
KATHMANDU - Penyokong-penyokong bekas pemberontak Parti Bersatu Komunis Nepal (Maoist) bertempur dengan anggota polis, menyerang sejumlah kenderaan sekali gus menyebabkan kedai-kedai dan beberapa lebuh raya ditutup di negara itu dalam mogok awam yang dilancarkan sebagai tanda protes terhadap Presiden Ram Baran Yadav.
Kumpulan itu mendesak supaya mogok dilakukan selama tiga hari selepas Yadav didakwa bertindak tidak mengikut perlembagaan apabila beliau mengubah keputusan kerajaan sebelum ini untuk memecat ketua tentera.
Jurucakap polis, Bigyanraj Sharma berkata, sebanyak 67 penunjuk perasaan ditangkap.
Penyokong-penyokong itu bertempur dengan anggota-anggota polis dalam dua kejadian berasingan di bandar Kathmandu.
Penunjuk perasaan itu menyekat laluan sebatang jalan raya utama di bandar tersebut dan membaling batu ke arah anggota-anggota polis.
Polis kemudian bertindak melepaskan gas pemedih mata dan memukul penunjuk perasaan dengan menggunakan baton buluh.
Sharma berkata, sebanyak enam orang terbunuh termasuk seorang yang berada dalam keadaan kritikal di kepala.
Penunjuk perasaan yang ditangkap itu dituduh melakukan perbuatan vandalisme.
Ketegangan politik di Nepal telah meningkat sejak kerajaan diketuai oleh penyokong komunis meletakkan jawatan pada Mei lalu di tengah-tengah perbalahan dengan Yadav mengenai keengganan ketua tentera untuk menerapkan pemberontak menjadi anggota tentera.
Sejak itu, bekas-bekas pemberontak komunis melakukan tunjuk perasaan terhadap Presiden di jalanan dan Parlimen.
Kumpulan penyokong komunis itu menamatkan pemberontakan bersenjata pada 2006 untuk menyertai satu proses damai dan menyertai politik arus perdana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: