
ORANG di luar sana pasti berkata, mentanglah-mentanglah produksi milik suami sendiri iaitu Jinggo maka tidak hairanlah apabila si isteri Sheila Rusly sering 'menempel' lalu muncul dalam mana-mana drama terbitan JS Pictures Sdn. Bhd (JS Pictures) itu.
Benar, kenyataan itu bukanlah kali pertama diluahkan. Hakikatnya, sudah lama peminat dan tidak terkecuali Sheila dan Jinggo sendiri sudah biasa mendengar ada pihak mempersoalkan relevannya Sheila melibatkan diri sebagai pelakon dalam produksi terkenal itu.
Lantaran itu, timbul pertanyaan sampai bila Sheila harus bergantung dengan suami sendiri untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni? Apakah empunya diri tidak mahu membabitkan diri dengan syarikat produksi lain? Atau dia sendiri bersikap diva, terlalu memilih dalam soal watak dan individu yang bekerja dengannya?
Satu persatu persoalan bermain dalam fikiran kerana memikirkan apa sebenarnya yang dimahukan oleh wanita berusia 38 tahun itu selepas mendampingi cabang seni lebih dua dekad lalu.
Jangan sesekali membuat penilaian awal mahupun lekas menghukum dirinya. Sebaliknya anak jati Kuala Lumpur itu nekad melampiaskan bakatnya dengan JS Pictures setelah berdepan dilema apabila ada segelintir penerbit yang bersikap skeptikal dengan pelakon bertudung sepertinya.
"Saya tahu soalan sampai bila mahu berlakon di bawah arahan suami sendiri pasti akan ditanyakan. Terus-terang, kadangkala saya sendiri tiada pilihan dan bukan sengaja ingin berlakon dengan JS Pictures.
"Sebenarnya syarikat produksi lain tidak faham tentang perubahan saya yang sudah bertudung. Malah, mereka tidak sediakan peluang lantas mewujudkan watak kepada pelakon yang menutup aurat.
"Justeru, peluang ini terpaksa disediakan oleh JS Pictures. Bayangkan apabila saya dan suami kena memikirkan sendiri watak bersesuaian dengan wanita bertudung walaupun ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana syarikat produksi.
"Lakonan sudah menjadi darah daging saya. Kalau produser tidak panggil berlakon dengan produksi mereka, saya anggap tidak mengapa. Sekurang-kurangnya saya dapat teruskan minat dalam dunia lakonan ini walaupun berada di bawah bumbung JS Pictures.
"Tidak ketinggalan, saya dapat mempersembahkan hiburan yang bermakna dan ada mesej tersendiri kepada peminat. Ini juga dikira sebagai satu ibadah," kata Sheila ketika ditemui pada majlis pratonton Cucu Betong terbitan JS Pictures di Penthouse, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
![]() |
| SHEILA terkilan kerana banyak produksi yang enggan mengambilnya berlakon kerana dia bertudung. |
Selepas muncul dalam drama bersiri Anak Betong arahan Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya, Sheila meneruskan langkahnya menerusi sekuel drama itu iaitu Cucu Betong.
Masih lagi membawakan watak penghasut jahat bernama Malika, kali ini Cucu Betong menampilkan lebih banyak warna berbanding Anak Betong.
"Kali ini Malika mengganggu rumah tangga Zaman lakonan Ezany dan Malissa (Farisha Ayu) disebabkan dia sendiri mahu menambahkan kuasa yang ada pada dirinya. Ini merupakan janji dia dengan Ratu Solowangi (Sofea Jane).
"Kerana itu, Malika sanggup berbuat apa saja demi mendapatkan keris warisan walaupun dia harus menghantui dan mengganggu orang lain yang tidak bersalah. Cucu Betong menonjolkan sisi lebih hitam Malika.
"Sikapnya yang tamak haloba ini membuatkan Malika mula hilang pendirian semata-mata ingin menambahkan kuasanya. Tiada sesiapa yang mampu menewaskan kehebatan Malika kecuali seorang yang hebat. Kalau hendak tahu lebih lanjut, kena tengoklah Cucu Betong," kata Sheila sambil berteka-teki.
Sheila sempat berkongsi pengalamannya sewaktu berlakon dalam drama bersiri itu yang mengambil latar sekitar Ulu Yam sebagai lokasi penggambaran. Jangan terkejut kerana dia sendiri melakukan pelbagai aksi bersendirian tanpa bantuan pelagak aksi ngeri.
"Kalau anda tengok babak Malika di atas bumbung dan di pokok, ia dibuat sendiri oleh saya tanpa bantuan orang lain. Sebelum ini Malika banyak berada di darat. Tetapi kali ini kuasa dia mula bertambah apabila dikurniakan keupayaan terapung," tutur Sheila.
Dalam pada itu, bagai menjadi kebiasaan apabila JS Pictures muncul dengan sekuel, pasti audiens mula membandingkan antara Cucu Betong dan Anak Betong. Itu sudah pasti, kata Jinggo selaku tuan pengarah.
"Pengisian Cucu Betong lebih dahsyat dan mendebarkan. Saya selalu dengar orang cakap kemunculan sekuel biasanya akan menemui kegagalan kerana penonton lebih menyukai karya pertama.
"Begitupun, saya sanggup ambil risiko dan buktikan kepada khalayak tentang kemampuan Cucu Betong," jelasnya.
Selain Sheila, Ezany dan Farisha, antara barisan pelakon drama bersiri itu ialah Fizz Fairuz yang memegang watak Jagat, Mohd. Naim Daniel (Raqib), Maya Matahari (Naya) dan Emilda Rosmila (Katrina).
Untuk mengetahui kisah selanjutnya, jangan lupa untuk menyaksikan Cucu Betong setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang di TV3 manakala 8.30 malam di TV9.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: