KUALA LUMPUR - Seramai 48,923 pemandu sepatutnya sudah menghadapi tindakan lesen mereka digantung atau dibatalkan selepas mengumpul sekurang-kurangnya 15 mata demerit di bawah Sistem Kejara.
Bagaimanapun, masalah pelaksanaan sistem itu menyaksikan hanya 3,633 pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan 200 Lesen Memandu Percubaan (PDL) menghadapi tindakan lesen digantung atau dibatalkan sejak 2005 hingga September lalu.
Bagi Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, sistem mata demerit itu perlu dipinda kerana hasilnya jauh daripada memuaskan hati.
"Contohnya, untuk memastikan Notis Tunjuk Sebab benar-benar dapat diserahkan, undang-undang yang sedia ada memperuntukkan bahawa notis dihantar berdasarkan alamat dalam MyKad.
"Namun realitinya notis itu tidak sampai kepada pemegang lesen disebabkan majoriti alamat itu tidak wujud,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Mumtaz Md Nawi di Dewan Negara di sini semalam.
Mumtaz sebelum itu bertanyakan sama ada sistem mata demerit berjaya dilaksanakan dengan memenuhi tujuan asalnya mendisiplinkan pemandu serta mengurangkan kemalangan jalan raya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: