Saturday, December 12, 2009

Wanita tak nak cinta Beego


BEEGO


MESKIPUN telah bergelar duda selepas bercerai talak satu dengan bekas isterinya Intan Shahira Mohd. Shahru, 28, pada 16 Mac lalu, pelakon Beego atau nama sebenarnya Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, 29, masih dibelenggu sejarah hitam itu.

Semuanya gara-gara kemelut rumah tangganya itu 'dilondehkan' di hadapan khalayak apabila hampir setahun pelakon yang popular menerusi sitkom Puteri itu turun naik mahkamah dan kisahnya saban hari menjadi berita panas yang ditunggu-tunggu.

Tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang terjadi, namun Beego mengaku tidak mampu untuk melupakan peristiwa perit dalam sejarah hidupnya itu dengan mudah.

Bagaimanapun selepas sah bergelar duda, Beego masih menjadi tumpuan media untuk mengetahui berita terbarunya terutama siapakah wanita yang berada di hatinya kini setelah keruntuhan rumah tangga dengan wanita yang dicintai selama sembilan tahun.

Pertemuan Kosmo! dengannya pada majlis Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) baru-baru ini membuka semua isi di hatinya meskipun pada mulanya Beego enggan berbicara mengenai hal peribadi.

Bagaimana dengan kehidupan sekarang setelah bergelar duda?

Alhamdulillah, semuanya okey tawaran lakonan pun tidak putus. Tahun 2009 agak sibuk dengan drama dan saya akan muncul dengan dua filem iaitu CE1 dan Libas.

Pasti ramai yang ingin tahu, sudahkah Beego mencari pengganti?

Itulah yang saya malas nak jawab. Saya sebenarnya sudah bosan asyik disoal dengan soalan yang sama bila nak kahwin atau sudah ada kekasih ke? Kalau boleh tahun 2010 orang kenal saya kerana kerjaya bukannya kisah peribadi yang tidak pernah habis.

Maknanya masih tiada pengganti?

Nampaknya begitulah. Buat masa ini saya mahu fokus pada kerjaya sahaja. Saya tidak mahu berbohong atau menafikan sebagai manusia biasa saya pun mahu seorang teman tetapi saya rasa sekarang ini, semua wanita takut hendak dekat dengan saya.

Betul ke? Atau itu hanya andaian Beego?

Iyalah, kisah saya terlalu diberi perhatian media. Mungkin ada yang cop saya kaki perempuanlah dan bermacam-macam lagi yang buruk. Bagi wanita di luar sana, saya ini lelaki yang penuh dengan kontroversi dan pernah mempunyai sejarah silam yang satu Malaysia tahu. Sudah tentu mereka takut nak dekat. Kalau saya suka seseorang pun belum tentu dia mahukan saya.

Jadi sekarang ini lebih selesa hidup membujang?

Saya selesa dengan kehidupan saya sekarang. Benda yang sudah lepas itu biarlah berlalu. Saya tidak mahu ungkit kembali apa yang telah terjadi kerana saya mahu menjadi Beego yang baru. Saya mahu orang lupakan Beego yang kontroversi sebaliknya tahun 2010 saya mahu menjadi Beego yang paling sibuk dengan kerja. Kalau boleh tahun depan bila orang buka TV, tengok filem, semuanya muka saya (ketawa). Itu azam saya untuk tahun depan.

Bagaimana Beego mengisi hari-hari tanpa kehadiran seorang wanita?

Saya kerja. Kalau tidak ada kerja pun saya akan cari kerja. Bila kerja banyak saya rasa seronok dan tidak sedar waktu berlalu. Selain itu, saya juga mempunyai teman-teman rapat yang sentiasa menemani kalau saya dilanda kebosanan.

Beego serik untuk berkahwin lagi?

Taklah sampai macam itu sekali. Macam orang lain juga, kalau ada jodoh, saya akan berkahwin lagi. Bukanlah saya serik untuk berkahwin, tetapi bukan dalam masa terdekat. Sekarang fokus saya hanyalah pada kerjaya, itu sahaja. Hal-hal kahwin, perempuan tolak tepi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: