![]() |
| BARISAN pelakon filem Nine yang dilihat berpotensi untuk mengungguli kategori Persembahan Barisan Pelakon Dalam Filem Terbaik. |
JIKA Golden Globe menyaksikan filem Up In The Air mendominasi acara anugerah itu dengan enam pencalonan tetapi tidak untuk Screen Actors Guild (SAG).
Untuk SAG, filem arahan Jason Reitman itu hanya menerima tiga pencalonan sahaja yang memperlihatkan George Clooney dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik.
Selain Clooney, empat aktor hebat lain yang akan merebut gelaran idaman ramai pelakon lelaki itu ialah Jeff Bridges menerusi filem Crazy Heart, Colin Firth (A Single Man), Morgan Freeman (Invictus) dan Jeremy Renner (The Hurt Locker).
Sesuatu yang agak mengejutkan di sini apabila Jeremy dicalonkan untuk kategori ini sedangkan untuk Golden Globe, namanya langsung tidak tersenarai sebagai lima calon terbaik.
Itulah namanya anugerah yang tidak akan meriah seandainya tiada kejutan yang berlaku dan perkara ini juga tidak mustahil sebenarnya.
Dan, siapa tahu mungkin nasib Jeremy akan lebih baik jika dia berjaya dicalonkan untuk Oscar yang bakal berlangsung pada 7 Mac depan.
Ini kerana tidak mustahil nama yang dicanangkan akan mendapat pencalonan akan gagal membolosi tembok kebal pencalonan Oscar dan perkara ini sudah menjadi kelaziman setiap kali menjelangnya musim anugerah di Hollywood.
Inilah yang menariknya untuk memperkatakan mengenai acara anugerah di Hollywood yang sering mengundang kejutan bagi menambahkan kehangatan itu.
Berbalik kepada SAG, selain Pelakon Lelaki Terbaik, Up In The Air turut menerima dua pencalonan lagi iaitu kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk dua aktres yang membintangi filem berkenaan iaitu Vera Farmiga dan Anna Kendrick.
Bagaimanapun, filem tersebut gagal untuk dicalonkan bagi kategori Persembahan Barisan Pelakon Dalam Filem Terbaik yang boleh disamakan sebagai Filem Terbaik.
Bagi kategori Persembahan Barisan Pelakon Dalam Filem Terbaik, lima filem bakal bersaing hebat untuk dinobatkan dengan gelaran itu ialah An Education, The Hurt Locker dan Iglourious Basterds.
Dua filem lagi termasuklah filem muzikal hebat, Nine dan Precious: Based on the Novel Push by Sapphire.
Untuk kategori utama ini, memang agak sukar sekali untuk diramalkan siapakah yang mampu memenanginya kerana kesemua lima filem yang dicalonkan memiliki kekuatan masing-masing.
Namun, jika diukur kepada kehebatan barisan pelakon yang membintangi filem-filem berkenaan, rasanya Nine mampu menyerlah pada malam SAG yang akan berlangsung pada 23 Januari depan.
Ini kerana filem muzikal yang diarahkan oleh Rob Marshall itu dibintangi oleh pelakon-pelakon yang cukup hebat dari kalangan Gred A dan pernah memenangi Oscar.
Mereka yang dimaksudkan ialah Daniel Day-Lewis, Marion Cotillard, Nicole Kidman, Penelope Cruz, Judi Dench, Sophia Loren, Kate Hudson dan penyanyi, Fergie.
Kekuatan yang terletak pada kesemua pemain filem Nine menjadikan filem ini berpotensi untuk membawa pulang anugerah Persembahan Barisan Pelakon Dalam Filem Terbaik pada SAG kali ini.
Namun pun begitu, saingan terdekat Nine pastinya daripada The Hurt Locker yang menampilkan jalan cerita yang cukup menarik dan kupasan isu perang di Iraq.
Apatah lagi filem arahan Kathryn Bigelow itu dikatakan lari daripada filem perang yang selama ini dipaparkan dengan begitu klise.
Lantas pengkritik filem Hollywood melihat filem ini sebagai sebuah filem yang hampir sempurna dengan tema serta plot yang melengkapi filem ini untuk bergelar terbaik.
Kategori Pelakon Filem Wanita Terbaik juga tidak kurang menariknya untuk diperdebatkan apabila lima calon yang tersenarai semuanya memiliki kehebatan masing-masing.
Nama aktres tersohor, Meryl Streep sekali lagi tersenarai buat kali ketujuh menerusi filem komedi, Julie & Julia.
Tidak mustahil seandainya Meryl membawa pulang gelaran ini buat tahun kedua berturut-turut selepas memenanginya tahun lalu bagi filem Doubt.
Namun pun begitu laluan Meryl bukan mudah kerana dia harus berdepan dengan saingan yang cukup hebat daripada empat aktres lain.
Mereka ialah Sandra Bullock yang dicalonkan untuk filem The Blind Side, Helen Mirren (The Last Station), Carey Mulligan (An Education) dan Gabourey 'Gabby' Sidibe (Precious: Based on the Novel Push by Sapphire).
Seperti mana Golden Globe, SAG juga mengiktiraf karyawan seni Hollywood dalam bidang televisyen dan seperti mana kategori filem, kali ini SAG juga memperlihatkan saingan hebat untuk televisyen.
Persembahan Barisan Pelakon Dalam Siri Komedi Terbaik atau dalam erti kata lain, Siri Televisyen Komedi Terbaik menyaksikan lima siri televisyen yang merangkumi genre komedi yang pelbagai.
Perhatian kini diletakkan kepada Glee yang mencipta satu fenomena baru di Hollywood yang menggabungkan muzikal dan komedi sebagai tunjang jalan ceritanya.
Barangkali tidak mustahil untuk Glee memenanginya sementelah sebelum ini pun, banyak siri televisyen baru yang pertama kali dicalonkan berjaya membawa pulang anugerah ini.
Empat siri lain yang bertanding bersama Glee adalah Curb Your Enthusiasm, Modern Family, The Office dan 30 Rock.
Melihat pada senarai Pelakon Siri Komedi Lelaki Terbaik pula, Alec Baldwin dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengulangi kejayaan buat kali keempat berturut-turut menerusi siri komedi 30 Rock.
Namun, tidak mustahil Tony Shalhoub yang dicalonkan menerusi siri Monk memenangi anugerah ini untuk kali ketiga memandangkan lakonannya sebagai seorang detektif yang menjengkelkan tidak pernah mengecewakan.
Apatah lagi, Tony sudah tujuh tahun berturut-turut dicalonkan dan pernah memenanginya dua kali sebelum ini. Mungkin siapa tahu rezeki akan berpihak kepadanya kali ini.
Bagi kategori drama pula, sebanyak lima siri televisyen yang dicalonkan iaitu The Closer, Dexter, The Good Wife, Mad Men dan True Blood.
Sementara itu, anugerah pencapaian seumur hidup pula diberikan kepada pelakon veteran, Betty White.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: