


gigi.

ROM - Bibir pecah, hidung patah dan muka pula berlumuran darah.
Kecederaan serius yang menimpa Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi itu disebabkan ditumbuk oleh seorang pesakit mental.
Berlusconi, 73, turut kehilangan dua batang gigi dalam serangan itu yang berlaku semasa beliau sedang menandatangani beberapa autograf pada perhimpunan politik parti Kebebasan Rakyat pimpinannya di Milan kelmarin.
"Perdana menteri itu kemudian dibawa menaiki sebuah kereta oleh beberapa pengawal peribadinya seterusnya dibawa ke hospital," kata Menteri Pertahanan Ignazio La Russa yang berada di tempat kejadian.
Doktor peribadinya, Alberto Zangrillo berkata, Berlusconi terpaksa tinggal di hospital selama beberapa hari lagi.
Menurutnya, kecederaan itu mengambil masa sekurang-kurangnya 15 hari untuk sembuh.
Namun, perdana menteri itu cuba menenangkan keadaan dengan menyatakan beliau berada dalam keadaan baik.
"Saya baik, saya baik, jangan bimbang tentang saya," kata perdana menteri itu setibanya di hospital.
Berlusconi diserang apabila seorang lelaki muncul dari khalayak ramai dan menyelinap melintasi kumpulan pengawal peribadinya sebelum menumbuk Berlusconi sambil menggenggam sebuah patung dalam penumbuknya.
Sebelum serangan berlaku, beberapa pergelutan kecil berlaku setelah kira-kira 10 orang mengejek Berlusconi dengan menggelarnya 'si badut' pada perhimpunan itu.
Berlusconi kemudian membalas balik dengan menjerit: "Tak malukah anda?"
Penyerangnya, Massimo Tartaglia iaitu seorang peaskit mental dipercayai terangsang menyaksikan senario tersebut sehingga sanggup bertindak nekad menumbuk pemimpin berkenaan.
Tartaglia, 42, kini berada dalam tahanan polis tetapi motif dia menumbuk Berlusconi masih belum jelas.
Menurut polis, lelaki itu yang memiliki sejarah gangguan mental, bukan seorang aktivis dan tidak memiliki rekod jenayah serius melainkan beberapa kesalahan lalu lintas.
Berlusconi terjebak dalam beberapa kontroversi sepanjang tahun ini.
Pada April lepas, beliau dikaitkan dengan seorang model pakaian dalam wanita, Noemi Letizia.
Berlusconi menghadiri majlis hari jadi ke-18 gadis itu dan memberikannya hadiah mahal iaitu rantai leher emas bertatahkan berlian berharga £5,400 (RM18,397).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: