Sunday, December 13, 2009

Lentok Berbisa Saari & Eddie


Saari Amri dan Eddie Hamid


Sebut sahaja nama komposer Eddie Hamid dan Saari Amri, penggemar muzik tempatan sudah dapat membayangkan sentuhan melodi melankolik ciptaan dua komposer tersebut. Menerusi hasil karya mereka, kedua-dua komposer berbakat ini telah mencipta fenomena tersendiri dalam industri muzik tempatan.

Lagu-lagu ciptaan Eddie Hamid dan Saari Amri telah melonjakkan populariti ramai artis dan menyumbang kepada pencapaian jumlah jualan album yang luar biasa! Menerusi sentuhan 'berbisa' Saari Amri, album-album daripada kumpulan Ukays, Slam, Exists, Scan dan Umbrella meledak di pasaran manakala sentuhan 'lentok' Eddie Hamid pula menjadi teras kejayaan kumpulan Spoon, Arrow, Data, Stings dan Spin. Lebih membanggakan, lagu-lagu daripada kedua-dua komposer tersebut telah membawa kejayaan kepada beberapa artis-artis tersebut sehingga ke negara Indonesia, Singapura dan Brunei.

Lagu Gerimis Mengundang dan Kembali Terjalin ciptaan Saari Amri yang dibawa kumpulan Slam bukan sahaja mencipta fenomena di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Lagu-lagu hits tersebut telah mendorong kepada pencapaian jualan album Terbaik Slam melebihi 200 ribu unit di Malaysia dan 1 juta unit di Indonesia! Menariknya, lagu Gerimis Mengundang turut dirakam semula dalam pelbagai dialek suku kaum di Indonesia.

Lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan Pahit Akan Manis Akhirnya ciptaan Saari Amri yang dibawa kumpulan Ukays turut menempa sejarah. Lagu-lagu hit tersebut telah membawa kepada pencapaian rekod jualan album keseluruhan Ukays melebihi 1 juta unit di Malaysia sahaja!

Eddie Hamid juga tidak kurang hebatnya dengan hasil karya beliau. Lagu-lagu beliau berjaya mengenengahkan ramai artis-artis baru. Lagu Rindu Serindu Rindunya yang dibawa kumpulan Spoon 'meletup' di stesen-stesen radio dan membantu kumpulan baru tersebut mencapai jualan album melebihi 100,000 unit. Lagu itu juga telah berjaya mengembangkan populariti kumpulan Spoon sehingga ke Indonesia. Kumpulan Data, Arrow, Stings dan Spin kesemuanya menempah nama dengan lagu-lagu ciptaan Eddie Hamid iaitu Nyanyian Rindu Buat Kekasih, Niat Hati Tak Nak Berpisah, Ku Sapu Airmata Perpisahan dan Mengusung Rindu.

Kumpulan Exists dan Spring menerima manfaat lagu-lagu hit daripada kedua-dua komposer tersebut. Lagu-lagu hit Exists, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Dirantai Digelangi Rindu masing-masing adalah ciptaan Saari Amri dan Eddie Hamid. Lagu-lagu hits Spring pula, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta dan Butakah Cinta masing-masing adalah hasil karya Eddie Hamid dan Saari Amri.

Setelah hampir dua dekad penglibatan mereka dalam industri muzik tempatan, Eddie Hamid dan Saari Amri terus berkarya. Terkini, mereka muncul dengan lagu terbaru masing-masing untuk dimuatkan di dalam sebuah album istimewa. Eddie Hamid tampil dengan lagu Janganlah Tak Jadi untuk kumpulan pop rock 90'an yang kembali popular, AXL's manakala Saari Amri kembali memberikan sentuhan berbisanya menerusi lagu Helahmu untuk Rahmat Ekamatra.

Khazanah muzik negara yang tidak ternilai daripada Eddie Hamid dan Saari Amri kini diabadikan di dalam album kompilasi terbaru berjudul Lentok Berbisa terbitan syarikat rakaman Nova Music. Album Lentok Berbisa dalam pek CD berkembar memuatkan sejumlah 20 lagu-lagu terbaik ciptaan Eddie Hamid dan Saari Amri termasuk dua lagu bonus terbaru - Janganlah Tak Jadi nyanyian kumpulan AXL's dan Helahmu nyanyian Rahmat Ekamatra.

Album Lentok Berbisa yang juga diterbitkan dalam bentuk VCD Karaoke akan mula menjengah pasaran sejak 26 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: