
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau secara umumnya berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Perdana Menteri berkata, bagaimanapun masyarakat umum boleh membuat penelitian mengenai laporan itu yang akan dibentangkan kepada wakil badan bukan kerajaan pada Khamis ini, dan kepada orang ramai di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini pada Jumaat ini.
Najib berharap, rakyat dapat memberi maklum balas mengenainya kepada kerajaan.
"Pencapaian mereka memuaskan tetapi tentu sekali dalam mana-mana kerajaan, ada ruang untuk memperbaiki prestasi mereka," katanya selepas mendengar pembentangan mengenai pencapaian enam NKRA di sini semalam.
Turut hadir, kedua-dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala yang diberikan tanggungjawab mengenai pengurusan prestasi NKRA.
April lalu, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai melambangkan pembaharuan serta pendekatan kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan mendahulukan rakyat.
Berikutan itu, enam menteri kanan dilantik menerajui enam NKRA bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan. Dalam aspek itu, Najib terlibat secara langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.
Enam teras NKRA ialah membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).
Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).
Najib berkata, langkah memperkenalkan NKRA ialah bagi menunjukkan kerajaan amat komited melakukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) di bawah gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."
Berhubung Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang melibatkan kementerian lain selain daripada di bawah NKRA, Najib berkata, penilaian terhadap perkara itu dibuat secara berasingan dan dijangka selesai akhir bulan ini.
Perdana Menteri berkata, setakat ini, 10 anggota Kabinet belum membentangkan laporan pencapaian masing-masing.
"Saya akan menemui beberapa menteri esok (hari ini) dan yang lain selepas Persidangan Iklim di Copenhagen. Semua (penilaian) pembentangan akan selesai akhir bulan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: