Tuesday, December 22, 2009

Patung Nefertiti 3,300 tahun jadi rebutan




KAHERAH - Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Zahi Hawass kelmarin menyatakan dia akan menuntut supaya pihak berkuasa Jerman memulangkan kepala patung Permaisuri Nefertiti (gambar) yang berusia 3,300 tahun.

Dia membuat kenyataan tersebut selepas patung itu yang kini dipamerkan di sebuah muzium di Berlin didapati dibawa keluar dari Mesir secara haram pada 1924.

Permaisuri Nefertiti merupakan isteri Firaun Akhenaton.

Sebelum ini pihak berkuasa Jerman enggan memulangkan patung itu dengan mengemukakan alasan ia mudah pecah jika digerakkan.

Satu kenyataan daripada pejabat Zahi menyatakan, Pengarah Muzium Koleksi Mesir dan Papirus di Berlin, Friederike Seyfried mengemukakan beberapa dokumen yang menunjukkan patung kepala tersebut dibawa keluar secara haram dari Mesir.

Menurut dokumen itu, patung tersebut disenaraikan sebagai patung seorang puteri.

Dalam diari seorang ahli ekskavasi Jerman, Ludwig Borchardt, dia merujuk objek itu sebagai patung kepala Permaisuri Nefertiti.

"Satu jawatankuasa kebangsaan yang menuntut semula antikuiti akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi meneliti langkah-langkah rasmi untuk menuntut semula patung Nefertiti dari Berlin ke Mesir," kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: