
SHAH ALAM - Jabatan Pertanian diberi kuasa untuk memusnahkan kebun dan ladang tanaman buah betik yang diserang penyakit mati rosot apabila penyakit itu diwartakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 yang berkuat kuasa 3 Disember lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd. Johari Baharum berkata, kaedah pembendungan terpaksa dilakukan kerana industri betik kini semakin terjejas sejak penyakit tersebut menyerang pada tahun 2003.
Menurutnya, Perak merupakan negeri yang terjejas teruk akibat serangan penyakit tersebut apabila suatu ketika dahulu terdapat 500 hektar tanaman betik secara komersial namun kini hanya tinggal 100 hektar.
Bagaimanapun, tanaman betik di Kelantan dan Terengganu bebas daripada penyakit itu kerana ia hanya diusahakan secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri.
"Secara keseluruhan, keluasan tanaman betik di Semenanjung menurun daripada 2,127 hektar pada 2004 kepada 1,336 hektar pada tahun ini dengan menyaksikan 268 daripadanya diserang penyakit ini.
"Eksport betik ke Singapura, Eropah dan Timur Tengah juga merosot daripada 57,113 tan (2003) kepada 10,323 tan (2008) iaitu 82 peratus dan kerugian nilai eksport mencecah RM51.5 juta pada tahun lalu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: