Wednesday, December 23, 2009

Maya pengacara baru Nona


FARID bergambar bersama tenaga kerja Nona.

Penampilan pelakon ini dijangka dapat menarik lebih ramai penonton

TAHUN 2010 menyaksikan pembabitan Maya Karin sebagai selebriti bukan saja sebagai pelakon tetapi juga pengacara program TV. Bukan program hiburan, sebaliknya Maya mengendalikan program berbentuk majalah gaya hidup dan wanita, Nona.

Ini mungkin satu percubaan program Nona menjadi percubaan terbaru bintang bermata cantik itu bagi mengemudi serta menarik minat penonton melekat di kaca TV.

Bagi Maya pula, dunia pengacaraan bukan bidang baru. Baginya, tugas baru ini ibarat sirih pulang ke ganggang kerana TV3 sebelum ini pernah menampilkan Maya sebagai pengacara untuk program Wavelength pada 2000.

Pada tahun 2005, pelakon berusia 30 tahun itu pernah menjadi hos bagi program Beauty Secrets From The East. Dan, dalam kesibukannya bergelar aktivis alam sekitar, menyanyi dan berlakon Maya juga pernah melakar kejayaan bergelar veejay Channel (V) di pentas Asia. Menurut Maya, peluang daripada produksi Nona amat dihargainya. Katanya, impiannya untuk menghiasi program itu sudah lama iaitu sejak usianya 22 tahun.

Ketika ini sudah beberapa episod siap dirakamkan dan Maya mengakui pada mulanya terbit sedikit tekanan menggalas tugas baru itu.

MAYA positif untuk mengendalikan Nona.

“Umum tahu program majalah Nona sudah mempunyai pengikutnya dan ia juga menerapkan cap dagang yang kita tak boleh sesuka hati mengubahnya. Nona ada prestij tersendiri. Cabaran yang saya adalah bagaimana hendak rating program ini.

“Ia tugasan istimewa buat saya walaupun berat. Saya diberi kebebasan mengacara dengan identiti saya sendiri. Bagaimanapun saya tidak boleh menukar gaya pengenalan yang sudah ada pada Nona sesuka hati. Saya gabungkan gaya sendiri dengan asas Nona itu sendiri supaya lebih pelbagai corak persembahannya.

“Tak saya nafikan, pengalaman lalu dalam bidang ini memang banyak membantu. Alhamdulillah, produksi ini juga memahami jadual kerja saya. Tolak ansur itu sudah ada dan saya akan cuba melakukan sebaik mungkin untuk terus memanjangkan lagi legasi Nona yang mencecah usia 25 tahun pada 2010,” kata Maya yang ditemui dalam satu majlis koktel Nona di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam perkembangan dunia lakonannya, penyanyi lagu Erti Cinta ini sekali lagi disatukan dengan Remy Ishak untuk filem Cun Melecun. Kali pertama mereka beraksi di layar perak ialah menerusi filem Anak Halal dan seterusnya ke pentas teater muzikal Natrah.

Dalam filem itu, Maya memberitahu dia memegang watak pengacara TV berkaitan gosip yang gila-gila. Gaya rambutnya kini juga adalah sebagai konti untuk memegang watak terbabit. Maya kini turut mengakui bersedia untuk melangkah ke medium drama biarpun dulu namanya lebih dikenali sebagai aktres filem.

“Filem lebih komersial dan padat berbanding drama yang boleh dipanjangkan plot ceritanya. Dulu pun ada tawaran berlakon drama, cuma soal masa yang mencemburui hingga saya terpaksa melepaskannya.

“Tapi kini, kalau ada cerita yang menarik seperti teater Natrah yang dikatakan kononnya akan diformatkan menjadi drama, saya tak kisah untuk berlakon di kaca TV. Siapa tahu mungkin 2010 akan menyaksikan saya menjadi pelakon drama pula,” katanya yang pernah mengacarakan program Ratu Sehari di Astro Ria.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Sri Farid Ridzuan berkata, pemilihan Maya bersesuaian dengan imej program terbabit. Beliau berharap kehadiran Maya sebagai pemangkin kepada generasi terdahulu yang lebih diberi mandat mengacarakan Nona.

“Bakal merentas 25 tahun, Nona antara program yang menjadi tiang seri kepada stesen TV ini. Pengacaranya antara nadi penarik untuk mengekalkan kewujudan program ini. Sekadar menyebut beberapa nama, kalau dulu kita pernah ada Datin Sri Normala Shamsudin dan terakhir sekali Fiza, kini harapnya Maya akan terus memberi impak.

“Saya bersetuju, personaliti sedia ada mungkin belum cukup kuat untuk menarik tontonan ramai. Maka dengan sebab itu kita selang-selikan dengan selebriti dengan mengambil Maya. Nona pun sentiasa membuka peluang kepada muka lama dan baru.

“Memuaskan hati orang bukan senang. Kita ketandusan bakat baru sebenarnya. Maya antara perubahan sempurna kepada misi ini. Dia ada pengalaman, mempunyai aura dan pakej sempurna untuk menghidupkan Nona,” katanya yang tidak gemar mengambil selebriti untuk menjadi hak eksklusif stesen TV.

Tak mahu syok sendiri

Penerbit Nona, Syarida Shariff memberitahu setiap tahun inti pati program ini sentiasa ditukar termasuk yang membabitkan kepada pengacara. Bagaimanapun, beberapa segmen yang menjadi nadi kekuatan Nona masih dikekalkan contohnya membabitkan perkahwinan.

“Perubahan yang dilakukan seperti isi dan kulit. Kita tidak boleh mengubah secara drastik bimbang dilabel sebagai syok sendiri pula sedangkan kita mahu mengekalkan kesetiaan penonton lama dan baru. Selain membabitkan tenaga kerja baru, logo, lagu montaj dan cara suntingan juga akan diberi sentuhan baru.

“Kehadiran Maya diharap dapat menarik penonton baru Nona yang bukan terdiri daripada suri rumah semata-mata. Maya sangat profesional dan boleh menyesuaikan dengan keinginan produksi. Kami tak mahu dia jadi terikut-ikut dengan gaya pengacara dulu.

“Lalu, kebebasan tetap diberikan kepadanya tanpa merosakkan identiti Nona. Sebagai contoh, lenggok bahasa yang bercirikan kewanitaan masih dikekalkan kerana itu sudah menjadi resam program ini. Episod pertama Nona 2010 akan bersiaran pada 3 Januari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: