![]() REMY dan Ummi perlu bijak menangani kontroversi supaya tidak menjejaskan kerjaya dalam bidang seni. |
JANGAN tanya teman mengenai filem Jalang kerana teman memang tak berkesempatan menontonnya. Tetapi maklum balas yang diterima daripada rakan media yang menonton filem ini, mereka memang kecewa. Judulnya saja gempak! Barangkali yang lebih menjadi bualan adalah pelakon utamanya Yasmin Khaniff yang lebih gemar dan nampak selesa bergaya seksi ketika membuat kemunculan pada majlis atau sesi fotografi.
Jangan juga tanya teman mengenai filem Santau kerana teman belum lagi menontonnya. Memang tak sempat langsung kerana sibuk mencari penaja untuk memastikan kelangsungan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 yang acara kemuncaknya adalah pada 4 April tahun depan. Tidak mudah dan bukan juga murah dik nak anjurkan majlis besar seperti ABPBH.
Tetapi maklum balas anak bujang teman, Along memang tidak memberangsangkan langsung. Kecewa betul dia kerana fikirnya filem Santau lebih hebat berbanding Jangan Pandang Belakang. Tetapi itu pendapat Along dan jangan pula terpengaruh. Lain pula pendapat adik perempuan teman, Usu, yang kata memang seram. Barang kali yang seram adalah hakikat bahawa masih ada orang akan menggunakan perkara seperti santau gara-gara dengki khianat. Nak tahu lanjut mengenai filem itu, beli tiket habis cerita.
Macam Remy, lakonannya dalam Nur Kasih sebagai Adam benar-benar menyerlahkan sisi lakonannya. Begitu juga Ummi yang memegang watak Siti Sarah. Sempoi dan bersahaja Ummi sebagai adik yang nakal dalam diam dan sanggup berbuat apa saja demi memenuhi kehendak dan melayan perasaannya.
Agak malang nasib Remy kerana baru saja populariti hendak memuncak, tiba-tiba dia terpaksa berhadapan dengan kontroversi begini. Suku sakat teman sudah mendapatkan kenyataan kedua-dua pelakon ini yang rupa-rupanya memang benar ada hubungan istimewa dan bukan setakat teman tapi mesra. Ummi kata begini, Remy pula kata begitu.
Banyak jugalah perkara ‘off record’ yang diceritakan kedua-duanya kepada anak buah teman. Dalam B*Pop semalam, Remy sebenarnya memang keberatan untuk bercerita, tetapi dia terpaksa juga memberi kenyataan demi membela nama dan maruahnya dan keluarga. Iyalah, satu Malaya dikhabarkan kononnya pelakon ini mengasari anak seorang ahli perniagaan yang merujuk kepada Ummi. Memang buruk bunyinya apabila terkeluar cerita seorang lelaki bertindak kasar atau memukul perempuan.
Teman harap pertelingkahan ini tidak berpanjangan kerana tidak mahu ia akan menjejaskan peluang mereka untuk lebih cemerlang dalam dunia lakonan. Sudahlah kita kurang pelakon berbakat, yang ada pula banyak sangat kontroversinya. Muncul Remy dan Ummi yang memang ada potensi hendak pergi jauh, terpalit pula dengan kisah sebegini.
Tetapi ada pula yang berpendapat kontroversi inilah yang akan menjulang nama Remy dan Ummi. Bukan tak ada artis yang mengaku namanya popular apabila terpalit dengan kontroversi. Kalau tak silap teman baru-baru ini, pelakon baru Wan Sharmila mengaku dirinya menjadi popular apabila terpalit dengan hal rumah tangga. Terpulanglah kerana akhirnya nasib dan rezeki artis macam sabut dan batu. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam! Jangan tenggelam terus sudahlah kerana bukan tak ada artis yang nama terus tenggelam gara-gara kontroversi.
Teman tak mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi kalau Remy atau Ummi terbaca ruangan ini bawalah berbincang dan carilah jalan penyelesaian. Sudah ada yang menghantar e-mel kepada teman mendakwa itu, ini, begitu, begini mengenai kedua-duanya. Lumrahlah apabila kontroversi itu menjadi bualan khalayak. Bukan apa selalunya akan ada yang cuba menangguk di air keruh dan kalau banyak sangat campur tangan, makin keruhlah keadaan. Waspadalah kerana orang kata too many cook will spoil a soup. Jumpa lagi!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: