
MENEMPUH laluan hutan menuju ke puncak Gunung Gerah di Kelantan bersama rakan-rakan pendaki seramai 12 orang pada Oktober lalu meninggalkan satu pengalaman berharga buat penulis.
Ekspedisi selama enam hari itu diketuai oleh Zulkifli M.Sanuddin (Poncho). Ia memang memeritkan, namun kami berjaya meraih kejayaan di puncak. Berikut adalah catatan ekspedisi kami.
Hari pertama dan kedua: Perjalanan bas dari Hentian Puduraya berakhir di Medan Gopeng, Ipoh, Perak pada pukul 3 pagi. Subuh yang berbaki membolehkan kami lena seketika dan sekitar pukul 6.30 pagi, kami bersiap-siap meneruskan perjalanan ke Gerik. Sekali lagi kami menaiki bas awam dan sampai di pekan kecil itu pada pukul 11 pagi. Tanpa berlengah, kami menaiki kereta sapu menuju ke jeti Tasik Temenggor.
Dari situ, kami menaiki bot menuju ke jeti RPS (Rancangan Penempatan Semula) Orang Asli Kemar. Perjalanan memakan masa satu jam lebih dan dari jeti, kami menaiki pacuan empat roda (4WD) menuju ke Kampung Rantau. Dari kampung itu, barulah ekspedisi sebenar kami bermula. Kami menggalas beg besar dan mula berjalan kaki menuju ke tapak perkhemahan di simpang Ulu Sepat-Gerah.
Memang itulah yang dirancang oleh penunjuk jalan kami, Poncho. Namun malang tidak berbau apabila beliau mengalami kekejangan otot. Memandangkan hari sudah gelap dan kami pula sudah dekat dengan Kem Y, maka kami memutuskan untuk berkhemah di situ sahaja.
Hari ketiga: Menurut Poncho, kami mesti sampai di Kem Sarsi pada hari ini. "Kita makan tengah hari di Kampung Agil," kata Poncho kepada kami. Semua peserta begitu bersemangat untuk memulakan langkah. Jarum jam menunjukkan angka 9.15 pagi dan selesai memanaskan badan, kami memulakan pendakian. Pada awalnya kami melintasi sungai. Menurut Poncho, cabaran hari ini adalah melepasi puncak Gunung Bongok. Kenapa namanya sebegitu, tiada siapa antara kami mengetahuinya.
Titisan keringat membasahi baju-T dan penat mula menguasai diri. Dalam hati saya berkata: "Ini baru kaki Gunung Bongok. Nak sampai puncak...,jauh lagi ni." Cerun hampir 70 darjah membuatkan kami hanya mampu bersabar menghadapi cabaran tersebut.
Setelah tiga kali berhenti rehat, akhirnya kami sampai di puncak Bongok pada pukul 11.15 pagi. Kami berasa begitu lega dan mengucapkan syukur. Sempat juga kami berehat selama 15 minit untuk 'mengecas' semula tenaga yang hilang.
Perjalanan diteruskan sehingga kami sampai di tebing sebatang sungai berdekatan Kampung Agik untuk makan tengah hari. Ketika melalui kampung tersebut, dua penduduk mempelawa kami makan buah durian. Tanpa segan silu, kami menerima pelawaan tersebut.
Tepat pukul 4.08 petang, kami melintasi sebatang sungai dan tiba di Kem Kunyit. Kami berehat seketika dan kira-kira 1 jam 30 minit kemudian, kami sampai di sumber air terakhir (last water point). Setiap daripada kami memenuhkan air ke dalam dua botol besar untuk bekalan memasak di puncak Gerah nanti. Dalam mengatur langkah yang semakin longlai, sang mentari mula menghilangkan diri.

Masing-masing mengeluarkan lampu suluh untuk meredah kegelapan malam. Sekitar pukul 8.15 malam, kami tiba di Kem Lunch. Poncho bertanya kepada kami sama ada kami mahu bermalam di situ. Namun kami tekad untuk meneruskan perjalanan ke Kem Sarsi dan berkat dorongan kawan-kawan, akhirnya kami tiba di kem tersebut pada pukul 11.30 malam.
Hari keempat: 'Pertarungan' menuju ke puncak Gerah bermula pada hari ini. Selepas empat jam mengatur langkah, kami tiba di kawasan berlumut pada pukul 2 petang. Melihat lumut-lumut hijau dan basah menyelimuti pokok membuatkan kami berasa seolah-olah berada di dalam satu dunia khayalan. Seperkara yang tidak dapat dilupakan adalah kami terpaksa 'bersujud' banyak kali apabila melalui kawasan ini. Mana tidaknya, dahan-dahan yang bersimpang siur memaksa kami merangkak. Setelah hampir lima jam mendaki, akhirnya kami tiba di puncak Gerah pada pukul 3 petang.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, kami sampai di puncak berketinggian 2,102 meter dari paras laut itu. Di puncak tersebut, terdapat sebuah beirut yang kemudian menjadi lokasi tempat kami bergambar.
Suasana sejuk di puncak diselubungi awan tebal. Ternyata ia bukanlah satu pendakian yang sia-sia kerana kami dapat melihat pemandangan yang begitu indah.
Selesai makan, kami mula menuruni gunung menuju ke Kem Sarsi pada pukul 5 petang dan dua jam kemudian, kami sampai di kem tersebut. Tidur pada malam ini amat mencabar kerana serangan agas begitu hebat sehingga membuatkan tidur kami terganggu.
Hari kelima: Walaupun tidak mendengar ayam berkokok, cahaya dari celahan pokok-pokok menunjukkan hari sudah siang. Pada pukul 9.20 pagi, kami mula mengorak langkah menuruni gunung menuju ke Kampung Rantau. Perjalanan hari ini memang jauh dan kami sampai di kampung itu pada pukul 11.20 malam.
Hari keenam: Semua peserta sudah bersemangat untuk balik. Sekali lagi kami menaiki 4WD menuju ke jeti. Dari situ, kami menaiki bot membelah Tasik Temenggor. Kemudian kami menaiki kereta sapu menuju ke stesen bas Grik dan dari situ pula, kami menaiki bas ke Ipoh. Kami sampai pada pukul 5 petang dan sejam kemudian, kami menaiki bas ke ibu kota.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: