Friday, December 11, 2009

Tabah hadapi saat sukar



DaphNE teruja dengan kemunculan filem pertamanya, My Spy, di pawagam.

Daphne Iking akui kontroversi perkuat lagi semangatnya

KETIKA muncul pada majlis tayangan perdana filem sulungnya, My Spy di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dengan ketawa kecil dan senyuman terukir di bibir pengacara popular Daphne Iking awal lagi meminta supaya soalan berbentuk peribadi tidak diajukan kepadanya.

Dia sendiri sudah boleh mengagak, wartawan hiburan yang tiba-tiba mengerumuni seboleh-bolehnya mahukan sedikit cerita mengenai dirinya yang sudah pun kembali bersendirian saat ini.

Kemunculan wanita yang pernah mencipta nama bersama program Explorace ini pada hakikatnya ditunggu-tunggu ramai. Sejak pergolakan rumah tangganya bersama Ryan Chong tersebar di media massa, mulut Daphne bagai rapat ditutup, daripada mengeluarkan sebarang ulasan berhubung isu berkenaan.


Sebaik saja Daphne tiba ke majlis, banyak mata yang memerhati. Kelihatan lebih kurus, ia membuatkan wartawan semakin ingin tahu bagaimana keadaannya ketika ini.

Seperti selalu, Daphne tidak pernah menolak untuk ditemubual. Selepas perbualan mengenai pembabitannya dalam filem keluaran KRU Studios itu tamat, Daphne bagaimanapun tetap tidak menghampakan harapan wakil media yang ada di sekelilingnya, meskipun tidak banyak yang mampu dikongsi wanita jelita ini bersama mereka.

"Saya mengaku, apa yang berlaku ketika ini agak sukar untuk dihadapi. Namun, pada ketika yang sama, ia membuatkan saya menjadi wanita yang lebih kuat lagi. Kehidupan saya juga tidak akan runtuh hanya kerana saya kini hidup sendiri. Kelangsungan hidup akan diteruskan selama mungkin.

"Saya amat bertuah apabila ramai sekali rakan baik yang sedia memberikan kata semangat dan perangsang tatkala saya berdepan situasi sukar. Keluarga juga selalu ada di sisi tatkala saya amat memerlukan mereka," katanya yang sudah setahun lebih berpisah dengan bekas suami.

Daphne mempunyai caranya sendiri untuk membuatkan dirinya lupa seketika kepada masalah dihadapi. Selain membabitkan diri dalam persembahan teater, yang kini menjadi minat barunya dalam seni, wanita berusia 30 tahun dari Sabah ini juga mula berjinak-jinak dalam rekaan pakaian untuk Sonny San.

Ibu kepada seorang anak comel, Isobel Daniella, 2 tahun, ini juga mula mengisi waktu dengan berlakon filem. Selepas My Spy, dia terus ke lokasi sebuah lagi filem cereka. Diberi judul Belukar, filem arahan Jason Chong berkenaan dilakonkan Daphne bersama aktor berbakat, Bront Palarae.

"Dalam filem bebas yang berkemungkinan besar ditayangkan pada Februari tahun depan itu, saya memegang watak wanita jahat yang sebenarnya memiliki hati yang baik," ujarnya sambil menguntum senyum.

Jika Belukar menyaksikan dirinya berlakon watak agak hitam, penampilan julung kalinya menerusi My Spy, arahan Afdlin Shauki juga memperlihatkan Daphne membawakan watak wanita jahat. Filem terbabit akan menemui penonton mulai 3 Disember.

"Watak saya dalam filem ini ialah sebagai kembar tak seiras kepada Carmen Soo. Kami berdua ialah konco kepada seorang penjahat bernama Datuk O (lakonan Ridzuan Hashim). Dalam My Spy, saya melakukan sendiri kebanyakan babak lasak walaupun mereka turut menyediakan pasukan lagak ngeri dari Thailand. Namun, mereka tetap memberikan tunjuk ajar bagaimana melakukannya, seperti memandu jet ski dan sebagainya," cerita Daphne yang mengalami lebam-lebam di badan sewaktu menjayakan babak lasak filem berkenaan.

Dia menerima tawaran membintangi filem yang menampilkan AC Mizal dan Harun Salim Bachik sebagai teraju itu kerana mempunyai waktu terluang sekitar penghujung tahun lalu. Sebagaimana pelakon lain, dia juga diperlukan menghadiri uji bakat sebelum watak kembar dari Hong Kong itu menjadi miliknya.

Ditanya mengenai impiannya dalam lakonan, pengacara Breakfast Show di ntv7 ini mengaku ingin sekali memegang watak seorang transeksual atau mak nyah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: