Monday, December 21, 2009

Kenapa AJL pilih Ally lagi?


ALLY, (kiri) Cheryl dan Faizal terus diberi kepercayaan mengemudikan AJL24 sebagai hos.


PENGANJURAN Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL 24) yang mengambil tempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 Januari depan bakal menyaksikan gandingan pengacara sama seperti tahun sebelumnya iaitu Ally Iskandar, Faizal Ismail dan Cheryl Samad.

Bagaikan ulang tayang AJL23, mungkin sesetengah peminat mula berasa bosan dengan penampilan pengacara yang sama selain hilang nilai suspen pada AJL kali ini.

Kemunculan Faizal dan Cheryl mungkin tidak menjadi isu kerana mereka sejak azalinya mengemudikan program Muzik Muzik, tetapi ramai yang mempersoalkan kenapa Ally lagi?

Adakah Ally anak emas TV3 atau adakah TV3 sudah ketandusan pengacara lantaran wajah Ally sudah menghiasi banyak program saluran itu.

Menjelaskan isu itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan punya jawapan tersendiri agar khalayak tidak terkeliru atau tersalah anggap dengan pemilihan Ally sebagai hos.

"Saya percaya ramai yang inginkan Ally jadi pengacara AJL termasuk AJL24. Kalau mahu ambil orang lain menggantikan tempatnya, kita kena lihat pula pada kesesuaian dan kelapangan masa orang lain.

"Umum mengetahui, AJL sudah menjadi penanda aras serta produk istimewa kepada TV3 sekali gus acara ini memerlukan konsistensi setelah dijalankan lebih dua dekad lalu.

"Lantaran itu, saya dan pihak penerbitan AJL mempercayai kredibiliti Ally yang boleh berinteraksi dengan baik lalu mengetahui apa jua yang hendak disampaikan kepada audiens," jelasnya ketika ditemui pada sidang media AJL24 di ibu negara baru-baru ini.

Dalam waktu yang sama, Farid melihat kemunculan Ally, Faizal dan Cheryl pada AJL24 sebagai gabungan hos terbaik apatah lagi untuk acara gah itu.

"Tidak dinafikan, mereka cukup serasi dan berkeyakinan tinggi. Selama ini kami banyak menghasilkan program dan menganjurkan acara besar-besaran lain lalu melihat aspek keserasian begitu penting.

"Untuk majlis hebat umpama AJL24, secara terus-terang TV3 tidak berani untuk mengambil risiko besar. Kalau setakat mengubah set, susunan muzik dan beberapa perkara kecil lain, nampaknya memang tiada masalah.

"Tetapi kalau melibatkan hos, kami cukup menitik beratkan tentang perkara ini. Pemilihan pengacara sungguh penting bagi menarik perhatian penonton," jelasnya sambil berterus-terang.

Tema Music Unfolds

Bagai menjadi kelaziman AJL saban tahun apabila menampilkan konsep yang berbeza-beza bagi menghangatkan lagi acara gah itu.


FARID (berdiri, tujuh dari kiri) bergambar bersama penyanyi dan hos AJL24 baru-baru ini.


Lantas bagi mewarnakan lagi AJL24, TV3 memperkenalkan tema Music Unfolds yang memiliki signifikan terhadap industri seni tempatan.

Produser AJL24, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai Gbam berkata, tema itu dipilih bagi menerapkan perkembangan dan perjalanan arus muzik dan irama terutamanya dalam industri seni tempatan.

"Kami cuba memperlihatkan perubahan cabang seni bermula tahun 60-an hingga abad baru ini. Ia ibarat manifestasi pergolakan perubahan muzik yang berlaku dari semasa ke semasa.

"Malam AJL24 juga bakal diselang-selikan dengan grafik dan imej yang disusuli dengan susunan muzik serta persembahan yang bertujuan bukan saja mempamerkan impak kepada persembahan penyanyi yang bertanding namun secara keseluruhan acara ini.

"Selain itu, peminat juga akan melihat banyak pergerakan di atas pentas bagi memberikan peluang kepada peserta yang terlibat untuk menyanyi di bahagian-bahagian tertentu," ujarnya yang kali pertama bertanggungjawab mengepalai AJL.

Selain para peserta yang bertanding, AJL 24 juga mengundang penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sebagai artis jemputan pada pembuka acara.

Tidak terkecuali, beberapa nama terkenal dalam industri seni seperti Datuk Jeffrydin, Jay Jay, Search dan Meet Uncle Hussein.

"Semua penyanyi ini bakal terlibat dalam segmen khas bagi menunjukkan semula populariti masing-masing daripada era 60-an hingga mencapai transisi pada abad baru ini," ungkap Gbam terus berteka-teki.

Lagu-lagu yang terpilih pada AJL24 mengikut turutan persembahan adalah Aurora (Estranged), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah/Ajai/Habsah Hassan), Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar/Azmeer/Loloq), Situasi (Bunkface/Sam), Pakai Buang (Stacy/Edry), Pergi (Aizat/Pete Teo/Amran) dan Aku Skandal (Hujan/Noh).

Turut menjejakkan kaki pada pertandingan itu adalah Bencinta (Faizal Tahir/Audi Mok), Aku Rindu Sayang Kamu (Black/Yuzai), Bengang (Akim/Amir/Sheikh Qalam), Dan Sebenarnya (Yuna), Kau Aku (Aizat) dan Rindu Terhenti (Tomok/Aubrey Suwito/Tinta).


MISHA mempertaruhkan lagu Adam dan Hawa.


Juara AJL24 bakal membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM35,000, naib juara (trofi dan wang tunai RM15,000) serta tempat ketiga (trofi dan wang tunai RM12,000).

Untuk kategori persembahan terbaik dan vokal terbaik masing-masing menyediakan hadiah berupa trofi dan wang tunai bernilai RM10,000.

Anugerah berprestij itu bakal menguak tirainya dengan acara karpet merah pada pukul 7.30 malam dan AJL24 dipancarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam.

Bagi peminat setia AJL, mereka berpeluang mendapatkan tiket khas menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) dan Hot FM manakala tiket-tiket percuma boleh didapati di Balai Pengawal Sri Pentas, Selangor mulai 31 Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: