
JELEBU - Dua beradik yang dipercayai sedang tidur, rentung apabila rumah mereka terbakar setelah dirempuh sebuah lori tangki minyak yang terbabas di Kampung Batu Ulu Klawang, Kilometer 18, Jalan Seremban-Jelebu di sini semalam.
Dua beradik itu ialah Anisah Hanapiah, 15, dan Mohd. Hafiz, 7. Turut terbunuh ialah pemandu lori tangki milik syarikat MISC Integrated Logistic Sdn. Bhd., Shamsul Kahar Bahudin (gambar), 36, yang berasal dari Melaka.

Anisah merupakan pelajar tingkatan tiga di Sekolah Agama Kuala Klawang manakala Mohd. Hafiz murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang.
Dalam kejadian pukul 8.39 pagi itu, lori yang sedang membawa 32,760 liter petrol RON 95 dikatakan dipandu laju sebelum gagal dikawal sehingga terjunam ke dalam gaung sedalam empat meter dan merempuh rumah terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Supritendan Setapa Yusuff, ketika kejadian, lori terbabit pada mulanya merempuh penghadang jalan dan sebuah kereta Mercedes Benz yang diletak di tepi jalan.
"Lori itu kemudiannya terjunam ke dalam gaung dan merempuh rumah mangsa sebelum meletup dan terbakar," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: