![]() |
| PASANGAN Zul dan Isma menyerahkan replika cek bernilai RM9,000 kepada Zainal Azhar Ahmad (kiri) selepas terkeluar daripada persaingan Sehati Berdansa 3 di peringkat separuh akhir di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
PERINGKAT separuh akhir program realiti televisyen (TV), Sehati Berdansa 3 (SB3) merupakan tangga terpenting bagi melayakkan dua pasangan pesertanya bersaing merebut gelaran juara pertandingan tersebut.
Sayangnya, nasib kurang menyebelahi pasangan Zul dan Isma apabila mereka tersingkir bagi memberi laluan buat pasangan Sazzy dan Nazril serta Sein dan Nana meneruskan persaingan pada peringkat separuh akhir, baru-baru ini.
Meskipun pasangan itu sering mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi para penonton dan juga pujian melangit daripada pengkritik tetap Joseph Gonzales, tetapi itulah hakikat yang terpaksa mereka terima.
Hakikatnya undian SMS yang tidak menentu selain kritikan mengatakan gaya persembahan Zul yang seolah-olah terlalu yakin untuk mara ke final SB3 jelas kelihatan melalui raut wajahnya setiap kali dia mengadakan persembahan turut diperkatakan.
Bagaimanapun, bekas anggota kumpulan 2 By 2 itu menafikan dia terlalu yakin setiap kali beraksi bersama pasangannya. Sebaliknya, ia merupakan sesuatu yang harus dilakukannya bagi memberikan gaya persembahan terbaik.
"Memek muka itu datangnya dari hati. Ia tidak boleh ditukar-tukar. Kalau ada orang kata saya over confident (terlalu yakin), saya tidak tahulah daripada sudut yang mana. Bagi saya, keyakinan itu kena ada untuk kita melakukan sesuatu.
"Kami sendiri tidak terfikir untuk berada sehingga ke tahap ini. Itu mungkin suatu energy (tenaga) untuk kami. Tidak ada over confident. Dulu semasa menyanyi bersama kumpulan 2 By 2 saya bergerak ke sana ke mari menari dan menyanyi.
"Tetapi apabila juri memuji ia sebagai menghargai kemampuan saya," katanya menjawab persoalan itu pada sidang media selepas berakhirnya peringkat separuh akhir SB3 di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambil akur dengan keputusan yang ditentukan 50 peratus oleh markah juri dan 50 peratus melalui SMS itu, Zul tidak menafikan telah melakukan sedaya upayanya dalam setiap jenis tarian yang ditugaskan kepadanya.
Biarpun Joseph Gonzales cukup terhibur dengan kebanyakan aksi tarian Zul dan Isma, namun Pengurus Artis & Repertoire syarikat rakaman SRC itu tidak menafikan menempuh kesukaran dalam menarikan sesetengah jenis tarian.
"Tarian Jaiha Bollywood merupakan tarian yang paling mencabar saya dan Isma. Selain menari kami juga berlakon dalam tarian itu. Kami juga terpaksa menari tanpa henti, malah alunan muziknya juga agak laju," ujarnya.
Isma sewaktu ditemui selepas usainya peringkat separuh akhir program realiti TV terbitan Astro Ria itu turut tidak dapat menahan rasa sedihnya sehingga menitiskan air mata saat namanya dan Zul diumumkan tersingkir daripada program itu.
Isma yang juga kakak kepada penyanyi kumpulan New Boyz, Tomok, mengakui dia amat kecewa kerana tidak dapat bertanding pada final SB3 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 26 Disember ini.
"Saya kecewa sebab tidak dapat meneruskan cabaran ke final SB3. Tetapi pada masa sama saya gembira kerana berjaya sampai hingga ke minggu kesembilan pertandingan ini. Mungkin nasib tidak menyebelahi kami.
"Ia juga bukan rezeki kami. Kami tidak terfikir untuk ke final tetapi apabila sudah berada pada tahap ini memang teringin beraksi di final SB3. Tidak dinafikan saya dan Zul memang kecewa," kata Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail, 30.
Dengan penyingkiran Zul dan Isma itu, mereka berjaya mengumpul wang berjumlah RM9,000 bagi disumbangkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia yang diserahkan kepada Pengerusinya, Zainal Azhar Ahmad.
Berdasarkan keputusan SMS pada peringkat separuh akhir SB3 yang diacarakan oleh Awal Ashaari itu pasangan Sein dan Nana menerima undian 70 peratus, Sazzy, Nazril (61 peratus) dan Ismal, Zul (58 peratus).
Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi menolak dakwaan atau khabar angin mengatakan penyingkiran Zul dan Isma itu merupakan salah satu percaturan stesen TV terbabit bagi meraih lebih banyak SMS.
Ia antara lain berdasarkan populariti finalisnya iaitu Sazzy Falak yang merupakan seorang pelakon dan pengacara program TV serta pembabitan selebriti seperti Sein yang dikenali ramai sebagai bekas anggota kumpulan Ruffedge.
"Dakwaan itu tidak ada kena mengena dengan keputusan pada malam ini. Astro Ria tidak ada kena mengena apatah lagi membuat percaturan bagi menentukan pasangan peserta manakah yang akan bersaing pada final SB3 kelak.
"Ini kerana, 50 peratus undian datangnya daripada para penonton dan 50 peratus lagi daripada juri. Cuma untuk final nanti 100 peratus pemilihan pemenang SB3 akan ditentukan melalui undian SMS," katanya pada sidang media.
Azlin turut menjelaskan, SB musim ketiga pada tahun ini menawarkan hadiah yang lebih tinggi untuk disumbangkan kepada persatuan-persatuan yang diwakili oleh bakal juara dan naib juara pertandingan itu.
Katanya sebelum ini juara SB hanya menyumbang RM15,000 kepada persatuan amal yang diwakili berbanding RM20,000 pada tahun ini, begitu juga dengan naib juara sebanyak RM15,000 berbanding RM10,000 pada tahun sebelumnya.
Pada majlis itu, pasangan Sazzy dan Nazril serta Sein dan Nana pula tidak menyembunyikan rasa gembira mereka apabila terpilih bertanding pada peringkat akhir SB3 yang mempertandingan pasangan golongan selebriti suami isteri.
Sazzy yang pernah menarik perhatian ramai penonton menerusi lakonannya dalam filem Gol & Gincu arahan Bernard Chauly menyifatkan, pembabitannya dalam SB3 sebagai antara pengalaman yang sukar dilupakannya.
"Pembabitan saya dalam SB3 adalah pengalaman manis saya bersama Nazril. Menang atau kalah adalah perkara nombor dua. Saya berasa bangga kerana menyertai SB3 apatah lagi berjaya sehingga ke tahap ini," komennya.
Keputusan separuh akhir SB3 yang menyaksikan pasangan Sein dan Nana kini berada di atas berdasarkan undian SMS turut berkobar-kobar bagi memperlihatkan gaya tarian mereka untuk tontonan para peminat peringkat final kelak.
Jelasnya, biarpun gembira kerana terpilih bersaing di final SB3, tetapi pada masa sama Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 26, berasa sedih di atas penyingkiran pasangan Isma dan Zul.
"Syukur rezeki berpihak kepada kami. Ini adalah ketentuan Allah Yang Maha Esa. Kami sudah lakukan yang terbaik. Tetapi sayangnya ada pasangan yang tersingkir. Kalau boleh saya mahu ketiga-tiga pasangan ini ke final," jelasnya.
Selain Isma dan Zul, pasangan Oshin dan Firdaus juga tidak bersaing di final SB3 selepas difahamkan pasangan itu menarik diri pada peringkat separuh akhir pada saat-saat akhir kerana masalah kesihatan.
Penerbit Eksekutif SB3, Norazian Mohd. Zahir menjelaskan, masalah yang dihadapi oleh pasangan Oshin dan Firdaus itu tidak dapat dielakkan di mana pihaknya menerima keputusan itu dengan tangan yang terbuka.
"Khamis lalu masa rakaman Oshin telah dimasukkan ke hospital kerana dia terlalu lemah dan stres. Dia (Oshin) tidak mampu menari. Pada mulanya dia ada simptom mengandung tetapi ia negatif selepas pemeriksaan doktor," ujarnya.
SB3 akan sampai ke kemuncaknya pada 26 Disember ini apabila ia akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya mulai pukul 9 malam sehingga 10 malam.
Selain Joseph Gonzales selaku pengkritik tetap dan dua lagi pengkritik jemputan pada SB3, final pertandingan menari itu kelak akan mempertandingan tarian kontemporari Melayu dan Latin untuk para finalisnya.
Juara SB3 akan menerima sebuah kereta dan pakej percutian, manakala pasangan terbabit akan menyumbangkan wang tunai RM20,000 kepada persatuan yang mereka wakili, sementara koreografer pula menerima pakej percutian.
Sementara naib juaranya pula akan menerima hadiah berupa pakej pelancongan, manakala pasangan terbabit akan menyerahkan wang tunai RM15,000 kepada persatuan yang mereka wakili dan koreografer pula mendapat pakej percutian.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: