Tuesday, December 22, 2009

Pencapaian semakin membanggakan




AESB akan mantapkan lagi kandungan dalam semua saluran berbahasa Melayu

BUKAN hendak mendabik dada, tetapi beberapa program Astro yang disiarkan dalam beberapa saluran berbahasa Melayu sebenarnya mempunyai rating yang tinggi dan lebih baik daripada kedudukannya daripada stesen TV percuma.

Pencapaian tidak dapat dibesar-besarkan kerana ia tidak boleh ‘diiktiraf’ dengan alasan Astro adalah saluran TV berbayar.


Bagaimanapun, hakikatnya selepas tujuh tahun, satu demi satu saluran berbahasa Melayu muncul dan semuanya disatukan di bawah payung Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).

Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, saluran berbahasa Melayu di bawah AESB ialah Astro Ria, Prima, Oasis, Ceria, Awani dan terbaru menerusi pakej Mustika iaitu Warna dan Citra yang diperkenalkan pada Jun lalu.

Dan, sepanjang tujuh tahun beroperasi AESB sudah membuktikan pencapaian membanggakan apabila menguasai kira-kira 40 peratus daripada aliran perkongsian penonton.

Pengarah Eksekutif AESB, Zainir Aminullah, berkata bermula tahun 2006 hingga kini, Astro sudah mengukuhkan kedudukan selesa apabila menjadi saluran pilihan utama berbanding saluran televisyen percuma lain terutama pada musim Aidilfitri lalu.

“Pada permulaan kami hanya mencatat jumlah perkongsian penonton sebanyak 17 peratus saja bermula tahun 2006. Selepas pelbagai kajian dan percubaan berani dibawakan, angka pada tahun 2007 mencatat peningkatan sehingga 27 peratus dan tahun lalu terus meningkat sehingga 32 peratus.

"Lebih berbangga lagi, pada Aidilfitri lalu, perkongsian pasaran penonton Astro mencecah 40 peratus sekali gus mencatat pencapaian terbesar buat kami berbanding saluran percuma yang turut mempertaruhkan pelbagai program khas Aidilfitri.

“Ia amat bermakna. Kami berjaya mendidik kesetiaan penonton untuk memilih kepelbagaian saluran yang ditawarkan Astro. Pencapaian ini juga membuatkan kami lebih bersemangat untuk mempertingkatkan nilai pelaburan khususnya untuk program Melayu," katanya yang ditemui pada majlis mesra bersama media baru-baru ini. Ia dihadiri oleh pengurusan kanan AESB dan pengarang dan penolong pengarang hiburan daripada akhbar utama.

Zainir berkata, menjelang 2010, Astro sekali lagi berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi meningkatkan kualiti berlandaskan piagamnya untuk memperkasakan saluran, hiburan terbaik, drama menarik, filem popular, bakat hebat dan pasaran yang agresif, masakan pelanggan terpikat.

“Kami berhasrat untuk memperbanyakkan lagi integrasi antara sayap filem yang bernaung di bawah Tayangan Unggul Sdn Bhd dan saluran televisyen untuk memberikan impak tontonan lebih besar.

“Pertambahan itu membuktikan penonton tempatan mempunyai selera yang luas tetapi kebanyakan stesen penyiar takut untuk memberikan kandungan baru dan berbeza,” katanya.

Ditanya perancangan lanjut 2010, Zainir berkata, ketika ini mereka belum bersedia untuk menambah saluran baru, sebaliknya, AESB mahu memusatkan fokus mereka dengan memberi ruang kepada penonton mendapatkan rentak rancangan yang disiarkan.

"Kami mahu terlebih dulu melihat saluran baru seperti Warna yang mengkhusus kepada komedi diterima meluas dan bertahan lama, sebelum memikirkan perancangan lain,” katanya.

Pada majlis itu juga, Zainir memperkenalkan jentera kuat mereka yang menerajui tunggak baru menguruskan setiap saluran utama di bawah AESB.

Mereka ialah Azlin Reza Azmi sebagai Pengurus Saluran Ria; Azlina Megat (Pengurus Saluran Astro Warna); Nizam Sani (Pengurus Saluran Astro Prima); Izelan Basar (Pengurus Saluran Astro Oasis); Sharlyza Sharkawi (Pengurus Saluran Astro Citra) dan Evon Koh (Pengurus Saluran Astro Ceria), manakala Rozina Aziz iaitu Pengurus Saluran Astro Awani tidak hadir di majlis ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: