Saturday, December 12, 2009

Silap mata di puncak Genting


Lelaki halimunan...Aksi Sony Fontana memakai baju hujan sambil berbasikal menimbulkan tanda tanya penonton.


SILAP mata sebahagian dunia magis yang bermain dengan ketajaman minda dan ilusi. Menyaksikan gelagat ahli silap mata dengan ilusi-ilusi yang mempesonakan sambil diselitkan dengan aksi-aksi lucu sememangnya mengujakan tidak kira pada orang dewasa apatah lagi kanak-kanak.

Suasana sama menyelubungi Genting International Showroom (GISR), Maxims Genting Highlands, baru-baru ini apabila beberapa ahli silap mata terhandal dunia memukau pesona mata penonton dalam persembahan diberi nama Dazzle.

Bermula seawal 9 malam pertunjukan hebat sempena cuti sekolah itu membabitkan ahli silap mata seperti Ernesto Planas dari Cuba, Sonny Fontana (Venezuela), Duo Presto (Brazil dan Ukraine) serta Albert Roubaud (Perancis).

Bayangkan tempoh sejam yang diperuntukkan seolah-olah tidak cukup untuk menyaksikan pertunjukkan yang hebat dan menakjubkan daripada kumpulan ahli silap mata dunia ini.

Malah penonton terus terleka apabila persembahan turut diselang-seli dengan tarian 14 penari jelita berpakaian berwarna-warni dari Belarus dan Ukraine.

Persembahan dimulakan dengan ahli silap mata dari Perancis yang membuatkan penonton terkejut seketika kerana menyangka 'objek' di hadapan mereka tidak lebih daripada sebuah patung.

'Objek' serba putih itu tiba-tiba mengangguk-angguk kepala dan membuat beberapa aksi lain yang mencuit hati penonton.

Dikelilingi 14 penari jelita penonton seolah-olah terlupa seketika kewujudan 'objek' putih tersebut. Namun 'patung' Albert Roubaud bijak menarik semula perhatian dengan tiba-tiba mengeluarkan 'kepala manusia' daripada pelukan sedikit demi sedikit membuatkan penonton semakin teruja.

Menyambung lagi pertunjukan tersebut, anak jati Perancis ini menghiburkan penonton dengan aksi menggaru dagu.

Aksi-aksi tersebut terus mendapat tepukan gemuruh 400 penonton yang memenuhi dewan.

Malah aksi-aksi manja antara patung dan Roubaud juga terus mendapat sorokan gemuruh daripada penonton apabila mereka membalas usikan dan senyuman.

Lebih mencuit hati lagi, apabila dia kemudian menuruni batu pemijak tersebut sebelum memasukkan kepala patung berkenaan ke dalam batu itu sebelum bertindak memanjat semula ke atas batu tersebut.

Tidak berhenti di situ sahaja, ahli silap mata yang pernah mengambil bahagian dalam gala berprestij dan teater ternama seperti Crazy Horse in Monte Carlo dan memenangi anugerah Golden Stick pada Monte Carlo Magic Stars 2000 terus memukau penonton dengan aksi melepaskan kayu yang dipegang sejak tadi dan memasukkan kepala patung berkenaan ke dalam batu sebelum naik semula ke atasnya.

Aksi seterusnya diteruskan lagi selepas suasana pentas gelap gelita dengan kepala manusia muncul terawang-awang. Roubaud lalu menarik kembali kepala patung itu dan memasukkannya semula ke dalam batu pemijak.

Aksi itu membuatkan penonton semakin leka dengan pertunjukan tersebut.

Suasana dewa bertambah 'panas' dengan kemunculan seorang lelaki botak yang nampak segak berpakaian serba hitam.

Dengan bersahaja Ernesto Planas melangkah ke tengah pentas sambil tangannya menggenggam sehelai kain merah. Belum sempat meneka apa yang ingin dilakukan oleh lelaki ini, tiba-tiba kain merah dikibas ke kiri dan kanan lalu sekelip mata bertukar menjadi payung, bukan satu tetapi berdozen-dozen dalam pelbagai warna.

Daripada dua payung yang dihasilkan, muncul beberapa payung lain di belakangnya. Semua payung yang berkembang di baling ke lantai.

Terlalu sukar untuk diterima akal apabila sehelai kain kuning bertukar menjadi payung kuning kecil. Begitu juga apabila ahli silap berasal dari Itali ini membalingkan sehelai kain panjang maka payung yang dikeluarkan juga berubah saiz menjadi lebih besar.

Tidak cukup dengan itu, Planas mengeluarkan bekas mengandungi kepingan plastik berwarna merah berkilat.

Daripada serakan plastik itu, terhasil payung pelbagai warna, semakin dibuang, semakin banyak payung keluar dan berserakan di lantai.

Ternyata aksi lelaki perkasa ini mengundang ceria dan menghiburkan penonton.

Belum habis lagi kekaguman terhadap Planas, penonton dihiburkan pula dengan aksi-aksi menarik 'lelaki halimunan', Sonny Fontanna yang memakai baju hujan berjalan-jalan membawa kotak, tetapi tidak kelihatan kepala dan badan.

Seperti kisah-kisah misteri, lelaki yang berpengalaman lebih 36 tahun dalam dunia magis ini, bertindak membuka hud yang disarungkan di kepala tetapi seperti dijangka tiada kepala dan wajah yang kelihatan.

Tangan halimunannya kemudian memegang air tin bagi membuktikan kewujudannya.

Namun di akhir lakonan itu, dia menyembur bahagian wajah dengan cat lalu terbentuk wajah seperti orang bertopeng.

Ahli silap mata itu terus menimbulkan tanda tanya dengan aksi menunggang basikal biarpun tidak kelihatan kepala, tangan dan kaki. Hanya kasut yang memijak pedal basikal untuk mengayuh.

Berkecimpung lebih 30 tahun dalam silap mata, Fontanna turut menunjukkan kebolehan pergerakan tangan dan jarinya membentuk bayangan wajah personaliti terkenal dunia seperti Jackie Chan, Madonna, Elvis Presley dan Dolly Parton

Penonton terus dibuai keseronokan apabila 'lelaki payung' kembali sekali lagi di pentas tetapi kali ini 'bersenjatakan' gelung besi.

Menggunakan kecekapan silap matanya, lapan gelung besi berasingan tiba-tiba berangkai dalam sekelip mata. Cantuman itu kemudian dileraikan semula tetapi pelbagai bentuk lain pula dihasilkan.

Lebih menarik apabila bentuk bunga yang sedang mekar mampu dihasilkan melalui gelungan besi tersebut

Anehnya, gelung yang sama saiz boleh memasuki gelung lain. Semua gelung dimasukkan pada satu gelung yang menjadi pengikat kunci.

Bagi merasai sendiri kehebatan tersebut, Planas turut mengajak penonton mencuba sendiri, memegang gelung, membuatkan ia berangkai dan meleraikannya.

Sementara itu, pasangan kekasih yang menggelar diri mereka Duo Presto memukau penonton dengan kemampuan menukar beberapa pakaian dalam sekelip mata di hadapan penonton.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri kehebatan ahli silap mata ini, sila ke puncak Genting dan dapatkan tiket yang dijual dengan harga RM40 hingga RM90 untuk dewasa dan dari RM20 hingga RM50 untuk kanak-kanak.

Tayangan akan diteruskan sehingga Mac depan. Oleh datanglah beramai-ramai untuk menyaksikan sendiri kehebatan ahli silap mata ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: