Tuesday, December 22, 2009

Penentuan Sazzy dan Sein




Zul dan Isma menjadi pasangan terakhir tersingkir daripada Sehati Berdansa edisi ketiga

SELEPAS sembilan minggu berlangsung, Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus membuat perhitungan dengan Syed Hussien Syed Mustafa (Sein) dan Noor Diyana Muhammad (Nana) untuk menentukan siapa yang layak untuk merebut gelaran juara Sehati Berdansa bagi edisi ketiga.

Pasangan mana yang lebih handal, ligat dan bertenaga hanya boleh diketahui dalam peringkat akhir program itu yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), pada 26 Disember ini.


Pada peringkat separuh akhir yang berlangsung Ahad lalu, menyaksikan pasangan Isma dan Zul terpaksa menerima hakikat tersingkir selepas mereka menerima markah sebanyak 58 peratus.

Mereka tersingkir selepas mendapat markah sebagai 58 peratus, berbanding pasanan Sazzy dan Nazril (61 peratus), manakala Sein dan Nana terus kekal dengan markah tertinggi iaitu 70 peratus.

Perbezaan markah antara pasangan Sazzy dan Sein dilihat tidak jauh berbeza dan ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara mereka pada malam kemuncak Sehati Berdansa nanti.

SAZZY dan suami, membuat perhitungan dengan Sein dan Nana untuk merebut gelaran juara Sehati Berdansa bagi edisi ketiga.

Namun, pada peringkat akhir, apa saja boleh terjadi. Selain berusaha sebaik mungkin, ia juga bergantung kepada tuah. Jadi, tidak adil juga jika Sein dan Nana dianggap hanya mengharapkan SMS semata-mata untuk berjaya. Hakikatnya, pasangan ini terutamanya Sein diakui menunjukkan peningkatan yang baik. Begitu juga dengan Nana yang mula sedar peranannya untuk memantapkan gandingan mereka.

“Kami sudah berusaha sebaik mungkin untuk sampai ke minggu akhir. Kalau boleh, kami nak ketiga-tiga pasangan masuk peringkat akhir. Sedih juga lihat abang Zul dan isterinya tak dapat masuk,” kata Sein mewakili isterinya.

Sementara itu, Sazzy sendiri mengakui perasaannya bercampur aduk di antara sedih dan gembira. Katanya, dia dan suaminya juga berasa sedih seperti Sein dan Nana apabila melihat Isma dan Zul terpaksa akur dengan penyingkiran pada minggu kesembilan.

“Atas usaha yang diberikan setiap peserta, maka semua sebenarnya berhak untuk ke peringkat akhir. Tapi apakan daya, sudah begitu peraturannya. Menyertai pertandingan ini satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Kami dapat kawan baru dan menurut kaca mata saya, saya boleh rumuskan musim ini antara yang terbaik.

PASANGAN Isma dan Zul tersingkir ahad lalu.

“Apa yang terjadi, nama saya juga terpalit dengan drama dan kontroversi pada musim ini apabila kisah saya dan Dira Abu Zahar menjadi bualan. Barangkali selepas ini, saya tidak akan lagi menyertai pertandingan sebegini. Kalau setakat mengacarakan program realiti itu bolehlah,” katanya yang menyifatkan apa yang terjadi sebagai pengajaran berguna.

Bagi Isma dan Zul, di sebalik perasaan kecewa dan sedih kerana tersingkir, tetapi mereka tetap gembira kerana dapat bertahan sehingga minggu ke sembilan dalam program ini.

“Saya memang kecewa tak dapat meneruskan cabaran seterusnya. Bukan rezeki kami. Kami tidak sasarkan sampai ke final pun, tapi bila dapat berjuang hingga ke peringkat ini.

“Ikutkan hati memang kami menaruh harapan untuk sama-sama bersaing dengan pasangan lain di peringkat akhir,” katanya dalam nada sedih namun tetap bangga dengan Zul.

Zul pula melihat peluang berada dalam pertandingan ini sebagai satu penghargaan kepada dirinya. Keterujaannya juga sering disalah erti apabila menonjolkan mimik muka yang disifatkan sebagai terlampau yakin.

Katanya lagi, setiap daripada kita mempunyai cara menunjukkan semangat perjuangan.

“Tak timbul istilah saya terlampau yakin diri, sebaliknya ia seperti tenaga yang diserap untuk menguatkan keyakinan diri saya. Kami tak sangka sampai ke tahap ini. Saya sendiri pun tidak menyangka boleh menari sedangkan dulu ketika bersama kumpulan 2 by 2, saya memang kekok dan keras,” kata Zul.

Rating Sehati Berdansa semakin baik

Tewas bukan bererti mereka tidak bagus, cuma rezeki untuk mara ke Kemuncak Sehati Berdansa tidak ada. Sepatutnya Oshin dan suaminya, Firdaus yang diundi menerusi Sehati Berdansa Masuk juga berentap di separuh akhir tapi mengundur diri kerana masalah kesihatan.

Penerbit Sehati Berdansa, Norazian Tahir berkata, tidak timbul istilah kemenangan dua pasangan akhir yang dirancang pihak Astro. Sebaliknya kejayaan dua pasangan terbabit bertitik tolak kepada usaha konsisten yang dipamerkan mereka di samping undian SMS peminat.

“Cuma bukan rezeki Isma dan Zul untuk beradu tenaga di peringkat akhir. Begitu juga dengan peluang kedua yang diberi Oshin dan Firdaus yang tidak dapat beraksi pada separuh akhir. Saya difahamkan Oshin dimasukkan hospital kerana terlalu lemah dan dinasihatkan doktor untuk tidak meneruskan perjuangan.

“Pada awalnya dia mungkin disahkan mengandung, namun selepas ujian air kencing diadakan sebanyak tiga kali, keputusannya tetap negatif,” katanya yang ditemui pada sidang media yang diaturkan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi pula berkata rating dan sambutan yang diterima pada musim ini sangat positif dan lebih bagus berbanding dua musim terdahulu. Kualiti peserta juga semakin meningkat dan masing-masing menunjukkan perkembangan ketara.

“Kemungkinan untuk musim keempat diadakan juga masih belum dapat dipastikan. Mungkin ada, mungkin tidak. Semuanya masih dalam perancangan untuk tahun depan. Selain rating dan kualiti peserta yang bagus pada musim ini, undian SMS juga naik.

“Apa yang lebih penting sekarang ialah untuk menunggu keputusan siapa yang bakal bergelar juara. Untuk final, peserta akan dinilai 100 peratus menerusi undian SMS. Buat peminat dunia hiburan, nantikan juga kemunculan artis jemputan, Adam dan Stacy yang bakal mendendangkan lagu Menggegar Dunia,” kata Azlin.

INFO: Sehati Berdansa 3

  • Tugasan terakhir yang harus dipersembahkan dua pasangan di peringkat akhir ialah tarian kontemporari Melayu dan Latin.

  • Disiarkan bermula jam 9 malam Sabtu ini selama sejam

  • Pemenang pertama akan memenangi sebuah kereta dan pakej percutian. Manakala koreografer pula akan menerima pakej percutian.

  • Naib juara masing-masing untuk pasangan dan koreografer menerima pakej percutian.

  • Buat juara, badan atau persatuan amal yang diwakili akan menerima RM20,000. Untuk naib Juara pula sebanyak RM15,000 akan disumbangkan.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: