Monday, December 21, 2009

Juara Gadis Melayu bertunang dengan personaliti TV3



KHAIRUL NOOMAAIDAH bergambar dengan tunangnya Saiful di Country Homes, Rawang.

RAWANG: Selepas hampir setahun menjalin hubungan cinta, akhirnya juara program realiti pencarian Gadis Melayu musim pertama, Khairul Noormaidah Zali, 24, dan penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail, 27, mengikat tali pertunangan di Bandar Country Homes, di sini semalam.

Majlis berlangsung penuh adat istiadat apabila keluarga Saiful memulakan upacara merisik diikuti ikatan pertunangan. Ia turut dihadiri ibu Saiful, Che Bunga Mohd Kamal; bapa saudara, Datuk Johari Baharom yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta saudara mara yang lain.

Khairul Noormaidah atau Aida menerima tujuh dulang hantaran berupa sebentuk cincin platinum berlian sebagai cincin merisik, sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian sebagai cincin pertunangan, sepasang persalinan, sirih junjung, manisan dan kek.

Hantaran dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan berbentuk sirih junjung, kek, coklat, buah-buahan, sepasang persalinan dan pulut kuning.

Ketika ditemui, Aida bersyukur akhirnya ikatan cinta yang dimeterai sejak Januari lalu berakhir dengan ikatan pertunangan. Mereka dijangka menamatkan zaman solo tahun depan.

"Kami merancang majlis pernikahan sebelum ketibaan Ramadan tahun depan kerana ingin menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai suami isteri. Saya gembira mukadimah kepada hubungan cinta kami akan diakhiri dengan ikatan yang sah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: