
“Bukan saya saja yang mengalaminya (andartu), tetapi ramai lagi wanita lain. Saya tak kisah dipanggil andartu dan saya tak perlu takut dengan gelaran itu kerana saya gembira dengan kehidupan saya sekarang ini. Jadi, kenapa saya harus fikirkan apa yang orang kata tentang saya. Terpulanglah pada mereka, asal saya tahu jaga diri saya baik dari luar mahupun dari dalam,” kata Janet yang kini berusia 36 tahun.
Ditanya reaksi keluarganya, katanya, dia bertuah kerana dikurniakan orang tua yang memahaminya. Walaupun dirinya masih belum disunting mana-mana jejaka, namun orang tuanya tidak pernah pula mendesaknya untuk berkahwin.
Tipulah sekiranya dia tiada seseorang yang istimewa dalam hatinya, namun buat masa sekarang, Janet lebih selesa tidak berbicara lanjut perkara itu. Bagi Janet, ia terlalu peribadi untuk dikongsi dan ada baiknya dia tidak menghebahkan perkara itu demi menjaga kepentingan semua pihak.
“Saya tak pernah mencari jodoh. Kalau ada, adalah. Saya tak kisah siapa orangnya, apa agama dan bangsanya sekalipun asalkan dia dapat menerima diri saya seadanya. Secara jujurnya, saya ada berkawan dengan seseorang, tetapi masih terlalu awal untuk saya bercerita tentang perkara ini,” kata Janet yang lebih selesa untuk membicarakan karier seninya berbanding perihal peribadinya.
Selektif memilih watak
Jika sedikit masa lalu, wajah pelakon kelahiran Air Itam, Pulau Pinang ini sentiasa menghiasi kaca TV, namun sejak kebelakangan ini jarang sekali kita berpeluang melihatnya beraksi. Bukannya dia sengaja mahu menghilangkan diri ataupun tiada tawaran lakonan yang menanti, namun hakikatnya, dia kini lebih selektif memilih lakonan.
“Disebabkan saya dah lama dalam industri inilah, saya harus bersikap selektif dalam setiap tawaran lakonan. Saya tidak mahu digelar pelakon stereotaip dan ingin mencari watak yang berbeza serta lebih mencabar dari apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Biarlah saya arang muncul di kaca TV, asalkan lakonan saya dapat meninggalkan impak yang mendalam pada penonton dan memuaskan hati penerbit dan pengarah,” katanya yang sudah 13 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
Selain pernah berlakon dalam filem Lurah Dendam dan Paloh, Janet juga pernah membintangi beberapa drama antaranya Sebening Syawal, Astana Idaman 1 & 2, Permintaan Terakhir Mama, Idaman, Haryati dan Kecuali Cintamu.
Lumrah sebagai artis, tidak selamanya berada di puncak. Janet yang pernah mengecapi populariti yang tinggi sedikit masa dulu juga akhirnya terpaksa akur dengan kehadiran pelapis.
Jadi wanita Muslim dalam Seharum Kenangan
Perbezaan agama dan budaya tidak menghalang Janet untuk membawakan watak wanita Muslim dalam drama bersiri terbaru lakonannya, Seharum Kenangan arahan Meor Hashim yang kini sudah pun menemui penonton TV2. Menerusi drama 26 episod itu, Janet bukan saja sanggup bertudung, tetapi juga sanggup menyebut istilah-istilah Islam, walaupun tanpa arahan pengarah ataupun produser sekalipun.
“Saya sayangkan kerjaya saya dan saya sanggup buat apa saja demi memenuhi karakter saya. Saya tahu, mungkin ada yang tak suka bila saya mengucap nama Allah sebab saya bukannya Islam. Tapi pada saya, apa salahnya kalau saya menggunakannya dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui di pelancaran drama tersebut di Finas, Ulu Kelang.
Selain Janet, drama ini dibintangi Faizal Hussien, Rosnah Johari, Shahruddin Thamby, Fadilah Mansor, Mahyun Ismail, Nabila Nur Naquiyah dan Azariah (Azza AF). Seharum Kenanga mengisahkan Dania seorang artis popular yang mengahwini jejaka biasa, Omar. Namun insiden dirompak yang mengakibatkannya lumpuh menjadi titik permulaan sejarah hitam dalam hidupnya. Omar yang dulunya bangga dengan kecantikan yang dimiliki Dania, akhirnya berasa malu berdampingan dengan isterinya yang cacat dan memilih berkahwin wanita yang lebih muda dari usianya. Tidak menyesal dengan apa yang dilaluinya, Dania pula bangkit meneruskan kehidupannya sehinggalah Omar pula menerima hukuman di atas perbuatannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: