![]() |
| Britney Spears |
ERA 50-an adalah milik Frank Sinatra. 60-an pula zaman Elvis Presley manakala tahun 70-an pula karier seni Michael Jackson mula memuncak.
Tahun 80-an pula, tanpa ragu ia secara mutlak menjadi milik Madonna.
Era 90-an? Mahu atau tidak, harus diakui penyanyi genit bernama Britney Jean Spears atau nama pentasnya, Britney Spears layak untuk diiktiraf sebagai artis yang mencetus fenomena luar biasa pada era itu.
Malah, sehingga kini pun, populariti dan aura Britney masih belum kebah biarpun dilanda pelbagai kontroversi yang mampu membawanya jatuh ke bawah.
Mengapa Britney dan bukannya artis hebat yang lain? Jawapannya cukup mudah. Britney tampil membawa satu pembaharuan dalam evolusi muzik pop sehinggalah ramai artis seangkatannya muncul selepas itu.
Mungkin ramai yang terlupa bahawa Britney sebenarnya sudah didedahkan dengan dunia seni sejak kecil.
Siapa yang boleh lupa kemunculannya dalam rancangan kanak-kanak, The Mickey Mouse Club bersama-sama teman seperjuangannya yang lain seperti Christina Aguilera, Keri Russell, JC Chasez, Ryan Gosling serta Justin Timberlake yang kemudiannya pernah menjadi kekasihnya.
Namun, sejak dia mula muncul di persada seni suara antarabangsa pada tahun 1998 pada usia 17 tahun, nama Britney tidak pernah lekang dari mainan bibir peminat mahupun pemerhati dunia hiburan seantero dunia.
Baik lagu-lagunya ataupun kemunculannya di media mahupun acara anugerah serta kehidupan peribadinya, semua orang mahu mengambil tahu tentang Britney.
Ramai yang menganggap Britney membawa pengaruh buruk kepada kanak-kanak dan remaja saat kali pertama dia muncul sedekad yang lalu, tetapi harus diakui Britney membawa revolusi muzik yang cukup ketara.
Setiap album yang diterbitkannya pasti akan mendapat sambutan hangat sehingga terjual berjuta-juta salinan di seluruh dunia.
Sebagai contoh, album pertamanya, ...Baby One More Time yang memuatkan lagu keramatnya, ...Baby One More Time dan Sometimes telah terjual 14 juta unit di Amerika Syarikat sahaja.
Dan, rekod itu merupakan antara yang terbaik pernah dicipta oleh seorang artis baru seperti Britney ketika itu.
Begitu juga dengan lima buah album studionya yang lain selepas itu iaitu Oops!... I Did It Again (2000), Britney (2001), In the Zone (2003), Blackout (2007) dan Circus (2008) yang kesemuanya mencatatkan penjualan yang cukup membanggakan.
Lima daripada enam albumnya itu juga berjaya menempatkan diri di tangga juara carta Billboard 200.
Maka dengan itu, tidak hairanlah apabila nama Britney tersenarai sebagai salah seorang artis yang mempunyai penjualan album terbaik di seluruh dunia apabila sebanyak 83 juta salinan album-albumnya telah terjual.
Lantas, dengan kejayaan itu ia meletakkan nama Britney sebagai artis muda yang memiliki kekayaan yang cukup luar biasa.
Biarpun ramai yang mengkritiknya, namun ibu kepada dua orang anak ini tidak melihatnya sebagai satu kekangan mahupun halangan untuk dia memperkasakan namanya di puncak tertinggi.
Dia pernah melebarkan sayap seninya apabila bergelar seorang aktres filem menerusi filem pertamanya, Crossroads dan penerimaan penonton terhadap filem tersebut juga positif terutama peminat fanatiknya.
Sungguhpun begitu, filem tersebut tidak dapat lari daripada kritikan pengkritik yang menyifatkan filem tersebut sedikit sebanyak membawa pengaruh buruk kepada peminat cilik Britney yang menyanjunginya.
Sepanjang sedekad melayari bahtera seninya, Britney bukan sekadar seorang artis tetapi dia hakikatnya seorang ahli perniagaan yang cukup bijak.
Jika ada yang berpendapat pengaruh Britney tidak sekuat dulu, buangkan sahaja pandangan skeptikal itu kerana Britney sememangnya masih lagi berkuasa.
Buktinya apabila dia mengikat kontrak dan bekerjasama dengan konglomerat kosmetik terkemuka dunia, Elizabeth Arden untuk mengeluarkan minyak wangi pertamanya, Curious pada tahun 2004.
Lima minggu pertama sahaja, penjualan minyak wangi berkenaan mencapai jualan sehingga mencecah AS$100 juta sekali gus mencatatkan penjualan haruman terbesar oleh Elizabeth Arden.
Ia tidak terhenti setakat itu sahaja apabila Britney terus mengeluarkan enam lagi minyak wanginya bersama Elizabeth Arden iaitu Fantasy (2005), Curious: In Control dan Midnight Fantasy (2006), Believe (2007), Curious Heart (2008) serta yang terbaru, Hidden Fantasy.
Hasilnya, Britney telah mencatatkan kejayaan peribadinya apabila menjadi selebriti yang paling laris jualan minyak wanginya menewaskan nama-nama lain seperti Jennifer Lopez, Paris Hilton dan Sarah Jessica Parker.
Tidak cukup dengan itu, setiap siri konsert jelajahnya juga akan mendapat sambutan yang cukup hangat dan kesemua tiket laris dijual.
Peminat Britney memandangnya sebagai seorang penghibur yang cukup bijak di atas pentas dalam memberikan persembahan menakjubkan serta energetik seperti mana Madonna dan Michael Jackson.
Memang diakui, Britney bukanlah seorang penyanyi yang mempertaruhkan vokal untuk memancing penonton tetapi Britney menjual muzik dan karismanya itu.
Tetapi, kelebihan yang ada pada Britney adalah kelincahan dan kekuatan tenaganya ketika beraksi di atas pentas dalam menghiburkan penonton.
Perjalanan karier seni Britney memang penuh warna-warni dan untuk menempuh perjalanan seni yang penuh mencabar memang memerlukan iltizam serta semangat yang kuat.
Dalam usia 28 tahun, Britney juga seperti artis lain yang tidak pernah terlepas daripada kontroversi yang maha dahsyat sehingga ramai yang berpendapat karier seninya akan lingkup.
Siapa yang dapat melupakan provokasi yang pernah dicetuskan oleh Britney sewaktu mula-mula muncul dahulu saat dia dijulang dan disanjung tinggi oleh kanak-kanak.
Semuanya kerana isu pakaian kurang sopan yang digayakannya sewaktu menjadi gadis penghias kulit majalah Rolling Stone pada tahun 1999.
Masakan tidak, ketika itu dia dengan beraninya memberikan gaya yang kurang sopan dan lari dengan imej remajanya sehingga ibu bapa di Amerika Syarikat memprotes majalah tersebut.
Tidak cukup dengan it, dia juga pernah bergambar separuh bogel untuk beberapa majalah sehingga mencetuskan kontroversi ekoran usianya yang masih muda.
Begitu juga dengan dunia cinta dan kehidupan peribadinya yang sudah terlalu banyak dijaja di media sehingga kita sendiri tertanya-tanya adakah ini harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang bintang ternama seperti Britney Spears.
Ya, setiap artis pasti akan mengalami pasang surut dan Britney membuktikan bahawa kontroversi sebenarnya tidak menjatuhkannya.
Sebaliknya, ia membawa namanya ke tahap yang lebih tinggi biarpun sudah sedekad dia bergelar seorang selebriti.
Bagi meraikan pembabitannya dalam bidang seni, Sony Music Entertainment telah pun meluncurkan album kompilasi terbarunya, The Singles Collection yang mula berada di pasaran sejak 16 November lalu.
Album tersebut dipasarkan dengan dua edisi iaitu cakera padat dan album berkembar yang merangkumi cakera padat serta DVD yang memuatkan muzik video terbaik Britney.
The Singles Collection merupakan retrospektif kepada lagu-lagu yang memasyhurkan nama Britney sehingga menjadi seorang bintang besar di muka bumi ini.
Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah ...Baby One More Time, (You Drive Me) Crazy, Born To Make You Happy, I'm A Slave 4 U, Toxic, Everytime, Womanizer serta sebuah lagu baru, 3.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: