Monday, December 28, 2009

Ke arah bandar selamat

Tahukah anda apakah fungsi cermin besar yang biasa diletakkan di hujung lorong atau celah bangunan? Ia menjadikan persekitarannya lebih selamat.


MENYEDIAKAN landskap yang sesuai untuk pejalan kaki adalah antara strategi membantu mencegah jenayah.

BERSIAR-SIAR di tengah-tengah jalan yang disulami pokok-pokok hijau sebenarnya boleh menjadi satu bentuk terapi kepada kepenatan mata. Bagaimanapun, landskap atau jenis pokok yang ditanam di laluan pejalan kaki perlu dikawal dan diselenggara bukan untuk keindahan semata-mata, tetapi juga untuk keselamatan orang ramai.

Pernahkah anda terfikir, pokok yang cantik dan rumput yang hijau boleh menjadi ancaman jika tidak dijaga dan diselenggara dengan baik?

Menurut Pegawai Perancang Bandar, Mohd. Rusli Dalim, pihak berkuasa tempatan (PBT) biasanya tidak mengetepikan faktor kawasan hijau juga boleh menjadi tempat persembunyian penjenayah ragut dan samun jika dibiar tumbuh meliar.

Keadaan semak samun yang tidak mententeramkan pejalan kaki akan dipastikan dibersih dan ditanam dengan landskap yang sesuai oleh PBT.

Pengawalan tanaman landskap di laluan pejalan kaki itu adalah antara strategi mereka bentuk persekitaran fizikal yang baik di bawah Program Bandar Selamat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Langkah keselamatan

Program Bandar Selamat pada tahun lalu menggariskan beberapa langkah pencegahan jenayah yang patut diambil. Ia juga menerbitkan buku kecil yang mengandungi ilustrasi 23 langkah pencegahan jenayah sebagai panduan.

Menurut Mohd. Rusli yang merupakan urus setia program itu, untuk memudahkan laluan awam diawasi, PBT perlu mengambil langkah meningkatkan pembersihan kawasan yang kotor dan semak. Lebih-lebih lagi di tempat awam seperti di sekitar laluan stesen bas, stesen kereta api dan lorong tepi serta belakang sesebuah premis perniagaan utama.

Kegiatan ragut juga mudah berlaku jika tiada rel penghadang antara laluan bermotor dengan laluan pejalan kaki.

Sehubungan itu PBT yang peka akan memasang penghadang dan pembinaan laluan pejalan kaki yang sempurna, dengan keadaan longkang dan kawasan sekitarnya sentiasa dibersihkan.

Penyediaan bollard di tempat-tempat tertentu bagi mengasingkan laluan pejalan kaki dengan laluan motosikal juga antara langkah keselamatan yang disyorkan PBT.


MOHD. RUSLI DALIM

PBT dalam hal tersebut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui perkongsian maklumat pangkalan data GIS (Geographic Information System atau Sistem Maklumat Geografi) berhubung kejadian jenayah.

GIS-Based Mapping itu mampu membantu pelaksanaan MURNInet (singkatan kepada Malaysian Urban Indicators Network atau Jaringan Petunjuk-Petunjuk Bandar Malaysia) dalam menentukan kemampanan sesebuah bandar melalui data jenayah yang diperoleh.

Di bawah program bandar selamat, PBT turut membantu PDRM mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina pondok polis di kawasan bandar sedia ada atau kawasan baru.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama menentukan tempat letak papan tanda peringatan jenayah yang mengandungi nombor telefon untuk orang ramai mendapatkan pertolongan semasa kecemasan.

Jika anda pernah terlihat cermin besar dipasang di hujung lorong atau celah bangunan, fungsi sebenarnya ialah sebagai cermin keselamatan di lokasi yang sering berlaku kejadian jenayah ragut di lorong-lorong yang terlindung.

Cermin itu dapat 'membongkar' apa yang ada di celah atau di sebalik lorong yang lazimnya menjadi tempat bermulanya sesuatu aktiviti jenayah.

PBT juga biasanya memasang penggera keselamatan di kawasan tumpuan awam yang boleh digunakan oleh mangsa atau orang awam apabila berlakunya sesuatu kejadian ragut dan jenayah.

Penggera keselamatan itu diaktifkan dengan menekan alat butang yang dipasang di tempat-tempat yang mudah digunakan orang awam dalam keadaan kecemasan.

Guna lampu

Bagi mengelak kehilangan motosikal, PBT memasang tempat letak motosikal berkunci di tempat-tempat awam di bandar dan mensyaratkan pemaju perumahan menyediakan kemudahan itu dalam projek masing-masing. Lampu juga perlu dipasang pada waktu malam.

Di bandar-bandar besar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga memantau arahan pelaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dengan harapan dapat mengurangkan kadar jenayah.

Untuk mengawal kejadian jenayah, semua premis perniagaan di bawah PBT diwajibkan memasang lampu di laluan kaki lima masing-masing pada waktu malam.

Keadaan persekitaran pasar malam yang suram dan gelap turut boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung atau berlakunya kejadian ragut, pecah kereta atau kecurian kenderaan. Dalam hal ini, PBT mensyaratkan pemasangan lampu yang terang di kawasan persekitaran pasar malam.

Di rumah-rumah persendirian, PBT menggalakkan penghuninya memasang lampu di depan, tepi dan belakang rumah, terutama di kawasan kerap berlaku jenayah pecah rumah sebagai pengawasan.

Menurut Mohd. Rusli, pengalaman program bandar selamat itu di beberapa tempat menunjukkan pengurangan kejadian jenayah pecah rumah, contohnya di Bangsar, Kuala Lumpur.

Di bawah program itu juga PBT akan memastikan reka bentuk jejantas di bandar-bandar tidak menghalang pandangan awam. Oleh itu, jejantas jenis intricate ornate design atau bumbung condong hingga menghalang pandangan tidak dibenarkan sama sekali untuk dibina.

Peletakan iklan di jejantas itu juga perlu diletakkan di paras yang sesuai yang tidak menghalang penglihatan.

Satu lagi tindakan di bawah program bandar selamat itu ialah PBT mendapatkan perkhidmatan pengawal keselamatan swasta untuk mengawasi lokasi yang kerap berlaku jenayah dan vandalisme seperti di taman awam.

Pihak pemaju dalam hal itu disyaratkan menyediakan kawalan keselamatan di kawasan perumahan baru terutama perumahan jenis bertingkat.

PBT juga bersedia memberikan kerjasama bagi menjayakan program-program keselamatan komuniti seperti Rukun Tetangga, terutama di kawasan yang mencatatkan kadar kes jenayah yang tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: