KUALA LUMPUR 14 Dis. - Seorang penyokong kerajaan, Datuk Mohamad Aziz (BN-Seri Gading) hari ini mencadangkan supaya pencen separuh diberi kepada anggota tentera yang berkhidmat kurang daripada 20 tahun.
Beliau berkata, cadangan itu wajar dilaksanakan kerana ia boleh dijadikan salah satu bentuk penghargaan kerajaan terhadap jasa yang curahkan oleh anggota tentera terbabit sepanjang perkhidmatan mereka.
"Pencen separuh perlu diberi kepada anggota tentera yang berkhidmat 10 hingga 15 tahun. Ini penting dan sekiranya kita terpaksa memanggil mereka berkhidmat untuk negara sudah tentu mereka tidak teragak-agak membantu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad turut mencadangkan supaya elaun masuk hutan dinaikkan sekiranya ada dan jika tiada ia perlu diwujudkan.
Katanya, langkah itu katanya bertujuan merangsangkan lagi semangat anggota tentera.
"Contohnya, kalau masuk hutan, dapatlah elaun paling kurang RM20 sehari. Kalau masuk sebulan kurang-kurang dapatlah RM600.
"Apabila mereka ini keluar hutan adalah imbuhan yang boleh mereka bawa balik untuk diberi kepada isteri yang menunggu selama sebulan di rumah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) meminta kerajaan melanjutkan perkhidmatan anggota tentera lain-lain pangkat daripada 20 tahun kepada 25 tahun.
"Mereka bersara dalam keadaan badan yang masih sihat dan kuat, saya ingin tanya sama ada kerajaan bercadang melanjutkan perkhidmatan anggota lain-lain pangkat daripada 20 tahun kepada 25 tahun," ujarnya.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula membangkitkan mengenai kebajikan anggota tentera yang perlu dipertingkatkan khususnya perumahan dan gaji.
Beliau juga ingin mendapatkan maklumat mengenai kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertingkatkan pertahanan negara selepas terdapat dakwaan bahawa Malaysia adalah transit kegiatan penyeludupan orang dan dadah di rantau ini.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya pembelian peralatan pertahanan dilakukan secara telus supaya tidak berlaku ketirisan.
Sementara itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas-Bukit Gantang) mencadangkan diwujudkan jawatankuasa bersama antara kerajaan dan pembangkang dalam menentukan kontraktor pembekalan peralatan kepada kementerian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: