Saturday, December 12, 2009

Pencuri curi mayat bekas Presiden Cyprus


SEORANG anggota polis memeriksa kubur Papadopoulos di Deftera, Cyprus.


NICOSIA - Sekumpulan pencuri di Cyprus semalam menggali kubur dan mencuri mayat bekas presiden negara itu, Tassos Papadopoulos (gambar), sehari sebelum ulang tahun pertama kematian beliau hari ini.

Mereka melakukan jenayah itu pada waktu malam dan kes kecurian tersebut yang dilaporkan semalam turut mengejutkan penduduk negara di kepulauan Mediterranean itu.

Stesen televisyen menghentikan program pada waktu pagi untuk menyiarkan secara langsung laporan kejadian tersebut.

Seorang anggota pengawal peribadi anggota keluarga Papadopoulos menyedari kejadian itu apabila dia mahu menyalakan lilin yang sering dilakukan pada setiap pukul 8 pagi waktu tempatan.

Sejurus berita itu dilaporkan, ahli-ahli keluarga Papadopoulos bergegas ke kawasan perkuburan itu di Deftera, pinggir ibu negara Nicosia dan pihak polis turut mengawal tempat tersebut.

Pihak polis berkata, pencuri dipercayai membuat rancangan rapi apabila menggali lubang terowong dan menimbuskan tanah tanpa meninggalkan sebarang kesan.




Motif kejadian masih tidak diketahui.

Papadopoulos ialah presiden kelima Cyprus dari 2003 hingga 2008 dan beliau meninggal dunia pada akhir tahun lalu kerana kanser paru-paru semasa berumur 74 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: