
DERETAN kayu sepanjang kira-kira enam sentimeter berbentuk bulat, tajam dan leper elok tersusun di atas sebuah meja. Di tepinya pula, kepingan tembaga nipis yang siap digulung sedia untuk diterokai.
Selepas mengalas helaian kertas surat khabar lama di satu sudut meja tersebut, lelaki itu pantas mengambil sebatang pen mata bulat dan mula mencoretkan sesuatu di atas sekeping tembaga.
Tangannya terus ligat melukis objek yang terlintas di fikirannya. Tidak sampai dua minit kemudian, lakaran seekor ikan arowana lengkap dengan buih-buih yang keluar dari mulutnya dan rumpai laut jelas kelihatan di permukaan kepingan tembaga itu.
"Baskaran, ukir semula lakaran ini. Gunakan kayu bermuncung leper itu. Jangan lupa, siapkan ia secepat mungkin. Ayah mahu lihat bagaimana hasil kerja kamu," ujar lelaki berusia 43 tahun itu kepada anak lelakinya yang duduk di sisi.
"Baik ayah," balas anak kecil berusia lapan tahun itu sambil tersenyum lebar yang menampakkan barisan gigi putihnya yang tersusun rapi.
Jelas sekali, anaknya yang memiliki nama penuh Nyaanabaskaran itu tidak keberatan untuk menerima kerja yang diberikan bapanya.
Tanpa berlengah Baskaran terus mencapai peralatan mengukir yang dimaksudkan bapanya dan jari-jemari anak kecil itu terus digerakkan mengikut ukiran sedia ada.
Usai memberi 'tugasan' kepada anaknya, T. Thannasegaran segera menumpukan perhatian kepada lukisan ukiran tembaga yang sudah kelihatan usang tetapi klasik. Warna tembaga itu agak luntur namun, ciri-ciri ukiran asalnya masih elok.
Menurut Thannasegaran atau lebih mesra disapa Thanna, ukiran tembaga itu sudah pun berusia lebih tiga dekad. Ia dimiliki oleh seorang kenalan yang mahu karya itu dibaik pulih agar boleh digantung sebagai perhiasan di rumahnya.
Ukiran istimewa itu merupakan hadiah yang diterima oleh ibu bapa rakannya ketika meraikan upacara kelahiran anak mereka 32 tahun lalu.

Jatuh cinta
"Disebabkan hadiah tersebut mempunyai nilai sentimental, maka rakan saya enggan membuangnya tetapi cuba untuk memperbaiki apa yang boleh.
"Nasibnya agak baik kerana kami dipertemukan ketika dia sedang mencari orang yang pandai membetulkan ukiran sedemikian," jelas Thanna ketika ditemui Kosmo! di rumahnya yang terletak di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ujar Thanna lagi, dia cuma memperbaiki apa yang patut pada ukiran sedia ada. Antaranya menampal simen kapur di bahagian belakang untuk menjadikan ukiran kelihatan lebih timbul sebelum melekatkannya di atas sekeping papan lapis.
"Kemudian, barulah saya menggosok bahagian depan ukiran tembaga itu dengan lakur atau bahan pengilat logam dan akhirnya membingkaikan semula ukiran tersebut," katanya lebih lanjut.
Mengimbau semula detik awal Thanna berkecimpung dalam seni ukiran tembaga, bapa kepada dua cahaya mata ini memberitahu bahawa minatnya bermula sewaktu di sekolah menengah lagi.
Ketika itu, pada sekitar tahun 80-an, terdapat subjek Seni Perusahaan yang perlu diambil oleh semua pelajar tingkatan satu. Dalam subjek itu, terdapat beberapa kursus yang ditawarkan termasuklah seni ukir tembaga yang menjadi pilihan Thanna.
Walaupun pada awalnya ia dianggap agak sukar untuk menguasai subjek tersebut, namun kerana semangat yang membara Thanna berjaya melakukannya.
Maka, bermula dari saat itulah Thanna terus jatuh cinta dengan kesenian yang dipelajarinya itu sehingga memperoleh 'A' untuk subjek berkenaan.
Sejak itu, dia tidak tidak menoleh ke belakang sebaliknya minat yang bercambah dalam diri terus dipupuk dengan berusaha menguasai kemahiran seni ukir tembaga.
Boleh dikatakan, jika ada kelapangan Thanna tidak jemu untuk membuat ukiran tersebut dan ia seolah-olah menjadi hobi yang sukar ditinggalkan.
Dalam aspek pemilihan subjek yang diukir pula, ternyata lelaki berjiwa seni itu bijak mempelbagaikan karyanya. Daripada figura manusia, haiwan, flora hinggalah ukiran bermotifkan pemandangan atau alam sekitar, semuanya telah cuba diaplikasi dengan baik di atas kepingan tembaga.
Mata pencarian
Sebagai penganut agama Hindu, Thanna tidak ketinggalan untuk mengukir lakaran dewa-dewa tertentu di dalam kepingan tembaga bersaiz besar sebagai tanda kasih kepada tuhan mereka.
Lama-kelamaan, hasil tangan Thanna mula diminati ramai orang setelah melihat kehalusan ukiran tembaga yang disiapkan. Sehubungan itu, ada di kalangan sanak-saudara dan sahabat handai yang terus membuat tempahan untuk memiliki karya unik tersebut.
Secara tidak langsung, tugas mengukir kepingan tembaga itu dijadikan hasil pencarian sampingan untuk menambah pendapatan. Ini kerana Thanna bekerja sepenuh masa di dalam bidang urutan refleksologi.
Bagaimanapun, Thanna agak bertuah kerana bakat seninya dalam mengukir tembaga turut diminati isteri serta anak lelakinya.
Bagi Shanti Maruthamuthu, 37, dia hanya mula mempelajari kesenian itu selepas berkahwin dengan suaminya lebih sedekad yang lalu.

"Mula-mula memang susah untuk menghasilkan walaupun sekeping ukiran tembaga bersaiz kecil (22 x 30 sm). Kepingan tembaga yang keras menyebabkan tangan pula terasa amat sakit dan lenguh-lenguh selepas cuba menghabiskan ukiran yang disediakan.
"Cuma, keinginan yang membara untuk memahirkan diri menyebabkan saya tidak mudah berputus asa.
"Akhirnya dalam tempoh tiga bulan, barulah saya mampu menyiapkan ukiran tembaga tanpa sebarang bantuan daripada suami," ungkap Shanti sambil tangannya leka mengukir kepingan tembaga di depannya.
Tambah Shanti, semua kepenatan itu langsung hilang sejurus ukiran yang dikehendaki siap sepenuhnya. Apatah lagi, apabila melihat kehalusan dan kecantikan ukiran tembaga, kepuasan yang tidak terhingga muncul di benak hati.
Kini, untuk ukiran tembaga bersaiz 50 sm x 45 sm Shanti hanya mengambil masa seminggu untuk menyiapkannya. Di samping semakin mahir dalam mengukir tembaga, faktor bergelar suri rumah sepenuh masa menjadi sebab utama dia mampu melakukan pekerjaan tersebut.
Selain Shanti, Thanna turut dibantu oleh anak didiknya, S. Rajen yang baru dilatih sejak tiga bulan lalu. Itu pun selepas Rajen menunjukkan minat untuk mempelajari seni ukiran tembaga.
Tidak mudah
Jelas pemuda berusia 34 tahun itu, apabila melihat Thanna mengukir, dia berpendapat bahawa ia satu pekerjaan yang mudah dan senang dipelajari. Lantaran itulah dia menyatakan hasratnya untuk menghasilkan sekeping ukiran tembaga.
Namun, anggapan Rajen tersasar jauh selepas kali pertama diberikan tugasan oleh Thanna hingga akhirnya dia mengakui ia bukan satu pekerjaan mudah seperti yang disangka.
"Memang benar, cara untuk menghasilkan ukiran tembaga ini amat payah. Ia memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
![]() |
| ANTARA koleksi ukiran yang dihasilkan oleh Thannasegaran. |
"Jika silap gaya, tidak mustahil seseorang itu tidak mahu meneruskan keinginan untuk menguasai seni ukiran unik ini. Tetapi, kerana sukakan cabaran saya mengambilnya sebagai satu perkara positif.
"Sekarang, saya masih dalam proses belajar. Mungkin dalam dua atau tiga bulan lagi, saya boleh menjadi mahir seperti sifu saya," tutur Rajen sambil menambah tangannya pernah bengkak akibat kerja-kerja mengukir tembaga.
Kata Rajen, apa yang penting seseorang itu perlu mempunyai minat yang mendalam jika mahu melakukan kerja-kerja ukiran sebegini. Menurutnya lagi, setiap hari dia akan memperuntukkan masa selama dua atau tiga jam untuk mengukir. Kebiasaannya ia hanya dilakukan pada waktu malam.
Kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari seni ukiran tembaga ini, bolehlah menghubungi Thanna di talian 016-250 2212.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: