun tidak berganjak pada ketika hujan turun renyai-renyai.

"Karnival ini boleh dikatakan cara CRM menyampaikan ucapan terima kasih kepada pendengar serta membalas balik sokongan orang ramai kepada kami selama ini," katanya.

PERSEMBAHAN Bunkface cukup memberangsangkan.

Tanpa sokongan kuat pendengar serta pengiklan, Borhanuddin tidak percaya industri itu mampu berkembang pesat sejak kira-kira sedekad yang lalu.

"Bayangkan, 10 tahun lalu, jumlah pendapatan daripada iklan yang diterima oleh radio hanyalah sebanyak 2 peratus. Tetapi kini, dengan meningkatnya kepercayaan pengiklan terhadap industri ini, ia meningkat sehingga 6 peratus. Jumlah itu menunjukkan perkembangan cukup baik buat industri radio di negara kita," ujarnya.

Justeru, Borhanuddin mengalu-alukan kehadiran saluran baru untuk turut sama menyertai persatuan terbabit, seterusnya sama-sama bersaing membangunkan lagi industri berkenaan.

"Kewujudan radio baru tidak pernah menjadi masalah kepada kita. Bukankah jumlah penduduk negara ini sendiri semakin bertambah, jadi, jumlah radio yang ada tidak pernah mencukupi. Lebih-lebih lagi, saluran yang ada tidak sama antara satu dengan yang lain. Radio hari ini mempunyai pengkhususan pendengar mereka yang tersendiri.

"New Zealand mempunyai jumlah radio yang jauh lebih banyak. Dengan penduduk yang hanya sekitar 4.5 juta, jumlah radionya mencecah hingga 200 stesen," kata Borhanuddin.

Sementara itu, Pengerusi Penganjuran karnival, Seelan Paul berkata, CRM sangat komited dengan perkembangan radio, apabila medium komunikasi itu akan menuju era digital dengan kapasiti interaktif yang lebih baik, secara progresif.

"Ketika yang sama, kami amat berharap karnival ini terus mendapat sokongan ramai, bagi membolehkannya menjadi acara tahunan," katanya.

Puteri Gunung Ledang masuk TV


DARI kiri; Hairul, Sharlyza, Tiara dan Naufal hadir pada sidang media di Sunway Piramid, baru-baru ini.

Drama empat episod mengisi slot Suatu Ketika di Astro Citra mulai 2 Disember

HAYAT dan legasi filem kebanggaan Datin Seri Tiara Jacquelina, Puteri Gunung Ledang (PGL) nampaknya akan terus mekar dalam ingatan penggemar karya ini. Bermula dengan cetusan menghasilkan filem terbabit menerusi sentuhan Saw Teong Hin, ia seterusnya diterjemahkan ke medium teater pada Februari 2006.

Tahun ini, berita baik sekali lagi dihebahkan apabila filem yang banyak meraih anugerah tempatan dan asing itu diformatkan ke bentuk drama sebanyak empat episod. Berdurasi selama sejam setiap satu episod, drama PGL ini mengisi slot Suatu Ketika di Astro Citra (saluran 131) mulai 2 Disember ini.

Menurut Tiara, istimewanya versi drama ini, penonton berpeluang untuk menyaksikan lima babak menarik yang sudah dipotong dan tidak dimuatkan ketika versi filem ditayangkan. Antara babak yang dimaksudkan termasuklah adegan tarian Kraton yang menyelit kesan khas dan unsur magis.


“Daripada membiarkan babak ini terbuang begitu saja, lalu peluang yang ditawarkan Astro Citra ini wajar diterima. Setidak-tidaknya penonton disajikan dengan sisi lain yang tidak ada dalam filem. Cara begini secara tidak langsung tidak akan ‘memupuskan’ karya PGL itu.

“Kewujudan versi drama ini juga mula menyingkap kembali kenangan dan momen indah serta nilai sentimental yang dikaut sewaktu penghasilan filem ini. Malah ia seiring dengan ulang tahun sambutan PGL yang kelima pada tahun ini.

“Filem ini terhasil dengan penuh kasih sayang dan dedikasi setiap orang penting yang terbabit daripada setiap sudut. Drama ini tiada beza seperti format filem yang dipecahkan menjadi empat episod. Selain empat episod, turut dimuatkan satu episod khas di sebalik pembikinan PGL,” kata Tiara yang ditemui di Borneo Rainforest Restaurant, Sunway Piramid minggu lalu.

Ditanya lagi kepada Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50, apa yang dapat ditawarkan pihaknya untuk memastikan PGL terus terpahat dalam ingatan, Tiara memintas sambil berseloroh mengatakan kepada Hip barangkali PGL boleh dipentaskan di atas ais pula.

“Ketika ini pun buku kanak-kanak PGL dijual dan diedarkan di kedai buku MPH. Malah paling membanggakan kami, ia turut digunakan di sekolah antarabangsa sebagai bahan sokongan dan teks rujukan terutama yang membabitkan sejarah kota Melaka.

“Saya dan Datuk Zahim Al Bakri turut diundang untuk melakonkan karakter PGL di sekolah terbabit. Ia sekali gus menjadi landasan terbaik buat kami untuk terus mempromosikan PGL selagi termampu dan terus bernyawa. Siapa tahu mungkin suatu hari nanti, PGL akan tampil dalam versi animasi atau tiga dimensi pula,” katanya teruja sambil memberitahu tidak sabar menunggu babak membabitkan Hang Tuah lakonan M Nasir dan Hang Tuah (Shaharuddin Thamby) serta adegan tarian Kraton.

Tiara turut menjelaskan dengan semangat Malaysia Boleh yang kita miliki, tidak mustahil sesuatu perkara itu mampu dilakukan. PGL bukti betapa hebat karya tempatan hingga mampu menjadi filem pertama dari Malaysia yang disenarai pendek dalam pencalonan Anugerah Academy ke-77 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

“Dulu kita barangkali tidak bermimpi untuk merasai nikmat keseronokan dan keterujaan tercalon dalam anugerah berprestij seperti Anugerah Academy. Tapi kini ia setidak-tidaknya menjadi kenyataan yakni sebagai impak dan permulaan terbaik membuka pintu untuk menjejakkan kaki ke luar negara.

“Filem ini turut dijual dan ditayangkan di 13 buah negara luar seperti Eropah, China, Thailand dan Singapura. Cuma selepas ini orang luar sering tertanya-tanya apa lagi produk tempatan untuk dipersembahkan ke luar negara yang boleh terus dibanggakan kita selepas PGL,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis Sharkawi memberitahu perbincangan membabitkan pihaknya dan Enfiniti Productions diadakan tidak kurang dari sebulan. Ia akhirnya membuahkan kata sepakat untuk mempersembahkan PGL dalam versi drama.

“Bersesuaian dengan slot Suatu Ketika ini yang menampilkan cereka epik dan lagenda, lalu kami tidak mahu ketinggalan mengabadikan PGL sebagai buah tangan keenam mengisi slot ini. Selain drama, Astro Prima turut memaparkan dokumentari berkaitan PGL mulai 27 Disember.

“Astro Citra akan terus berusaha memaparkan drama sedemikian kepada penonton dalam usaha memberi variasi. Kejayaan drama Rosly Dhoby yang turut dimuat dalam slot yang sama sebagai Dokumentari Terbaik di Festival Dokumentari Malaysia baru-baru ini terus membakar semangat.

“Mungkin tahun depan, siapa tahu drama PGL pula akan tercalon dalam kategori tertentu. Ketika ini juga kami begitu teruja menanti keputusan drama Warkah Terakhir yang tercalon untuk kategori Siri Drama Terbaik di dalam Anugerah Televisyen Asia ke-14 pada 3 Disember ini. Drama Rosly Dhoby turut tercalon,” kata Sharlyza.

Turut hadir pada sidang media itu ialah pembantu pengarah PGL, Hairul Salleh Askor dan adik Mohd Naufal Nasrullah yang melakonkan watak Raja Ahmad, anak kepada Sultan Melaka.

Penangan ASK




Lisdawati, Fauzi Nawawi dan Fizz Fairuz bagaikan sudah bersedia untuk memeriahkan malam Arabian Nights, Jumaat ini

JUMAAT ini, bakal terjawab segala debaran Anugerah Skrin (ASK) 2009 yang sudah mula terasa bahangnya bagi setiap calon awal yang barangkali nama atau karya serta lakonan mereka sudah disenarai pendek untuk bersaing. Diperkenalkan sejak 1995, ASK terus dianggap antara pemangkin memartabatkan legasi karya tempatan.

Bersempena dengan kehadiran anugerah berprestij itu yang bakal dipancarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menerusi saluran rasminya, TV3, Hip satukan tiga nama besar yang barangkali mempunyai peluang cerah untuk berada dalam kelompok lima terbaik bagi kategori yang dipertandingkan.

Bersesuaian dengan tema, Hikayat Seribu Satu Malam atau Arabian Nights, mereka yang dimaksudkan, Fizz Fairuz, Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi ditampilkan menepati apa yang perlu digayakan pada malam kemuncak itu nanti. Sekali pandang, Fizz dan Fauzi seperti karakter filem Ali Baba Bujang Lapuk, Sinbad dan Aladdin.


Manakala Lisdawati yang masih dalam proses berpantang dan sudi memberikan kerjasama untuk melunaskan sesi fotografi ini cukup anggun seperti watak Marjina di dalam Ali Baba Bujang Lapuk atau Puteri Jasmine (Aladdin). Berbanding Lisdawati, Fizz dan Fairuz agak asing dalam sejarah penganjuran ASK kerana kedua-duanya belum pernah tercalon sebelum ini.

Bagi Lisdawati, namanya sudah beberapa kali terpahat dalam pencalonan ASK, malah namanya pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Miftahul Jamilah pada 2005. Paling jelas, tahun ini juga pasti menyaksikan dia dan suaminya sama-sama berentap jika menjadi finalis.



Potensi Lisdawati yang baru saja melahirkan anak keduanya, Nur Aina Fazneesya, 5 November lalu untuk tersenarai dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dilihat kuat apatah lagi drama lakonannya Terlerai Takbir Kasih arahan Mohd Heykal mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jika sebelum ini, nama saya tercalon untuk watak protagonis, tapi tahun ini drama Terlerai Takbir Kasih memerlukan saya menjadi sangat antagonis. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi, menang atau kalah itu satu bonus. Memadai kalau sudah tercalon di antara banyak drama dan deretan pelakon yang dipertandingkan,” katanya yang bersalin secara normal untuk anak keduanya itu.

Jelas kelihatan naluri keibuannya cukup terserlah. Malah kemesraan antara dia dan suaminya juga sudah cukup menjadi bukti betapa bahagianya pasangan ini. Biarpun mereka seperti pasangan lain yang tidak lepas diuji kononnya rumah tangga mereka bergoncang.

“Anak ini menjadi bukti menidakkan cakap-cakap orang selama ini. Masa juga berjalan dengan begitu pantas biarpun kami tidak merancang untuk memiliki anak dalam masa terdekat. Semuanya adalah rezeki Yang Maha Esa. Anak sulung kami kini sudah ada teman.

“Untuk anak kedua ini, baru saya mula terasa nikmat dan perit getir melahirkan anak kerana anak pertama dilahirkan secara pembedahan. Seperti biasa kini, saya masih melakukan proses meminum jamu, bertungku dan mengurut,” kata duta Slim World ini.

Rezeki murah sejak beranak

MANAKALA bagi Fauzi Nawawi pula, rezekinya dan isteri juga semakin murah selepas melahirkan anak. Sambil berseloroh dan mengerling ke arah Fizz, Fauzi menasihatkan kepada rakan artis lain untuk cepat kahwin kerana kehadiran anak akan terus menambah seri dan jaminan dalam kehidupan.

“Saya harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya termasuk kehadiran dua orang cahaya mata kami terus membuatkan saya lebih menghargai kehidupan mendatang. Alhamdulillah, ada saja tawaran berlakon yang datang.

“Ketika ini saya sedang melunaskan baki penggambaran drama Na O Mei bagi siaran TV3 dan sekuel drama Jangan Pandang Belakang untuk RTM. Insya-Allah, saya akan menjalani penggambaran filem Ratu dan Bravo 5 tak lama lagi. Untuk Ratu, inilah kali pertama saya bekerja dengan Prof A Razak Mohaideen.

“Untuk Bravo 5 pula, saya akan berlakon sama dengan Fizz dan penggambaran dijangka bermula pada Februari depan. Kali pertama saya berlakon dengan Fizz ialah menerusi filem Orang Minyak. Harapnya kerjaya saya pada 2010 akan terus murah rezeki,” kata Fauzi.

Mengenai drama Takbir Rindu yang turut tercalon dalam ASK 2009, Fauzi berkata drama yang disiarkan Aidilfitri lalu mempunyai mesej yang kuat terutamanya mengenai kasih bapa dan anak. Dalam drama itu, Fauzi bergandingan dengan Jasmin Hamid yang melakonkan watak sebagai suami yang mengalami tekanan jiwa.

ASK mencari yang terbaik

KEKASIH hati Almy Nadia, Fizz Fairuz pula dilihat antara generasi pelapis yang terus menyemarakkan persada seni. Malah drama Nur Kasih lakonannya sebagai Aidil turut membantu memuncakkan lagi popularitinya.

Kata Fizz yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Jangan Bunuh Matahariku bersama Rita Rudaini, dia sering hadir memberi sokongan kepada majlis anugerah seperti ASK dan bagaimanapun tidak yakin namanya akan tersangkut buat kali pertama untuk pencalonan tahun ini.

“Kalau tercalon, ia pastinya akan terus menjadi motivasi serta bonus buat saya mempamerkan yang terbaik pada masa mendatang. Saingan kali ini pun cukup hebat dan saya tidak meletakkan apa-apa kepercayaan untuk berada dalam kelompok lima terbaik.

“Usia pembabitan seni saya sejak lapan tahun lalu juga masih baru kalau mahu diukur dengan pelakon lain. Kewujudan anugerah seperti ASK ini sebenarnya menjadi nadi penggerak untuk kita sebagai anak seni memberikan serta mendapatkan gelaran yang terbaik dalam setiap produk yang dipertontonkan kepada penonton,” katanya yang turut akan bergandingan dengan Tiz Zaqyah sebagai penyampai trofi.

Untuk ASK 2009, drama Tak Serupa Tapi Sama arahan Murali Abdullah menyaksikan Fizz memegang watak lelaki alim yang terlalu taksub dengan ajaran Islam hingga terpesong dari landasan sebenar. Pada masa yang sama, keluarganya di kampung juga lebih fanatik daripadanya hingga dia mula tersepit dan tersedar dari lamunan.

“Saya tidak mampu menidakkan drama ini juga barangkali boleh memberi saingan sengit untuk berada dalam kelompok kategori Drama Terbaik atau pun Pengarah Terbaik. Kita tunggu saja keputusannya nanti,” kata Fizz yang turut memiliki restoran makanan laut, Kasih Tania Seafood di Ketari, Bentong.

Tambah Fizz lagi, besar kemungkinan dia dan Almy akan menggayakan rekaan Busana Anggun pada 4 Disember ini.

INFO: ASK 2009

  • Tahun ini turut diperkenalkan dua anugerah baru iaitu Videografi Terbaik

    dan anugerah khas juri yang dipanggil sebagai Anugerah Yasmin Ahmad tajaan khas Silky.

  • Antara artis yang dijangka membuat persembahan ialah Datuk Siti Nurhaliza, One Nation Emcees, Misha

    Omar, Jamal Abdillah, Awie, Tia Jinbara, Aizat, Azlan & The Typewriter, Jaclyn Victor dan Black Mentor.

  • 24 anugerah yang dipertandingkan termasuk kategori filem dan

    drama.

  • Dihoskan Afdlin Shauki dan Fara Fauzana

  • Boleh ditonton di TV3 mulai jam 9 malam atau didengari menerusi frekuensi stesen radio Hot FM
  • Riz Masih Pegang Tips Penting Daripada Anita Sarawak

    Riz cuba lupa masalah apabila di atas pentas.

    SETIAP kali menaiki pentas, penyanyi Riz sentiasa mengingatkan dirinya untuk mengikut tips penting yang diberikan oleh penyanyi veteran Anita Sarawak.

    Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ke-6 ini berkata tips itu dikongsi oleh Anita ketika dia berada dalam program realiti itu.

    “Ketika hendak melakukan persembahan di atas pentas, kita kena lupa apa-apa masalah yang berlaku dalam diri. Kita tidak boleh naik atas pentas dengan masalah.

    “Jadi, sebelum memanjat tangga untuk naik ke pentas, saya terus fikir untuk lupakan masalah. Kalau tidak kita akan rasa stres, jadi diri kita yang akan susah nanti.

    “Dari situ kita akan susah senyum dan selepas itu penonton akan ‘cop’ kita sombong sedangkan mereka tidak tahu yang kita sebenarnya mempunyai masalah lain.

    “Begitu juga kalau saya keluar dari rumah, saya akan cuba sembunyikan perasaan stres itu. Tapi kadangkala ada juga tidak boleh ‘cover’,” katanya yang ligat memenuhi undangan persembahan sekarang.

    Menurut pemilik nama Mohd Idris Mohd Zaizizi ini, selepas memenangi tempat kedua dalam AF6, dia diundang untuk menjayakan banyak persembahan termasuk makan malam melibatkan orang kenamaan dan kerabat diraja.

    Antara kerabat diraja itu adalah Yang di-Pertuan Agong, Kerabat Diraja Perak dan Kerabat Diraja Pahang.

    “Saya sudah beberapa kali diundang menjayakan persembahan di hadapan kerabat diraja. Misalnya, baru-baru ini di hadapan Kerabat Diraja Pahang buat pertama kalinya.

    “Sebelum itu, sudah tiga kali saya mengadakan persembahan di hadapan Kerabat Diraja Perak dan Agong.

    “Sebelum berhadapan dengan mereka, memang saya rasa takut tetapi selepas itu saya cuba kawal perasaan gugup itu perlahan-lahan agar suara saya tidak bergetar.

    “Alhamdulillah, saya rasa lebih bersemangat apabila mereka bertepuk tangan dan akhirnya persembahan itu berjaya.

    “Misalnya saya berasa sangat gembira dan lega apabila tengok Sultan Pahang menepuk tangan dengan bersungguh-sungguh selepas saya menyanyikan lagu ‘Kasih Berubah’ dan ‘Bermula Semula’ di majlis makan malam sempena Festival Fesyen Islam 2009 baru-baru ini,” kata penyanyi yang turut popular dengan lagu ‘Hanya Sandiwara’ ini.

    Selain itu, pemuda berasal dari Grik, Perak ini turut berasa bertuah apabila selalu mendapat undangan melakukan persembahan di majlis orang-orang berada.

    Malah dia tidak menafikan ada kalangan VIP berstatus Datuk dan Datin yang meminatinya.

    “Saya bersyukur sebab ada kalangan orang kaya yang mahu membeli album dan menjemput saya untuk membuat ‘show’ seperti di majlis hari jadi anak-anak mereka.

    “Dari situ, Datuk dan Datin ini akan kenalkan saya dengan kawan-kawan mereka sekaligus melebarkan rezeki saya.

    “Sekurang-kurangnya, hasil titik peluh saya ini boleh menampung perbelanjaan harian saya tetapi sampai bila saya nak bergantung dengan kerja ini...,” jelasnya yang sehingga kini juga mampu membayar ansuran kereta mahal setiap bulan dengan hasil pendapatan yang diperolehinya.

    Bukan itu sahaja, Riz juga bersyukur dengan rezeki yang ada kerana dia turut dapat mengagihkan wang itu untuk membayar duit sewa rumah dan membeli pakaian berjenama.

    “Alhamdulillah, saya harap rezeki berkekalan,” luahnya yang menantikan kemunculan albumnya, ‘Bermula Semula’ di pasaran mulai 3 Disember ini terbitan syarikatnya Riz Entertainment.

    Menurutnya, album itu sepatutnya keluar pada Disember tahun lalu namun proses penerbitannya terpaksa ditunda disebabkan masalah kewangan.

    Riz juga mempunyai dua buah restoran, ‘Restoran Riz’ yang diuruskan oleh keluarganya di Grik.

    Walaupun sudah mampu mengumpul aset dan mengabulkan impiannya bergelar seorang penyanyi, Riz berkata dia masih belum berpuas hati dengan kedudukan sekarang lantas terus memasang angan-angannya untuk bergelar penyanyi yang lebih dikenali pada masa akan datang.

    “Walaupun saya sudah dikenali, tetapi saya nak lebih dari itu. Mungkin setaraf dengan penyanyi Anuar Zain kerana bagi saya dia memegang gelaran penyanyi lelaki nombor satu di Malaysia,” ujarnya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

    Dafi: Ada Orang Cuba Eksploitasi Saya...

    Mengenali penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke-5 ini, dia lebih suka bersikap merendah diri walaupun merupakan anak seorang menteri.

    BUKAN mudah memegang gelaran anak Datuk berstatus menteri seperti penyanyi Dafi, anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

    Serba salah dibuatnya apabila ada pihak-pihak tertentu yang berdampingan dengannya semata-mata kerana mahu meminta ‘sesuatu’.

    Jika ada pihak yang hendak berjumpa dengan ayahnya, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi tidak menafikan ada yang gemar mengeksplotasi dirinya.

    Namun begitu, penyanyi lagu ‘Bila Terasa Rindu’ dan ‘Seumur Hidup’ ini tidak merasakan hal itu sebagai suatu masalah yang besar kepada dirinya.

    “Memang ada orang yang cuba eksploitasi saya tetapi bila fikir semula, saya rasa tak salah menolong mereka..tetapi saya tak suka campurkan masalah kerja dengan masalah keluarga.

    “Jadi, dari situ saya akan cuba beritahu mereka supaya berjumpa dengan orang-orang yang sepatutnya kerana saya boleh menolong setakat yang mampu,” kata Dafi.

    Mengenali penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke-5 ini, dia lebih suka bersikap merendah diri walaupun merupakan anak seorang menteri.

    Bagi Dafi, dia menganggap status anak menteri sebagai suatu kelebihan memandangkan sebelum ini dia terlebih dahulu merasa kehidupan anak kepada seorang yang bukan ‘siapa-siapa’.

    “Sekarang saya masih menjalankan kehidupan yang sama seperti dulu dan sebolehnya mahu mencapai apa yang diidamkan dengan usaha sendiri.

    “Bapa saya bukan terus bergelar seorang menteri semasa saya mula-mula bergelar artis dahulu.

    “Sejak dulu lagi bapa saya sudah mendidik kami agar berdikari. Tetapi kadangkala tidak dinafikan saya masih memerlukan sokongan keluarga kerana siapa lagi yang boleh membantu kalau bukan mereka,” beritahunya yang sudah tiga tahun bergelar artis.

    Menyebut tentang pencapaian yang berjaya diperolehinya setakat ini, terus-terang pemuda berusia 21 tahun ini berkata dia berada di tahap 0.5 peratus.

    “Masih banyak perkara yang saya perlu belajar kerana saya masih baru dalam industri. Saya akan puas bila orang kata ‘awak dah ‘improve’ banyak dari AF’.

    “Saya hargainya kerana ada juga yang bercakap seperti itu. Insya-Allah, selepas ini saya akan mengikuti kelas vokal dan menari kerana saya masih mencari tempat yang sesuai.

    “Selepas saya berjanji untuk menamatkan pengajian dalam ‘Diploma Sound and Music’ di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing pada beberapa minggu lalu, saya tidak mahu berjanji untuk menyambung pelajaran lagi selepas ini kerana semuanya bergantung kepada masa,” ujarnya yang sedang menunggu Hari Graduasinya pada Disember ini. Selain itu, anak kedua daripada empat beradik ini akan merakamkan single terbarunya yang berentak ‘up-tempo ballads’ ciptaan Edry Abdul Halim pada minggu ini.

    Pelakon filem ‘Sayang, You Can Dance’ ini juga berasa teruja untuk berlakon dalam sebuah drama muzikal terbitan KRU Studios di samping penyanyi dan pelakon Marsha, Adam AF2, Zain Ruffedge dan Wangi The Fabulous Cats mulai Disember ini.

    “Saya memegang watak seorang pekerja hotel dan cerita ini berlatarkan hotel. Agak sukar juga untuk mencari rujukan cerita muzikal yang berlatarkan tentang hotel tetapi buat masa ini saya telah mengambil filem ‘Greece’ dan ‘High School Musical’ sebagai contoh.

    “Saya mengidam untuk kelihatan seperti pelakon Zac Efron dalam ‘High School Musical’. Bagaimanapun, saya akan cuba menjadi diri-sendiri..,” beritahunya yang turut terlibat dengan beberapa buah iklan seperti produk minyak wangi Silky dan undangan ‘show’.

    Dafi juga menyanyikan lagu kempen Telekom Malaysia Berhad (TM), ‘Through My Window’ secara trio dengan Mila dan Akim serta kempen ‘Jom, Hijaukan Malaysia’ anjuran Disney bersama Marsha, Mila dan Nana AF1 dan menyumbangkan suara mereka untuk filem ‘High School Musical 3’ oleh penganjur yang sama.

    Mawi Maafkan Penghantar Surat Layang

    POPULARITI Mawi dikatakan semakin tenggelam mengikut arus masa. Ditambah pula berpusu-pusu orang yang mahu menjadi artis dengan mencuba nasib mereka seperti menghadiri ujibakat dan memasuki program realiti.

    Penyanyi, pelakon dan produser ini tidak menafikan tentang ‘zaman kejatuhan’nya namun dia sudah bersedia mungkin dengan menumpukan kepada kerja belakang tabir yang diuruskan oleh produksinya.

    Ditanya kepada Mawi adakah ‘harga’ yang ditetapkan olehnya masih sama seperti zaman kemasyurannya sebelum ini, Mawi menjawab:

    “Saya tak pernah letak ‘harga’ tetapi pihak pengurusan saya, Maestro yang menentukannya. Saya tak ambil tahu tentang bayaran yang diterima.

    “Yang saya tahu, saya dapat jadual ‘show’ dan kalau ada, saya pergi. Sekarang saya masih lagi mengikat kontrak dengan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) selama dua tahun lagi bermula bulan Ogos lalu,” jelasnya.

    Maafkan penghantar surat layang

    Sepanjang bergelar artis selepas menjuarai program realiti AF3, Mawi berkata dia telah banyak kali menerima surat layang berbaur maki hamun.

    “Macam-macam surat yang terima. Ada yang hantar di Maestro dan tidak kurang juga yang hantar di kampung. Orang dengki saya dari dulu sampai sekarang dan menganggap orang seperti ini saiko,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kian’, ‘Aduh Saliha’, dan ‘Angan Dan Sedar’ ini.

    Biar banyak mana dimakipun, Mawi tetap tidak mahu mengambil apa-apa tindakan terhadap pendengki itu.

    “Saya rasa tak perlu (ambil tindakan) sebab perkara kecil sahaja. Tetapi saya nak nasihatkan kepada mereka yang berkenaan supaya carilah kerja yang berfaedah...jangan risau..saya maafkan,” katanya yang akan mengambil langkah berhati-hati lagi selepas ini.

    Jamal Abdillah Ingin Terus Perbaiki Diri

    KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah, 50, yang telah tinggal bersama Persatuan Pengasih Malaysia sejak empat tahun lepas bagi membebaskan dirinya daripada belenggu dadah, kini semakin tabah dan tenang dalam menghadapi kehidupan harian.

    Jamal yang ditemui di majlis Aidiladha Pengasih di sini semalam berkata beliau mempunyai keazaman yang tinggi agar dapat memperbaiki diri daripada mengulangi perkara tidak baik.

    "Di sebalik falsafah Hari Raya Korban, saya perlu berkorban untuk diri saya agar tidak menjerumuskan diri kepada perkara yang tak baik, berubah dan lupakan minat kita kepada perkara yang tidak elok," katanya kepada Bernama selepas mengagihkan daging korban pada majlis itu.

    Jamal (kiri) mendermakan seekor lembu untuk dikorbankan oleh penghuni Rumah Pengasih semasa Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

    Lima ekor lembu termasuk seekor daripada Jamal dan tiga ekor kambing biri-biri dikorbankan oleh penghuni rumah Pengasih pada majlis itu.

    Sejak tinggal di rumah Pengasih, Jamal telah mula berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan iaitu ternakan ikan hiasan di Bukit Merah, Perak dalam menambah pendapatannya.

    Raja Pop itu berkata inisiatif dan keazaman tinggi beliau untuk benar-benar bebas daripada pengaruh dadah itu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada untuk mendapat keyakinan diri dan yang lebih penting untuk meningkatkan keyakinan peminat terhadapnya.

    Jamal, atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, malah amat bersyukur kerana masih diberi ruang dan peluang untuk terus berada di persada hiburan walaupun diselubungi pelbagai cerita negatif.

    Mengikut tempoh wajib tinggal di rumah persatuan itu selama dua tahun, Jamal telah melepasinya namun beliau memilih untuk terus bersama Pengasih bagi mendapatkan ketenangan dan panduan agar tidak mudah hanyut apatah lagi kini beliau berhadapan dengan kes mahkamah.

    Perbicaraan kes beliau yang didakwa atas tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dua tahun lalu akan didengar di Mahkamah Majistret di sini pada 8 Disember ini.

    Sementara itu, Presiden Pengasih Mohd Yunus Pathi berkata majlis korban yang diadakan hari ini adalah satu pendekatan yang baik bagi menunjukkan kepada penghuni rumah Pengasih bahawa ibubapa mereka sanggup bekorban apa sahaja demi anakanak mereka.

    Seramai 40 orang anak yatim dari Sekolah Asrama Baitus Sharifah Al-Jamalulail, Bandar Century Homes Rawang dijemput bagi meraikan majlis itu.

    Megan Fox Hadiahkan Mustang Fastback Kepada Kekasih

    BINTANG 'Beverly Hills 90210', Brian Austin Green sungguh beruntung apabila kekasihnya, aktres paling seksi Megan Fox telah membelikannya sebuah kereta mahal.

    Menurut Megan ketika ditemubual oleh Jay Leno dalam sebuah program, dia membelikan kereta Mustang Fastback untuk Brian sebagai hadiah melalui laman web jual beli eBay.

    "Saya mendapatkan kereta itu dalam keadaan yang baik dan semestinya dengan harga yang bagus juga," jelasnya.

    Megan telah menjalinkan hubungan cinta secara putus-sambung dengan Brian selama lima tahun. Kereta Mustang itu juga seperti hadiah untuk Megan mengambil hati Brian setelah cinta mereka baru bersemi semula beberapa bulan lalu.

    Jolie Dan Depp Lakon Adegan Panas Dalam Kamar Mandi

    DUA pelakon tersohor Hollywood, Angelina Jolie dan Johnny Depp bersedia melakukan adegan panas dalam filem terbaru mereka. Jolie dan Depp akan menunjukkan 'kemesraan' mereka di dalam kamar mandi.

    Angelina Jolie.
    Johnny Depp.

    Jolie dan Depp akan bergandingan dalam filem 'The Tourist'. Dalam filem yang skripnya ditulis oleh Julian Fellowes itu, kekasih Brad Pitt itu berlakon berperan sebagai Cara Mason. Cara adalah seorang agen Interpol.

    Sementara Depp, berlakon sebagai Frank Taylor. Frank merupakan seorang pelancong Amerika yang dipergunakan oleh Cara untuk mendapatkan kemahuannya.

    Difahamkan dalam skrip itu, Jolie akan berbogel di kamar mandi. "Selepas Frank membuka pintu, dia terus masuk dan merangkul tubuh Cara, lalu menciumnya," begitulah isi skrip tersebut, seperti dalam majalah 'Life & Style'.

    Filem yang dibintangi Jolie dan Depp itu akan menjalani penggambaran mulai 2010 nanti manakala adegan panas itu akan dilakonkan pada Februari 2010.

    Ini bukan pertama kali Jolie melakonkan aksi panas bersama pelakon lelaki. Sebelum ini, dia pernah melakonkan adegan 'mesra' dengan Brad Pitt dalam filem 'Mr & Mrs Smith.' Gara-gara adegan di filem itulah Jolie akhirnya berjaya membuat Brad Pitt bercerai dengan aktres Jennifer Aniston.

    Sampel DNA Michael Jackson Dibuat Minyak Wangi

    PENYANYI Michael Jackson (MJ) yang telah meninggal dunia dianggap boleh 'dihidupkan' lagi dengan berbagai cara. Salah satunya menerusi minyak wangi.

    Ya, MJ 'hidup' lagi menerusi sebotol minyak wangi yang kini sedang laris dijual. Syarikat My DNA Fragrance yang menghasilkan minyak wangi tersebut.

    Syarikat itu mengesahkan minyak wangi yang dijual mengandungi bahan-bahan dari sampel DNA asli milik penyanyi lagu 'Heal the World' itu. DNA diambil dari rambut MJ.

    My DNA Fragrance mendapatkan rambut MJ daripada seorang lelaki bernama John Reznikoff. John merupakan salah seorang pengumpul rambut-rambut tokoh paling bersejarah di dunia. Antara yang dimiliki John adalah rambut MJ.

    "My DNA Fragrance telah meneliti koleksi Reznikoff, dan kini kami mengembangkannya menjadi minyak wangi-minyak wangi eksklusif daripada para selebriti itu," beritahu My DNA Fragrance dalam kenyataan medianya.

    Selain MJ, syarikat tersebut juga menjual minyak wangi yang dibuat daripada rambut Elvis Presley, Marilyn Monroe dan Napoleon Bonaparte.

    "Penjualan terlaris kami adalah milik Elvis. Penjualan minyak wangi MJ pun cukup baik. Minyak wangi ini mengeluarkan bau yang sangat kuat namun tidak mengandungi alkohol," ujar pengurus syarikat itu, Carlton Enoch.

    Cinta Laura Tiru Lady Gaga

    Cinta Laura.

    POPULARITI Lady Gaga telah menarik perhatian pelakon yang kini menceburi bidang nyanyian, Cinta Laura untuk meniru gaya penyanyi yang berasal dari Amerika Syarikat itu dalam album terbarunya.

    Cinta meniru Lady Gaga menerusi single terbarunya, 'Wang atau Cinta'. "Genre lagu itu 'electro pop' seperti Lady Gaga," jelas gadis berusia 16 tahun itu.

    Rupa-rupanya bukan Lady Gaga sahaja yang ditiru oleh Cinta dalam album terbarunya malah penyanyi yang berdarah kacukan Jerman itu turut menggunakan konsep Black Eyed Peas ketika mengadakan persembahan di 'The Oprah Winfrey Show' untuk menerbitkan albumnya pada 23 Januari depan.

    "Konsepnya sangat 'bombastic' kerana akan ada 3,000 penari," tuturnya.

    Cinta sangat optimis agar album terbarunya diterima ramai. Walaupun album itu belum diterbitkan, single 'Wang atau Cinta' dari album itu sudah dipilih menjadi lagu runut bunyi sebuah permainan di internet.

    "Lagu ini dipakai untuk permainan tarian online yang mempunyai dua juta ahli," ujar Cinta yang tidak suka menyanyikan lagu yang sedih atau mendayu-dayu.

    Rihanna Malu Gambar Bogelnya Tersebar Di Internet

    SETELAH gambar bogelnya tersebar di internet suatu ketika dahulu, penyanyi Rihanna yang baru terbuka membicarakan soal gambar itu mengaku dirinya berasa sangat malu.

    "Saya berasa seluruh kehidupan peribadi saya sudah tersebar ditambah pula dengan penyebaran gambar itu. Saya juga merasa seperti sudah tiada rahsia lagi tentang diri ini," luahnya.

    Jiwa Rihanna semakin kacau-bilau kerana gambar bogelnya disebar di internet selang dua hari sebelum ulang tahun kelahiran ibunya. Dia sangat bimbangkan reaksi daripada ibunya setelah melihat gambar-gambar itu.

    Namun begitu, ibu Rihanna berfikiran positif. "Ketika seluruh dunia menentang saya, ibu tidak jemu-jemu memberikan sokongan," katanya.

    Tersebarnya gambar-gambar bogelnya memang memberikan kesan negatif kepada penyanyi lagu "Umbrella' itu. Namun di sebalik kontroversi itu, ada satu pengajaran yang dipelajari oleh Rihanna.

    "Kalau kamu tidak mengirim gambar bogel kekasihmu, saya rasa itu teruk sekali," guraunya.

    Cindy Crawford Awet Muda Kerana Suntikan Botoks

    APA rahsia supermodel Cindy Crawford kelihatan muda di usianya mencecah 43 tahun?

    Cindy yang selama ini menafikan akhirnya mengaku dia awet muda kesan suntikan botoks.

    "Saya biasa mendapatkan khidmat botoks menerusi seorang doktor di London. Saya melakukan seluruh rawatan kulit dengannya," ujar ibu beranak dua itu.

    Cindy akui dia banyak bergantung dengan botoks selama beberapa tahun ini. Namun dia menafikan dakwaan yang mengatakan dia merupakan pengguna botoks selama 10 tahun.

    "Saya juga tidak melakukan suntikan kolagen," tegasnya lagi.

    Isteri usahawan Rande Gerber itu juga menjelaskan sebab dirinya menggunakan botoks.

    "Orang ramai terlalu berharap lebih dengan penampilan saya. Hal itu membuatkan saya stres dan berusaha untuk mengurangkan penuaan ini," tuturnya.

    Bekas Isteri Bawa Kes Pasha Berkeliaran Ke Mahkamah

    OKIE Agustina benar-benar tidak berpuas hati apabila bekas suaminya, Pasha yang berstatus sebagai tahanan bebas berkeliaran.

    Lantas Okie merancang untuk membawa kes itu ke mahkamah mempersoalkan sebab vokalis Ungu itu begitu 'istimewa'.

    "Saya merancang untuk mengesahkan dengan mahkamah dalam esok atau lusa," ujar peguam Okie, Januar A. Saputra.

    Okie akan bertanya kepada mahkamah sebab Pasha yang berstatus tahanan boleh keluar sesuka hati dari kota Bogor.

    Difahamkan, beberapa jam selepas dia ditahan pada 25 November lalu, ayah kepada tiga anak itu dilihat berada di Senayan, Jakarta.

    "Okie berasa sangat kecewa kerana dia tidak faham kenapa boleh jadi begitu dan apa dasarnya," jelas Januar.

    Tambahnya, Okie juga akan bertanya tentang pengecualian yang diberikan kepada Pasha. Dia hairan kenapa Pasha boleh mendapatkan pengecualian dengan begitu cepat.

    "Bukan ambil kesempatan"



    Mukanya sekali pandang seiras dengan penyanyi popular tanah air, Mawi. Kedua-duanya lahir daripada program realiti terbitan Astro. Mawi merupakan juara Akademi Fantasia musim ketiga manakala Along adalah naib juara program realiti lawak pertama di Malaysia, Raja Lawak musim kedua.

    Ketika mula tampil dalam program tersebut, Along disatukan dengan Azrol dalam satu kumpulan yang dinamakan Charm. Namun kini Along lebih selesa bergerak solo.

    Kebelakangan ini, Along sering kelihatan di samping penyanyi Raja SMS itu. Bahkan, di hari perkahwinan Mawi yang diadakan secara besar-besaran dan meriah, Along dan tunangnya, Ziela Seron adalah pengapitnya.

    Atas faktor itu, ada khabar angin mengatakan Along mahupun Ziela dikatakan cuba menumpang populariti penyanyi Aduh Saliha tersebut.

    Ketika bertemu dengan Along dan Ziela di majlis perasmian Mawi World Entertainment (MWE) baru-baru ini, Along cuba menjelaskan keadaan sebenar.

    “Saya mengenali Mawi sebelum masing-masing terlibat dalam bidang seni. Perkenalan kami bermula ketika kami bertugas sebagai DJ di pusat membeli-belah di Johor. Kami memang rapat sejak dulu lagi,” jelasnya menjawab gosip liar tersebut.

    Menurut Ziela pula, beliau sudah rapat dengan Ekin sebelum Ekin menjalinkan hubungan dengan Mawi.

    “Ianya hanya kebetulan memandangkan Along juga rapat dengan Mawi. Dalam masa yang sama, saya dan Along mula berkawan rapat. Semuanya hanya kebetulan. Jodoh dan pertemuan itu bukan kami yang rancang.

    “Gosip mengatakan saya dan Along rapat dengan Mawi dan Ekin semata-mata ingin menumpang populariti mereka adalah tidak betul,” jawab Ziela menafikan segala khabar angin tersebut.

    Tersingkir awal bukan penghalang

    Walaupun tersingkir awal daripada program realiti terbitan Suhan Movies, Pilih Kasih (PK) yang disiarkan di TV2 awal tahun lalu, ianya bukanlah penghalang kepada Ana Dahlia, 26 untuk terus melangkah dalam industri seni tempatan.

    Ana atau nama sebenarnya, Diyana Mastura disingkirkan dalam persaingan untuk merebut gelaran juara sulung Pilih Kasih seawal minggu ketiga. Walau pun agak kecewa disingkirkan awal, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendapatkan tempat di persada seni lakonan tempatan.

    “Saya akui agak kecewa dahulu apabila tersingkir awal daripada program PK, tetapi saya percaya, setiap orang mempunyai rezeki masing-masing. Alhamdulillah, rezeki saya selepas keluar daripada rancangan itu semakin melimpah ruah,” jelas bekas pramugari Air Asia itu.

    Gadis kelahiran Selangor itu turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penerbit PK, aktor kacak Malaysia, Rosyam Nor kerana membuka peluang kepadanya untuk bergelar anak seni.

    “Abang Rosyam banyak membantu saya dan memberi tips kepada saya untuk menjalani hidup sebagai seorang anak seni. Segala pengalaman Abang Rosyam yang dia lalui saya ambil iktibar dan panduan untuk terus bergiat aktif dalam bidang ini,” katanya lagi.

    Ketika umat Islam menyambut perayaan Aidilfitri yang lalu, drama lakonan Ana, Salam Terakhir arahan Bade Hj Azmi ditayangkan di TV3. Dan baru-baru ini, telemovie tersebut diulang tayang sempena sambutan Aidiladha. Drama lakonannya di samping aktor terkenal tersebut sedikit sebanyak memperkenalkan diri Ana Dahlia kepada umum apabila wataknya sebagai tunang Rosyam, Zairin menerusi telemovie sedih itu berjaya memikat hati penonton.

    Walaupun sedikit kaku, Ana masih lagi mampu untuk membuat penonton di rumah menitiskan air mata meratapi pemergian tunangnya itu yang meninggal akibat penyakit barah.

    “Abang Bade sebelum ini pernah menyaksikan lakonan saya ketika menyertai PK. Dari situ, saya mengenali Abang Bade. Setelah tersingkir, Abang Bade memberi peluang kepada saya untuk menonjolkan bakat saya pada peringkat yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

    “Saya agak gembira dan gementar kerana ia adalah drama pertama saya selepas menyertai PK. Pelbagai perkara bermain di fikiran tentang respons penonton yang menonton telemovie itu. Apa pun, saya buat yang terbaik untuk diri saya dan tanda terima kasih kepada Abang Bade,” tambahnya lagi.

    Walau pun berusia setahun jagung dalam dunia lakonan, potensi Ana sebagai pelakon mendapat perhatian pengarah dan penerbit drama dan filem tempatan. Antara drama yang pernah dibintangi Ana ialah Orang Luar, Kenderaan Ke Syurga, Hadi, Hatilia dan banyak lagi. Terbaru, Ana bakal muncul di layar perak untuk pertama kalinya menerusi filem terbitan MIG, Mantra.

    Penduduk bengang 10 hari tak ada air


    RAMLI (kiri sekali) bersama penduduk melahirkan rasa tidak puas hati setelah bekalan air ke rumah mereka terputus di Taman Sri Marina, Kuala Kedah.


    KUALA KEDAH - Kira-kira 1,000 penduduk Taman Sri Marina Fasa Satu dan Dua di sini, berang apabila bekalan air bersih di kediaman mereka terputus sejak 10 hari lalu.

    Apa yang mengecewakan, tiada sebarang notis peringatan diberi kepada mereka oleh Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK) sehingga pelbagai urusan seharian penduduk mengalami masalah.

    Malah lebih memeritkan, sambutan Aidiladha lalu amat suram kerana pelbagai persiapan tidak dapat dilakukan ekoran masalah itu.

    Seorang penduduk, Zahir Mat, 47, berkata, beliau sekeluarga terpaksa membeli makanan bungkus pada pagi Hari Raya Aidiladha kerana tidak dapat memasak.

    "Kalau ada notis, kami boleh sediakan tong besar tetapi sudah 10 hari kami menunggu, keadaan masih tidak berubah termasuk pada Hari Raya Aidiladha lalu dan sehingga ke hari ini," katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

    Zahir menambah, meskipun JBA menghantar air menggunakan lori kepada penduduk, namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka.

    "Lebih teruk, bekalan itu dihantar pada waktu yang tidak sesuai iaitu pukul 1 pagi.

    "Bukan penduduk tidak berterima kasih kerana hantar air tetapi ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan seharian kami," katanya.

    Inul akhirnya goyang gerudi di KL


    INUL DARATISTA


    KUALA LUMPUR - Penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista membuktikan bahawa Malaysia masih di hatinya dengan mengadakan persembahan bertenaga di KL Live, Life Centre, Jalan Sultan Ismail, semalam.

    Walaupun sebelum ini konsert Inul yang sepatutnya diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Johor Bahru, pada Julai tahun lalu dibatalkan namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk datang ke negara ini.

    Malah persembahan Inul di KL Live itu berjaya memukau hampir 5,000 penonton yang hadir.

    Pada persembahan tertutup percuma yang dikhususkan kepada tenaga kerja Indonesia itu, Inul yang terkenal dengan aksi goyang gerudi 360 darjah kelihatan bersemangat dan gembira kerana akhirnya berpeluang untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.

    "Apa khabar anda semua di Malaysia? Saya sangat gembira untuk beraksi di sini untuk anda semua," kata Inul.

    Berpakaian kuning keemasan, Inul kelihatan sopan tetapi bijak membawa penonton menari dan gelek bersamanya pada persembahan selama 40 minit anjuran Mandiri Remittance (Perkhidmatan Kiriman Wang Ke Indonesia).

    Inul menyampaikan tujuh buah lagu popularnya termasuk Goyang Inul dan keadaan di dalam Life Centre terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

    Namun, keadaan sedikit kelam-kabut sebelum persembahan yang turut disertai oleh kumpulan Dewa 19 bermula sekitar pukul 3 petang apabila penonton bersesak-sesak memasuki ruang dewan persembahan.

    MDV sasar biayai 60 syarikat


    MD. ZUBIR


    KUALA LUMPUR - Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menyasarkan sebanyak 60 sehingga 70 syarikat baru yang menceburi sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi serta teknologi baru memohon dana yang diperuntukkan setiap tahun.

    Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md. Zubir Ansori Yahaya, ini dapat dilihat daripada permohonan yang diterima bagi tempoh sepanjang bulan April sehingga 30 September tahun ini sebanyak 43 permohonan telah diluluskan dengan melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM433 juta.

    "Sejak ditubuhkan pada tahun 2002 sehingga bulan Jun 2009, MDV telah mengagihkan lebih daripada RM3.43 bilion kepada 378 syarikat tempatan,'' katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

    Mengakui kini lebih banyak pihak mengenali MDV, beliau berkata, pihaknya akan terus terlibat dalam pelbagai seminar dan simposium untuk mempromosikannya pada masa depan.

    "Kami menyediakan pelbagai penyelesaian pembiayaan yang inovatif, memberikan khidmat nasihat untuk membantu perkembangan suatu perniagaan dan menyokong inisiatif kerajaan," jelasnya.

    Baja Balqis Agrotek sesuai untuk semua tanaman


    MD. ARIF menunjukkan baja organik untuk tanaman kelapa sawit yang dihasilkan oleh syarikatnya, Balqis Agrotek di Batu Pahat, Johor.


    JOHOR BAHRU - Selepas berjaya membangunkan usahawan dalam bidang ternakan cacing di negeri ini, Balqis Aqrotek telah melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan produk baja organik untuk tanaman kelapa sawit.

    Pengurus Pemasarannya, Md. Arif Shah Yahya berkata, baja yang dihasilkan dengan kerjasama sebuah syarikat dari Batu Pahat itu kini mencapai kapasiti pengeluaran di antara 500 hingga 1,000 tan baja organik setiap bulan.

    "Pada masa ini, pasaran hanya terhad di Batu Pahat dan Muar tetapi permintaan terhadap baja organik tersebut amat menggalakkan kerana ia dijual pada kadar harga yang rendah berbanding baja kimia di pasaran.

    "Kami menjualnya pada harga sekitar RM1,000 bagi satu tan, manakala bagi mereka yang membelinya dalam kuantiti kecil pula maka harganya ialah RM30 bagi setiap pek yang seberat 25 kilogram," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

    Menurut Md. Arif, baja tersebut menggunakan kaedah bioteknologi Efektif Organisme (EM) serta campuran lain seperti najis ayam, puyuh, kambing, lembu, dedak dan serkam bakar.

    Rezeki muzik kekampungan




    KALAU diikutkan, banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh kumpulan Wali sejak berpijak di lantai muzik Indonesia kira-kira sedekad lalu. Ada sahaja perubahan yang dilakukan kepada grup dari Jakarta itu dengan alasan mahu meningkatkan popularitinya ke tahap lebih tinggi.

    Wali yang menggunakan nama Fiera pada awal kemunculan terpaksa akur dengan kehendak syarikat rakaman, Nagaswara Publisherindo untuk menukar nama band mereka. Sewaktu bersama Fiera, mereka sempat menghasilkan album sulung yang berjudul Orang Bilang.

    Namun bermula pada tahun 2006, Fiera yang didukung oleh lima anak muda itu bertukar menjadi Wali. Tidak sesekali membantah, mereka bagaimanapun sekadar mengikut setiap keputusan yang dirasakan terbaik demi perjalanan dan hala tuju positif Wali.

    Begitupun, belum sempat menyelami nuansa pop rock kreatif, Wali harus melakukan perubahan sekali lagi. Kali ini bukan calang-calang kerana mereka harus mengucapkan selamat tinggal kepada jenis lagu yang diminati selama ini. Satu lagi pengorbanan yang harus dijalani Wali!

    Menurut salah seorang anggota kumpulan itu merangkap pemain dram iaitu Tomi, syarikat rakaman mahukan Wali menukar genre lagu asal kepada pop kreatif tempatan untuk album kedua.

    "Pada mulanya kami cukup terkejut dengan cadangan ini ditambah Wali begitu sinonim membawakan muzik pop rock seperti yang dilagukan oleh Padi dan Gigi.

    "Secara tiba-tiba kami diberikan idea untuk menyanyikan karya dalam stail dan corak yang tidak bersesuaian langsung dengan jiwa masing-masing.

    "Memanglah tuntutan hati kami tidak seperti itu apatah lagi menyanyikan lagu-lagu yang beriramakan kekampungan dan ada waktunya kedengaran lucu. Kami seboleh-bolehnya mahu tampilkan bakat dan kemahiran dengan jalur muzik sedia ada.

    "Setelah berfikir panjang sambil mengadakan perbincangan dengan ahli Wali dan syarikat rakaman maka kami rasa tiada salahnya kalau mencuba sesuatu yang baru demi menampilkan kelainan," jelasnya semasa ditemui pada sidang media pelancaran album kedua Wali, Cari Jodoh di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Sambung Tomi lagi, Wali mengambil masa selama setahun untuk membiasakan diri dengan meluahkan warna muzik baru itu kepada para peminat.


    EMPAT anak muda yang mengangkat elemen muzik daerah Indonesia (dari kiri) Tomi, Faank, Apoy dan Ovie.


    "Ambil waktu jugalah untuk perpindahan daripada pop rock kreatif kepada pop kreatif tempatan. Lama-kelamaan kami semakin serasi dengan jalur muzik baru ini apatah lagi setelah melihat penerimaan masyarakat terhadap kumpulan popular Indonesia, Kangen.

    "Pada pendapat kami, tidak ada dosanya kalau Wali berkorban demi menghadiahkan peminat dengan karya yang unik dan berlainan daripada biasa. Dalam waktu sama, kami perhatikan pop rock kreatif ada kelemahan tersendiri.

    "Masakan tidak, jalur muzik lama kami kedengarannya cukup egois dan hanya menumpukan pada satu-satu skil. Berlainan pula dengan pop kreatif tempatan yang menampilkan elemen-elemen tradisional negara kelahiran kami seperti Padang dan Jawa Barat.

    "Justeru, bagi Wali perpindahan genre muzik asal kepada yang baru mempersembahkan impak yang lebih berkesan di hati masyarakat. Bahkan, peminat terhibur dengan lagu-lagu yang kami dendangkan kerana ia punya keistimewaan tersendiri.

    "Daripada perasaan yang tidak senang dan ragu-ragu, kini kami seronok membawakan lagu seperti Cari Jodoh. Paling membanggakan apabila lagu ciptaan Apoy ini lekas saja mendapat tempat di hati khalayak.

    "Kami sungguh berbangga apabila lagu Cari Jodoh sering meniti di bibir orang ramai dan dimainkan di corong-corong radio. Iyalah, daripada Wali yang pada mulanya digemari oleh masyarakat golongan kampung, sekarang orang di bandar juga menerima kami dengan hati terbuka.

    "Terus-terang, sebelum ini kami tidak pernah menyasarkan peminat Wali. Cuma kedengaran banyak persepsi umum bahawa kumpulan ini lebih diminati oleh pendengar di kawasan pinggir kota.

    "Biarpun begitu, kami berjaya mengubah pandangan mereka apabila Wali berhasil menarik perhatian orang di bandar dengan lagu Cari Jodoh yang barangkali dianggap bersesuaian dengan kehidupan orang kota kerana mereka lambat bertemu jodoh.

    "Itulah yang membuatkan kami teruja dengan penerimaan dan sokongan mereka. Walaupun terpaksa berkorban dengan minat sendiri, hakikatnya ia menonjolkan hikmah pada kemudian hari kepada Wali," jelas Tomi tersenyum manis sambil menampakkan barisan gigi yang masih rapi dipeluk pendakap gigi.

    Bersedia dengan perubahan baru

    Itu keterujaan mereka selepas album kedua yang mengandungi lagu-lagu seperti Baik-Baik Sayang, Kekasih Halal, Puaskah, Jodi, Yank, Adinda, Suka Atau Tidak, Jangan Tuduh Aku dan lain-lain itu mendapat kedudukan di hati pengikutnya.

    Ditanya andainya Wali harus bertukar genre muzik lain memandangkan syarikat rakaman sentiasa muncul dengan bermacam-macam ilham baru demi menampakkan kesegaran terhadap produk artis mereka, tanpa berselindung, Tomi mengaku Wali mengamalkan dasar fleksibel.


    WALI membuat persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini semasa majlis pelancaran album Cari Jodoh mereka.


    "Kalau ia mampu meningkatkan nama Wali pada papan lebih atas, ia pasti tidak menjadi masalah besar kepada kami.

    "Kalau tiba-tiba pada tahun 2011 kami kena menyanyikan lagu dengan irama muzik lain maka kami sekadar menerima hakikat ini dengan perasaan lapang dada.

    "Apa jua yang dimahukan oleh Nagaswara seboleh-bolehnya kami akan cuba ikuti selepas ini. Biarlah orang lain mengatakan kami tidak punya pendirian sendiri dalam berkarya.

    "Sebenarnya kami tidak mahu bersikap ego dan mementingkan diri. Sedangkan syarikat rakaman lebih tahu apa yang terkini dan mudah diterima di pasaran seni. Maka apa yang dirasakan baik oleh Nagaswara, ia juga bagus kepada Wali.

    "Sekurang-kurangnya kami tidak berkubur begitu saja dan berada dalam bidang nyanyian dalam waktu singkat. Bahkan, peminat dapat melihat perubahan Wali dari semasa ke semasa lantas membuat penilaian bahawa kami versatil dalam menzahirkan muzik," jelasnya yang mengagumi pemuzik lain seperti D'Masive dan Nidji.

    Setelah diamati, keseluruhan lagu dalam album Cari Jodoh itu merupakan nukilan salah seorang pendukungnya, Apoy yang juga berperanan sebagai pemain gitar akustik dan elektrik.


    WALI membuat persembahan pada program stesen radio Suria FM baru-baru ini.


    Rupa-rupanya, ilham Apoy dihadirkan menerusi sentuhan hati dan kejujuran bagi menghasilkan bunyi-bunyian yang harmonis dan kedengaran energetik.

    "Membikin lagu sebenarnya hanya melalui hati yang ikhlas. Kebetulan saya punya kaitan erat dengan lagu-lagu yang dihasilkan sehingga tanpa disedari saya berjaya menyuntik emosi di dalam setiap karya.

    "Kebetulan ramai teman yang bercerita tentang pengalaman masing-masing. Jadi saya menyelitkan momen-momen mereka ke dalam karya sekali gus saya percaya ia mampu memikat jiwa penikmat muzik di luar sana," jelasnya ringkas.

    Wali tidak timbulkan kontroversi

    Tidak dinafikan, perkataan Wali selalunya terarah kepada konteks alim ulama' atau perkahwinan. Bahkan, ia menjunjung pengertian yang agak berat.

    Lantaran itu, pemilihan nama Wali dilihat mampu mencetuskan tanggapan kurang senang di kalangan sesetengah pihak di luar sana. Barangkali ada suara-suara nakal yang mempertikaian kelayakan dan integriti kumpulan itu untuk menamakan diri mereka sebagai Wali.

    "Buat masa ini belum ada sebarang kontroversi tentang Wali yang dipilih sebagai nama kumpulan kami. Bahkan tidak kedengaran perasaan kurang puas hati daripada orang lain.

    "Lagipun kami bukan melabelkan nama grup ini sebagai wali songo ataupun berkaitan dengan wali nikah.

    "Wali bermaksud wakil dan ia menjadi falsafah dalam jiwa ahli-ahli kumpulan ini mewakilkan bakat yang dimiliki ke dalam karya muzik kami.


    PENGORBANAN Wali mengubah jalur muzik dan nama asal mereka Fiera, akhirnya membuahkan hasil apabila lagu mereka Cari Jodoh semakin menjadi siulan.


    Di Malaysia, album Wali yang dikeluarkan oleh Tropic Jaya Entertainment Sdn. Bhd. itu diedarkan sejak Oktober 2009.

    Setelah sebulan berada di pasaran, Cari Jodoh terjual sebanyak 10,000 unit. Tidak ketinggalan, album cakera padat video (VCD) Wali juga bakal dilancarkan pada awal Disember ini.

    Band indie di pentas DiGi


    PRANA pernah dicalonkan untuk kategori Artis Terbaik Bahasa Inggeris di Anugerah Industri Muzik tahun 2001.


    KUMPULAN muzik bebas tempatan semakin mendapat tempat di kalangan generasi muda Malaysia.

    Dikenali sebagai muzik indie, istilah itu merujuk kepada kebebasan bagi kumpulan muzik yang tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman besar.


    PUREVIBRACION


    Kumpulan itu sebaliknya menguruskan sendiri kerja-kerja rakaman dan penerbitan album mereka.

    Hanya berbekalkan dengan bajet yang rendah kumpulan tersebut bergantung kepada persembahan pentas untuk mempromosikan muzik mereka.

    Artis-artis indie itu juga banyak bergantung kepada platform digital seperti laman web, blog muzik dan rangkaian laman sosial untuk berkongsi dan memperkenalkan muzik mereka kepada rakan-rakan serta peminat muzik indie dengan harapan dapat membina rangkaian peminat yang kukuh untuk mencipta nama dalam industri muzik.


    ONE BUCK SHORT


    Salah satu platform baru yang boleh digunakan oleh kumpulan-kumpulan indie itu hari ini adalah portal DiGi Music. Melalui portal DiGi Music, peminat boleh memuat turun lagu-lagu penuh, nada dering, nada panggilan masuk serta hiasan latar belakang kumpulan indie itu pada kadar caj yang minimum.

    Apa yang membezakan portal DiGi Music itu dengan portal yang lain ialah perkhidmatan terkininya, DiGi Music Unlimited yang menawarkan muat turun tanpa had dengan caj hanya RM5 sebulan. Pengalaman muzik yang unik seperti persembahan secara langsung dan sesi bertemu dengan peminat turut ditawarkan eksklusif untuk pelanggan DiGi Music Unlimited.

    Pelanggan DiGi Music Unlimited yang meminati muzik kumpulan indie kini mempunyai peluang untuk menonton persembahan kumpulan indie utama secara percuma menerusi konsert Sounds Unite. Dengan kerjasama Laguna Music, Sounds Unite yang merupakan sebahagian daripada siri acara DiGi Music Live, ia memberi peluang untuk mengenengahkan bakat-bakat tempatan dalam dunia muzik indie.


    SEVENCOLLAR T-SHIRT akan beraksi di pentas konsert DiGi Music Live.


    Dalam memulakan konsert Sounds Unite, kumpulan indie terkemuka negara seperti One Buck Short, Bittersweet, Purevibracion, SevenCollar T-Shirt, They Will Kill Us All dan Prana akan mengadakan dua konsert eksklusif di Kota Kinabalu pada 5 Disember dan di Johor Bahru pada 13 Disember ini.

    Ketua Segmen DiGi, Koay Chee Keong menjelaskan: "Selain menawarkan muat turun digital lagu-lagu, nada dering dan nada panggilan masuk daripada DiGi Music, kami juga mahu mengenengahkan bakat mereka kepada peminat muzik yang lebih luas menerusi Sounds Unite. Ini merupakan salah satu cara DiGi dapat menyokong kumpulan indie tempatan."

    Sementara itu, Pengarah Urusan Laguna Muzik, Jeremy Little menambah: "Malaysia mempunyai ramai bakat tempatan dan ini merupakan cara terbaik untuk membantu mereka bergerak di dalam industri yang mencabar ini.

    "Terima kasih kepada DiGi kerana kami kini boleh meneruskan persembahan 'wira-wira yang tidak dikenang' ini dan dalam masa yang sama mengekalkan identiti mereka menerusi muzik," kata Jeremy.


    THEY WILL KILL US ALL


    Tetapi ia tidak hanya berakhir di situ. Kumpulan tempatan dari Sabah seperti 3rd Dice, WORM dan Donatello juga dijemput untuk membuat persembahan dalam usaha memperkenalkan kumpulan mereka kepada peminat muzik indie.

    Pas persembahan percuma kepada pelanggan DiGi Music Unlimited boleh dituntut di kedai-kedai DiGi tertentu di Kota Kinabalu dan Johor Bahru antara pukul 11 pagi hingga 9 malam bermula sejak 16 November lalu.

    Maklumat lanjut juga boleh didapati di laman web www.digimusic.com.my/live. Untuk menjadi pelanggan DiGi Music Unlimited, sila lawati DiGiMusic.com.my.

    Tidak! untuk soalan kahwin


    JUSTIN TIMBERLAKE


    TANYALAH kepada sesiapa sahaja pasti setiap orang punya impian dan angan-angan indah bersama pasangan masing-masing tentang gerbang perkahwinan mereka. Tetapi tidak bagi penyanyi pop, Justin Timberlake kerana dia seboleh-bolehnya enggan membicarakan apa-apa pun berkaitan dengan perkahwinan.

    Bekas kekasih Britney Spears itu juga telah melarang kekasihnya, Jessica Biel untuk membicarakan tentang hal itu.

    Sepanjang dua tahun perhubungan dengan Jessica, mereka sering mengalami masalah dan pernah putus hubungan buat seketika. Malah, mereka dikhabarkan kembali baik dengan syarat, Jessica mesti berhenti daripada mendesak Justin melamarnya.

    "Buat masa ini Justin tidak berminat untuk berkahwin. Perhubungan mereka putus seketika juga disebabkan Jessica kerap bertanyakan bilakah mereka akan berkahwin," kata sumber kepada Contactmusic.

    Ramai yang beranggapan Justin cuba mengelak daripada perkahwinan mungkin disebabkan oleh kes kehancuran rumah tangga semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

    Tambahan pula, kedua ibu bapanya, Lynn Harless dan Randall Timberlake juga telah bercerai pada tahun 1985. Demi menjaga hati kekasihnya, Jessica berjanji untuk tidak mendesak Justin mengenai hal perkahwinan lagi.

    Bank pusat Emiriyah Arab Bersatu campur tangan


    GAMBAR Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dirakam di sebuah bangunan di Dubai.


    DUBAI - Bank pusat Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam mengatur satu kemudahan untuk memberi kecairan dalam sistem perbankan di Dubai setelah kerajaan meminta penangguhan pembayaran semula hutang.

    Permohonan Dubai World dan Nakheel yang bertanggungjawab dalam projek mega di Dubai pada Rabu lalu menyebabkan dunia kewangan panik.

    "Bank pusat mengeluarkan notis kepada sejumlah bank-bank di UAE dan cawangan bank asing mengenai kemudahan kecairan tambahan yang dihubung terus dengan akaun-akaun di bank pusat pada kadar 50 mata asas," demikian menurut satu kenyataan.

    Tidak ada kenyataan terperinci dikeluarkan tetapi bank pusat menyatakan ia menyokong semua bank di UAE termasuk cawangan asing sambil menyatakan kecairan sistem perbankan di UAE lebih baik berbanding setahun lalu.

    "Ia penting kerana kebimbangan utama ialah perasaan panik pendeposit di Dubai yang mahu mengeluarkan wang simpanan mereka," kata ekonomis Kumpulan Banque Saudi Fransi-Credit Agricole, John Sfakianakis.

    Katanya, jaminan itu menyokong kecairan dan keutuhan sistem perbankan di UAE terutama di Dubai.

    Pengumuman bank pusat itu dianggap mesej kuat kepada semua pihak bahawa ia mempunyai kecairan yang mencukupi, kata Sfakianakis.

    Syarikat milik negara, Dubai World mempunyai liabiliti sebanyak AS$59 bilion (RM200 bilion) sehingga Ogos lalu manakala Nakheel perlu membayar sukuk yang matang pada 14 Disember i ni sebanyak AS$3.5 bilion (RM11.8 bilion).

    Tahun lalu, Kementerian Kewangan UAE memasukkan deposit AS$6.8 bilion (RM23 bilion) yang merupakan sebahagian daripada kemudahan menyelamat sebanyak AS$19.1 bllion (RM64.7 bilion) bagi membantu para peminjam yang terjejas akibat krisis kewangan global.

    Puteri Mesir terakhir meninggal dunia




    KAHERAH - Puteri Ferial (gambar) yang merupakan puteri raja terakhir Mesir meninggal dunia semalam setelah tujuh tahun bergelut dengan barah perut, kata seorang rakan keluarga diraja berkenaan.

    Lotus Abdel Karim memberitahu, Ferial menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital tempat dia dirawat di Geneva, Switzerland.

    "Dia akan dikebumi di Mesir. Jenazahnya akan dihantar pulang sehari dua lagi," katanya.

    Dilahirkan di bandar Alexandria, pada tahun 1938, Puteri Ferial ialah anak perempuan Raja Farouk yang memerintah Mesir dari tahun 1936 sebelum baginda digulingkan dalam satu pemberontakan dan rampasan kuasa 16 tahun kemudian.

    Puteri itu ialah anak sulung daripada isteri pertama baginda, Farida. Beliau menerima pendidikan di Switzerland dan tinggal di negara tersebut sehingga kematiannya.

    Satu-satunya zuriat Raja Farouk yang masih hidup ialah Putera Fouad iaitu adik tiri Ferial.

    Menurut rakan keluarga diraja itu, putera tersebut akan menghadiri majlis pengebumian kakaknya di Mesir bersama anak perempuannya, Yasmine.

    Kawal kereta guna signal otak




    PHNOM PENH – Sebuah kereta yang dibina oleh pereka Kemboja, Nhean Phaloek menarik perhatian orang ramai selepas dia mendakwa kenderaan itu dapat dikawal hanya dengan menggunakan minda.

    “Saya memetik jari dan pintu kereta itu akan terbuka atau cuma membayang pintu terbuka dan ia akan terus terbuka,” kata Phaloek, 51, ketika memperkenalkan kereta rekaanya dinamakan Angkor 333-2010.

    Orang ramai terpegun ketika Phaloek melakukan demonstrasi namun dia enggan mendedahkan sistem kawalan jauh yang melakukan fungsi tersebut.

    Selain Phaloek, seorang bekas guru matematik, Kong Pharith turut menarik perhatian orang ramai selepas membina sebuah kereta tribrid yang beroperasi dengan menggunakan tenaga solar, elektrik dan petrol.

    Pereka tersebut yang mula mendapat perhatian pada tahun 2005 apabila dia membina sebuah basikal berkuasa solar percaya bahawa industri pembuatan kenderaan akan berkembang di Kemboja tidak lama lagi.

    “Hasil inovasi kami menjadi motivasi kepada generasi seterusnya untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan baru sekali gus membuktikan kepada dunia bahawa anak Kemboja mampu melakukan apa yang anda fikir kami tidak mampu,” katanya.

    Terdahulu, beberapa pegawai kerajaan negara itu mengumumkan bahawa syarikat Korea Selatan, Hyundai akan membuka sebuah kilang pemasangan kereta di barat laut Kemboja yang berkapasiti memasang 3,000 kenderaan setahun.

    Budak setaraf Picasso jual lukisan RM57,664


    KIERON WILLIAMSON bersama sekeping lukisannya di Holt, London baru-baru ini.


    HOLT - Seorang budak lelaki, Kieron Williamson dilabel genius dan setanding dengan pelukis agung, Picasso walaupun cuma berusia tujuh tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

    Penghormatan itu diberikan setelah Williamson berjaya menjual beberapa lukisannya pada harga £17,000 (RM57,664) dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

    Peminat-peminat lukisan dari jauh termasuk Jepun dan Kanada membayar lebih AS£1,000 (RM5,587) untuk setiap daripada 16 lukisan cat air koleksinya.

    "Dia hebat. Pelukis terakhir yang setanding dengannya ketika usia muda ialah Picasso," kata pemilik galeri yang mempamerkan lukisan budak itu, Adrian Hill.

    Pada pertengahan tahun ini, satu lelongan hasil seni Williamson turut mendapat sambutan hangat apabila 19 lukisannya berjaya dijual pada harga £14,000 (RM78,219).

    "Hebat. Pada mulanya saya menyangka dapat menjual cuma satu atau dua lukisan. Melukis adalah hobi saya tetapi saya juga gemar menonton perlawanan bola sepak," katanya.

    Jemaah haji ditangkap tukar not palsu AS


    SEORANG lelaki mengira wang kertas not Amerika Syarikat.



    RIYADH - Ketika kebanyakan jemaah haji berdoa dan beribadat, seorang jemaah dari Nigeria turut sibuk menjalankan misi menukar duit kertas dolar Amerika Syarikat (AS) palsu di beberapa buah pengurup wang di Mekah.

    Namun tindakan licik suspek tidak bertahan lama setelah ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi bersama wang tunai dolar AS berjumlah AS$22,000 (RM74,360).

    Pihak polis tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan ialah sebahagian daripada sindiket yang lebih besar berikutan terdapat sejumlah kes serupa dikesan pada musim haji tahun ini.

    "Jemaah-jemaah haji yang berasal dari Lagos berkenan ditangkap ketika sedang menukar dolar palsu dari sejumlah bank dan pengurup wang di Tanah Haram," kata pemimpin komuniti Nigeria, Abdullah Isa.

    Ketua Delegasi Haji Nigeria, Babatunde Balogun bagaimanapun tidak dinamakan sebagai suspek walaupun seorang dari pegawainya ditahan melakukan jenayah tersebut.

    Kes cubaan menukar not kertas AS palsu pernah dilaporkan pada musim haji tahun lalu namun pihak berkuasa percaya pentadbir jemaah dipercayai diperdaya melakukan kegiatan tersebut.

    Menggeletar terima foto seks anak


    SEORANG lelaki memasukkan sepucuk surat ke dalam peti surat.



    BLACKPOOL - Seorang bapa, Peter Dixon menggeletar sejurus membuka sepucuk surat yang mengandungi sekeping gambar lucah anak perempuannya, lapor sebuah akhbar semalam.

    Dixon, 62, memberitahu sebuah mahkamah di sini bahawa gambar itu menunjukkan anak perempuannya, Laura melakukan aksi seks bersama seorang bekas teman lelakinya.

    "Lihatlah anak perempuan anda. Ha! Ha!," kata kandungan surat itu.

    Laura, 27, kemudian mengesahkan kepada hakim mahkamah berkenaan bahawa dia ialah wanita dalam gambar itu yang dirakam oleh bekas teman lelakinya, Steve Orwin.

    Orwin yang berasal dari England, didapati bersalah kerana menghantar gambar lucah dan dibenar ikat jamin tetapi motif dia berbuat demikian tidak diketahui.

    Kambing jadi mangsa gurauan remaja nakal


    DUA remaja melarikan diri setelah menolak troli berisi biri-biri di London.



    LONDON - Para petugas pasar raya Asda di Bexleyheath terkejut setelah seekor kambing yang diletakkan di dalam troli tiba-tiba meluncur masuk ke dalam pusat beli-belah tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 3 pagi semalam, sekumpulan remaja dirakam menolak troli tersebut sebelum melarikan diri.

    Biri-biri berkenaan dipercayai dicuri dari sebuah ladang di Gravesend, Kent dan disumbat ke dalam bonet kereta sebelum dihantar ke pasar raya tersebut.

    Pengurus Asda, Joe Lock berkata, para petugas terkejut melihat haiwan itu tiba-tiba berada dalam pasar raya.

    Sementara itu, Persatuan Diraja Mencegah Kekejaman Terhadap Hairan (RSPCA) menyelar tindakan bodoh remaja berkenaan.

    "Kami sudah mengesan pemilik biri-biri itu tetapi ia tidak dapat dikembalikan sehingga enam hari lagi berikutan peraturan tertentu," kata jurucakap SPCA, Andrew Kirby.

    Remaja berkenaan berhadapan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda £5,000 (RM27,967) atau kedua-duanya jika didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap haiwan.