jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, August 31, 2009

Doa Siti


KATA nista mahupun gosip liar, nyata Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, bukanlah orang yang sesuai untuk diuji kerana dia sudah cukup kebal dengan kerenah dunia seni yang penuh ranjau dan duri.

Hamburlah dengan sejuta tohmahan sekalipun, ia tidak menjadi kudis buat wanita yang sentiasa mengekalkan sifat merendah diri tanpa mendabik dada dengan kehidupannya yang berprofil tinggi.

Malah, setiap dugaan dilalui dengan tenang dan sabar. Moleknya sifat dan budi pekerti insan bernama Siti ini, dia terus dijulang peminat tanpa mampu digugat meskipun selepas berstatus isteri.

Ketabahan Siti melayari dunia seni turut mengagumkan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, lelaki bertuah kerana memiliki hatinya.

Selesai solat Tarawih dan sambutan ulang tahun perkahwinan ketiga 3 pasangan ini yang diadakan di kediaman mewah Datuk K di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Jumaat bersamaan 21 Ogos lalu, Datuk K membuat satu pengakuan yang menyentuh semua hati wakil media yang hadir.

"Dek kerana Siti saya belajar menghadapi gosip kerana dia seorang yang tidak melatah dan tidak pernah tunjuk perasaan marah setiap kali berhadapan situasi (gosip) begini. Siti pandai mengendali serta menjernihkan keadaan.

"Cuma itulah, setiap gosip yang diperkatakan walaupun tidak benar ia meninggalkan kesan kepada masyarakat. Dari mula kahwin gosip tidak pernah lekang dari hidup kami," katanya.

Celah Siti, dia memilih untuk bergelumang di lapangan seni dan kerana itulah dia harus mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan kontroversi serta gosip yang adakalanya menguji kesabaran dan keimanan.

"Keadaan yang terjadi membuatkan kami susah untuk menjawab. Lebih-lebih lagi terpaksa menjawab banyak kali.

"Kalau ikutkan saya dan suami lebih senang untuk tidak bercakap atau memberi sebarang komen, tetapi tidak adil bagi peminat serta masyarakat yang ingin mengetahui keadaan sebenar. Jadi mahu ataupun tidak terpaksa juga kena menjawab.

"Jadi saya harap tiada lagi gosip dibangkitkan dan tidak diselubungi fitnah. Saya mengerti fitnah itu adalah dugaan dari Allah s.w.t, tetapi saya juga manusia biasa. Janganlah fitnah yang dibuat itu sampai menjatuhkan maruah," katanya. Akui Siti, sambutan ulang tahun kali ini memberikan makna cukup mendalam meskipun ia diadakan dalam suasana cukup sederhana berbanding dua tahun sudah.


Majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu dihadiri lebih kurang 50 tetamu yang terdiri keluarga terdekat, sahabat handai serta kenalan rapat.

"Memang kami sudah rancang, kebetulan pada malam ini hari pertama mula bertarawih, justeru kami ingin mengambil berkat Ramadan.

"Sejak Jumaat lepas dan Jumaat yang seterusnya di rumah ini kami adakan sembahyang jemaah yang dikendalikan ustaz yang hadir mengendalikan majlis malam ini.

"Di samping solat jemaah, majlis turut diisi dengan tazkirah disampaikan ustaz.

"Sambutan Ramadan kali ini cukup istimewa kerana tarikhnya jatuh pada ulang tahun perkahwinan ketiga kami," katanya.

Berhubung harapannya sempena meraikan ulang tahun perkahwinan yang ketiga, jawab Siti, sudah semestinya dia mengharapkan jodoh mereka berpanjangan serta dikurniakan anak.

"Untuk rumah tangga, semestinya mahukan rumah tangga berkekalan hingga ke akhir hayat. Bak kata suami, berkekalan hingga ke syurga. Selain mengharapkan rezeki bertambah dengan kehadiran cahaya mata," katanya.

Mengakui belum sempat meminta hadiah istimewa daripada suami, Siti berkata, apa yang dimilikinya sekarang serta bersuamikan seorang yang bertanggungjawab sudah cukup membuatkannya mensyukuri nikmat Yang Maha Besar.

"Saya bersyukur dengan nikmat pemberian Ilahi dengan apa yang saya ada sekarang. Kalau ditanya hadiah ulang tahun, saya tidak kisah.

"Jika mahu sekalipun, mungkin saya mengajak suami pergi bercuti. Di mana, itu belum sempat saya fikirkan lagi, tetapi ada dua tempat yang sudah lama saya kepingin untuk pergi iaitu Switzerland dan Rome," katanya.

Destinasi bulan madu yang ketiga belum sempat dirancang, bagaimanapun pada 3 September nanti, Siti dan suami akan berangkat ke Australia untuk menghantar Ashraf (anak ketiga hasil perkahwinan Datuk K bersama bekas isteri) yang melanjutkan pengajian di negara kangaru itu.

"Ashraf akan menyertai dua lagi abangnya yang berada di sana dan kesempatan itu turut digunakan kami menjenguk anak sulung dan kedua," katanya.

Jika tiada aral, Siti dan suami merancang menunaikan umrah Ramadan ini dan melakukan ibadah itu dua minggu sebelum menyambut Aidilfitri.

Sementara Datuk K yang menikahi Siti pada tanggal 21 Ogos 2006, berkata walaupun sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Siti namun, dia terasa bagaikan semalam menikahi biduanita juga pemilik suara merdu itu.

"Tiga tahun rasa sekejap, macam baru semalam kami bernikah. Alhamdulillah, tiga tahun ini kami lalui rumah tangga dengan tenang, gembira, penuh dengan kasih sayang, perhatian dan setiap hari saya jalani hidup dengan indah.

"Siti anugerah Allah s.w.t. Saya berharap hubungan kami bertambah-tambah bahagia lagi, malah berkekalan ke akhir hayat hingga sampai syurga.

"Sama seperti Siti katakan tadi, saya juga doakan Siti dapat cahaya mata untuk menambahkan lagi keceriaan, sekali gus menjadi penyeri dalam rumah tangga kami," katanya.

Datuk K sedar ramai yang begitu cemburu terhadap Siti malah, jika kebanyakan suami punya perasaan cemburu apabila isteri menjadi tumpuan ramai, dia tidak boleh berasa seperti itu dalam banyak hal kerana akur Siti milik masyarakat.

"Saya kena biasakan diri. Namun saya sangat bersyukur, Siti walaupun kadangkala sibuk, dia pandai bahagikan masa untuk saya.

"Alhamdulillah sampai sekarang kami cukup bahagia biar ada yang cuba menduga rumah tangga kami, saya percayakan Siti kerana 'dia hanya ada saya dalam fikirannya.'

"Kadang-kadang itu memanglah Siti tidak sempat masak mahupun menemani saya makan tengah hari hari atau makan malam, tetapi apabila ada waktu dia akan beri seluruh perhatian kepada saya," katanya.

Sementara Siti pula ketika berkongsi tip rumah tangganya, berkata, dia sentiasa memastikan ada komunikasi yang baik dengan suami.

"Ramai pasangan yang mampu mempertahankan rumah tangga lebih lama berbanding saya yang baru melangkau tiga tahun. Cuma apa yang boleh saya katakan, kita harus menerima pasangan kita seadanya.

"Memastikan suami tidak berasa terabai saya pastikan sentiasa wujud komunikasi antara kami," katanya bakal muncul dengan album kerohanian, Tahajud Cinta masa terdekat ini.

Prema mahu tempa nama


VOKAL yang lantang dan genre muzik pop rock pilihan, nyata taruhan tepat bintang baru Prema Yin. Berusia 23 tahun, gadis jelita ini juga bukan sekadar berbakat dalam nyanyian tetapi waktu sama dia boleh mencipta lagu. Ia terbukti dalam mini albumnya, Eyo Eyo.

Memuatkan lima lagu, boleh dikatakan semuanya iaitu Eyo Eyo, Ain’t Got Tears (duet Moot’s), These Are The Day, Bleed dan Higher Love dihasilkan Prema Yin. Berdarah kacukan India dan Cina, Prema Yin sudah mencipta lagu sejak usianya 14 tahun.

Menurut Prema Yin, bergelar artis adalah karier pilihannya kerana sangat meminati muzik. Malah, bagi menonjolkan bakat seni dimiliki, dia tidak gusar menyertai pertandingan realiti televisyen seperti One In AMillion 2 (OIAM2) dan Who Will Win Malaysia Topstar (2004).

“Saya tidak pernah fikir soal menang dan kalah ketika menyertai pertandingan nyanyian. Bagi saya, semua itu bergantung pada rezeki dan apa yang penting ilmu. Saya gembira dapat berguru dengan Juliza Adlizan, Hazami dan Syafinaz Selamat.

“Sebagai penyanyi, mengawal lontaran vokal sangat penting. Oleh itu, bersama mereka saya belajar banyak perkara berkaitan nyanyian sehingga kini benar-benar sedia untuk aktif menyanyi. Ditambah lagi, keluarga juga memberi sokongan padu.

“Ibu bapa memberi restu apabila mereka tahu minat sebenar saya. Sehubungan itu, mini album Eyo Eyo ini saya anggap percubaan pertama untuk melihat sejauh mana penerimaan pendengar. Saya harap, pendengar menyukai muzik dan lagu saya,” katanya.

Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Prema Yin atau nama sebenarnya Prema Yin Ranee juga mengakui sangat meminati kumpulan Pop Shuvit.

Katanya, disebabkan itu, dia turut berbangga dapat berduet dengan anggota Pop Shuvit, Moots.

“Saya minat dengan semua jenis muzik tetapi apa yang diketengahkan Pop Shuvit cukup serasi dengan jiwa. Malah, saya dapati kumpulan ini turut aktif dan berjaya di luar negara seperti Jepun. Oleh itu, saya menyimpan impian berjaya seperti mereka.

“Selain diterima di negara ini, saya juga bercita-cita mengembang karier ke luar negara. Jika tiada aral dan semua dirancang berjalan lancar, saya akan ke Jerman pada September ini kerana diundang menyanyi. Saya harap ia platform terbaik buat diri.

“Saya akan membuktikan keupayaan dan bakat diri selain mengambil peluang memperkenalkan muzik Malaysia ke luar negara. Saya yakin akan berjaya serta dikenali ramai. Apapun, saya mahu pendengar terus menyokong pasaran album tempatan,” katanya.

Memulakan karier sebagai pemuzik bebas, kemunculan Prema Yin dalam industri muzik tempatan juga tidak berseorangan apabila turut tampil dengan kumpulan. Selain Prema Yin sebagai vokalis, kumpulannya dianggotai Moe (drum), Nish (keyboard), Zaim (basis) dan Isaac (gitar).


Memiliki empat beradik, anak kepada pasangan Kali Kavandan dan Alicia Chiw ini turut menonjolkan bakatnya dalam penulisan lagu bahasa Melayu. Dalam mini albumnya, Prema Yin tidak ketinggalan mempertaruhkan single Melayu, Eyo Eyo ciptaannya dan lirik, Tinta.

Katanya, dia tidak menggunakan khidmat komposer sedia ada tanah air kerana lagu dimuatkan dalam mini album Eyo Eyo sudah dicipta agak lama. Jadi, menurut gadis ini adalah wajar baginya mengetengahkan lagu sendiri kerana serasi dengan muzik dan jiwa.

Tomok: Muzik kita pun perlu Merdeka!

SETIAP kali kita meraikan Hari Kemerdekaan, pasti ramai yang meraikannya dengan cara yang berlainan.

Ada yang mengibarkan Jalur Gemilang, ada yang hadir ke Dataran Merdeka untuk melihat sambutan merdeka dengan lebih dekat dan tidak kurang juga yang hanya menonton program merdeka di televisyen bersama keluarga di rumah.

Begitu juga dengan artis dan selebriti tempatan yang berbilang kaum iaitu Tomok, Stacy, Belinda Chee dan Indi Nadarajah yang sempat berkongsi tentang pengalaman mereka menyambut Hari Kemerdekaan sempena sambutan merdeka yang ke-52 pada tahun ini.

Penyanyi Tomok

Tomok menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad iaitu "Tanggal 31" pada Hari Kemerdekaan.

"Erti kemerdekaan bagi Tomok ialah kita perlu bebas bukan sahaja daripada penjajahan fikiran, unsur budaya yang kurang sihat.

"Dari segi muzik, kita perlu mencapai tahap yang lebih tinggi dari sekarang.. agar kita boleh bersaing di persada antarabangsa.

"Kita tidak boleh berbangga dengan apa yang kita ada. Kita perlu majukan diri kita.

"Tahun lalu, Tomok akan terlibat dengan pertunjukan pada Hari Kebangsaan. Tomok sentiasa menantikan lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad iaitu "Tanggal 31".

"Untuk tahun ini, Tomok menghabiskan masa bersama keluarga di rumah kerana menghormati bulan Ramadan," katanya yang merupakan juara One In A Million (OIAM) musim ketiga.

Penyanyi Stacy

Stacy berharap rakyat negara ini menghayati perpaduan yang dikecapi kini.

"Kemerdekaan negara menandakan kita telah bebas daripada ancaman peperangan dan anasir-anasir subversif. Jadi tarikh ini cukup signifikan kepada rakyat jelata negara ini.

"Walaupun negara kita telah aman damai, kita perlu menghayati erti kemerdekaan negara sebaik-baiknya.

"Kita perlu menambahkan darjah perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

"Untuk merayakan kemerdekaan negara, Stacy akan tampal pelekat Jalur Gemilang di kereta.

“Tahun-tahun lepas, Stacy dan kawan-kawan akan pergi melihat pertunjukan bunga api. Saat itu, Stacy terharu melihat nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini,” katanya yang merupakan juara Akademi Fantasia yang keenam (AF6).

Hos ‘Quickie’ 8tv, Belinda Chee

Belinda biasa meraikan Hari Kemerdekaan ini di studio.

“Setiap tahun biasanya saya akan menyambut Hari Kemerdekaan di rumah tetapi sejak saya bergelar hos rancangan ‘Quickie’ dua tahun lalu, saya selalu meraikannya di studio 8tv untuk mengendalikan program merdeka secara langsung bersama hos Quickie yang lain.

“Pada 2007, buat pertama kalinya saya juga merasai sambutan malam merdeka di Dataran Merdeka. Saya tertarik dengan persembahan bunga api serta lampu-lampu yang cantik di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya berasa begitu bersemangat sekali untuk meraikan Hari Kebangsaan,” katanya yang buat mengacarakan ‘countdown’ merdeka secara langsung di studio 8tv bersama Henry, Sam, Zher dan Hunny Madu.

Pelakon Indi Nadarajah

Indi berlakon dalam filem Setem.

"Hari kemerdekaan adalah hari simbolik negara kita telah berjaya dari segenap segi seperti ekonomi dan rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup bersatu-padu di negara ini.

"Hari ini juga menandakan negara kita boleh dijadikan contoh oleh negara-negara lain.

"Pada hari kemerdekaan, saya akan mengibarkan Jalur Gemilang untuk menzahirkan patriotisme saya,” ujarnya yang pernah berlakon filem ‘Setem’.

Awie: Kisah lama dah berlalu, tidak kekok berlakon dengan Erra.

Awie dan Radhi Khalid dalam filem 'Sumolah".

TANPA disedari penyanyi dan pelakon Ahmad Azhar Othman atau Awie, memakan satu serta dua kilo duku langsat sahaja kaki kirinya boleh menjadi bengkak!

Perkara itu didedahkan vokalis utama Wings - sebuah kugiran rock yang berasal dari Malaysia dan ditubuhkan sekitar 1980-an - apabila pergerakannya kelihatan tidak lancar dan sesekali mengerang kesakitan apabila kakinya menghentak permukaan lantai.

"Itu hari... masa itu pergi ke Pulau Redang. Makan duku langsat hampir sekilo. Sekali sakit sehingga terus tak boleh diving oh...," katanya ketika menghadiri rakaman khas 'Mentor Raya' di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Khamis lalu (27 Ogos 2009).

Awie bersama protegenya, Keena dalam program realiti sensasi Mentor musim ketiga tampil dalam rakaman khas tersebut dan mempersembahkan lagu-lagu malar segar Raya.

Antaranya, 'Suara Lebaran', 'Indah Di Hari Raya', 'Cahaya Aidilfitri', 'Satu Hari Di Hari Raya' dan 'Setahun Sekali'.

Ditanya sama ada dia menghidap penyakit Artritis Gout atau sakit buah pinggang, Awie menidakkannya sambil tangannya mengurut-urut pergelangan kaki kirinya yang bengkak.

Awie sebagai mentor kepada Keena (tiada dalam gambar) dalam program realiti Mentor.

Serangan artritis gout biasanya berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan sendi yang terlibat itu membengkak dan sakit sehingga menyebabkan seseorang pesakit itu sukar untuk berdiri ataupun berjalan.

Kesan ini menjadi maksimum setelah beberapa jam dan hanya hilang setelah berminggu-minggu lamanya. Ia biasanya berlaku di sendi ibu jari kaki dan sendi lutut. Namun, sendi-sendi lain juga boleh terlibat dan menyukarkan diagnosis.

"Ini adalah old injuries (kecederaan lampau)... dulu main bola.. tetapi sekarang dah lupa umur.

"Tiga tahun lepas, 30-an. Sekarang dah 40-an. Lupa umur. Makan hampir sekilo (duku langsat). Lepas itu, terus tak boleh diving oh," keluh Awie yang terpaksa melupakan hasratnya untuk menyelam dan menikmati panorama menarik marin di pulau yang indah itu.

Pun begitu, Awie tidak berpendapat bengkak pada kakinya adalah berpunca daripada duku langsat.

"Sebaliknya, baru-baru ini, beli lagi tiga kilo (duku langsat)," kata Awie yang tidak serik lagi dengan duku langsat. Maklumlah duku langsat adalah buah-buahan kegemarannya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang sama ada dia tidak kekok bergandingan dengan Erra Fazira dalam filem 'Andartu Terlampau', Awie menepis gosip tersebut seperti menghembuskan habuk yang melekat di bajunya.

"Gosip tersebut dah lama berlalu (tidak relevan lagi). Kalau ikut filem 'Cuci', saya dah berdialog dan berlakon dengan dia (Erra Fazira) ....dua atau tiga tahun lampau.

"Lagi pun, ada dua tiga scene... it's part of the whole script.. tak banyak. Semua diambil sikit-sikit," katanya yang merupakan bapa kepada dua anak, Puteri Aleeya Antasha, 8 dan Puteri Aleefa Antasha, 5 hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, Arni Nazira Anuar.

Filem pertama terbitan Big Production milik Haliza Misbun, "Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami" adalah sebuah filem komedi romantik yang membabitkan pelakon Erra Fazira, Awie, Fahrin Ahmad, Mamat Khalid, Fizo Omar dan pelakon Indonesia, Ari Wibowo.

Filem arahan Din CJ ini mengisahkan kehidupan andartu, Nik Melati Sukma lakonan Haliza sendiri yang sering gagal dalam percintaan dan telah memulakan penggambaran pada 1 Ogos lalu.

Suatu hari keluarganya memberi tempoh 21 hari untuk Nik Melati Sukma mencari suami jika tidak mahu dijodohkan sendiri oleh ibu dan bapanya.

"Saya adalah salah seorang calonnya," kata Awie. Bimbang mendapat lelaki yang tidak secocok, Nik Melati terpaksa bekerja keras mencari pasangannya sehingga menyebabkan dia bertemu dengan pelbagai ragam lelaki.

Menceritakan perkembangan terkininya, Awie berkata, dia kini terlibat dalam teater 'Cuci The Musical' yang bakal dijayakan di Istana Budaya dari 23 Oktober hingga 8 November ini.

Sementara itu, Awie berkata, dari segi lakonan, dia lebih suka berlakon dalam filem bergenre komedi.

"Kalau boleh saya ingin menolak watak-watak berunsur romantis dalam filem bertemakan cinta," katanya yang pernah menolak tawaran berlakon dalam 'Seri Dewi Malam' dan 'Idola'.

Acha lagukan kisah cinta dengan Irwan Syah

Acha (kiri) mungkin menjemput Irwan Syah untuk berduet.

SEDAP mata memandang akan kemanisan pada wajah selebriti yang datangnya dari Indonesia ini. Bakatnya dalam bidang nyanyian, lakonan serta mencipta lagu tidak dapat kita nafikan lagi.

Selebriti yang memiliki nama Acha Septriasa ini bukan saja mengukir sebuah lagi kejayaan dengan menghasilkan album terbarunya yang berjudul 'Keputusan Hati', namun kesemua lagu di dalam album tersebut dicipta oleh Acha sendiri.

Menurut Acha sendiri album terbarunya ini merupakan album kelimanya tetapi bagi dirinya album ini adalah yang pertama baginya kerana kali menghasilkan album solonya.

"Album terbaru ini merupakan album kelima Acha yang berjaya dihasilkan, tetapi bagi Acha sendiri album ini merupakan album pertama kerana baru kini Acha berjaya menghasilkan album solo sendiri.

"Album ini juga sebenarnya hanya mini album dari Acha yang mmengandungi empat buah lagu dan kesemua lagu-lagu tersebut dicipta oleh Acha sendiri.

"Melodi dan liriknya semua hasil ciptaan Acha dan Acha memilih untuk membuat mini album kerana inginkan kepuasan, kalau buat single Acha tidak rasa puas," kata Acha yang turut terlibat dalam album 'Sinaran Lebaran' keluaran Suria Record (SRC).

Acha lebih menghayati lagu yang diciptanya sendiri.

Acha yang menangguhkan sementara pelajarannya di Universiti Limkokwing mengatakan dengan mencipta lagu sendiri dia akan mendapat kesungguhan untuk menyanyikan lagu tersebut dan lebih menghayatinya.

"Bila Acha buat lagu sendiri, kesungguhan untuk Acha nyanyikan lagu tersebut seperti tidak ada ditempat lain dan Acha akan lebih menghayati lagu tersebut kerana lebih tahu akan maksud disebalik lagu dan liriknya.

"Album ini berkonsepkan genre pop, tetapi ada juga 'pop ballad' dan 'pop country'. Ia tidak tumpukan pada lagu-lagu sedih saja," katanya yang akan menyambung semula pengajiannya awal tahun depan.

Malah Acha juga merancang untuk menghasilkan sebuah album lengkap dengan menambah enam buah lagu lagi ke dalam album 'Keputusan Hati' ini mulai tahun depan.

"Acha masih lagi merancang untuk hasilkan sebuah album lengkap tetapi mungkin pada tahun depan.

"Acha akan muatkan lagi enam buah lagu tetapi keenam-enam lagu itu adalah lagu duet Acha bersama-sama artis yang akan Acha pilih nanti.

"Mungkin Acha akan jemput Irwan Syah untuk berduet, dan mungkin akan ada artis dari Malaysia dan SIngapura," jelas Acha yang juga mahu berduet dengan artis seperti Anuar Zain dan Taufik Batisah.

"Jika sesiapa yang mengikuti kisah cinta Acha dan Irwan, pasti bila mendengar lagu ini anda akan faham jalan ceritanya," jelas Acha.

Sempat ditanya selebriti yang berusia 20 tahun ini mengenai lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini jika mungkin ada yang ditujukan buat bekas kekasihnya, Irwan Syah, Acha mengatakan dia ada mencipta lagu berkenaan hubungan cinta mereka dan mendapatkan persetujuan dari Irwan dahulu sebelum mengeluarkan lagu tersebut.

"Acha ada cipta sebuah lagu, judul dia 'Tentang Kita', selepas lagu tu siap, Acha ada bagi Irwan dengar dan minta persetujuan dia untuk keluarkan lagu ini. Irwan pun benarkan jadi Acha keluarkan lagu ini.

"Jika sesiapa yang mengikuti kisah cinta Acha dan Irwan, pasti bila mendengar lagu ini anda akan faham jalan ceritanya," jelas Acha.

Acha juga menjelaskan yang dia masih lagi single dan tidak pernah mempunyai hubungan dengan sesiapa, sebaliknya sebagai remaja dia bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

Malah Acha sendiri akan memberitahu umum jika dia sudah bertemu dengan pilihan hatinya.

Puasa di Malaysia sangat berbeza

Acha suka pergi ke Kampung Baru untuk mencari juadah berbuka puasa.

Tahun ini Acha menyambut Ramadan di Malaysia dan menurutnya dia merasakan waktu di Malaysia lebih cepat berlalu jika dibandingkan di Indonesia.

"Di Malaysia masanya berlalu begitu cepat, kadang-kadang tak terasa dah hampir waktu berbuka... Jika di Jakarta, terasa lama walaupun bezanya dengan Malaysia hanya satu jam lebih awal.

"Di Jakarta mungkin dengan kesesakan lalu lintas yang teruk jadi mungkin sebab tu terasa lambat waktu berjalan," kata Acha sambil ketawa.

Acha juga sebenarnya suka pergi ke bazaar di Kampung Baru kerana menurutnya makanan di sana murah-murah dan amat gemarkan sup ekor yang terdapat di sana.

"Acha suka pergi ke bazaar Kampung Baru sebab makanan di sana murah-murah dan setiap kali ke sana Acha akan beli sup ekor.

"Selain tu Acha suka ayam goreng di Datuk Keramat... sampai tuan kedai tu dah kenal Acha sebab Acha selalu ke sana," jelas Acha.

Pussycat Dolls bakal berpecah?

Kumpulan popular Pussycat Dolls dikatakan akan berpisah tidak lama lagi. Dari kiri: Ashley Roberts, Kimberly Wyatt, Melody Thornton dan Nicole Scherzinger.

GARA-gara cemburu dengan penyanyi utama Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger, ada ura-ura mengatakan kumpulan itu akan berpecah tidak lama lagi.

Semalam salah seorang anggota kumpulan itu Kimberly Wyatt mengakui bahawa mereka akan bercuti panjang selepas ini untuk memikirkan apa yang terbaik tentang masa depan kumpulan itu.

Kenyataan tersebut menguatkan lagi spekulasi bahawa kumpulan yang diasaskan pada tahun 2003 itu akan berpecah selepas ini.

Kimberly, 27, yang kini menjadi juri dalam 'World Street Dance Championships' berkata: "Kami baru sahaja selesai membuat siri jelajah persembahan di seluruh dunia dan sekarang kami mahu berehat panjang dan lebih fokus terhadap kerja masing-masing.

Penyanyi utama kumpulan Pussycat Dolls, Nicole Sherzinger.

Sebelum ini sudah ada khabar angin mengatakan anggota Pussycat Dolls yang lain tidak senang dengan layanan istimewa yang diterima penyanyi utama kumpulan itu Nicole Scherzinger.

Adakah selepas ini Nicole akan mengikuti jejak langkah Beyonce yang turut meninggalkan bekas kumpulannya Destiny Child dan menyambung kariernya secara solo?

Kirsten Dunst sukar buang ketagihan alkohol

Kirsten Dunst ketika di anugerah fesyen CFDA, New York. Dia masih lagi belum dapat menghilangkan ketagihannya terhadap alkohol walaupun sebelum ini sudah mengikuti program rehabilitasi.

AKTRESS Kirsten Dunst masih tidak dapat membuang ketagihannya terhadap alkohol selepas berusaha selama setahun setengah, lapor sebuah sumber.

Bintang filem 'Spider-Man' itu telah menjalani rehabilitasi sejak tahun lepas tetapi baru-baru ini dia kelihatan di sebuah bar di Los Angeles.

"Kirsten memesan dua botol vodka melalui kawannya... beberapa minit kemudian kawannya tadi terpaksa memegang Kirsten kerana dia tidak lagi berjalan dalam keadaan yang seimbang," lapor sebuah laman web yang memetik kenyataan sumber.

Sumber itu menambah: "Kirsten cuba menyembunyikan botol alkohol tersebut dalam jaket yang dipakainya. Tetapi tidak lama selepas duduk, dia terus meminumnya.

Jurucakap beliau enggan memberi komen mengenai perkara itu.

Lindsay Lohan berbaik semula dengan ayahnya

Lindsay Lohan ketika menghadiri parti 6126 Pop-Up Shop di Losg Angeles, California.

PELAKON dan penyanyi Hollywood Lindsay Lohan dikatakan telah berbaik semula dengan ayahnya selepas mereka berdua kelihatan sedang membeli belah.

Hubungan mereka tegang sejak ayahnya, Michael berpisah dengan ibunya, Dina.

Selepas itu Michael juga dipenjarakan atas kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol.

Michael dilaporkan menentang keras tentang hubungan lesbian kakak Lindsay dengan DJ Samantha Ronson, kerana dia tidak mahu Lindsay terpengaruh dengan perbuatan tersebut.

Ketika rumah Lindsay dipecah masuk minggu lepas, Michael terus pergi melawatnya dan berjanji akan menangkap dalang disebalik kejadian itu.

Keluarga MJ benarkan Debbie Rowe hadir majlis pengebumian

Debbie Rowe merupakan ibu kandung kepada dua anak Michael Jackson iaitu Prince,12 dan Paris, 11.

KELUARGA Jackson membenarkan bekas isteri dan ibu kepada dua orang anak Michael, Debbie Rowe untuk menghadiri majlis pengebumian Michael Jackson.

Debbie dibayar sebanyak 2 juta pound dalam satu perjanjian untuk hak penjagaan anaknya yang diberikan kepada ibu Michael, Katherine.

Sebelum ini Debbie tidak hadir dalam upacara memorial Michael yang diadakan di Staples Centre di Los Angeles.

Kematian Raja pop itu disahkan sebagai kes bunuh akibat kandungan propofol yang tinggi dalam badan, menurut laporan koroner di Los Angeles.

Michael Bolton dan Lady Gaga bekerjasama untuk album baru

Michael Bolton akan bekerjasama dengan selebriti yang namanya kini kian melonjak naik, Lady Gaga, dalam album barunya.

PEMENANG anugerah Grammy, Michael Bolton kini dalam proses menghasilkan album baru dan beliau akan bekerjasma dengan Lady Gaga.

"Ketika saya sedang berehat, pengurus saya menelefon dan memberitahu saya akan bekerjasama dengan seorang selebriti yang masih muda (Lady Gaga) untuk menghasilkan lagu baru dalam album saya.

"Saya tidak pernah dengar nama gadis itu, tetapi pengurus saya tidak henti-henti memujinya dan mengatakan dia merupakan peminat saya dan sudah lama mengimpikan untuk menulis dan menghasilkan lagu bersama-sama dengan saya," kata Michael.

"Apabila saya berjumpa dengannya di studio pada malam tersebut, barulah saya sedar dia bukan sahaja berpotensi besar malah dialah 'superstar' yang bakal dilahirkan dalam industri hiburan.

"Apa yang menarik perhatian saya ialah dia sangat fokus dan bertenaga," katanya lagi.

Michael Bolton dan Lady Gaga akan bekerjasama dalam lagu 'One World One Love', ia dijangka akan berada di pasaran pada bulan September tahun ini.

Angelina Jolie kembali berlakon dalam sekual filem 'Wanted'

Angelina Jolie dikatakan berkemungkinan besar berlakon semula dalam sekuel filem 'Wanted'.

ANGELINA Jolie berkemungkinan besar akan berlakon dalam sekual filem 'Wanted' yang dibintanginya sebelum ini.

Watak yang dilakonkannya dalam filem itu cedera teruk dipenghujung cerita filem tersebut dan penulis skrip kini sedang mencari jalan untuk menghidupkan dan membawa semula karekter dalam filemnya itu.

Pengarah filem tersebut, Timur Bekmambetov berkata 'bukan tugas yang mudah' untuk melakukannya.

Bagaimanapun Timur memberitahu penulis skrip akan 'mencuba sedaya upaya', lapor sebuah akhbar.

Angelina berlakon sebagai watak Fox, salah seorang daripda pembunuh upahan yang dilatih Gibson (Morgan Freeman).

Turut sama berlakon dalam filem itu ialah pelakon Scotland, James McAvoy.

Terbaru di slot Samarinda TV3 ‘Legasi 43 Karat’

Slot Samarinda yang menampilkan drama-drama berkisarkan dunia korporat dan lambang kemewahan konflik kehidupan di kota, memperkenalkan drama terbaru berjudul Legasi 43 Karat. Drama sebanyak 25 episod ini menemui penonton pada 26 Ogos lalu, jam 10.30 malam setiap hari Selasa hingga Khamis.

Siri ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Ezany Nazariff, Shaheizy Sam, Rebecca Nur Islam, Rahim Jailani, Aznah Hamid dan Rosnah Johari.

Lagasi 43 Karat mengisahkan Datuk Haris, pewaris rangkaian berlian ‘Legasi 43 Karat’. Perniagaan itu dipelopori oleh arwah ayahnya dan kini rangkaian syarikat itu dikendalikan oleh anak lelaki tunggal Datuk Haris, Dani. Dani berkaliber, taat kepada ibu bapa dan saudara maranya. Malah, Dani amat disukai oleh makciknya, Puan Saadiah (adik perempuan Datuk Haris). Malah, Saadiah selalu mengagung-agungkan kehebatan Dani kepada anak lelakinya sendiri, Johan. Johan seorang yang kasar dan tidak berminat hendak menguruskan perniagaan di mana menurut wasiat dia perlu meneruskan legasi perniagaan tersebut.

Episod pengenalan menceritakan pelancaran majlis rangkaian butik berlian baru keluarga Dani yang disempurnakan dalam suasana gilang gemilang. Tetamu yang hadir tertarik dengan gaya, kekacakan dan hati budi Dani yang begitu merendah diri. Dalam sidang media yang seterusnya, Datuk Haris menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan dan menyerahkan tampuk pengurusan kepada Dani.

Nek Zah muncul di situ dan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut sehingga menyebabkan berlaku sedikit perselisihan di antara Datuk Haris dan Nek Zah. Dani menjadi orang tengah dan mendamaikan keadaan. Dani mempunyai kebiasaan untuk mencatatkan semua rancangan pentingnya di dalam sebuah diari rahsia.

Sama-sama kita saksikan kesudahan siri ini.

Menyelami kehidupan Bajau Laut

Jika timbul persoalan siapakah golongan Bajau Laut? Pastinya sebilangan besar masyarakat kita hanya mampu menggelengkan kepala atau pun sekadar mengenali mereka sebagai kelompok masyarakat yang tinggal di persisiran Borneo sejak turun temurun lagi.

Hakikatnya meskipun terpinggir jauh daripada sebarang kemajuan, kehidupan Bajau Laut yang menjadikan pesisiran Borneo sebagai tempat tinggal mereka sejak berabad lalu ini ternyata memiliki keunikan yang tersendiri.

Untuk mengenali dan lebih mendekati golongan minoriti yang semakin pupus ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersempena Hari Kemerdekaan ini membawakan dokumentari istimewa, Bajau Laut – Nomads Of The Sea pada 31 Ogos 2009 (Isnin), jam 2.05 petang di TV1.

Diterbitkan KRU Motions Pictures Sdn Bhd, sepanjang satu jam siarannya penonton dibawa menyaksikan Bajau Laut – Nomads Of The Sea yang cuba berkongsi sejarah Bajau Laut yang secara tradisinya dikenali sebagai 'gipsi laut' atau 'nomad laut' yang tinggal di dalam bot dan terlibat dalam aktiviti perdagangan maritim yang meluas.

Begitu pun kelompok ini mula kehilangan identiti nomadik berikutan daripada integrasi dengan kaum-kaum tanah berpangkalan dan hanya segelintir tradisi Bajau yang masih berterusan hidup mengekalkan adat tradisi mereka.

Tetapi tradisi-tradisi lama ini sukar untuk diubah sehinggakan suku kaum Bajau ini sering memilih untuk membina rumah mereka di atas air menggunakan jangkungan ataupun kayu keras yang dijadikan penahan supaya rumah dibina tidak tumbang. Kadangkala jangkungan tersebut dipasak beberapa batu ke dalam laut sehingga jarak permukaan lantai rumah Borneo ini dengan laut hampir 800 meter.

Bagaimanapun, bagi mereka, setiap penyelesaian akan mewujudkan satu cabaran baru di mana perubahan dalam cara hidup, tetapi tradisi-tradisi dan budaya masih lagi diingati hingga kini.

Pastinya program menarik ini menjadi salah satu enigma Malaysia membawa anda menyelami adat dan gaya kehidupan mereka yang unik di mana antaranya detik-detik berada di atas kapal Soniya anda berpeluang menyaksikan kehidupan nomadik laut yang tidak pernah dipertontonkan.

Justeru, usah terlepas menonton dokumentari menarik ini, Bajau Laut – Nomads of The Sea pada hari kemerdekaan ke 52 ini, di TV1 yang pastinya akan membuka pandangan anda terhadap dunia yang tidak pernah dilihat dan sering disalahertikan.

Tari Tirana isi slot Lestary di TV3


TERAJU utama Tari Tirana, dari kiri; Ammar Alfian, Wan Sharmila, Shah Jaszle dan Nadia Aquila.

MENGARAH lebih 25 drama dan telefilem, Shahrul Ezad Mohameddin atau Ezad pantas menarik perhatian menghasilkan karya yang dilihat mampu mencuri tumpuan penonton. Lalu tidak hairanlah, pemilik syarikat Radius One Production ini terus menjadi pilihan stesen TV dan pihak penerbit untuk mengarahkan sesebuah naskhah.

TV3 terus membuka ruang kepadanya memperkembangkan lagi sisi kreatifnya. Sindarella, Emil Emelda, Kerana Cintaku Saerah dan Seputeh Qaseh Ramadan antara hasil karyanya yang disiarkan di stesen TV ini.

Biarpun baru empat tahun bergelar sutradara, Ezad yang kali pertama mengarah telefilem Sutun mula memasang keinginan untuk menjadi pengarah filem pula.

“Memang sudah lama saya mengidam peluang menghasilkan karya ke layar perak pula. Cuma masanya belum tiba. Apatah lagi komitmen saya terhadap Radius One kian meningkat.

“Malah kerana terikat dengan syarikat itu juga ada syarikat produksi lain takut untuk menawarkan khidmat kepada saya. Sedangkan saya sentiasa mengalu-alukan peluang keemasan ini. Saya sentiasa mengimpikan untuk terus berkarya dalam skala lebih luas,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaru arahannya berjudul Tari Tirana.

Drama Tari Tirana ini yang masih menjalani penggambaran dan menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur serta Singapura ini sudah disiarkan di TV3 sejak 25 Ogos lalu menerusi slot Lestary.

Kata Ezad, drama ini bukan seperti drama dan filem High School Musical sebaliknya Tari Tirana bergenre drama dan komedi yang turut disuntik dengan elemen tarian. Drama ini juga menunjukkan peningkatan penanda aras kepada perkembangan kerjaya Ezad sebagai pengarah apabila menampilkan muka baru.

Malah selepas sekian lama berlakon sebagai watak sampingan, Wan Sharmila yang juga isteri kepada rakan kongsi syarikatnya, Fazli Baharom buat pertama kali diberi peranan utama. Kebetulan pula, Wan Sharmila pernah menyertai Yayasan Warisan Kebudayaan Johor dan mahir dalam bidang tarian sebelum bergelar pelakon.

“Sampai bila saya harus menggunakan pelakon yang sedia ada atau yang sama. Projek drama ini ibarat sekolah melahirkan bakat baru. Bakat baru perlu dibentuk. Ada antara bakat baru ini sangat teruja tetapi mereka perlukan bimbingan. Drama ini turut menampilkan penari profesional dan selebihnya boleh menari pada tahap biasa saja.

“Wan Sharmila sendiri pernah bercakap dengan saya, bila nak buat drama berunsurkan tarian. Akhirnya ia menjadi kenyataan. Secara jujur juga saya berbangga melihat pacuan Wan Sharmila yang mula berlakon watak sampingan hingga ke peranan utama,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sesekali menolak keberkesanan resipi yang sering dipraktikkan Allahyarham Yasmin Ahmad dan Datin Paduka Shuhaimi Baba, dengan mengambil pelakon yang sama hingga diberi label artis residen.

Ezad sendiri sering menggunakan khidmat pelakon yang sering menghiasi karya arahannya seperti Noorkhiriah, Sharifah Amani, Bront Palarae dan Isma Yusoof.

“Sebagai pengarah, perkara paling saya titik beratkan ialah komitmen dan keserasian. Maka, sebab itu saya acap kali memanggil pelakon yang sama kerana sudah biasa dan tahu perangai masing-masing.

“Sepatutnya, drama Tari Tirana turut menampilkan Isma Yusoof. Tetapi saya sudah ada tugasan mengarah kepadanya dan sebab itu dia tidak dapat menyertai drama,” katanya.

Dengarnya...: Kasihan artis baru kena buli


BEBERAPA hari lalu, ketika Cik Normah berbuka puasa bersama seorang rakan yang tak kalah cantiknya, tiba-tiba terbuka sebuah cerita yang mampu menimbulkan pelbagai reaksi. Kelakar ada, geram ada, serta macam-macam lagilah.

Kisahnya macam ini, tidak lama dulu, heboh jugalah mengenai beberapa artis muda yang baru saja memasuki arena seni diberi peluang berlakon dalam filem yang menjalani penggambaran di negara jiran. Ketika Cik Normah berbuka puasa hari itu, rasanya, filem terbabit belum habis-habis lagi penggambaran.

Teman Cik Normah yang suka menggayakan pelbagai fesyen rambut itu bercerita, dia mendapat khabar dari seberang, beberapa pelakon baru dari negara ini selalu saja dibuli di lokasi penggambaran. Maklumlah, orang baru. Jadi, macam-macam perangai pihak produksi tunjukkan, yang pada hakikatnya tidak menyenangkan artis terbabit.

Produksi filem itu sendiri khabarnya kurang cekap. Sudahlah jadual penggambaran ala-ala tidak mereka ikuti. Maknanya, kalau mereka hendak buat penggambaran esok, maka esoklah mereka bekerja. Kalau hendak shoot lusa, maka lusalah mereka bergegas buat itu dan ini. Khabarnya, mereka bekerja tak ada sistem.

Ceritanya juga, pelakon terpaksa berpindah hotel hampir setiap hari. Tak sempat pelakon hendak menyangkut pakaian, sudah hendak kena pindah lagi. Tidak tahulah pula kenapa mereka perlu berpindah hotel sekerap itu? Yang pasti, ia agak menyusahkan bagi pelakon yang terbabit.

Cik Normah yakin, kalau hari-hari nak kena kemas beg, bukan saja pelakon yang tidak selesa dengan keadaan itu, kepala orang produksi itu sendiri pun mesti naik pening.

Ada satu hari tu, khabarnya seorang daripada pelakon yang terbabit dalam filem ini terkejut apabila balik ke bilik hotel. Mana tidaknya, dia mendapati biliknya basah apabila berlaku kebocoran paip. Sudahlah penat pindah-randah, call time sesuka hati, bilik pula basah lencun. Jadi Cik Normah harap sangat, apabila ditayangkan nanti, filem ini akan meletup sana-sini. Iyalah, barulah berbaloi dengan pengalaman tak berapa sedap yang terpaksa pelakon lalui. Kalau tak meletup juga, baiklah syarikat yang mengeluarkan belanja buat filem itu upah saja produksi tempatan. Paling tidak, kalau pelakon kena buli, mereka ada tempat hendak lari...!

Dengarnya...: Tak tahan mulut lancang selebriti


KATA dulang paku serpih, mengata orang dia yang terlebih. Cik Normah sengaja memulakan ngomelan hari ini dengan peribahasa kerana tak tahan dengan mulut lancang seorang selebriti yang sibuk mengata selebriti lain, tapi dia tak juga sedar diri.

Tak perlulah Cik Normah berikan kiasan siapa selebriti yang dimaksudkan, nanti semua orang tahu siapakah selebriti itu. Biarlah Cik Normah dengan orang yang sewaktu dengan Cik Normah saja yang tahu gerangan selebriti itu.

Baru-baru ini Cik Normah terdengar cerita selebriti berumur ini mengkritik selebriti baru mengenai macam-macam perkara. Memanglah tak salah dia nak menegur selebriti generasi baru kerana dia ada banyak pengalaman. Tetapi ada satu bahagian yang ditegur itu memang Cik Normah tak berkenan.

Apa yang dia tegur tak payahlah Cik Normah tuliskan di sini nanti jadi isu sensitif pula, tetapi perkara yang dia tegur itu berkaitan sikap generasi baru yang menceburi bidang seni sebab mereka menyasarkan sesuatu untuk hidup mereka.

Cik Normah bukanlah nak menyokong artis baru yang terbabit dengan benda tak elok. Cuma cara dia menegur itu tak berapa kena. Sebelum nak menegur, cubalah cermin diri sendiri. Selebriti berpengalaman itu bukanlah tak baik orangnya, cuma kalau nak komen orang lain tengok-tengoklah sekeliling kita dulu.

Orang kalau tengah berkobar-kobar memberikan kenyataan memang ada kalanya sampai tak sedar apa yang diperkatakan. Apabila sudah dirasuk, kita tak sedar dalam pada kita sibuk mengata orang sebenarnya benda itu terbalik pada kita sendiri.

Cik Normah ingatkan Cik Normah saja yang emosi dengan kenyataan selebriti itu, rupa-rupanya beberapa teman di pejabat juga kurang bersetuju dengan pendapat si selebriti sebab apa yang dia katakan itu sebenarnya terkena batang hidungnya sendiri. Malah kata teman Cik Normah, dia mengata orang lebih-lebih tetapi kaum kerabatnya sendiri pun lebih teruk daripada orang yang dikatakan.

Cik Normah minta maaflah jika ada yang terasa dengan tulisan Cik Normah ini, tetapi selagi Cik Normah tak luahkan perasaan ini memang cukup meluap-luap. Bukan apa, Cik Normah harap perkara ini boleh dijadikan pengajaran oleh selebriti lain supaya sebelum mengata orang, cermin-cerminlah diri dulu.

Pencak silat pemuda Amerika


CHAMP datang ke Malaysia untuk mendapatkan tali pinggang hitam kelas ketiga.

BUAT kesekian kalinya penonton National Geographic Channels International (NGCI) seluruh dunia akan dapat mengikuti sisi budaya negara ini apabila dokumentari berjudul Fight Masters: Silat ditayangkan di saluran berkenaan.

Di Malaysia, dokumentari yang dihasilkan menerusi projek usaha sama antara Finas dan NGCI itu menemui penonton buat kali pertama jam 9 malam ini. Ulangannya boleh diikuti pada 11 September dan 15 September, masing-masing pada jam 9 malam.

Dokumentari selama sejam itu diarahkan Justin Ong dari GS Productions. Dirakam dalam bentuk definisi tinggi (HD), produksi NGCI itu meneroka seni dan sains pertahanan diri Melayu lama, silat, sebagai satu daripada budaya unik negara ini.

Fight Masters: Silat ialah satu daripada dua dokumentari yang dihasilkan dalam bentuk HD oleh penggiat filem tempatan di bawah program Malaysia To The World 2, hasil persefahaman antara NGCI dan Finas, dengan matlamat memperkenalkan Malaysia serta budayanya ke peringkat global, di samping memberikan pendedahan kepada pembikin filem negara ini kepada penghasilan dokumentari lebih berkualiti dan kompetitif.

Sebelum ini, Finas dan NGCI pernah menghasilkan kerjasama serupa menerusi program Malaysia To The World. Dokumentari Becoming A King dihasilkan pada 2007, manakala Smart Tunnel pula pada 2008. Masing-masing diterbitkan NGCI bersama produksi tempatan, GS Productions dan Creative Nation.

Sepanjang penghasilan filem terbabit, pembikin filem tempatan mendapat bimbingan daripada veteran NGC bagi memastikan ia mencapai standard yang dikehendaki saluran terbabit, dengan mempunyai jalan cerita menarik, visual mengagumkan, pintar, inovatif serta disokong topik dan cara pembikinan yang terkini.

WONG (kiri) menerima cendera hati daripada Mok dan Basil Chua sambil diperhatikan Mohd Mahyidin.

Pada majlis pelancaran dokumentari itu baru-baru ini, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong berkata, kerajaan berkeyakinan filem dokumentari mempunyai aset intelektual yang tinggi nilai komersialnya, yang mampu merentasi setiap sempadan dunia dan dikongsi serta dihayati pelbagai bangsa.

"Dua tahun lalu Finas dan NGC menerbitkan dua dokumentari dengan jangkauan siaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa.

"Dengan hasrat membawa dokumentari Malaysia ke persada antarabangsa, Finas terus membina kerjasama dengan saluran terbabit bagi penerbitan dua lagi dokumentari untuk pasaran dan siaran dunia pada 2009 ini.

"Secara total, perkongsian pintar ini memberikan faedah besar kepada rakyat dan negara dari segi pendedahan dan pasaran. Dengan cara ini, budaya dan cara hidup masyarakat kita dapat dipertontonkan kepada masyarakat antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada filem lain untuk ke pasaran dunia," katanya.

PEMUDA kulit putih ini perlu melepasi ujian dibakar dengan api obor.

Hadir sama pada majlis terbabit ialah Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim; Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin; dan Pengarah Wilayah National Geograpic Channel Asia, Basil Chua.

Selain itu, katanya, karyawan filem tempatan turut menimba pengalaman bekerja dengan veteran filem saluran terbabit dalam menghasilkan dokumentari bertaraf dunia. Ia tentu sekali proses yang memberikan kelebihan kepada karyawan Malaysia dalam mengutip ilmu yang mampu mempertingkatkan profesionalisme, amalan kerja, pengetahuan dan kemahiran mereka.

SINOPSIS:

FIGHT Masters: Silat antara lain mengisahkan seorang tentera laut Amerika Syarikat, Joel Champ yang mendalami seni pertahanan diri Melayu, silat, sejak 14 tahun lalu. Bekerja dengan pasukan tentera pada siang hari, sebelah malamnya dihabiskan dengan menuntut ilmu persilatan bersama Cikgu Sam.

Joel kini bersedia untuk melalui ujian getir dalam usaha meningkatkan kemahirannya daripada Tali Pinggang Hitam Kelas Kedua kepada Tali Pinggang Hitam Kelas Ketiga. Bagaimanapun, dia hanya boleh berbuat demikian di Malaysia.

Dokumentari ini memaparkan bagaimana Joel mempelajari seni itu daripada pahlawan Silat Gayung negara. Kini, dia harus memahirkan diri dengan beberapa gerakan baru, mempelajari serangan maut yang mesti dia patahkan, serta senjata berbahaya yang tidak pernah terfikir olehnya.

Lebih menggerunkan, apabila Joel perlu melepasi ujian getir - minyak mendidih dan api yang marak membakar. Jika dia berjaya mengatasi dua halangan berkenaan, ujian terakhir menanti apabila dia harus pula berdepan dengan lawan yang juga juara silat olahraga sebanyak dua kali.

Jika anda ingin menyaksikan bagaimana pemuda Amerika itu mendalami ilmu silat serta berdepan ujian dalam mendapatkan kemahiran tertinggi dalam dunia persilatan, ikuti dokumentari menarik ini apabila ia disiarkan sempena Hari Kemerdekaan.

FIGHT MASTERS: SILAT

Tayangan perdana: Isnin 31 Ogos @ 9 malam

Ulangan: Jumaat 11 September @ 9 malam, Selasa 15 September @ 9 malam

Nana, Faizal bercerai





PENYANYI Siti Nordiana Alias atau Nana, 25, difahamkan ke mahkamah baru-baru ini bagi memfailkan pengesahan lafaz cerai dibuat pasangannya yang juga seorang pelakon, Mohd Faizal Yusof, 31, menerusi telefon.

Menurut sumber, berita perceraian itu disahkan sendiri bapa penyanyi berkenaan. Sebelum ini, rumah tangga yang dibina pada 26 April 2006 itu beberapa kali menjadi perhatian peminat apabila khabar angin mengenai pergolakan perkahwinan mereka dilaporkan media.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan tampil menafikan gosip yang kali pertama muncul beberapa bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Berita Harian cuba menghubungi penyanyi itu semalam bagi mendapatkan pengesahan tetapi gagal.

Penyanyi yang popular dengan lagu duet bersama Achik Spin, Bola Bola Api, mula berkenalan dengan pelakon drama Zarul Vs Zarina itu pada 2005. Mereka mengikat tali pertunangan pada November tahun yang sama, disusuli dengan perkahwinan beberapa bulan selepas itu.

Rakam detik manis di Crowne Plaza (Nabil dan Irma Hasmie )


NABIL dan kekasihnya, Irma Hasmie.

Majlis berbuka puasa eksklusif selebriti undang 15 Rakan@bh bertuah

KHAMIS ini, 15 Rakan@bh yang juga pembaca setia akhbar Berita Harian dan pasangan masing-masing berpeluang menikmati majlis berbuka puasa eksklusif bersama selebriti popular tanah air.

Senarionya sedikit berbeza kerana majlis yang turut mendapat kerjasama Hotel Crowne Plaza Mutiara ini turut diserikan dengan sesi memperkenalkan koleksi kasut pereka fesyen popular, Michael Shu.

Diberi nama The Black Collection, koleksi kasut rekaan buat golongan wanita itu sesuai digayakan bersempena musim Aidilfitri yang bakal bertandang tak lama lagi. Ia juga sesuai dijadikan sebagai hadiah buat yang tersayang untuk dikenakan dengan busana indah.

Penyanyi bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak antara yang awal lagi mengesahkan kehadiran ke majlis ini bersama suami tersayang, Mahathir Mohamad. Tidak ketinggalan, Chef Wan dan anaknya, Serina Redzuawan yang bakal bergelar pengantin awal tahun depan juga turut hadir memeriahkan suasana.

Kehadiran Chef Wan pastinya akan menambahkan kegamatan majlis itu nanti kerana umum tahu, tukang masak bermulut keletah itu sentiasa bijak menggamit hati orang ramai. Selain itu, Bintang Paling Popular Berita Harian 2008, Nabil tidak hadir berseorangan, sebaliknya akan ditemani kekasih hatinya, Irma Hasmie.

Anita Sarawak

Pelakon drama Nur Kasih, Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah juga hadir. Fizz tidak keseorangan kerana buah hatinya, Almy Nadia yang kini wajahnya boleh ditonton menerusi drama Senandung Si Dayang turut memeriahkan majlis. Di samping itu, ahli Rakan@bh yang bertuah dapat bermesra dengan pelakon popular, Scha Al Yahya, Diana Danielle, Fouziah Gous, Iqram Dinzly dan Sherry Ibrahim.

Menurut Michael Shu, koleksi kasut hitam rekaannya menampilkan kombinasi material kulit dan kain. Ia berkonsepkan glamorama dan tiga dimensi. Beberapa artis wanita yang diundang akan memperagakan kasut itu seperti Irma Hasmie dan Diana Danielle yang turut bergelar model.

Majlis akan dihoskan Richie Rachman dan inilah masanya untuk pembaca Berita Harian yang bertuah mengenali dengan lebih dekat dan beramah mesra dengan selebriti kegemaran yang hadir. Kalau nak tahu kesahihan gosip atau barangkali usikan yang sering dihadapi artis, mungkin ini kesempatan untuk bertanyakan perihal sebenar kepada mereka.

Nak tahu, benarkah hubungan Iqram dan Fouziah hanya sekadar teman baik atau sudah ke peringkat bercinta, betulkah Fizz dan Almy sudah bertunang atau macam-macam lagi cerita berkaitan, jangan segan untuk bertanya mereka mengetahui cerita sebenar.

CHEF WAN akan hadir bersama anaknya, Serina.

Pastinya kenangan pada 3 September ini akan terus menjadi memori indah untuk dititip sebelum menjelangnya Aidilfitri. Untuk merealisasikan detik indah ini klik ke laman web www.bharian.com.my untuk keterangan selanjutnya.

Terima kasih Crowne Plaza

KEPADA Hotel Crowne Plaza terima kasih kerana sudi bekerjasama dan menaja hidangan berbuka puasa. Menu menarik seleksi masakan kampung antara pembuka selera yang pastinya akan membuat sesiapa kecur air liur.

Kepada yang berminat untuk mencuba pakej bufet Ramadan hotel ini berharga RM95++ bagi dewasa dan separuh harga kepada mereka yang berusia 4 hingga 12 tahun boleh menghubungi Planters' Inn Restaurant di talian 03-21482322 sambungan 3820/3821.

Hidangan seperti Kerabu Kerang, Kerabu Sotong, Kerabu Mangga, Kerabu Anika Laut, Kerabu Perut and Jelatah, Rendang Puyuh Pak Sahar, Soto Ayam, Bubur Lambok, Ayam Masak Merah, Rendang Kambing, Ikan Patin Masak Asam Tempoyak, Pucuk Paku Masak Lemak, Daging Rendang dan Udang Galah Masak Lemak antara menu yang perlu dicuba.

Tak dilupakan Kambing Kurma, Ikan Bakar, Tumis Udang Daun Kunyit, Ayam Kuzi, Daging Salai Masak Lemak dengan Pucuk Ubi, Daging Mesamah, Rendang Tok, Sayur Dalca Mangga Muda, Ikan Asam Pedas Johor, Kepah Tumis Bercili dan pemanis mulut seperti Bubur Kacang Hijau dan Pengat Pisang Bersagu wajib untuk dijamah.

Jiwa merdeka!


Dari kiri; Prema Yin, Soo Wincci Hafiz dan Stacy.

Stacy, Hafiz, Soo Wincci dan Prema Yin teruja dapat peluang hiasi ruangan Hip sempena Hari Kemerdekaan ke-52

MALAYSIA sememangnya amat unik. Dengan rakyat pelbagai bangsa, negara ini kekal aman sejak mencapai kemerdekaan 52 tahun yang lalu. Semangat bersatu padu tanpa mengira fahaman agama dan warna kulit membolehkan Malaysia bergerak maju dalam suasana penuh harmoni.

Sempena sambutan Kemerdekaan negara tahun ini, dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin serta rakyatnya, Hip berbesar hati mengundang empat artis muda yang mewakili pelbagai kaum di negara kita untuk menjayakan fotografi khas merdeka.

Mereka adalah juara terbaru program realiti Akademi Fantasia (AF7), Hafiz; bintang sedang mencipta nama yang juga juara AF6, Stacy; penyanyi yang juga Ratu Malaysia, Soo Wincci; dan penyanyi rock wanita yang baru saja muncul dengan album pertama, Prema Yin.

Masih baru dalam dunia seni, sebahagiannya belum pernah bersua muka. Namun, jelas sekali suasana tengah hari di studio Balai Berita pada 26 Ogos lalu cukup meriah apabila masing-masing bergelak ketawa dan bantu-membantu sepanjang sesi fotografi berlangsung, bagai sudah lama saling kenal-mengenali.

Nyatanya, Hafiz, Stacy, Soo dan Prema cukup berbangga bergelar rakyat Malaysia dan empat artis ini menunjukkan contoh bagaimana perbezaan yang wujud antara mereka sebenarnya boleh dijadikan pelantar terbaik untuk mengukuhkan lagi perpaduan yang ada.



Soo Winci

"SEBAGAI rakyat Malaysia, saya cukup berbangga dengan keunikan yang wujud dalam negara kita. Negara ini kaya dengan adat budaya, pelbagai bangsa serta bahasa, menjadikannya cukup istimewa. Apatah lagi, walaupun kita baru 52 tahun merdeka, namun kita mampu berdiri setaraf dengan negara membangun lain di dunia.

"Sebagai Ratu Malaysia/Dunia 2008, saya mewakili negara ke pertandingan Ratu Dunia di Johannesburg, Afrika Selatan, penghujung tahun lalu. Sebagai wakil negara, saya cuba sebaik mungkin menjalankan tugas. Sebahagian peserta memang sudah mengenali negara kita, malah ramai juga yang pernah berkunjung ke sini.

"Sebahagiannya pula bertanya mengenai negara kita. Pastinya saya menggunakan kesempatan itu untuk mempromosikan tanah air dengan segala keindahan serta keenakan makanan yang boleh didapati di negara ini.

"Sebulan di Afrika Selatan, saya memang merindui negara kita, terutama makanannya. Apabila pulang saja, saya makan di restoran mamak dan gerai selama sebulan. Maklumlah, rindu sangat rasanya pada makanan berempah. Perkara yang sama berlaku ketika saya menuntut di United Kingdom, dalam bidang undang-undang (2004-2007). Kerinduan pada tanah air sendiri memang sukar hendak dilafaz dengan kata-kata.

"Biarpun mempunyai ijazah sarjana dalam bidang perundangan, tetapi minat saya lebih kepada cabang seni. Atas alasan itu, saya hadir bersama album muhibah yang memuatkan lagu pelbagai bahasa, Melayu, Cina dan Inggeris. Sebagai Ratu Malaysia, saya mewakili semua bangsa di dalamnya. Jadi, album sulung yang menggunakan nama sendiri sebagai judul ini ialah sumbangan saya dalam memperkasakan lagi semangat 1Malaysia."

Prema Yin

"SEBAGAI generasi muda Malaysia, saya tidak terkecuali menyimpan impian untuk membantu negara supaya lebih dikenali pada peringkat antarabangsa. Satu hari nanti, saya amat berharap muzik kita akan turut membuka mata masyarakat dunia.

"Menerusi muzik yang baik hasil tangan rakyat Malaysia, mungkin kita juga berupaya mengharumkan nama negara. Lalu, saya sendiri akan terus menghasilkan muzik terbaik demi memajukan industri muzik, yang bukan saja diterima di negara sendiri, malah pada peringkat lebih besar.

"Memang ia kelihatan seperti sebuah mimpi. Namun, rasanya tidak salah setiap daripada kita untuk mempunyai impian dan angan-angan, yang seterusnya mendorong kita lebih maju dalam hidup.

"Menjadi rakyat Malaysia pula, saya amat bangga dengan kepelbagaian yang ada di dalamnya. Bukan hanya pelbagai bangsa yang memakmurkan negara ini, tetapi saya juga berasa seronok kerana kita mempunyai pelbagai jenis makanan yang enak untuk dibanggakan. Apatah lagi bagi penggemar makanan seperti saya, pelbagai jenis hidangan daripada bermacam-macam etnik dan kaum yang wujud di negara ini sukar untuk ditewaskan.

"Saya yang lahir daripada keluarga muhibah (bapa keturunan India, manakala ibu keturunan Cina) turut berbangga menjadi rakyat Malaysia dek penduduknya yang menolak perbezaan warna kulit dan agama untuk hidup aman damai sesama kita. Mana mungkin kita dapat lihat keadaan yang sama di negara lain?"

Stacy

"SAYA sentiasa memanjat kesyukuran kerana dilahirkan di bumi bertuah, Malaysia. Melalui bidang yang diceburinya kini, saya sedar setiap manusia yang bernyawa di bumi tercinta ini mempunyai sumbangan tersendiri dalam meningkatkan nama Malaysia pada mata dunia.

"Selagi mampu memberikan variasi terhadap jalur muzik yang diperjuangkan kini, saya tidak sesekali akan menghancurkan kepercayaan yang diberi peminat selama ini, hingga layak mengisi ruang seni. Apa yang saya lakukan bukan sekadar melepaskan batok di tangga, sebaliknya ia sebagai jaminan pada masa mendatang.

"Tidak kira apa juga bangsa, kaum atau warna kulit kita berdiri di bawah satu nama yang sama, yakni Malaysia. Dengan keamanan yang dikecapi dan harapnya ia akan terus berpanjangan, kita bebas melakukan apa saja tanpa ada langsung sekelumit perasaan takut.

"Sama-samalah kita mendoakan kegemilangan yang dirasai selama 52 tahun ini tanpa rasa prejudis. Pada Ramadan ini juga saya juga sering diundang untuk menyertai program raya yang lebih terarah kepada pembabitan artis Melayu. Seronok juga merasai pengalaman sebegini biarpun saya hanyalah gadis Kadazan Dusun.

"Saya juga diundang ke majlis berbuka puasa termasuk mendendangkan lagu raya. Saya tidak janggal menggayakan baju kurung yang sering dipakai wanita Melayu. Sedar atau tidak, ini menunjukkan simbolik keterbukaan masyarakat yang terus menjadi kunci kepada kemakmuran negara kita."

Hafiz

"LIHAT saja apa yang berlaku di sesetengah negara dengan berlaku peperangan dan perpecahan kaum hingga nyawa insan yang tidak bersalah tergadai. Tetapi, negara kita masih terjaga dengan penuh kerukunan biarpun berbeza fahaman politik. Kita masih mampu bersatu biarpun hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

"Apa yang kita kecapi sekarang semuanya buat bekalan kehidupan pada masa akan datang, untuk generasi baru. Sebagai generasi muda yang memilih kerjaya seni sebagai laluan mencari rezeki, saya juga seperti Stacy yang boleh menyampaikan mesej di dalam muzik. Muzik juga dilihat sebagai entiti perpaduan kerana ia diterima secara umum.

"Saya juga berbangga kerana dipilih untuk merakamkan lagu 1Malaysia ciptaan Nik Nizam untuk RTM. Lagu ini menjadi saluran menyatukan rakyat negara kita supaya terus utuh menjaga nikmat keamanan yang dimiliki. Saya juga suka berkawan tanpa mengira bangsa kerana secara tidak langsung ia membuka laluan untuk kita mempelajari budaya orang lain.

"Dalam diri saya sendiri mengalir tiga darah campuran, Melayu, Cina dan Bugis. Bangga juga menjadi anak Malaysia yang merangkumi kepelbagaian budaya yang ada di negara kita. Malaysia itu jelas memaparkan keunikan daripada pelbagai perspektif. Selamat Hari Merdeka."

Turun sekolah sambut merdeka

'Apa yang datuk nenek kita perjuangkan dulu harus dipertahankan seperti contoh keamanan yang dapat hari ini hasil kata sepakat yang dicapai antara kaum" – AZNIL




MUDAH sekali menyatukan empat artis popular tanah air ini dalam sesi fotografi khas sempena merdeka yang dilakukan sehari sebelum tibanya bulan Ramadan lalu.

Kalau melihat jadual Aznil Nawawi, Rozita Che Wan, Liyana Jasmay dan Pierre Nazarul Andre, sememangnya masing-masing sangat padat dengan pelbagai aktiviti seni. Namun, demi memenuhi permintaan Kosmo! dan memeriah majlis sambutan hari kemerdekaan Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur mereka terus menyatakan persetujuan tanpa berfikir panjang saat diajak untuk fotografi istimewa ini.

Sepanjang majlis berjalan, kesemua artis dikerumuni peminat berpakaian seragam sekolah yang setia dengan kamera di tangan masing-masing. Malah, ada yang tanpa segan silu berteriak, I love you kepada artis pujaan mereka.

Memang hiruk-pikuk jadinya apabila membawa artis ke sekolah. Namun, tujuan asal tetap tidak dilupakan iaitu sambutan dan fotografi merdeka.

Merdeka cara Aznil

Aznil yang ternyata mempunyai pengaruh besar turut menyampaikan kata-kata semangat dan nasihat kepada para pelajar sekolah sempena kemerdekaan.


AZNIL mahu menjadi teladan kepada remaja yang bakal mewarisi kemerdekaan negara.


Menurut pengacara, penyampai radio, penyanyi dan pelakon popular itu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan teladan yang baik kepada kanak-kanak dan remaja.

"Semasa saya kecil, saya menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai idola dan saya tidak kisah sekiranya pelajar yang saya jumpa menjadikan saya idola mereka pula.

"Saya tahu menjadi idola bukan satu kerja yang mudah kerana tanggungjawabnya amat berat. Jadi, sebagai tanggungjawab sosial bagi saya penting untuk memberi motivasi kepada mereka bukan sahaja bila tiba Hari Merdeka kalau boleh setiap hari," ujar Aznil yang sudah biasa melawat peminatnya di sekolah.

Dalam pada itu, Aznil yang biasa dijemput pada konsert-konsert kemerdekaan saban tahun menjelaskan, hanya pada tanggal 31 Ogos sahaja dia akan berpakaian lengkap empat warna jalur gemilang.

"Saya akan ambil kesempatan jika dijemput ke konsert dengan memakai baju dengan empat warna seperti warna Jalur Gemilang. Saya rasa hanya satu hari itulah orang tidak akan kisah kalau saya pakai baju sebegitu," tuturnya dalam tawa.


ROZITA gembira meraihkan Hari Merdeka tahun ini dengan pelajar sekolah.


Luahnya lagi, sambutan merdeka bukan terletak pada hiburan, meletakkan bendera penuh di kenderaan masing-masing atau berkumpul beramai-ramai sambil menunggu detik 12 malam, sebaliknya lebih kepada pengisian kemerdekaan itu sendiri.

"Orang muda sekarang kalau merdeka, mereka hanya akan ingat konsert, hari cuti dan berkumpul bersama rakan-rakan sedangkan apa yang penting adalah penghayatan dan erti merdeka dalam diri mereka.

"Apa yang datuk nenek kita perjuangkan dulu harus dipertahankan seperti contoh keamanan yang dapat hari ini hasil kata sepakat yang dicapai antara kaum.

"Kita bukan sahaja berkongsi kuasa tetapi hampir semuanya. Itu yang harus dididik pada anak-anak kita supaya mereka mempunyai prinsip sayangkan negara. Pada saya tidak salah kalau setahun sekali kita 'sekolahkan' mereka dengan pengisian merdeka selain hiburan," katanya.


AZNIL menyuntik semangat merdeka di kalangan pelajar sekolah dengan memberikan ceramah mengenai kemerdekaan kepada mereka.


Walaupun negara sudah merdeka selama 52 tahun, Aznil mempunyai satu impian yang cukup besar iaitu melihat seluruh rakyat Malaysia mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan yang betul.

"Kalau boleh cakap pun akan ada pelat-pelat yang melambangkan kaum masing-masing. Saya suka mendengar orang Cina berketurunan Nyonya Melaka dan orang India berketurunan ceti Melaka bercakap bahasa kebangsaan. Mereka bercakap dengan baik tanpa pelat.

"Kadangkala saya malu dengan orang asing seperti Nepal dan Bangladesh yang fasih bertutur bahasa kebangsaan daripada rakyat Malaysia sendiri.

Lebih teruk anak-anak Malaysia yang baru balik luar negara bertutur dalam pelat orang Inggeris, sedarlah diri kita orang Malaysia. Apa salahnya cakap dengan betul, baru kita rasa tidak ada perbezaan antara kaum," bicaranya.

Merdeka setiap hari - Rozita

Bagi pelakon jelita, Rozita Che Wan pula, selalunya jika tiba Hari Merdeka dia lebih senang untuk berehat di rumah bersama dua anaknya. Namun, kali ini Rozita berdepan pengalaman baru sebelum menyambut Hari Merdeka kerana turun padang ke sekolah untuk berkongsi kemeriahan hari bersejarah itu.

"Saya seronok kerana ini kali pertama saya dapat sambut merdeka bersama pelajar sekolah walaupun sambutannya lebih awal. Selalunya kalau tidak di rumah saya akan berada di lokasi penggambaran pada Hari Merdeka," katanya.


ROZITA, Aznil, Liyana dan Pierre menyanyikan lagu kemerdekaan bersama guru dan pelajar sekolah.


Walaupun telah biasa beraksi di hadapan kamera, lain pula situasinya apabila berhadapan dengan peminat remaja yang tidak berhenti-henti memanggil namanya.

"Terkejut juga tengok ramai peminat di kalangan remaja yang sebaya dengan umur anak saya sendiri dan saya akui sedikit gementar kerana diminta untuk memberi ucapan sempena merdeka.

"Saya anggap mereka semua seperti anak-anak saya sendiri jadi dan mengambil peluang di sini untuk berkongsi erti merdeka serta memberi sedikit nasihat kepada mereka," tuturnya.

Tambah Rozita, semangat merdeka harus kekal sampai bila-bila bukan sahaja pada bulan kemerdekaan dan kempen 1Malaysia.

"Semangat merdeka harus ada dalam diri setiap rakyat Malaysia bukan sahaja pada hari kemerdekaan tetapi pada bila-bila masa kerana setiap hari kita berpijak dan bernafas atas bumi bernama Malaysia.

"Kita kena ingat meskipun sudah merdeka tetapi untuk kekalkan kemerdekaan itu agak sukar. Penjajah zaman moden bukan datang secara peperangan tetapi secara halus yang kita tidak nampak seperti budaya, hiburan dan pelbagai lagi," terangnya.

Kenangan merdeka Liyana

Buat pelakon remaja Liyana Jasmay, meskipun baru berusia 21 tahun dan tidak pernah berada dalam zaman penjajahan tetapi dia tetap merasai keperitan orang dulu mendapatkan kemerdekaan melalui sejarah.

"Bagi saya merdeka adalah negara kita bebas daripada penjajahan, rakyat bebas berfikir dan kita boleh lakukan apa sahaja yang diingini selagi tidak melanggar undang-undang negara. Walaupun pelbagai kaum kita semua rakyat Malaysia.

"Merdeka bukan terletak hanya pada negara tetapi juga rakyatnya. Jadi kita harus berbangga dengan apa yang Malaysia miliki kini dan jangan rosakkannya," ujarnya.


PIERRE dan Liyana segak bergaya dengan baju Melayu dan baju kurung merah sewaktu fotografi di Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.


Ditanya apa perasaannya menyambut kemerdekaan di sekolah setelah menjadi artis terkenal, Liyana yang membeli baju kurung merah khas untuk sesi fotografi itu hanya tersenyum sambil mengakui keterujaannya.

"Rasa macam sekolah balik, dulu masa sekolah macam inilah sambut merdeka. Kami nyanyi lagu 31 Ogos ramai-ramai. Seronok sangat sambut merdeka walaupun ini bukan sekolah saya.

"Pelajar sekolah ini semuanya bersemangat termasuk guru-gurunya dan saya rasa itu satu perkara yang bagus kerana sambutan di sekolah memang sangat berbeza di luar. Bezanya adalah semangat sambutan itu sendiri," tutur Liyana yang terkejut dengan sambutan yang diterima sejurus tiba di sekolah tersebut.

Pelakon yang juga bergelar penyanyi ini turut berkongsi pendapatnya tentang kemerdekaan di kalangan generasi muda sepertinya.

"Setiap remaja mempunyai pendapat yang berbeza. Macam saya rasanya ketika di sekolah memang ada rasa merdeka itu tetapi apabila tamat persekolahan ia bertukar menjadi perkara yang subjektif.

"Ada yang masih menghayati kemerdekaan, ada yang anggap merdeka hanya sebuah acara untuk bergembira sahaja dan menyaksikan konsert hiburan.

"Saya rasa semangat merdeka itu masih ada cuma pengertian merdeka itu berbeza-beza. Kalau tidak ada semangat merdeka susahlah negara kita, macam mana mahu lahirkan pelapis?" luahnya penuh semangat.

Pierre jejak kasih cikgu lama

"Kalau tiap-tiap tahun sambut merdeka tetapi tidak menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan itu sendiri, tidak ada maknanya sambutan itu dibuat" – PIERRE ANDRE




JIKA tiga selebriti popular Aznil, Rozita dan Liyana kali pertama menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, lain pula ceritanya bagi Pierre Nazarul Andre atau Pierre Andre. Menjayakan fotografi di sekolah itu sangat bermakna buat dirinya kerana dia pernah menuntut di sekolah tersebut.

Bertemu kembali dengan guru-guru yang pernah mendidiknya sehingga menjadi seorang yang terkenal seperti hari ini adalah satu perasaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Terlihat di wajahnya, perasaan gugup bercampur gembira saat tiba di pekarangan sekolah. Senyumannya meleret sehingga ke telinga begitu juga dengan pelajar dan guru-guru di sekolah itu yang pasti berbangga dengan pencapaian bekas pelajarnya.

"Saya terkejut sangat bila sampai sahaja di sekolah ini. Saya lihat sampir separuh guru yang ada di sana adalah guru yang pernah mengajar saya.

"Malah, sejak sekolah lagi mereka tahu yang saya akan jadi pengarah dan penulis sebab semasa sekolah saya banyak buat persembahan. Namakan apa sahaja majlis sekolah mesti ada saya dan rakan-rakan," ungkap pemuda berusia 24 tahun itu.

Jelasnya, kembali ke sekolah lamanya telah membuka kembali memori manis ketika bergelar seorang pelajar apatah lagi Pierre merupakan antara pelajar terkenal di kalangan guru-guru.

"Saya nakal juga masa sekolah, macam-macam perkara yang saya lakukan tetapi minat saya tetap terarah pada penulisan dan pengarahan sehingga ke hari ini. Sebab itu guru-guru saya tidak terkejut dengan bidang pilihan saya.

"Terubat juga rindu pada sekolah tetapi ada sedikit rasa kekok. saya faham perasaan pelajar hari ini kerana dulu saya pun macam mereka juga.

"Saya ingat lagi dulu masa sekolah, penyanyi, Zainal Abidin pernah datang ke sekolah saya bagi ucapan macam saya buat hari ini. Masa itu rasa seronok bila dapat tengok dia. Lepas itu tiap-tiap hari gembira nak ke sekolah," cerita Pierre tentang kenangan semasa menjadi pelajar sekolah.


PIERRE tidak ketinggalan mendeklamasikan sajak kemerdekaan kepada pelajar Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.


Bercakap tentang kemerdekaan pula bagi Pierre, selain bebas daripada penjajah, kemerdekaan juga membawa maksud memerdekakan diri daripada kegagalan dan itu perlu ada pada setiap manusia.

"Kalau sambut tiap-tiap tahun tetapi tidak menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan itu sendiri, tidak ada maknanya sambutan itu dibuat," katanya.

Namun, bagi Pierre terdapat jurang perbezaan yang cukup besar antara pelajar sekolah dulu dan sekarang dalam memahami erti kemerdekaan negara.

"Saya rasa tidak semua faham erti merdeka. Kebanyakan mereka pergi sambutan merdeka di mana-mana lokasi untuk tengok artis sahaja. Suku daripada mereka faham erti merdeka. Mereka semua seakan-akan tidak kisah kerana terlalu dimanjakan," ujarnya.

Beritahunya lagi, semua itu jelas kelihatan apabila dibandingkan dengan penerimaan rakyat terhadap filem bercorak patriotisme dan genre yang lain.

"Filem pun macam itu juga, kalau negara Iran filem tentang negara yang memaparkan kesusahan dan kesengsaraan pasti berjaya, tetapi tidak di negara kita yang lebih suka dengan filem hiburan semata-mata.

"Kalau mereka tidak suka melihat kesusahan dan kepayahan yang digambarkan dalam filem, maknanya mereka tidak kenal erti pengorbanan orang terdahulu. Saya rasa orang faham dengan apa yang saya rasa," bicaranya.


AZNIL, Rozita dan Pierre membuktikan selebriti juga punya tanggungjawab sendiri pada Hari Merdeka.


Benar kemerdekaan bukan sahaja terletak pada negara tetapi semuanya yang menggerakkan negara itu ke satu tahap yang lebih baik.

Ditanya pula apa erti kemerdekaan dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni, lama Pierre terdiam lalu menjawab: "Saya rasa merdeka dengan apa yang saya rasa nak lakukan.

"Saya bebas memilih kerjaya yang disukai dan diminati serta merdekakan diri daripada satu kegagalan. Macam saya sendiri, setiap kali tiba 31 Ogos, saya tidak pernah pergi KLCC tengok bunga api kerana itu bukan cara saya.

"Bagi saya sambut merdeka adalah dengan keluarga. Makan bersama keluarga. Merdeka tidak akan terasa tanpa keluarga. Apa yang ada di luar sana lebih kepada hiburan," tuturnya.

Silat Malaysia di National Geographic


BUAT pertama kalinya, dokumentari khas seni silat disiarkan saluran National Geographic.


SETELAH penerbitan dokumentari Becoming A King dan Smart Tunnel berjaya ditayangkan di 166 buah negara pada tahun lalu menerusi saluran National Geographic Channel International, kini sebuah lagi karya, Fight Masters: Silat bakal menjunjung nama Malaysia ke persada dunia.

Fight Masters: Silat merupakan salah satu daripada dua penerbitan di bawah projek dokumentari Malaysia To The World 2 hasil kerjasama berterusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan National Geographic.

Dengan kejayaan Becoming A King dan Smart Tunnel yang bersiaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa itu membuatkan dokumentari Fight Masters: Silat bakal mengulangi sejarah sama.

Ditambah subjek seni silat gayong yang dibentangkan dengan indah, maka dokumentari yang diarahkan oleh anak tempatan, Justin Ong itu terlihat sebagai sebuah naskhah istimewa untuk ditonton oleh khalayak terutama bangsa asing.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, dia menganggap kolaborasi dua hala di antara Finas dan National Geographic itu memberikan banyak kebaikan dalam mengenengahkan dokumentari tempatan kepada pihak luar.

"Dokumentari tidak dinafikan menjadi medium terpenting bagi perkembangan dan pemahaman budaya sesuatu bangsa yang merentasi setiap sempadan dunia.

"Penayangan dokumentari seperti Fight Masters: Silat dan yang lainnya sebelum ini di saluran National Geographic diharap mampu membangunkan industri dokumentari Malaysia," katanya ketika bercakap pada majlis pelancaran dokumentari berkenaan di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin.

"Dokumentari Fight Masters: Silat ini berperanan sebagai visual atau gambaran sebenar tentang seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh orang Melayu sejak berabad lamanya.

"Dalam waktu sama, dokumentari ini juga dapat memperlihatkan uniknya silat gayong selain kung fu dan taekwando yang sering dipaparkan di kaca televisyen sebelum ini.

"Lantaran itu, saya percaya dokumentari Fight Masters: Silat ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton oleh khalayak yang pelbagai," jelasnya penuh bersemangat.

Dokumentari Fight Masters: Silat yang mengambil waktu selama setahun untuk disudahkan sebelum ditayangkan di kaca televisyen seluruh dunia itu menampilkan jalan cerita tersendiri dan pastinya mampu memukau setiap mata yang menontonnya.

Dokumentari berkenaan menceritakan mengenai seorang tentera Amerika Syarikat, Joel Champ, 32, yang menghabiskan masa selama 14 tahun mengkaji dan mempelajari silat gayong bagi mendapatkan tali pinggang hitam dengan tiga garisan.

Jejaka tinggi lampai itu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum dia mencapai impian yang dihajati untuk bergelar pesilat seni gayong yang bertauliah.

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah yang bakal terjadi kepada Joel yang memiliki angan-angan tinggi melangit itu, jangan lupa untuk menyaksikan dokumentari Fight Masters: Silat yang pastinya tidak menghampakan anda.

Dokumentari itu bakal ditayangkan secara eksklusif sempena Hari Kemerdekaan ke-52 pada hari ini, pukul 9 malam di saluran National Geographic Asia dan di saluran Astro 553.

Krisis gula di Pakistan kian buruk


SEJUMLAH penduduk berbaris untuk membeli gula di sebuah bazar di Rawalpindi, Pakistan semalam.


KARACHI – Kilang-kilang gula milik anggota parlimen dipersalahkan kerana memburukkan lagi krisis di Pakistan semasa suri rumah melakukan persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kadar hujan yang sedikit telah menjejaskan bekalan gula tetapi syarikat pengeluar di Pakistan dipersalahkan kerana memburukkan lagi krisis itu.

“Pemilik-pemilik gula mencipta krisis kekurangan bekalan yang palsu,” kata seorang penganalisis ekonomi, A.B. Shahid.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Pakistan, Shaukat Tarin berkata, import gula kini perlu dilakukan.

“Kami akan mengimport 300,000 tan gula mentah dan 75,000 tan gula halus bagi mengekalkan harga dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik-pemilik kilang gula mendakwa persetujuan untuk mengimport gula itu merupakan satu keputusan yang lewat dilakukan.

Satu kilogram gula dijual pada harga 25 rupee (RM1.06) pada awal tahun 2009 tetapi kini berharga lebih 50 rupee (RM2.12).

Parti berkuasa 54 tahun kalah


HATOYAMA



ASO


TOKYO - Parti pemerintah Jepun, Liberal Demokrat semalam mengaku kalah kepada pembangkang, Parti Demokrat dalam pilihan raya parlimen.

Kekalahan itu merupakan satu sejarah kerana parti Liberal Demokrat kalah selepas 54 tahun berkuasa.

Menurut satu tinjauan yang dilakukan oleh semua stesen televisyen utama, Parti Demokrat dijangka memenangi 300 atau lebih 480 kerusi di Dewan Parlimen.

"Keputusan itu cukup teruk," kata Perdana Menteri, Taro Aso pada satu sidang akhbar di ibu pejabat parti Liberal Demokrat sekali gus mengaku kekalahan kepada pembangkang.

"Terdapat perasaan tidak berpuas hati yang mendalam dengan parti kami," katanya.

Aso berkata, beliau akan memikul tanggungjawab berikutan kekalahan itu.

Menurutnya, beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden parti Liberal Demokrat.

Beberapa pemimpin anggota parti itu akan turut meletakkan jawatan walaupun keputusan rasmi dijangka dikeluarkan pada pagi ini.

Kekalahan parti Liberal Demokrat akan membuka jalan kepada pemimpin parti Demokrat yang diketuai Yukio Hatoyama untuk menggantikan Aso.

Kekalahan parti Liberal Demokrat itu berpunca daripada kebimbangan berhubung isu ekonomi seperti peningkatan hutang negara dan masalah penduduk tua yang semakin ramai.

Parti Demokrat semasa berkempen berjanji untuk membina semula ekonomi dan menetapkan gaji minimum pada kadar yang lebih tinggi.

Jet terhempas depan penonton


ORANG RAMAI melihat kepulan asap selepas jet Su-27 (gambar kecil) terhempas di Radom, Poland semalam.





WARSAW - Sebuah jet Belarus terhempas semalam dalam satu pertunjukan udara di tengah Poland menyebabkan dua orang yang menaikinya terbunuh, kata beberapa pegawai.

Jet itu, Su-27 terhempas semasa melakukan satu pertunjukan di Radom yang terletak 105 kilometer ke selatan Warsaw, Poland.

Imej di televisyen menunjukkan jet itu hilang di sebalik pokok sebelum kepulan asap menjulang ke udara.

Kementerian Pertahanan Belarus menyatakan nahas itu kemungkinan berpunca daripada sekumpulan burung yang memasuki enjin jet.

FBI lindungi wanita diculik 18 tahun


GAMBAR menunjukkan sebuah khemah yang dipercayai menjadi tempat tinggal Jaycee di Antioch, California.



JAYCEE ketika berumur 11 tahun.



GARRIDO


ANTIOCH, Amerika Syarikat (AS) – Beberapa gambar menunjukkan khemah yang didiami oleh seorang wanita, Jaycee Lee Dugard yang diculik selama 18 tahun berada dalam keadaan kotor di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Khemah itu dibina di belakang pekarangan rumah Phillip Greg Garrido yang menculik Jaycee semasa dia berumur 11 tahun ketika sedang menunggu bas sekolah.

Garrido ditangkap pada Khamis lalu setelah dia membawa isterinya, Nancy dan Jaycee ke sebuah pejabat parol setelah diarahkan oleh polis.

Jaycee kini mempunyai dua anak yang masing berumur 15 dan 11 tahun setelah dia dirogol oleh Garrido.

Namun, akhbar itu menyatakan Garrido menculik Jaycee untuk dijadikan sebagai ‘mesin melahirkan bayi’ kerana isterinya mandul.

Sejumlah buku cerita turut ditemui dalam khemah itu.

Polis kini melakukan siasatan bagi mencari bukti sama ada panganut fanatik agama berusaha mempengaruhi fikiran Jaycee.

Penculiknya itu mendakwa menjadi seorang paderi sebuah gereja.

Jaycee tidak pernah meminta pertolongan semasa dalam penculikan.

Dia kini masih menjalani pemeriksaan perubatan di sebuah lokasi rahsia di California Utara.

Wanita itu tinggal bersama ibunya, Terry dan adik tirinya dan diberikan perlindungan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Krisis tak halang kemewahan berbuka


BEBERAPA penduduk berbuka puasa dekat Tembok Pemisah di Tebing Barat, Palestin kelmarin.


DUBAI – Krisis ekonomi sudah melanda Asia Barat tetapi ia tidak menghalang kebanyakan penduduk Islam membelanjakan banyak wang untuk tujuan berbuka puasa.

Bagaimanapun, di beberapa tempat seperti di Genting Gaza, Palestin, keadaan yang berbeza berlaku kerana sekatan ekonomi yang dilakukan oleh Israel.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa berbuka dalam situasi yang sukar.

Sementara itu, di beberapa negara rantau Teluk, pasar raya dipenuhi dengan pelanggan sejak Ramadan bermula pada minggu lalu.

Kebanyakan pelanggan membeli makanan dan minuman sebagai persediaan untuk berbuka puasa.

Namun, bagi sebahagian pelanggan walaupun bajet defisit, mereka masih sanggup mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk berbuka puasa bersama rakan dan keluarga.

“Mereka (penganut Islam) tidak mengambil kira krisis semasa duduk bersama-sama (waktu berbuka),” kata seorang suri rumah, Umm Saeed di Dubai.

Hidup di AS selepas sesat di China


GAOKE memeluk anaknya, Christian Norris di sebuah hotel di Beijing, China pada Sabtu lalu.


BEIJING - Satu pasangan ibu bapa di China bertemu semula dengan seorang anak lelaki mereka, Christian Norris yang hilang semasa menaiki bas kira-kira 11 tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Bagaimanapun, anak pasangan itu yang kini berumur 17 tahun dibesarkan di Amerika Syarikat (AS) selepas seorang wanita, Julia Norris mengambilnya sebagai anak angkat.

Pertemuan semula itu diadakan di sebuah hotel di sini pada Sabtu lalu apabila Jin Gaoke dan isterinya, Shao Julian berasa gembira melihat wajah anak mereka.

"Saya berharap kamu (Christian) boleh memaafkan kesilapan kami," kata bapanya, Gaoke berulang kali dalam pertemuan itu.

Christian yang dilahirkan pada 1991 di bandar Yinchuan dijaga oleh nenek dan bapa saudaranya kerana ibu bapanya sudah mempunyai seorang lagi anak lelaki.

Penyerahan itu dilakukan kerana pemerintah China akan menghukum Gaoke dan Julian kerana mereka cuma dibenarkan mempunyai seorang anak.

Namun, semasa Christian berumur 6 tahun, dia dihantar semula ke Yinchuan untuk bersekolah.

Nasib malangnya bermula apabila Gaoke turun dari sebuah bas untuk membeli makanan tanpa membawa anaknya itu.

Bapanya itu mendapati dia ditinggalkan oleh bas yang membawa Christian.

Christian kemudian ditemui merayau-rayau di bawah sebuah jambatan menyebabkan dia dihantar ke sebuah rumah anak yatim.

Dia dijadikan anak angkat oleh Julia yang merupakan seorang ibu tunggal pada 2001 dan membesarnya di AS.