jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Wednesday, September 30, 2009

Sumpah Bunian kisah percintaan dua alam

Lagenda Puteri Bunian sememangnya sinonim kehidupan masyarakat Melayu malah ia menjadi kisah dongeng dari generasi ke generasi. Dipercayai kehidupan makhluk halus ini menyamai kehidupan manusia di alam nyata, bezanya makhluk bunian tidak dapat dilihat mata kasar.

Sumpah Bunian menerusi Slot Lagenda di TV3 mengisahkan percintaan di antara gadis bunian yang bernama Hawa dengan manusia biasa, Adam. Garapan jalan cerita drama ini adalah imaginasi penulis skripnya iaitu Sharifah Abu Salem yang mendapat ilham menerusi pelbagai kisah dan lagenda, juga daripada cerita rakyat dan cerita lisan golongan tua. Idea penulis disampaikan secara versi moden dengan menyelitkan dimensi dunia bunian, sesuatu yang tidak dapat digambarkan oleh alam nyata, tetapi suatu percubaan yang dipersembahkan sebaik mungkin oleh sutradara.

Sumpah Bunian akan menemui penonton TV3 bermula hari ini setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang dan siaran ulangan di TV9 pada jam 8.35 malam. Antara barisan pelakon yang mewarnai drama 19 episod ini ialah Nora Danish (Hawa), Rizal Jaafar (Adam), Qazem Nor (Fikri), Elly Mazlein (Azeera), Mahmud Ali Bashah (Hashim), Fetty Zul (Normah), Dian P Ramlee (Kasmah), Bienda (Jasmin), Mubarak Majid (Malik) dan Aznah Hamid (Mariam). Manakala pengarah yang menjadi tulang belakang siri ini ialah di mana Zainuddin Mohd Ismail bertindak selaku penerbit.

Episod pengenalan drama arahan Adam Hamid ini membawa penonton melihat kehidupan Hawa ketika kecil, iaitu Hawa sering memerhatikan Adam yang bermain dengan rakan-rakannya. Hawa tertarik peribadi Adam yang baik dan mulia, berbeza sikap sepupu Adam, Fikri yang mempunyai sikap bertentangan. Kekerapan Hawa ke tempat Adam membangkitkan kemarahan ibu bapanya. Bagaimanapun, Hawa tidak lagi dapat melihat Adam yang mengikut keluarganya berpindah ke kota.

Hawa merindui Adam dan berasa sunyi selepas pemergiannya. Tujuh belas tahun berlalu, Adam kini sudah dewasa dan membantu syarikat bapanya, Tuan Hashim. Namun minat Adam masih kepada alam semula jadi, flora dan fauna. Adam kembali ke hutan, tempat dia bermain sewaktu kecil untuk melihat haiwan jinak yang sering menemani zaman kanak-kanaknya. Terlihatkan kunjungan Adam, Hawa sekali lagi terpikat dengan Adam yang sudah 17 tahun dirinduinya itu.

Sama-sama kita saksikan kesudahan drama terbitan Enuja Sdn Bhd ini!

Raja Farah takut dibenci peminat



Sebut saja nama Raja Farah, mesti ramai peminat drama Melayu tempatan akan membayangkan wajah seorang gadis yang penuh dengan kebencian dalam dirinya.

Mana tidaknya, boleh dikatakan hampir 70 peratus drama yang dilakonkan gadis yang baru berusia 19 tahun ini akan mengetengahkan Farah sebagai watak antagonis kepada heroin drama lakonannya sehinggakan ada di kalangan peminatnya pernah menegur lakonannya yang dikatakan agak jahat itu.

Farah sendiri tidak tahu apa faktor yang membuatkan pengarah dan penerbit drama tempatan berminat menawarkan watak hitam dalam sesebuah drama kepadanya.

“Bukannya saya nak demand dengan tawaran yang saya terima. Saya sebenarnya tidak kisah watak apa yang diberikan kepada saya.

“Cuma kadang kala saya juga hendak memegang watak wanita baik yang pada pendapat saya lebih mencabar tanggungjawabnya daripada watak gadis jahat atau nakal,” katanya meluahkan isi hatinya.

Menurutnya, disebabkan terlalu banyak membawakan watak antagonis, kadang kala perilaku ketika melakonkan watak itu terbawa-bawa hingga ke luar set penggambaran.

“Hal itu bukan saya sengajakan tapi kadang kala saya sendiri pun tak perasan saya terbawa-bawa watak angkuh atau sombong dalam lakonan ke luar set penggambaran. Bila dah ada orang tegur tu baru saya perasan dengan perilaku saya,” ujar Farah menceritakan sedikit pengalaman berlakonnya yang memberi kesan kepada kehidupan sehariannya.

Bukan itu sahaja, malah Farah turut bimbang peminatnya akan hilang disebabkan imej buruk yang terbawa-bawa di luar set.

Pada Ramadan yang lepas, kelibat Farah memang tidak kelihatan di mana-mana majlis berbuka puasa yang sering dihadiri oleh artis-artis popular tempatan. Sebenarnya ketika umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga itu, Farah sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri terbaru untuk siaran Astro Ria bertajuk ‘Kau dan Aku’ yang turut dibintangi bintang-bintang Akademi Fantasia seperti Aril, Akim dan Mila.

Dalam drama tersebut, Farah diberi peranan sebagai kekasih Aril bernama Farah yang berseteru dengan Mila. Drama yang berkisarkan mengenai kehidupan remaja kolej itu menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia dan diarahkan oleh tiga orang pengarah.

Dua daripada tiga pengarah tersebut adalah pengarah yang terkenal dengan sinetron-sinetron Indonesia iaitu Achoo dan Reza serta seorang pengarah dari Malaysia iaitu Roslan Hussein yang suatu ketika dahulu pernah berlakon menerusi drama-drama tempatan.

Drama tersebut dijangka menemui penonton pada 24 Oktober ini di saluran Astro Ria. Menurutnya, beliau akan mula menjalani penggambaran Mentua vs Menantu musim kedua tidak lama lagi.

Umie kahwin Januari depan


UMIE AIDA bersama Balkish selepas majlis pertunangannya di Mont Kiara, Damansara malam tadi.



RASHID MAHFOF


SELAMAT. Pelakon terkenal, Umie Aida atau Umie Khalsum Rahmad, 36, selamat ditunangkan dengan jejaka pilihannya, Datuk Khairuddin Abu Hassan (gambar kecil) di kediamannya di Mont Kiara, Damansara malam tadi.

Umie yang anggun mengenakan busana Bill Keith menerima sebentuk cincin bertatah berlian jenama Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya, Balkish Ahmad.

Selain cincin yang ditempah khas oleh tunangnya itu, Umie turut menerima hantaran berupa tepak sirih, barang kemas dan coklat.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh keluarga kedua-dua pasangan.

Mereka dijangka melangsungkan perkahwinan pada awal Januari tahun depan.

"Saya cukup gembira. Tak dapat nak gambarkan perasaan saya yang kini sudah menjadi tunangan orang,'' kata Umie yang melihat bakal suaminya itu yang juga seorang usahawan dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebagai lelaki yang lembut, ikhlas serta jujur.

Kanser daripada sotong kering - Mengandungi logam toksik sama seperti bateri, plastik dan baja fosfat


PEGAWAI penyelidik CAP, Hatijah Hashim menunjukkan sotong kering yang didakwa dicemari kadmium di pejabatnya di Pulau Pinang semalam.





GEORGE TOWN - Ramai mengetahui keenakan sotong kering ditambah lagi jika dimasak sebagai sambal.

Namun Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, tidak mungkin ramai pengguna sedar bahawa sotong kering kaya dengan logam toksik jenis kadmium, bahan yang sama digunakan dalam membuat bateri, plastik dan baja fosfat.

"Kesan pengambilan kadmium mendedahkan seseorang terhadap kanser payu dara, kanser prostat serta penyakit buah pinggang,'' kata Presidennya, S. M. Mohamed Idris pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, selain sotong kering, makanan laut kering lain seperti tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium tetapi pada kadar yang lebih rendah.

"Hasil ujian yang dilakukan mendapati kandungan kadmium dalam sotong kering melebihi empat kali ganda had yang dibenarkan,'' ujarnya.

CAP membuktikan perkara itu melalui ujian rawak melibatkan enam sampel sotong kering dan hasilnya mendapati lima sampel mengandungi kadmium serta tiga daripadanya mempunyai kandungan logam itu secara berlebihan.

Penjara sudah ada tukang sebat




KAJANG - Jabatan Penjara Malaysia kini sudah mempunyai pegawai terlatih dan bersedia untuk menjalankan hukuman sebat pada bila-bila masa terhadap bekas model pelancongan Kartika Sari Dewi Shukarnor (gambar) kerana kesalahan meminum arak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, hukuman itu akan dilaksanakan selepas Jabatan Penjara memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah.

"Bagi Jabatan Penjara, apa sahaja hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah oleh mahkamah kita akan laksanakan, cuma tarikh dan waktu hukuman itu dilaksanakan akan ditentukan oleh mahkamah,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perbarisan tamat latihan Kursus Sijil Menengah Pengurusan Penjara di sini semalam.

Kartika, 32, dari Sungai Siput, Perak didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11.40 malam 11 Julai tahun lepas.

Ancaman gegaran gempa jiran - Kajian mendapati 30 peratus bangunan kerajaan tidak selamat


KESAN gegaran gempa di Sumatera menyebabkan para penghuni Pangsapuri Cendana setinggi 16 tingkat di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur bergegas menyelamatkan diri dalam kejadian pada 2005.


PUTRAJAYA - Malaysia tidak mungkin menjadi lokasi pusat gempa tetapi jika kejadian itu berlaku di negara jiran dengan kekuatan minimum 7.7 skala Richter, dianggarkan 30 peratus daripada bangunan milik kerajaan bakal menghadapi risiko kemusnahan besar.

Demikian penemuan satu kajian terhadap sampel 65 bangunan kerajaan di lokasi penting seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Klang.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azlan Adnan berkata, kebanyakan struktur bangunan tersebut dibuat tanpa mengambil kira faktor risiko gegaran akibat gempa bumi.

"Apa yang membimbangkan ialah kawasan-kawasan kajian itu termasuk dalam zon dua iaitu kawasan berisiko mengalami impak gempa bumi,'' ujarnya di sini semalam.

Beliau mengulas hasil kajiannya itu yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta IKRAM Structure Assessment Sdn. Bhd. yang dilaporkan melalui 'Kajian Risiko Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia' oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Tiga ahli politik berhibur guna dadah

KEMAMAN - Tiga ahli politik ditahan kerana memiliki dan mengambil dadah ketika berhibur di pusat karaoke di sebuah rumah di Kampung Kijal di sini kelmarin.

Ketiga-tiga lelaki berusia di antara 41 hingga 50 tahun itu diberkas oleh sepasukan lapan anggota polis di dalam sebuah bilik di rumah salah seorang ahli politik berkenaan.

Polis yang membuat pemeriksaan ketika serbuan pada pukul 3 petang itu kemudian menemui satu tiub heroin di atas lantai bilik tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat orang ramai dan risikan polis.

"Ujian air kencing mendapati salah seorang ahli politik itu positif heroin manakala dua lagi mengambil pil kuda," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pelajar ditahan menyamar polis

PETALING JAYA - Umur baru setahun jagung tetapi sudah berani menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan jenayah.

Itulah kegiatan dua remaja yang berusia 16 dan 20 tahun yang cuba menyamun sekumpulan lapan pelajar lelaki di asrama sebuah sekolah di Ara Damansara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum kejadian pada pukul 3.30 pagi, kedua-dua suspek itu telah menceroboh asrama tersebut sebelum meminta lapan pelajar berkenaan supaya menunjukkan kad pengenalan masing-masing.

"Curiga dengan kedua-dua suspek yang terlalu muda dan cara pemeriksaan dilakukan, salah seorang pelajar itu telah meminta suspeksuspek tersebut menunjukkan kad kuasa.

"Kedua-dua suspek yang cemas melarikan diri tetapi seorang daripada mereka dapat ditahan oleh kumpulan pelajar tersebut," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan terhadap suspek yang ditahan mendapati setengah jam sebelum itu, mereka telah menyamun lapan pelajar berusia 16 dan 17 tahun di padang futsal di Kelana Jaya.

Bicara ingkar kahwin Maria Tunku Sabri 30 Oktober




KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 30 Oktober depan bagi perbicaraan seorang ahli perniagaan untuk meminda kenyataan pembelaan berhubung tuntutan saman RM5.5 juta yang dikemukakan personaliti TV3, Maria Tunku Sabri (gambar) kerana memungkiri janji untuk mengahwininya.

Tarikh itu diputuskan Penolong Ketua Pendaftar, Nurul Nadia Abdul Razak di kamarnya dengan kehadiran peguam kedua-dua belah pihak.

Menurut peguam Sangeet Kaur yang mewakili Maria (plaintif), semalam sepatutnya mahkamah mendengar permohonan Datuk Wan Johani Wan Hussin, 56, (defendan) untuk meminda kenyataan pembelaan tersebut bagi memberi gambaran penuh berhubung fakta kes.

4 syarikat dikesan tidak carum KWSP

KUALA LUMPUR - Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri mengesan sebanyak empat syarikat pengangkutan di negara ini gagal mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, keempat-empat syarikat berkenaan dikesan setelah pihaknya menyiasat aduan daripada kesatuan pekerja syarikat pengangkutan terbabit baru-baru ini.

"Kita terima aduan daripada empat kesatuan pekerja syarikat pengangkutan itu baru-baru ini yang mendakwa majikan mereka tidak mencarum KWSP dan Perkeso sehingga September tahun ini.

"Kita sudah periksa dan mengesahkan syarikat terbabit memang tidak membuat caruman dan tindakan tegas perlu dikenakan," tegasnya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.

Berpantang maut sebelum ajal


KENDERAAN Toyota Hilux yang dipandu Rosli remuk selepas jatuh dari jejambat Lebuh Raya Utara-Selatan di Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam.


TASEK GELUGOR - Seorang pemandu, Rosli Nordin, 35, nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat rodanya terbabas dan jatuh dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Kepala Batas dan Bandar Perda di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan ke arah Bukit Mertajam gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar penghadang jejambat dan terjunam ke bawah.

Semasa ditemui, Rosli yang juga kakitangan Bahagian Kesihatan, Majlis Perbandaran Seberang Perai itu berkata, ketika kejadian hujan agak lebat menyebabkan dia hanya memandu pada kelajuan sekitar 60 kilometer sejam.

"Tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba saya tidak dapat mengawal kenderaan, saya cuba tekan brek tetapi gagal disebabkan keadaan jalan licin lalu merempuh penghadang jejambat dan kenderaan terus terhumban ke bawah," katanya.

Berikutan kejadian, kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya remuk tetapi dia cuma mengalami calar di bahagian muka.

Citibank mahu kekal terajui industri kad kredit


MICHELLINA (kanan) dan Choong Yu menunjukkan kad kredit Citibank pada majlis pelancaran program penebusan ganjaran di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Citibank Berhad (Citibank) berhasrat mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri kad kredit melalui pengenalan dan inovasi produk serta program untuk memenuhi keperluan pelanggannya.

Ketua Pengurus bagi Perbankan Penggunanya, Michellina Triwardhany, berkata, bagi merealisasikan misi tersebut, Citibank menjalankan pelbagai kajian termasuk mengadakan perbincangan dengan rakan-rakannya dari seluruh dunia.

"Sehingga kini Citibank menerajui pasaran menerusi penguasaan 20 peratus dalam industri kad kredit di negara ini di samping memiliki keahlian lebih daripada satu juta," katanya selepas majlis pelancaran program penebusan ganjaran di sini semalam.

Turut hadir ialah Naib Presiden bagi Pengunaan Kad Kredit dan Perniagaan Perdagangan Citibank, Lum Choong Yu.

Menurut Michellina, program penebusan ganjaran itu akan membolehkan pelanggannya menikmati nilai tambah bagi wang ringgit mereka melalui mata ganjaran terkumpul yang boleh digunakan untuk menebus pelbagai barangan keperluan harian mereka.

Nippon tawar hadiah menarik


PENGUNJUNG boleh mencuba sendiri warna cat Nippon pada
Homedec 2009 yang akan diadakan di Kuala Lumpur nanti.


SHAH ALAM - Pengunjung bertuah pameran Homedec 2009 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 1 hingga 4 Oktober ini berpeluang memenangi pakej perhiasan rumah bernilai RM2,500 daripada Nippon Paint Malaysia Sdn. Bhd. (Nippon)

Malah, setiap seorang pemenang itu akan diberikan khidmat nasihat cadangan warna daripada perunding warna profesional daripada Nippon.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran Nippon, Gladys Goh berkata, sebagai pakar cat, pihaknya akan memberikan petua dan cara-cara untuk menjimatkan kos dalam menghiasi kediaman pengunjung.

"Kami percaya pengunjung tidak perlu menjadi seorang profesional untuk menghias rumah mereka apabila didedahkan dengan petua-petua kami.

"Ini akan memberikan semangat baru kepada pengunjung dan mereka akan berasa terkejut apabila melihat perubahan meskipun kecil tetapi membawa perbezaan yang besar dalam rumah mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mahu tebus salah




BUKAN mudah untuk mendaki kembali puncak setelah diri terjatuh merudum ke bumi. Itulah gambaran yang tepat boleh dikaitkan dengan bekas vokalis kumpulan terkenal Meet Uncle Hussain (MUH) yang kini tampil secara solo menggunakan nama Azlan & The Typewriter (ATT).

Meskipun sudah secara rasmi bergerak solo dan telah mempunyai lagu single yang berjudul Kelibat Si Penyair, Azlan atau mesra disapa Lan mengakui bayangan MUH terlalu kuat terhadap dirinya.

Namun, Lan tetap berpijak di bumi yang nyata dan memberitahu oleh kerana vokalnya sama ketika dia masih menjadi ahli MUH, sudah tentu bayang-bayang MUH tidak mampu terhakis daripada dirinya. Dia tahu, bayang-bayang itu akan terus mengekorinya sepanjang perjalanan seninya.

Walaupun kini Lan menampilkan lagu yang sedikit berbeza hasil karyanya sendiri bersama temannya Tassiq Saidi atau nama penanya Lake, sememangnya agak sukar untuk Lan meramal hala tuju kejayaannya selepas ini yang pasti tidak sama sewaktu zaman kemuncaknya ketika bergelar Lan MUH.

"Saya tidak dapat nafikan yang orang akan membuat perbandingan antara ATT dan MUH. Itu hak mereka sebab vokal saya memang serupa ketika bersama MUH. Suara saya memang begitu, tidak boleh diubah-ubah.

"Saya tahu ada peminat yang akan lari dan dalam masa yang sama mungkin saya akan dapat peminat yang baru. Saya cuba melihat ia dari aspek yang positif," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya baru-baru ini.

Beritahu Lan, meskipun menggunakan nama ATT, ia adalah projek solonya bukan sebuah kumpulan, selain Lan, pemuzik yang lain merupakan pemuzik undangan sahaja.

"Selepas bergerak solo saya akui, rasa lebih bebas untuk berkarya kerana sekarang saya bertanggungjawab dari mula sehingga akhir dalam pembikinan album," katanya.

Masa untuk berubah

Jika dulu ramai yang heboh tentang masalah disiplin yang dihadapi Lan sehingga membawa kepada perpisahannya bersama MUH, kini apabila tampil bersama ATT, mampukah Lan mendapatkan semula kepercayaan ramai setelah segala kontroversinya bersama MUH?

Pada sidang media majlis pelancaran tersebut, Lan berjanji akan lebih bertanggungjawab atas segala tindak tanduknya selepas ini. Malah, penggunaan nama ATT juga menjelaskan beban besar yang dipikul.

"Nama Azlan yang digunakan menggambarkan tanggungjawab saya lebih besar kerana selepas ini kalau berlaku masalah, orang tidak salahkan kumpulan sebaliknya saya sendiri iaitu Azlan," terangnya.


LAN berjanji untuk mengubah segala 'perangai' buruknya sebelum ini.


Secara jujur Lan memberitahu, dia kini dalam proses untuk menjadi yang lebih baik dan berharap peminat terus menyokongnya.

"Saya akui dulu saya melakukan kesalahan, kini sudah tiba masa untuk saya berubah dan tebus kembali apa yang telah saya lakukan dulu.

"Memang benar, segala yang berlaku ada hikmah sebaliknya begitu juga dengan keputusan saya untuk bergerak secara solo. Sekarang baru saya tahu tanggungjawab besar yang dipikul, saya belajar daripada kesilapan lalu," ujarnya tanpa berselindung.

Peta minda

Lan yang kini dilihat lebih bijak dalam berkomunikasi menjelaskan, album ATT yang diberi judul Peta Minda bakal berada di pasaran pada penghujung tahun ini membawakan genre rock alternatif.

Meskipun hanya muncul dengan satu lagu single, Kelibat Si Penyair, ATT telah memperlihatkan sisi sedikit berbeza apabila mencampurkan elemen futuristik, selain lirik-lirik yang lebih puitis.

"Album, Peta Minda memang lain, biasanya pemuzik sekarang lebih suka buat lirik tanpa berlapik, tetapi sekarang agak terbalik apabila lagu-lagu saya liriknya lebih melankolik. Kiranya, ini sesuatu yang baru untuk saya," ucapnya.


BIMBANG dan ragu-ragu menghimpit diri mengenangkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku terhadap kerjayanya selepas muncul solo.


Jika diperhatikan dengan teliti, masa yang diambil untuk menghasilkan album solo pertamanya agak lama, tetapi Lan menegaskan bagi memperoleh kualiti, dia tidak boleh melakukan pembikinan album dengan terburu-buru.

"Sepanjang bulan puasa saya terperap dalam studio bekerja keras menghasilkan album yang berkualiti. Kalau bercakap tentang kualiti kita tidak boleh melakukannya dengan cepat dan gelojoh," ungkapnya.




Bercerita tentang lagi Kelibat Si Penyair, Lan memberitahu lagu tersebut adalah hasil eksperimennya bersama Lake dan telah pun disiarkan di corong-corong radio.

Masih sokong MUH

Sungguhpun ramai yang beranggapan berpisahan Lan bersama MUH satu perpisahan yang merugikan tetapi bagi Lan sendiri, biarpun tidak lagi bersama MUH mereka masih lagi berkawan baik cuma tidak lagi berurusan soal kerja.

"Antara kami tidak ada pergaduhan. Kalau ditakdirkan kami bekerjasama dengan MUH pada masa akan datang saya tidak menolak.

"Mereka juga menyokong saya dan saya tetap menyokong mereka sebab saya sayangkan MUH. Apa yang bezanya cuma dari segi pemikiran sahaja," kata Lan.

Mengenai kedudukan kontrak mereka yang masih di bawah satu bumbung, Satu Entertainment Sdn. Bhd, Lan juga tidak menjadikannya sebagai satu isu besar.

"Setakat hari ini tidak timbul sebarang masalah. Apapun, saya juga tidak boleh komen lebih-lebih tentang kontrak kerana ia isu dalaman label," ujarnya.

Lima band jadi satu - Kumpulan Fly mula popular dengan single Waktu Ku Terhenti


BERASAL daripada kumpulan yang berbeza, kini kelima-lima anak muda ini bersatu di dalam Fly.


KELEMBAPAN industri muzik tempatan tidak menjadi penghalang kepada kelahiran penyanyi baru. Walaupun ada yang takut untuk mencuba, kumpulan Fly yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 2008 tidak beranggapan sedemikian.

Dianggotai oleh Naz (vokalis), Zack (bass), Yuz (drum), Arel (gitar) dan Farock (gitar), mereka yakin dengan bakat yang ada, kumpulan Fly mampu bergerak jauh walaupun dengan pasaran yang kurang memberangsangkan.

"Keadaan pasaran tidak menjadi masalah kepada kami. Kalau lebih ramai pemuzik, maka saya percaya pasaran kita akan bertambah baik. Lagipun kami percaya dengan bakat dan semangat kami, kumpulan Fly tidak akan tidur," kata ketua kumpulannya, Yuz ketika ditemui di studio Utusan.

Menariknya mereka berlima bukan orang baru dalam industri seni suara. Masing-masing merupakan anggota kumpulan berlainan, Zack memberitahu mereka mempunyai kelebihan kerana sudah berpengalaman.

Zack pernah menganggotai kumpulan New Boyz, Yuz (Alamband), Farock (Fenomena), Arel (Akai E-Bara) dan Naz bersama kumpulan Big Boss.


LAPAN tahun berteman, Fly cukup yakin dengan keteguhan nilai persahabatan mereka.


Bersama kumpulan lama, mereka berlima pernah menyertai pertandingan Battle Of The Bands serta membuat persembahan di Indonesia dan Singapura. Kini dengan tanggungjawab baru, kumpulan Fly kerap membuat persembahan terutama untuk majlis makan malam korporat.

"Kami mungkin baru sebagai kumpulan Fly tetapi tidak susah bagi kami untuk mendapatkan pendengar. Ini kerana kami mempunyai peminat lama yang masih menyokong kami. Lagipun kami sering mempromosikan diri semasa membuat persembahan dan kami mempunyai akaun di laman web sosial, MySpace," ujar Arel.

Memilih nama Fly kerana ia senang diingati, Fly juga membawa erti lain kepada kelima-lima jejaka itu. Ibarat bebas, mereka sukakan konsep kebebasan berkarya dan bergerak.

"Bukan itu sahaja kerana apa yang utama adalah setiap anggota mempunyai kebebasan untuk berkarya. Semua orang berpeluang untuk meluahkan ideologi masing-masing," kata Yuz lagi.




Memandangkan semua anggota kumpulan mempunyai pengalaman dan sejarah tersendiri, adakah mereka berlima pernah bercanggah idea dalam menghasilkan muzik? "Mula-mula memang susah sikit sebab masing-masing ada cara berlainan semasa bersama bekas kumpulan.

"Tapi selepas bersama untuk membuat persembahan serta banyak berbincang, kami semakin serasi. Lagipun cabaran kami sekarang adalah untuk menguruskan diri sendiri. Dulu kami ada pengurus tetapi sekarang semua kena buat sendiri. Maka, setiap orang diberikan tugas berlainan bagi memastikan kelancaran kumpulan kami," tambah Farock.

Sudah berkawan selama lapan tahun, EP pertama dijangka dipasarkan pada Januari depan. Merangkumi lima atau enam buah lagu, satu daripadanya sudah siap dirakamkan. Selebihnya akan dirakamkan dalam masa terdekat.

"Single pertama kami, Waktu Ku Terhenti sudah dimainkan di radio. Single kedua, Dunia masih dalam proses rakaman. Lagu-lagu lain juga sudah siap tetapi hanya tunggu untuk masuk studio untuk rakaman," kata Yuz.

Ciuman mulut jadi penyelamat


COURTNEY LOVE dan Johnny Depp


WALAUPUN penyanyi Courtney Love sering diabaikan teman-teman sekelilingnya dengan masalah ketagihan dadah dan arak, tidak bermakna, pelakon Pirates Of The Caribbean, Johnny Depp turut melakukan hal yang sama.

Penyanyi yang popular dengan kumpulan Hole itu telah diberi bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR) oleh Johnny setelah mengalami masalah sesak nafas yang agak teruk.

Bagaimanapun, bantuan Johnny dianggap perkara yang paling menggembirakan buat Love. Ini kerana dia dapat merasa 'ciuman' Johnny.

"Tiada siapa yang pernah meminjamkan saya wang. Saya hampir mati di sebuah majlis. Ketika itu saya sedang menonton filem Johnny, Dillinger dan kemudian mempunyai masalah pernafasan.

"Dia memberikan CPR kepada saya. Saya tak pernah mempunyai seorang JD (Johnny) selain CPRnya," katanya kepada MaleFirst.

Balu kepada mendiang Kurt Cobain, pernah memberi kenyataan bahawa ada seseorang yang tidak dikenali memberikannya wang ketika dia berhadapan masalah kewangan pada awal tahun ini.

Kini, penyanyi berusia 45 tahun itu tinggal di sebuah hotel di New York bersama anaknya, Frances Bean, 17, sementara menanti apartmen barunya siap.

Bagaimanapun, Courtney kerap kali membuat kenyataan bahawa dia dan anaknya sering dilayan bagaikan kerabat diraja.

Pengebom berlatih depan hotel


Imej yang dikeluarkan polis Indonesia semalam menunjukkan Nana Maulana (kiri) dan Dani Permana memanaskan badan di sebuah padang di hadapan Hotel Ritz-Carlton.


JAKARTA - Sebuah padang berhampiran dua hotel mewah di sini menjadi tempat bersantai oleh dua pengebom berani mati Indonesia beberapa minggu sebelum mereka melancarkan serangan, menurut klip video yang didedahkan polis semalam.

Klip video tersebut diperoleh dari komputer riba yang tersimpan di dalam sebuah beg galas milik Noordin Mohammed Top, militan Malaysia yang ditembak mati dalam serbuan polis di Jawa Tengah dua minggu lalu.

Klip video itu yang dirakam pada minggu terakhir Jun lepas, turut menunjukkan dua lelaki itu, Dani Permana dan Nana Maulana masing-masing berusia 18 dan 28 tahun sedang berjoging di sebuah jalan melintasi Hotel JW Marriott.

Selain itu, rakaman tersebut turut menunjukkan aksi mereka mencuba pakaian yang dipakai pada hari serangan.

Tiga minggu kemudian, kedua-duanya berjalan memasuki ruang istirehat dua hotel itu dan meletupkan diri mereka.

Serangan pada 17 Julai itu membunuh tujuh orang dan mencederakan lebih 50 yang lain selain mencetuskan semula keganasan di Indonesia selepas empat tahun.

"Ini sasaran kami," kata Dani dalam klip video itu sambil menuding jarinya ke arah dua hotel mewah berkenaan.

"Ini (serangan berani mati) adalah cara mulia untuk memusnahkan musuh-musuh Islam. Ia bukan membunuh diri," tambah penyerang yang merupakan seorang lepasan sekolah tinggi Indonesia.

Dani meletupkan dirinya di dalam JW Marriott yang menyebabkan empat warga Barat terbunuh.

Pihak berkuasa Indonesia semalam menyatakan lelaki yang merakam video itu dikenali sebagai Syaifuddin Zuhri.

Menurut polis, suspek yang masih bebas dipercayai merekrut dua pemuda itu untuk menjadi pengebom berani mati.

Sementara itu, keluarga Noordin dijadual membawa pulang jenazahnya dari sebuah bilik mayat polis di sini ke kampung asalnya di Malaysia pada minggu ini untuk dikebumikan.

Terkejut lihat Gaddafi bersantai di resort

CARACAS - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersantai selepas sibuk menghadiri beberapa sidang antarabangsa dengan berlibur di sebuah pulau peranginan Venezuela, Porlamar.

Beliau sempat bersiar di kawasan perniagaan sambil membeli barangan kemas serta beramah-mesra dengan pelancong yang tergamam melihatnya di bandar Pulau Margarita itu.

Berpakaian longgar dengan baju perang dan cermin mata gelap, Muamar meninggalkan pengawal peribadinya di Hotel Hilton untuk pergi ke beberapa gedung beli-belah mewah.

Pemimpin negara Afrika Utara itu menarik perhatian ramai pengunjung yang terkejut menyaksikan kehadiran beliau dan dikenali amat rapat dengan Presiden Venezuela, Hugo Chaves.

"Saya berasa gementar dan teruja melihat beliau di depan saya malah tidak terlintas dapat bertemu dia begitu dekat," kata seorang pelancong tempatan, Mariela Cartaya, 30.

Ini merupakan lawatan kali pertama Muammar ke sebuah negara Amerika Latin malah beliau membenarkan Cartaya dan anak lelakinya, Aron bergambar dengannya.

Muammar sempat mengunjungi Queen Zebra, sebuah gedung barangan kemas yang juga menjual produk kraf serta membeli seutas rantai dan cincin emas dengan permata Afrika Selatan.

Beliau kemudian turut mengelilingi seluruh pulau tersebut sebelum pulang semula ke hotel dengan membawa banyak beg penuh berisi pakaian dan minyak wangi.

Henti amalan 'turun dari syurga'


YUKIO HATOYAMA


TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama semalam berjanji untuk menghentikan amalan 'turun dari syurga' atau amakudari yang sudah menjadi amalan di negara itu sejak berdekad-dekad.

Pemimpin Parti Demokratik Rakyat Jepun (DPJ) yang baru memenangi pilihan raya pada bulan lalu itu turut mengharamkan semua kementerian untuk membantu pegawai kerajaan bersara untuk menduduki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma yang diselia agensi itu.

Pegawai kanan Jepun cenderung untuk bersara awal dan mendapatkan pekerjaan kedua dalam GLC sekali gus mencetuskan konflik kepentingan, pakatan sulit dan konspirasi bidaan palsu.

"Semua kementerian dan agensi diarah menghentikan (amalan amakudari) selaras dengan desakan rakyat dan usaha mengurangkan pembaziran," kata Hatoyama dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau juga mengarahkan penempatan pekerjaan menerusi Pusat Pertukaran Pekerja Antara Kerajaan dan Sektor Swasta yang menjadi pintu bagi menyalurkan pekerjaan kepada bekas teknokrat, kata jurucakap kerajaan, Hirofumi Hirano.

Pusat tersebut merupakan idea bekas Perdana Menteri Taro Aso yang memimpin Parti Liberal Demokarat (LDP). Parti tersebut kalah dalam pilihan raya lalu setelah memimpin Jepun lebih 50 tahun.

Anggota birokratik Jepun mempunyai kuasa lebih berbanding negara lain kerana mereka mempunyai pengaruh untuk menentukan dasar, merangka undang-undang dan menentukan belanjawan negeri.

Angkasawan badut buat lawak di ISS


GUY LALIBERTE bergurau dengan isterinya, Claudia Barilla dari dalam bilik pengasingan di Baikonur, Kazakhstan semalam.


BAIKONUR - Pengasas syarikat badut Cirque du Soleil, Guy Laliberte semalam berharap dia dapat menggeletek rakan-rakan angkasawan semasa mereka tidur di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Malah Laliberte sempat memakai hidung merah walaupun berada dalam bilik kuarantin sebelum dijadual berlepas ke angkasa di sini esok.

"Sepanjang hidup saya, banyak perkara gila dan menyeronokkan telah saya lakukan tetapi tidak sehebat berbanding lawatan ke ISS," kata pelawak Kanada berusia 50 tahun itu.

Dia ditempatkan di dalam bilik kuarantin berdinding kaca di sini bersama dua angkasawan lain bagi mengelak pencemaran sementara menunggu untuk menaiki roket ke ISS.

Menurut Laliberte yang menjadi badut pertama ke angkasa, pemergian ke ISS bukan untuk melakukan eksperimen saintifik seperti kebanyakan angkasawan lain sebelum ini.

Sebaliknya, tempoh 12 hari di stesen angkasa lepas itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk berhibur di samping memperoleh pengalaman baru.

Laliberte yang bermula sebagai penghibur jalanan sebelum mengaut kekayaan mencecah AS$2.5 bilion (RM8.7 bilion) hasil kejayaan Cirque du Soleil, membayar AS$35 juta (RM121.9 juta) untuk lawatan ke ISS.

AS rai revolusi komunis China


BANGUNAN Empire State yang menjadi mercu tanda Amerika Syarikat dirakam dari Manhattan, New York baru-baru ini.


NEW YORK - Bangunan Empire State yang menjadi mercu tanda bandar raya New York bakal bermandikan pancaran merah dan kuning hari ini bagi meraikan ulang tahun ke-60 penubuhan negara komunis China, lapor sebuah akhbar semalam.

Konsul China, Peng Keyu dan beberapa pegawai lain dijadual menghadiri upacara menyalakan sejumlah lampu yang akan menerangi bangunan Empire State dengan dua warna rasmi negara China itu.

Beberapa wakil pencakar langit di Amerika Syarikat (AS) itu berkata, bangunan tersebut akan diterangi dengan limpahan cahaya merah dan kuning hingga esok.

Pada 1970-an, AS terkenal dengan dasar dan propaganda antikomunis sehingga sanggup melancarkan peperangan terhadap Vietnam dan Korea Utara.

Sebelum ini, bangunan berkenaan terutama bahagian atasnya kerap diterangi sempena pelbagai keraian dan acara termasuk cahaya biru bagi memperingati kematian pelakon legenda Hollywood, Frank Sinatra pada 1998.

Pada minggu lalu sahaja, ia diterangi dengan cahaya merah.

Namun, warna itu bukan untuk meraikan pencapaian mana-mana negara komunis.

Sebaliknya, ia sempena ulang tahun ke-70 filem klasik The Wizard of Oz di mana watak lakonan aktres Dorothy Gale memakai sepatu merah delima dan bukan perak seperti paparan novel karya L. Frank Baum.

Ibu kurung anak 54 bulan dalam almari


LARHONDA MARIE MCCALL



BANDAR OKLAHOMA - Seorang wanita ditahan polis selepas anak lelakinya yang berusia 14 tahun mendakwa dikurung di dalam almari pakaian selama empat tahun setengah, kata polis kelmarin.

Seorang pengawal keselamatan di sini menghubungi polis selepas remaja itu mendapatkan pertolongannya setelah berjaya melarikan diri dari rumah pada Jumaat lalu.

"Dia lapar, kotor dan mempunyai banyak kesan calar. Saya sangat sedih," kata Sarjan Gary Knight.


STEVE VERN HAMILTON


Remaja itu dihantar ke hospital untuk diperiksa sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kemanusiaan (DHS), kata Knight.

Tambah Knight, remaja itu berpindah ke Oklahoma dari New Jersey selepas ibunya dibebaskan dari penjara.

Remaja tersebut mendakwa dia melepaskan diri setelah berjaya menolak penghadang almari.

Polis pada Sabtu lalu menahan ibu remaja itu, LaRhonda Marie McCall, 37, dan rakannya, Steve Vern Hamilton, 38, atas 20 aduan kerana mengabaikan kanak-kanak serta penderaan.

Tuduhan rasmi masih belum dikemukakan tetapi kedua-dua suspek dikenakan bon AS$400,000 (RM1.4 juta), menurut sejumlah rekod penjara.

Putera Arab paksa chef kerja 14 jam


PUTERA Saud


LOS ANGELES - Kerabat diraja Arab Saudi, Putera Saud bin Faisal bin Abdul Aziz al-Saud disaman tukang masak sendiri setelah lelaki tersebut dipaksa bekerja 14 jam sehari tanpa rehat.

Chef Pedro Gomez mendakwa dia tidak dibayar kerja lebih masa dan tiada masa rehat sepanjang dia bekerja di rumah putera itu di Beverly Hills di sini.

Berikutan itu, satu saman dikemukakan terhadap Putera Saudi, isterinya dan anak perempuan beliau di Mahkamah Tinggi Los Angeles semalam.

Putera itu yang juga merupakan Menteri Luar Arab Saudi masih belum memberi ulasan terhadap saman tersebut.

Gomez berkata, dia bekerja untuk putera itu sejak 1999 sehingga Mac 2009 selepas dipecat Putera Saud.

Katanya, dia terpaksa menyediakan tiga hidangan makanan sehari untuk 30 orang sehingga tidak sempat untuk makan, berehat dan tidak menerima bayaran kerja lebih masa.

Jacko kini Raja Box Office


PEMINAT Michael Jackson menunjukkan pas VIP selepas berjaya beratur selama tiga hari untuk mendapatkannya di Los Angeles pada Ahad lalu.


LOS ANGELES - Peminat Michael Jackson bersiap sedia berhibur dengannya buat kali terakhir apabila filem This Is It yang memaparkan kehidupan Raja Pop itu memecah rekod tempahan awal tiket, kata studio Sony Pictures Entertainment selaku penerbit filem berkenaan.

Filem tersebut menampilkan beberapa rakaman penyanyi lagu Thriller itu semasa dia mengadakan raptai sempena konsert kemunculan semulanya, beberapa minggu sebelum kematiannya pada 25 Jun lepas.

This Is It akan hanya ditayangkan pada 28 Oktober ini tetapi tiket di beratus-ratus pawagam Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sudah habis ditempah sejak jualan awal dibuka kepada orang ramai pada Ahad lepas.

Menurut Sony Pictures, jualan tiket 'meletup' di beberapa bandar raya termasuk termasuk Los Angeles, San Francisco, Houston dan New York.

Di Jepun, rekod baru dicatatkan apabila jualan tiket memperoleh kutipan lebih AS$1 juta (RM3.4 juta) pada hari pertama tempahan awal bermula.

Di London, peminat This Is It membeli lebih 30,000 tiket filem itu pada hari pertama jualannya sekali gus menenggelamkan jualan awal tiket bagi Harry Potter dan The Lord of the Rings iaitu dua buah filem yang amat popular di Britain.

Jualan tiket termasuk menerusi Internet turut memecah rekod di Belanda, Sweden, Belgium dan New Zealand manakala di Paris, Bangkok serta Munich, orang ramai berbaris panjang bagi mendapatkannya.

Sementara itu, polis AS masih menyiasat punca kematian Michael yang dikaitkan dengan dos ubat berlebihan dengan siasatan tertumpu terhadap doktor peribadinya, Conrad Murray.

Lebah serang lokasi kemalangan van, lori


SEORANG penjaga lebah menyepit lebah ratu ke sarang serangga itu di London baru-baru ini. - Gambar hiasan



ANKARA - Petugas-petugas penyelamat di Turki menjerit kesakitan akibat disengat sekawan lebah bertubi-bertubi setelah ia terlepas apabila sebuah van membawa sarang serangga tersebut merempuh sebuah trak kelmarin.

Agensi berita Anatolia melaporkan kira-kira 20 orang terpaksa dikejarkan ke hospital, enam daripada mereka cedera akibat kemalangan manakala selebihnya merupakan mangsa serangan kawanan lebah.

Gabenor tempatan, Ahmet Altiparmak berkata, seorang mangsa meninggal dunia tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mangsa maut disebabkan impak kemalangan atau kerana serangan lebah.

Menurut Anatolia, pasukan penyelamat termasuk sejumlah penternak lebah terpaksa menggunakan pancuran air, selimut dan guni bagi membunuh dan menghalau serangga itu.

Kejadian berlaku apabila van berkenaan melanggar sebuah trak yang berhenti di sebatang jalan raya berdekatan pusat peranginan Marmaris, barat daya Turki.

Nahas itu mencederakan enam orang, empat orang berada di dalam van manakala dua lagi menaiki trak berkenaan.

Pihak berkuasa memanggil sejumlah 50 penternak lebah di sekitarnya bagi membantu menghalau serangga berbisa itu daripada terus menyerang anggota polis, paramedik dan bomba yang berada di tempat kejadian.

Bakat seni Ellie Yong

Meskipun masih muda, Ellie Yong memiliki kebolehan melukis yang luar biasa. Hasil seni remaja perempuan yang berumur 16 tahun itu juga kerap menjuarai pertandingan bertaraf antarabangsa.




MEMANG mengujakan apabila dapat bertentang mata dengan pelakon popular Hollywood, Harrison Ford yang membawakan watak Indiana Jones di pusat beli-belah Cineleisure, Petaling Jaya baru-baru ini.

Bergaya dengan penuh karisma, Ford, 57, kelihatan jauh lebih muda berbanding usia sebenarnya.

Selain Ford, pengunjung juga tidak melepaskan peluang lihat secara dekat pemain bola sepak Britain yang menjadi kegilaan ramai, David Beckham yang juga kebetulan turut berada di situ.

Ruang legar tingkat bawah pusat beli-belah itu sesak dengan orang ramai yang berkerumun untuk melihat dua figura hebat itu dari dekat.

Namun, pertemuan dengan dua orang figura itu hanyalah menerusi kepingan kanvas yang merupakan sebahagian daripada hasil karya pelukis muda, Ellie Yong, 16.

Lebih menakjubkan, remaja semuda itu mampu menghasilkan lukisan potret yang cukup hidup.

Ellie memang tidak ada dalam senarai pelukis bertaraf antarabangsa.

Namun, kemahiran gadis yang bersekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Jalan Gasing, Petaling Jaya itu dalam menghasilkan lukisan realistik tidak harus dipandang sebelah mata.

Turut menarik perhatian pengunjung di situ ialah lakaran seekor kuda sedang berlari dan pemandangan padang golf yang luas dengan seorang pemain sedang beraksi.

Ketika kunjungan Kosmo!, Ellie yang sedang duduk di salah satu sudut pameran tekun meneliti gambar Micheal Jackson di sebelah tangan kirinya.

Kebolehan

Tangannya pantas mencapai berus dan warna melukis wajah Raja Pop dunia itu. Orang ramai yang memerhati gadis berkaca mata itu terpegun dengan kebolehannya.

Kepakaran Ellie mengeksploitasi sudut perspektif nyata membuatkan imej yang dilakarnya begitu memukau.


WATAK manusia sering menjadi sumber ilham Ellie.


Mungkin kerana itu, tidak hairanlah Ellie kerap kali menang dalam pertandingan yang disertainya. Antara pertandingan yang dimenangi Ellie ialah Sarawak My Paradise Painting Competition untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2006 dan 2007.

Dia juga pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Lions Clubs International Peace Poster Contest (Malaysia-Singapura-Brunei district) pada tahun yang sama serta anugerah kecemerlangan dalam pertandingan Lion Clubs International Peace Poster Contest di peringkat antarabangsa.

Dia juga merupakan pemenang tempat pertama Pertandingan National Global Art 2007.

Illustrasi hidup

Ilustrasi wajah dan potretnya seakan-akan hidup tatkala mata dan tangannya berhubung dengan berus, warna, kertas lukisan serta sekeping gambar sebagai panduan.

Bagaimana Ellie melakukannya? Jawab Ellie : "Saya lukis berdasarkan apa yang saya amati. Sama ada karakter itu sedang menangis, menjerit, marah, takut dan sebagainya."

Ellie mengakui paling menggemari melukis figura manusia.


ELLIE pernah mendapat anugerah kecemerlangan di peringkat anatarabangsa.


Dia hanya memerlukan masa selama tiga minggu sahaja untuk menyiapkan lukisan figura yang sukar.

"Untuk permulaan, saya akan melakar dahulu karakter tersebut berpandukan gambar selama satu atau dua jam.

"Selepas itu, baru proses mewarna dilakukan. Proses mewarna memerlukan masa yang agak lama kerana ia memerlukan teknik dan ketelitian yang tinggi agar nampak seperti gambar sebenar," katanya yang telah melukis melebihi 100 keping lukisan.

Ellie kelihatan sibuk dan begitu asyik menyiapkan lukisannya. Ketekunan Ellie membuatkan penulis mendekati ibunya untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya.


ELLIE mampu menghasilkan lukisan yang kelihatan hidup.


Ellie disifatkan oleh ibunya, Connie Leong, sebagai seorang yang sangat pendiam dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan sesebuah lukisan.

Malah, kadangkala masa yang diambil boleh mencecah selama beberapa hari.

Leong bagaimanapun memberitahu, bakat anak sulungnya itu tidak diwarisi daripadanya atau suami.

"Mungkin bakat melukis Ellie diperoleh daripada ibu saudaranya yang pandai melukis. Adik-adiknya juga tidak begitu mahir melukis," jelasnya.

Sekolah seni

Sedar akan bakat yang ada pada Ellie dan enggan mempersiakannya, Leong menghantar anaknya ke sekolah seni.

"Semasa berjalan-jalan di Bangsar, saya ternampak sekolah seni My Favorite Art House (My FAH). Sejak itu, saya berhasrat untuk mendaftarkan Ellie.

"Biar dia tahu dengan lebih mendalam mengenai teknik melukis, membuat pembayang, mewarna atau sebagainya untuk menghasilkan lukisan yang hebat," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Kini, selepas lima tahun belajar di My FAH kebolehan Ellie melakar potret amat mempesonakan.


ELLIE telah melukis melebihi 100 keping lukisan setakat ini.


Malah, apabila sesekali bertukar genre melakar flora dan fauna karyanya mengujakan setiap mata yang memandang.

"Watak manusia sering menjadi sumber ilhamnya. Selain itu, Ellie juga pandai melukis flora dan fauna, selain pemandangan alam sekitar atau bangunan," tambah Leong sambil memberitahu Ellie seorang yang tidak jemu-jemu mempertingkat dan mempelbagaikan teknik kemahiran melukisnya.

Melukis sejak usia tiga tahun, Ellie pada awalnya menggunakan warna pensil dan krayon.

Namun seiring peningkatan usianya dia beralih kepada medium lukisan yang lebih luas iaitu warna cat air, kapur dan sebagainya.

Kini, Ellie mahir melukis menggunakan komputer. Kepelbagaian perisian berkaitan lukisan memudahkan Ellie untuk mempelbagaikan teknik lukisannya termasuklah kemahiran menyelesaikan sesuatu lukisan dalam masa yang ditetapkan.

Wira peronda jambatan

Sekiranya, ia melibatkan kerosakan teruk ataupun kemalangan, kenderaan akan ditunda keluar dari jambatan bagi membolehkan kesesakan lalu lintas dipulihkan dengan segera.




SESIAPA sahaja yang melalui Jambatan Pulau Pinang pasti pernah terperangkap dalam kesesakan, terutama ketika melaluinya pada waktu puncak.

Walaupun pembukaan lorong ketiga sejak awal Julai lalu dilihat mampu menyelesaikan masalah tersebut, namun pengguna masih tidak dapat lari daripada isu itu. Kesesakan menjadi lebih teruk jika berlaku kemalangan atau kenderaan rosak yang menghalang laluan kenderaan lain.

Di sebalik sumpah seranah yang mungkin dilontarkan oleh kita yang tidak sabar apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutama sepanjang cuti panjang Aidilfitri, tahukah kita bahawa ada pihak lain memikul tanggungjawab untuk menyuraikan 'kekusutan' tersebut. Mereka ialah petugas Pasukan Peronda Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB).

Ayob Aziz, 45, dan rakan setugasnya, Mohamad Marzukim Najamudin, 40, merupakan antara individu yang bertanggungjawab menyuraikan kesesakan tersebut.

Menurut Ayob, pengalaman bekerja selama 15 tahun sebagai anggota peronda lebuh raya telah menjadikannya lebih matang dalam usaha memberi bantuan kepada orang ramai dengan kadar segera.

Katanya, sebagai pasukan peronda, tugas utama yang harus dipikul adalah memulihkan semula keadaan lalu lintas yang sesak.

"Selalunya, kesesakan di Jambatan Pulau Pinang berlaku kerana kenderaan rosak, kemalangan mahupun objek tercicir.

"Kalau ia melibatkan kerosakan kecil kenderaan, kami akan cuba membaikinya supaya kenderaan terlibat dapat bergerak semula. Sebab itulah, kami turut dilatih dengan kemahiran teknikal.

"Tetapi sekiranya, ia melibatkan kerosakan teruk ataupun kemalangan, kenderaan akan ditunda keluar dari jambatan agar lalu lintas dapat dipulihkan dengan kadar segera," katanya.


ANGGOTA petugas Pasukan Peronda Penang Bridge Sdn. Bhd. turut diberi latihan teknikal berkaitan kenderaan bagi membantu pengguna Jambatan Pulau Pinang.


Mengulas pengalaman paling tidak dilupakan, Ayob berkata, pengalaman menyaksikan seorang lelaki cuba terjun dari atas jambatan dipercayai untuk membunuh diri kira-kira dua tahun lalu menjadi antara pengalaman yang sukar dilupakannya.

Katanya, ketika itu, beliau sedang meronda bersama seorang rakan setugas sebelum ternampak seorang lelaki berdiri di pinggir penghadang jambatan dalam keadaan mencurigakan.

"Kami berhenti dan memperkenalkan diri sebelum memujuk dia supaya tidak meneruskan niatnya.

"Malangnya, dia terus berdiam diri walaupun dipujuk beberapa kali. Kami cuba untuk tidak panik, dan apabila dia cuba panjat tembok penghadang, saya dan rakan bertindak pantas memaut tubuh lelaki itu.

"Dia menangis teresak-esak dan meronta-ronta. Kami sempat menghubungi bilik kawalan sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohamad Marzukim pula berkata, mereka turut bertanggungjawab membersihkan laluan daripada objek yang boleh menghalang kelancaran pergerakan kenderaan. Antara yang paling kerap berlaku adalah paku yang bertaburan di atas jalan raya," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya kerap menemui paku yang ditabur oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan biasanya mangsa adalah penunggang motosikal.

"Pernah semasa meronda pada kira-kira pukul 11 malam, beberapa tahun lalu, saya terserempak dengan sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil berusia dua tahun. Mereka terpaksa berhenti di tepi jalan kerana tayar motosikal bocor.

"Saya hubungi bilik kawalan PBSB dan beri bantuan sewajarnya kepada mereka. Keadaan seperti ini membuatkan kami berasa geram dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menabur paku," katanya.


TUGAS utama yang harus dipikul adalah memulihkan semula keadaan lalu lintas yang sesak.


Menurutnya, jumlah kes seperti itu kini semakin berkurangan kerana pihaknya telah diarah membuat rondaan bermotosikal dengan membawa alat khas iaitu logam magnet bagi mengesan paku di atas jalan.

"Selain itu, PBSB juga menyediakan perkhidmatan mengangkut motosikal mangsa, sama ada motosikal itu mengalami kerosakan enjin ataupun tayar bocor ke bengkel berdekatan secara percuma.

"Mungkin atas faktor tersebut, paku tidak lagi ditabur di atas jambatan kerana pelakunya mungkin sudah tidak boleh 'cari makan' dengan cara ini," jelasnya yang bertugas sebagai anggota pasukan peronda lebuh raya di jambatan itu sejak lima tahun lalu.

Anggota pasukan peronda seperti Ayob dan Mohamad Marzukim seharusnya diberi pujian atas tugas yang telah dilaksanakan. Ini kerana mereka merupakan 'barisan hadapan' dalam memberi tindak balas pantas untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

Vietnam masih dicemari dioksin

Kerajaan AS dan Vietnam kini bekerjasama melaksanakan projek pembersihan lapangan terbang Danang kerana lokasi tersebut disifatkan paling tercemar dengan racun perosak.


NGUYEN QUANG HOA (bawah) yang mengalami kecacatan akibat Agen Oren melakukan aksi seni mempertahankan diri di Perkampungan Persahabatan, Hanoi.


MAI Khai gembira dengan tanaman ubi kentang dan buah tembikai yang diusahakannya berlatar belakang sebuah dinding bata. Dinding itu mengelilingi sebuah bekas lapangan terbang milik kerajaan Amerika Syarikat (AS) di Danang yang masih disifatkan sebagai lokasi paling tercemar.

Sudah hampir empat dekad berlalu selepas insiden penyemburan Agen Oren dan racun perosak yang lain dihentikan di situ oleh pasukan tentera AS. Racun-racun perosak tersebut mengandungi bahan penyebab kanser dan dioksin. Kini, kerajaan AS dan Vietnam bekerjasama melaksanakan projek pembersihan peringkat awal di Lapangan Terbang Danang.

Bahan tercemar

Proses penyingkiran bahan-bahan tercemar berskala besar bagaimanapun belum dimulakan lagi. Ia mungkin memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Pakar-pakar dari Vietnam dan negara luar berkata, kerja-kerja pembersihan yang berterusan itu tidak terlalu membahayakan Khai dan tanamannya.

Biarpun begitu, penduduk yang tinggal berdekatan lapangan terbang tersebut secara amnya memang terdedah kepada risiko dioksin.

Satu kajian oleh penyelidik Kanada mendapati, terdapat peningkatan paras dioksin di dalam tubuh mereka yang tinggal berdekatan lingkungan utara dan timur lapangan terbang itu. Biarpun begitu, bilangan orang yang terdedah kepada risiko pencemaran itu tidak dapat dikenal pasti.

"Kami sebulat suara bersetuju dioksin adalah tidak baik," kata Koos Neefjes, seorang penasihat tentang dioksin untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Hanoi.

Khai yang berusia 76 tahun bagaimanapun tidak berasa bimbang.

"Di sini, mana ada pencemaran? Tengok, saya pun masih hidup lagi," ujar seorang penduduk tetap di kawasan tersebut.

Racun

Sepanjang perang Vietnam, pasukan tentera AS telah menyimpan sejenis racun rumput-rampai, Agen Oren di Danang dan pangkalan lain sebelum dimuatkan ke dalam pesawat untuk tujuan meranggas.

Presiden pakar-pakar Perunding Persekitaran Hatfield, Kanada, Thomas Boivin berkata, kawasan hutan yang terkena semburan racun perosak itu bagaimanapun tidak mengandungi paras dioksin yang tinggi hari ini. Boivin telah menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya untuk mengkaji pencemaran dioksin di Vietnam.

Walaupun begitu, kerajaan AS dan Vietnam telah mengenal pasti bekas lapangan terbang AS di Danang, Bien Hoa dan Phu Cat sebagai lokasi pencemaran utama. Di situ, tumpahan dan proses memuatkan racun-racun perosak itu ke dalam pesawat telah menyumbang kepada pencemaran bertoksik.


TRAN TIEN DAT, 4, (kiri) salah seorang kanak-kanak yang menghadiri sesi pemulihan Doan Thi Quyen di Perkampungan Keamanan Thanh Xuan, Hanoi, Vietnam.


Boivin berkata, paras kandungan dioksin di Lapangan Terbang Danang kini 300 hingga 400 lebih tinggi berbanding tahap yang dibenarkan di peringkat antarabangsa.

Kira-kira dua tahun lalu, kerajaan Vietnam dengan bantuan AS telah memasang sebuah penutup di lokasi penyimpanan Agen Oren selain memperbaiki sistem perparitan. Proses menapis mendapan tasik di dalam kawasan lapangan terbang Danang turut dijalankan.

Pegawai kedua-dua pihak memberitahu, langkah-langkah bersifat sementara itu berjaya mencegah sebaran pencemaran tersebut.

Destinasi pelancongan

Kawasan yang terjejas itu berada di bawah pengawasan pasukan tentera Vietnam dan dalam perancangan kerajaan untuk dipromosikan sebagai sebuah destinasi pelancongan. Ia juga terpisah daripada terminal penumpang di bandar raya keempat terbesar di Vietnam itu.

Dalam beberapa sesi ceramah mengenai sebaran Agen Oren pada bulan ini, Neefjes berkata, tanpa tindakan lanjut, bahan-bahan tercemar di lokasi 'tenat' itu akan terus tersebar menerusi partikel-partikel tanah, aliran air, hidupan liar dan udara. Sesi ceramah tahunan itu telah diadakan di antara pihak berkuasa Vietnam dan AS.

Dioksin boleh merebak menerusi rantaian makanan seperti melalui ikan atau ayam.

Biarpun bantuan terus diterima, AS memberi tumpuan kepada lokasi Danang atas permintaan kerajaan Vietnam.

Para pegawai AS berkata, isu yang kompleks dan sensitif dari aspek politik seperti itu memerlukan persetujuan sebulat suara daripada kerajaan AS sendiri selain persefahaman antara AS dan Vietnam.

Duta AS, Michael Michalak berkata, kerajaan AS telah bertindak pantas dalam menggerakkan projek tersebut. Beliau mengulas aduan seorang pegawai kanan kerajaan Vietnam yang mendakwa dana daripada kerajaan AS tidak disalurkan dengan pantas.

Penilaian

Michalak sebaliknya memberitahu, pelbagai tawaran telah diterima dan satu kontrak untuk penilaian alam sekitar serta kerja-kerja persediaan di Danang akan diumumkan dalam masa terdekat. Malah, pada Jun lalu kedua-dua kerajaan telah mula mencuba satu kaedah penyingkiran dioksin menggunakan organisma biologikal, bioremediasi.

Pengarah Office 33 yang mengendalikan isu Agen Oren di Vietnam, Lai Minh Hien berkata, proses penyingkiran bahan-bahan tercemar itu dilakukan menerusi teknologi bio atau kaedah lain.

Proses penyingkiran bahan pencemaran di tiga bekas lapangan terbang tersebut mungkin mencecah kos perbelanjaan bernilai AS$60 juta dolar (RM209 juta). Dalam satu temu bual bersama agensi berita AFP, Hien telah meminta bantuan dana tambahan daripada kerajaan AS.

"Kami mahu kerajaan AS menggandakan usaha mereka," kata Hien.


PEGAWAI Persatuan Mangsa Agen Orange Danang Tra Thanh Lanh menunjukkan kawasan yang dipercayai tercemar dengan dioksin di Danang, Vietnam.


Meskipun begitu, Michalak memberitahu, adalah terlalu awal untuk menganggarkan kos sebenar proses pembersihan tersebut.

Sementara itu, pengerusi bersama dalam ceramah bersifat bilateral itu, Le Ke Son berkata, pencemaran di Bien Hoa misalnya adalah satu contoh terbaik.

"Skop pencemaran di sana adalah jauh lebih luas daripada jangkaan dan memerlukan kajian baru," jelasnya.

Biarpun Perang Vietnam berakhir pada 1975, hubungan antara AS dan Vietnam hanya berjaya dipulihkan sekitar tahun 1995.

Cuti panjang layan suami


SELEPAS seminggu bercuti raya, Sharifah Shahora Syed Akil, 34, kembali sibuk di lokasi penggambaran drama Jongkang Jongkit dan Jangan Pandang Belakang yang kini memasuki musim kedua.

Penggambaran drama Jongkang Jongkit bermula 1 Oktober ini manakala Jangan Pandang Belakang seminggu selepas itu. Jelas Shahora, dia tiada masalah berlakon dalam dua drama serentak kerana kedua-duanya adalah cerita yang bersambung, justeru, dia sudah faham benar dengan jalan cerita dan watak yang akan dibawa.

Menurut Shahora, menerusi Jongkang Jongkit, dia memainkan peranan kakak sulung kepada Amylia Rosnaida dan Abby Abadi.

Manakala Rosnah Mat Aris dan Yalal Chin memegang watak sebagai ibu bapa mereka dalam drama bertema keluarga.

"Menyambut Ramadan lalu, saya bercuti lama iaitu seminggu sebelum tibanya bulan mulia itu sehinggalah seminggu selepas Syawal.

"Hari lain saya sibuk dengan penggambaran drama dan jarang dapat makan bersama suami (Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamarudin, 36).

"Kadang-kadang kami kami hanya berselisih di rumah sendiri. Dia baru balik kerja, saya pula bersiap hendak ke lokasi. Mujur kami berada dalam lapangan pekerjaan yang sama jadi kami tidak pernah bertelagah mengenai jadual kerja yang tidak menentu.

"Kami berkawan dan bercinta lama sebelum berkahwin jadi kami saling memahami corak kerja masing-masing. Bahkan dek kerana kesibukan juga kami tidak sempat berbulan madu.

"Jadi pada Ramadan lalu saya berkorban dengan tidak menerima sebarang tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

"Lagipun inilah kali pertama kami menyambut Ramadan dan Syawal sebagai suami isteri selepas berkahwin pada Februari lalu.

"Saya tidaklah pandai sangat memasak, tetapi dek kerana suami tersayang, saya berusaha untuk mendalami dunia masakan dengan bertanyakan emak resipi baru setiap hari dan juga membeli buku resipi.

"Alhamdulillah, Mukhriz tidak cerewet. Biarpun adakala cubaan saya tidak begitu menjadi namun dia tetap kata sedap. "Mukhriz yang tahu saya jenis tak boleh duduk diam bertanya pula, apakah saya tiada penggambaran drama sepanjang Ramadan lalu.


"Teringin juga hendak menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri yang lain dan mengambil keberkatan pada bulan mulia itu. Kebetulan saya pun sudah lama tidak bercuti panjang," katanya.

Sebenarnya, jelas Shahora, walaupun dia bercuti berlakon sepanjang Ramadan lalu, dia mengambil peluang berkenaan menguruskan perniagaan yang dilakukan secara kecil-kecilan bersama Mukhriz.

"Selain terbabit dalam dunia seni, kami berniaga dan mempunyai pejabat di Ampang. Setiap pagi saya ke pejabat menguruskan pesanan pelanggan dan sebagainya.

"Petang baru balik rumah, tetapi tidaklah sesibuk ketika penggambaran. Saya boleh bekerja mengikut masa sendiri. Sebelah petang bolehlah sediakan juadah berbuka. Seronok dapat berbuka bersama suami di rumah," katanya.

Mengimbas cerita raya, jelas Shahora, sambutan Aidilfitri lalu sangat meriah dan puas berjalan raya ke rumah sanak saudara kedua-dua belah keluarga.

"Dari kampung nenek saya di Temerloh, saya dan Mukhriz ke Raub pula iaitu ke kampung nenek Mukhriz. "Kemudian meneruskan perjalanan ke Kuantan. Setiap hari kami berjalan ke rumah saudara mara kerana ketika majlis kenduri kahwin dulu tidak sempat berkenal mesra dengan mereka.

"Jadi pada lebaran lalu kami sepakat menziarahi keluarga dan sanak saudara kedua-dua belah pihak kerana selepas raya entah bila dapat berjumpa kerana sibuk bekerja semula," katanya.

Bagaimanapun, katanya, raya lalu anak angkatnya, Puteri Fiedra, setahun lima bulan, asyik meragam kerana tidak biasa dikelilingi ramai orang.

"Balik ke Kuala Lumpur pun, saya terus sibuk melayan sanak saudara yang datang beraya di rumah. Meriah sungguh raya kali ini dan yang seronoknya saya memasak sendiri juadah untuk tetamu.

"Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka khusus untuk sanak saudara yang belum sempat beraya di rumah saya," katanya.

Kembali merindu


STATUS sebagai ibu kepada cahaya mata perempuan, Neesa Helena ,18 bulan, bukan penghalang buat pelakon jelita, Datin Natasha Hudson untuk kembali menyemarakkan persada seni tanah air.

Malah, kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini, dia sudah pun bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk memberikan komitmen terbaik pada bidang seni yang dicintainya sejak dulu.

“Sebenarnya, sejak zaman anak dara lagi, saya sudah biasa hidup berdikari dan bekerja keras untuk menyara keluarga. “Pada masa sama, saya juga mempunyai tanggungjawab besar menjaga adik perempuan saya, Tania yang kurang sihat ketika itu.

“Justeru, selepas berehat panjang kerana melahirkan anak dan memberi fokus pada rumah tangga, kini sampai masanya saya kembali berlakon dan melakukan perkara yang saya minati sejak sekian lama.

“Terus terang, saya rindu untuk kembali berlakon filem dan buat iklan komersial seperti dulu. Maklumlah, anak saya, Neesa juga sudah besar sikit dan boleh ditinggalkan bersama pembantu rumah,” katanya.

Natasha, 26, yang kini bahagia dengan perkahwinan keduanya dengan usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari berkata, dia beruntung kerana suami cukup memahami minatnya yang mendalam pada bidang seni.

“Suami juga mengizinkan saya kembali berlakon asalkan ia tidak menjejaskan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu kepada anak kesayangan kami.

“Maklumlah, suami memang faham saya memang tidak suka duduk goyang kaki di rumah tanpa berbuat apa-apa kerana saya memang cepat bosan,” katanya.

Sebagai seorang ibu, Natasha mengakui rutin hidupnya sentiasa padat dengan urusan rumah tangga.

“Sekarang baru saya tahu bagaimana penatnya membesarkan anak. Sekalipun ada pembantu rumah, Neesa sangat rapat dan sukar berenggang dengan saya. Bila usia Neesa sudah lebih setahun, barulah saya boleh ‘bernafas’ sikit dan kembali berlakon.

“Saya juga tidak berasa bimbang meninggalkan Neesa dengan pembantu rumah warga Indonesia kerana ada ibu saya ataupun ibu mentua yang akan mengawasinya di rumah apabila saya keluar bekerja.


“Pada masa sama, saya juga sudah membiasakan Neesa dengan susu formula sekarang dan ia memudahkan saya untuk meninggalkannya di rumah.


“Apapun, saya bersyukur kerana dapat melihat anak kesayangan kami sekeluarga ini membesar depan mata. Sepanjang pemerhatian saya ketika mengajarnya di rumah, Neesa memang anak yang pintar,” katanya.

Sejak penghujung Julai lalu, Natasha juga sibuk menjayakan latihan pementasan teater muzikal Gamat yang bakal dijayakan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 4 hingga 12 Oktober nanti.

Ini teater kedua lakonan Natasha tahun ini selepas menjayakan watak Miss Ruth pada pementasan teater Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir yang dipentaskan kali kedua di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Mac lalu.

“Sebenarnya, saya banyak menerima tawaran berlakon drama dan filem, tetapi terpaksa menolaknya kerana ingin memberi fokus pada muzikal Gamat arahan Zaifri Husin ini.

“Saya juga terima tawaran buat teater muzikal Gamat kerana tertarik dengan watak ikan buntal yang ditawarkan pada saya. “Malah, saya juga tidak berfikir panjang apabila ditawarkan penerbit teater ini, Siti Rohayah Attan sebelum ini,” katanya.

Natasha berkata, dia mengakui berasa seronok dan teruja sepanjang sesi latihan teater berkenaan.

“Teater ini untuk menghiburkan golongan kanak-kanak dan dibintangi ramai pelakon cilik.

“Sesi latihan teater ini bermula seminggu sebelum raya lalu. Sesi latihan pada setiap pagi dan petang dan berakhir jam 12 tengah malam setiap hari.

“Watak saya sebagai ikan buntal juga sangat comel. Ada juga yang bertanya bagaimana saya akan jayakan watak ikan buntal kerana saiz badan saya yang kecil, tetapi saya percaya ia bukan masalah besar kerana ada kostum sesuai untuk ikan buntal itu nanti.

“Selain saya, pelakon Amy Mastura juga berlakon dalam muzikal ini. Setakat ini, sesi latihan teater ini berjalan lancar dan sudah membabitkan sebanyak 85 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, bintang filem Cermin ini juga mengimpikan watak yang mencabar kredibilitinya sebagai pelakon di layar perak pada masa depan.

“Saya berharap dapat buat watak mencabar dalam filem seperti watak orang gila. Saya juga berharap untuk bekerja dengan pengarah terkenal seperti Khabir Batia, tetapi nampaknya masih belum ada rezeki lagi,” katanya.

Ditanya mengenai percaturannya pada masa depan, Natasha berkata dia merancang untuk menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depannya sekeluarga.

“Saya juga bakal menjadi duta untuk produk penjagaan kecantikan tidak lama lagi. Saya juga akan terbabit dalam beberapa projek iklan komersial nanti,” katanya.



Profil

Nama sebenar: Natasha Liana Hudson

Tarikh lahir: 9 September 1982

Tempat lahir: Ipoh, Perak

Status: Berkahwin

Suami: Usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari

Anak: Nessa Helena, 18 bulan

Pendidikan: Sarjana rekaan grafik di The One Academy, Sunway dan

Performing Arts School, Chicago

Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku

Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal

Program TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman

Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara

Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.

Saya masih siuman...Farawahida



KUALA LUMPUR: “Sebagai umat Islam, saya tidak akan sama sekali melakukan tindakan paling bodoh iaitu membunuh diri hanya kerana masalah hidup. Saya masih siuman,” kata penyanyi Farawahida Razali, 24, menafikan khabar angin kononnya dia mencabut nyawa sendiri akibat tekanan emosi.

Dia yang dihubungi Harian Metro semalam terkejut dan tidak menyangka berita palsu terbabit boleh tersebar dan akhirnya sampai ke pengetahuannya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui berita palsu itu selepas beberapa rakan menghubungi selain menghantar SMS bertanya kesahihan khabar angin berkenaan.

“Saya yang masih hidup dan segar bugar pastinya terkejut dan tidak menyangka khabar angin itu boleh tersebar luas.


“Malah, berita berkenaan turut diketahui wartawan yang segera menghubungi saya bagi mendapatkan kepastian,” katanya sambil ketawa.Farawahida berkata, dia kini dalam keadaan sihat di samping keluarga, apatah lagi dengan ketibaan Syawal yang amat dinanti-nantikan.


“Ketika berita itu diketahui, saya dan keluarga sedang bersiap-siap untuk berhari raya di rumah saudara-mara di Beruas, Perak.

“Apa yang saya tahu, khabar angin itu mendakwa saya membunuh diri gara-gara kontroversi yang melanda sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti motif sebenar individu yang menyebarkan khabar angin berkenaan, namun dapat mengagak siapa dalang yang bertanggungjawab melakukan kerja nakal itu.

“Sebagai umat Islam, saya menyedari mati membunuh diri perbuatan yang tidak diampunkan dosanya. Pastinya saya langsung tidak terlintas untuk melakukan perbuatan berkenaan.

“Lagipun saya kini gembira dengan kehidupan bersama keluarga selepas kemelut yang melanda sebelum ini kian reda,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri kerana ia membuktikan masih ramai rakan dan saudara-mara mengambil berat terhadapnya berdasarkan panggilan telefon yang diterima sehingga dia tidak menang tangan.

“Saya terharu dan berterima kasih terhadap sokongan mereka yang tidak putus-putus memberi dorongan dan semangat agar terus gigih mengharungi apa jua cabaran mendatang,” katanya.

Farawahida terbabit dalam kontroversi apabila enggan menyambung kontrak dengan syarikat rakaman milik komposer Julfekar Ahmad, hujung tahun lalu.

Kemelut antara mereka bermula apabila Julfekar yang juga pemilik Millenium Art Sdn Bhd (MASB) mendakwa Farawaheda yang masih mempunyai setahun kontrak pilihan gagal menyempurnakan perjanjian yang ditandatangani apabila menyepikan diri sejak Februari lalu.

Dia pernah dua kali menghantar surat untuk keluar daripada pengurusan MASB dalam tempoh 24 jam pada Februari dan awal Jun lalu.

Bagaimanapun, permintaan penyanyi itu tidak dapat dilaksanakan berikutan kuasa menamatkan kontrak pilihan didakwa milik MASB.

Kontroversi kian panas apabila penyanyi berasal dari Taiping, Perak itu, membuat tiga laporan polis terhadap komposer terkenal terbabit, masing-masing di Balai Polis Klang pada 6 November tahun lalu, Balai Polis Taiping (9 Februari) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Julai lalu, mendakwa menerima ugutan daripada Julfekar untuk mengedar gambar dan video lucahnya.

Berikutan itu, Julfekar dipanggil memberi keterangan di IPD petaling Jaya selain telefon bimbitnya diambil polis untuk siasatan lanjut selepas ia dipercayai mengandungi klip lucah penyanyi berkenaan.


Kronologi kontroversi

>6 Februari 2009
Farawahida dilapor hilangkan diri selepas Anugerah Juara Lagu ke-23 menyebabkan pengurus dan penerbit albumnya, Julfekar kecewa kerana mendakwa penyanyi itu melanggar kontrak.


>19 April 2009
Farawahida tampil membuat pengakuan pulang ke kampungnya di Taiping, Perak, untuk mencari ketenangan selain mendakwa perlu meneliti semula syarat perjanjian dengan Julfekar yang ditandatangani ibunya ketika dia berusia 17 tahun.


>2 Julai 2009
Julfekar tuntut ganti rugi RM231,000 keseluruhan produksi dan promosi album Farawahida `09 jika penyanyi terbabit ingin membatalkan kontrak.


>4 Julai 2009
Farawahida buat pendedahan tiga laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan untuk mengedar gambar dan video lucahnya.

Ifa Raziah menang kes saman fitnah RM50, 000

Peguam Ifa, Shamsul Anuar Kamarudin berbincang dengan suami Ifa, Muhd Yani Abdul Rahman sebelum prosiding mahkamah bermula, pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Ifa Raziah berjaya dalam tuntutan saman fitnah berjumlah RM50,000 dan ganti rugi terhadap sebuah syarikat pemasaran produk kesihatan, Sain Group Corporation Sdn Bhd (SGSB).

Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan tersebut hari ini selepas meneliti penghujahan peguam Ifa (plaintif), Shamsul Anuar Kamarudin dan peguam SGSB (defendan), Boestamam Ahmad, semalam.

"Sebagai kesimpulannya, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (Ifa) bagi wang berjumlah RM50,000 sebagai ganti rugi reputasi, berserta faedah pada kadar 6 peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian sepenuhnya dan ganti rugi kos juga dibenarkan," kata Jagjit Singh dalam prosiding mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Ifa tidak hadir ke mahkamah hari ini dan dia diwakili suaminya, Muhd Yani Abdul Rahman.

Tuntutan ganti rugi itu dibuat selepas akhbar tabloid Mingguan Warta Perdana terbitan defendan bertarikh 29 Jun 2008, menerbitkan artikel yang bertajuk "Ifa Raziah bebas alahan" - ajak rakan artis minum Power Nest.

Dalam artikel tersebut, Ifa (plaintif) telah dikatakan mengeluarkan kenyataan berupa pengiklanan kepada wartawan akhbar berkenaan, M. Rozi Hassan.

Bagaimanapun, Ifa dalam pernyataan tuntutannya menafikan yang beliau memberikan persetujuan atau sebarang kebenaran kepada akhbar tersebut.

Ifa juga menafikan beliau pernah memberikan kenyataan sepertimana yang tersiar dalam tabloid tersebut dan sebarang kenyataan yang disiarkan adalah kenyataan penerbit akhbar tersebut.

Shamsul Anuar (kiri) dan peguam defendan (SGSB), Boestamam Ahmad diajukan pelbagai soalan di luar mahkamah.

Oleh yang demikian, plaintif (Ifa) menuntut daripada defendan wang ganti rugi reputasi berjumlah RM50,000 dan lain-lain kos yang adil dan sesuai.

Dalam prosiding mahkamah hari ini, hakim Jagjit Singh menerima keterangan Ifa telah mengalami kerugian terhadap produk keluaran Ifa sendiri.

"Adalah jelas akibat siaran artikel tersebut, jualan produk plaintif telah merosot kerana peminat keliru yang mana satu produk keluaran plaintif.

"Saya juga menerima penghujahan peguam plaintif di mana jualan produk defendan, Power Nest telah meningkat pada Julai 2008 iaitu selepas artikel tersebut diterbitkan pada Jun 2008. Di samping itu, terdapat usaha promosi lain oleh defendan termasuk siaran melalui Johor FM," ujar Jagjit Singh.

Berhubung dengan penghujahan peguam defendan bahawa Ifa bukan seorang artis yang popular memandangkan beliau tidak memenangi apa-apa anugerah bintang popular penyanyi, pelakon atau pengacara, hakim Jagjit Singh tidak bersetuju.

Jagjit berpendapat itu bukan satu-satunya kriteria untuk menentukan populariti artis.

"Sebaliknya saya menerima keterangan Ifa bahawa beliau merupakan seorang artis dalam industri muzik Malaysia mulai tahun 1996, mempunyai empat buah album muzik, merupakan seorang pelakon drama dan filem juga pengacara 'Wanita Hari Ini' di TV3.

"Beliau juga seorang usahawanita produk kecantikan 'Serifah' dan wajah beliau terpapar hampir setiap hari di Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, NTV7 dan Astro," kata Jagjit Singh.

Hakim Jagjit Singh menambah: "Saya turut bersetuju dengan keterangan Ifa jika dia bukan seorang artis yang popular, kenapa gambar beliau digunakan oleh defendan untuk promosi dan iklan produk defendan."

Sehubungan itu, Jagjit Singh berpendapat Ifa telah berjaya membuktikan dia telah mengalami kerugian dan defendan pula beroleh pertambahan pendapatan dan imej yang baik.

Suami Ifa, Muhd Yani ketika ditemui memberitahu Ifa tidak dapat hadir kerana demam.

Muhd Yani ternyata berpuas hati dengan keputusan hari ini.

Peguam Ifa, Shamsul Anuar berkata, pihaknya juga telah memfailkan saman terhadap wartawan akhbar berkenaan, M. Rozi Hassan dan akhbar Mingguan Warta Perdana. Kes itu akan dibicarakan pada April tahun hadapan.

Dalam pada itu, peguam SGSB, Boestamam Ahmad memberitahu dia akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sebelum memfailkan rayuan terhadap keputusan kes hari ini.

Chaka Khan masih bertenaga


Chaka Khan menerima Anugerah Personaliti Terbaik The BrandLaureate daripada Dr. KK Johan (dua dari kiri) di Grand Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpur, kelmarin.


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kehebatan dan keunggulan penghibur antarabangsa Amerika Syarikat, Chaka Khan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Diberi jolokan sebagai Ratu R&B dan Soul, ternyata muzik yang dibawakan Chaka Khan telah berjaya menyatukan peminatnya di seluruh dunia.

Maka itu, tidak hairanlah apabila Chaka Khan dianugerahkan dengan Anugerah Personaliti Terbaik The BrandLaureate atas sumbangannya dalam bidang muzik selama empat dekad.

"Anugerah ini merupakan yang terbaik pernah saya terima sepanjang saya menjadi anak seni," katanya dalam nada terharu ketika menerima anugerah tersebut.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja tamat persembahan eksklusifnya, Chaka Khan - Funk This Live In Malaysia yang diadakan di sini semalam.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The BrandLaureate, Dr. KK Johan.

Chaka Khan merupakan artis ketiga yang menerima gelaran itu selepas Sir Cliff Richard dan Kitaro menerusi pemilihan yang dilakukan oleh Yayasan Jenama Asia Pasifik (APBF).

Mengulas tentang persembahannya, Chaka Khan membuktikan usia bukan satu halangan untuk terus memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

Buktinya, dia masih lagi mampu menghiburkan hampir 1,000 orang peminatnya yang hadir menonton persembahannya.

Bukan itu sahaja, tiket-tiket yang berharga dari RM398 hingga RM698 semuanya hampir habis dijual dalam masa cukup singkat dan membuktikan auranya sebagai seorang penghibur masih lagi belum pudar.

Malah, vokalnya juga masih lagi ampuh dan bertenaga sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Justeru, Chaka Khan membuktikan gelaran Ratu R&B dan Soul masih lagi menjadi miliknya biarpun ramai penyanyi baru bersilih ganti membawakan irama yang sama.

Antara lagu-lagu popular yang dibawakan Chaka adalah seperti I'm Every Woman, Ain't Nobody, I Feel For You dan Through The Fire dalam persembahan selama satu setengah jam itu.

Persembahan anjuran JS Concerts Sdn. Bhd. itu turut dihadiri bintang terkenal tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Noryn Aziz dan Nora.

Chaka Khan atau nama sebenarnya, Yvette Marie Stevens merupakan penghibur yang masyhur di kalangan peminat muzik R&B dan Soul.

Penyanyi itu juga pernah meraih 10 anugerah Grammy dalam tempoh empat dekad sepanjang bergelar anak seni.

Antara pencapaian yang diterimanya adalah anugerah Persembahan Vokal R&B Wanita Terbaik sebanyak tiga kali dan Album R&B Terbaik menerusi album Funk This tahun lalu.