Tuesday, December 15, 2009

Muzikal terus dominasi IB


CUCI the Musical akan kembali untuk musim kedua pada 27 Julai hingga 10 Ogos 2010.


TAHUN 2009 sememangnya mencatatkan kejayaan yang cukup gemilang buat Istana Budaya (IB) menerusi program yang berlangsung di sana sepanjang tahun ini.

Pementasan seperti Puteri Gunung Ledang the Musical, teater Di Mana Setangginya, teater Mahsuri, teater muzikal Sirah Junjungan II dan teater muzikal Tun Abdul Razak antara yang mendapat sambutan yang cukup hebat daripada penonton.

Tidak cukup dengan itu, konsert-konsert seperti Konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza, Jamal...Kembara Seniman, Konsert Untukmu Ibu Black Dog Bone dan Konsert Lelaki Ini Anuar Zain juga antara konsert yang mencipta kejayaan sungguh luar biasa.

Namun, teater Natrah merupakan produksi terbitan IB yang telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila dipentaskan pada 30 November dan berakhir 13 Disember lalu.

Bukan sahaja kesemua tiketnya laris dijual dalam masa yang singkat tetapi juga buat pertama kalinya teater tersebut dilanjutkan untuk empat hari tambahan.

Rasanya belum pernah dalam sejarah produksi terbitan IB yang mencipta rekod gemilang seperti mana teater Natrah.

Dengan kejayaan itu juga, ia berjaya meletakkan teater Natrah setanding dengan teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical yang telah mencipta fenomena serupa.

Tahun 2010 akan membuka tirainya dalam sedikit masa lagi dan IB sudah bersedia untuk memberikan santapan terbaik untuk masyarakat dan pecinta seni khususnya sepanjang tahun depan.

Melihatkan 25 program yang bakal dipentaskan di IB sepanjang tahun depan, sememangnya pementasan teater muzikal dilihat mendominasi pentas Panggung Sari untuk tahun 2010.

Antara yang sudah disahkan akan menggegarkan Panggung Sari ialah Estet the Musical, teater muzikal Che Det, Muzikal Satu, Kita We the Musical dan Muzikal Budak Kampung.

Dua pementasan teater muzikal yang akan kembali untuk musim kedua ialah Cuci the Musical dan Impak Maksima the Musical.

Selain itu, pementasan teater muzikal antarabangsa, West Side Story merupakan satu-satunya teater muzikal antarabangsa yang akan dipentaskan dan ia dilihat mampu menarik penonton ke IB.

Persoalannya kini, adakah teater berat atau seni persembahan yang lain seperti tarian tidak berupaya menarik perhatian pengunjung ke IB sehingga menyebabkan teater muzikal membanjiri pentas bertaraf dunia itu?

Menjawab persoalan ini, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani tidak menafikan teater muzikal telah membuka satu lembaran baru kepada perkembangan seni persembahan di negara ini.

Impak yang terhasil daripada pementasan teater muzikal sememangnya di luar dugaan dan apa yang penting, ia berupaya menarik perhatian golongan remaja ke IB seperti mana yang dimahukan oleh IB.

"Jika kita perhatikan, senario serupa juga berlaku di Broadway dan West End di mana hampir 70 peratus persembahan di sana adalah teater muzikal.

"Bukan itu sahaja, keluasan pentas dan kecanggihan Panggung Sari juga merupakan faktor mengapa IB sering kali dipilih untuk pementasan teater muzikal.

"Kalau mahukan teater berat ataupun seni persembahan yang lain, kita sudah ada pentas sedia ada seperti Matic, KLPac dan sebagainya yang mempunyai kelompoknya yang tersendiri," katanya memberikan hujah.

program IB

Mohamed Juhari berkata demikian kepada pihak media sewaktu ditemui selepas majlis pengumuman program IB 2010 di Lambang Sari, IB, minggu lalu.

Terlebih dahulu, perasmian telah dilakukan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Ke.

Begitu juga dengan perihal ulangan pementasan Cuci the Musical dan Impak Maksima the Musical yang berjaya mencatatkan jumlah penonton yang cukup memberangsangkan.

"Dengan adanya pementasan ulangan ini, setidak-tidaknya ia akan memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menontonnya pada musim lalu," ujarnya lagi.

Mengenai pemilihan West Side Story pula, Mohamed Juhari menjelaskan, ia bergantung kepada pementasan jelajah sesebuah produksi itu juga.

Pada masa yang sama, Mohamed Juhari juga melahirkan perasaan bangga dan gembiranya apabila IB mencatatkan sebanyak 145,357 orang penonton untuk tahun 2009.

Angka itu melibatkan jumlah penonton yang hadir menyaksikan 39 persembahan di Panggung Sari dan juga Lambang Sari.

Jumlah itu juga katanya, melebihi jumlah sasaran yang telah ditetapkan iaitu 110,000 orang dan sudah pasti, Mohamed Juhari mengharapkan jumlah itu akan meningkat untuk tahun 2010.

Sebelum ini, Mohamed Juhari pernah melahirkan kebimbangan apabila melihat sambutan yang diberikan oleh syarikat kurang memberangsangkan.

Namun, kebimbangan itu mula terhakis apabila pihak IB menerima sejumlah besar kertas kerja daripada syarikat yang mahu mementaskan naskhah mereka di IB.

Semua itu kata Mohamed Juhari, ekoran daripada tarikh tutup penghantaran kertas kerja yang dilanjutkan sehingga bulan Oktober lalu berbanding Ogos pada tahun sebelumnya.

"Memang agak mengejutkan apabila pihak kami menerima banyak kertas kerja tetapi itu tidak bermakna kami akan memilih semua untuk dipentaskan.

"Sudah pasti, kami tidak akan berkompromi tentang soal kualiti dan kami yakin untuk 25 program yang telah disahkan ini, ia mampu memberikan persembahan yang menarik," jelas Mohamed Johari yang turut menjelaskan Bangsawan Sri Mersing juga akan dipentaskan di IB tahun depan.

Sungguhpun begitu, Mohamed Johari juga tidak mampu menyembunyikan kegusaran jika ada produksi yang menarik diri saat akhir seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

Untuk itu, pihaknya akan menyediakan pelan sokongan dengan memberi peluang kepada mereka yang mahu meneruskan hajat untuk mementaskan naskhah mereka.

Selain teater muzikal, konsert juga dilihat antara program menarik yang mampu menarik pengunjung ke IB tahun depan.

Antaranya ialah Konsert Satu Suara Aizat dan Faizal Tahir Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan, Simfoni Muzika Tani 2010, Konsert Satu Masa Bersama Amy Search.

Tidak ketinggalan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Konsert Untukmu Wanita, Konsert Syahadah, Konsert Datuk Shake dan Festival Muzik Kuala Lumpur 2010.

Namun pun begitu jelas Mohamed Juhari, beberapa siri konsert seperti Simfoni Muzika Tani 2010, Konsert Untukmu Wanita dan Festival Muzik Kuala Lumpur 2010, barisan artis masih belum diputuskan.

"Konsert-konsert yang disebutkan ini merupakan satu slot khas dan siapakah yang bakal mengisi kekosongan itu, masih belum dapat diberitahu.

"Ini kerana ada pihak yang mahu penyanyi seberang, Rossa dan membawa kembali kumpulan Alleycats.

"Bukan itu sahaja, penghibur ternama negara, Datuk Sheila Majid juga ada menyatakan minat untuk membuat persembahan di IB.

"Jadi, semuanya akan diberitahu semasa dari semasa agar peminat tidak akan ketinggalan sebarang perkembangan terbaru menerusi hebahan di media," jelasnya yang memberitahu kesemua 25 program adalah untuk persembahan di Panggung Sari sahaja manakala di Lambang Sari pula hanya akan diadakan jika ada masa senggang antara satu pementasan dengan pementasan yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: