Tuesday, December 22, 2009

Tip komunikasi berkesan

Komunikasi yang berkesan mampu menarik minat rakan-rakan, keluarga mahupun orang di sekeliling untuk menyukai anda,


TUMPUAN yang anda berikan membuatkan rakan berasa dihargai.


KADANGKALA, berbicara dengan rakan sendiri pun boleh menimbulkan pergaduhan. Ini mungkin terjadi disebabkan penggunaan perkataan yang kurang sesuai, sekali gus membuatkan rakan berkecil hati.

Hubungan persahabatan yang telah lama terjalin juga menjadi salah satu faktor mengapa kita kurang peka dengan perasaan rakan.

Komunikasi sangat penting dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan proses penyampaian atau pemindahan mesej dari seorang kepada yang lain.

Komunikasi boleh terdiri daripada pelbagai bentuk sama ada secara lisan atau sebaliknya. Sebagai contoh, bahasa badan, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata, penulisan dan sebagainya.

Berikut ialah beberapa maklumat yang boleh dijadikan panduan berguna untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi antara ahli keluarga dan rakan-rakan.

Tunjuk minat ketika berbual

Setiap kali berkomunikasi dengan rakan atau orang lain, lihat ke dalam mata mereka dan tunjukkan minat yang mendalam. Ingat, jadikan suasana komunikasi dalam keadaan santai agar mereka bebas mengeluarkan pendapat dan pandangan. Jangan menunjukkan perasaan jemu jika rakan kerap bertanya atau berbicara mengenai perkara yang sama.

Sentiasa beri tumpuan

Sabar dan luangkan masa untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Jika rakan menceritakan sesuatu perkara, jangan mencelah dengan cerita anda. Biarkan dia menghabiskan ceritanya dahulu, kemudian barulah anda pula memulakan cerita. Melalui tumpuan yang anda berikan, ia membuatkan rakan merasa dihargai.

Berhenti bercakap

Anda tidak dapat mendengar apa yang dibicarakan oleh rakan sekiranya anda juga ingin bercakap. Malah, komunikasi yang terjadi antara kedua-dua belah pihak juga akan menjadi hambar dan dingin. Ini menimbulkan rasa kurang senang kepada salah satu pihak. Tidak mustahil mereka akan mencari rakan lain untuk mewujudkan komunikasi yang lebih berkesan.


WALAUPUN anda mungkin bosan dengan apa yang dibualkan, tunjukkan sedikit minat terhadap rakan yang asyik bercerita.


Pendengar yang aktif

Pendengar yang baik mampu menyimpulkan fakta-fakta untuk pemahaman mereka. Jangan teragak-agak bertanya semasa perbualan tersebut. Dengan banyak bertanya anda akan lebih memberi tumpuan kepada perbincangan tersebut. Selain itu, ia akan menggalakkan rakan meneruskan perbincangan dan menunjukkan anda ialah seorang pendengar yang setia.

Menyesuaikan diri

Anda boleh membantu rakan-rakan untuk berasa selesa dan diterima jika anda mampu menyesuaikan diri dengan emosi mereka. Jika rakan menceritakan perkara sedih, cubalah beri semangat atau menunjukkan mimik wajah yang sedih bagi membuatkan mereka berasa lega. Secara tidak langsung, anda membawa mesej bahawa anda memahami apa yang diluahkan dan mengenal pasti masalah dengan jelas.

Sabar dan kawal emosi

Kemarahan boleh menyebabkan berlakunya salah faham terhadap apa yang sebenarnya ingin rakan anda luahkan. Anda harus memberi masa untuk bertindak balas. Ini akan membuatkan anda lebih tenang dan dapat mengekalkan kesabaran.




Prihatin

Walaupun berada dalam keadaan bosan, tunjukkan bahawa anda masih berminat dan prihatin dengan topik yang dibualkan. Galakkan mereka meneruskan perbualan dengan cara berdiam sejenak. Tetapi bukan berdiam secara berterusan kerana ia mungkin akan menyebabkan komunikasi itu tidak menjadi.

Gembira

Jadikan perbualan positif dengan menyatakan bahawa anda mahu membantu menyelesaikan masalah mereka. Pandangan yang positif akan membuatkan perbualan itu lebih produktif serta membina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment