Tuesday, December 22, 2009

Janet Khoo Suka Lakonan Bertudung

"Bila saya tengok lakonan sendiri bertudung dalam drama Seharum Kenanga, terbitan Bright Networks, cantik juga.

"Nak burukkan muka pun saya sanggup kerana itu tanggungjawab saya sebagai pelakon.Tak kisahlah kalau tak cantik asalkan lakonan saya berkesan. Saya begitu sayangkan kerjaya lakonan saya," tegas Janet Khoo.


Kerap kali melakonkan watak mualaf dalam lakonannya dan sering kali mengucapkan kalimah alhamdulillah ketika berbicara dengan wanita berusia 36 tahun ini, tegas Janet, berada dalam lingkungan budaya Melayu membuatkannya terikut-ikut adat dan cara perbualan.

"Walaupun saya bukan orang Islam, namun saya hormat agama setiap individu yang ada di sekeliling. Dan saya harap ayat-ayat yang saya gunakan tak disalah anggap dan tidak dipandang serong," ujarnya yang kerap memuji kebesaran Allah tanpa mengetahui maksud sebenar ayat tersebut.

Mungkin ianya satu permulaan yang baik untuk Janet mengenali keindahan Islam. Siapa tahu siapa sangka di sebalik semua ini terkandung hikmah. Namun Janet dengan rendah hati memohon agar tidak dikaitkan dengan isu agama dengan kariernya kerana akan mengganggu sensitiviti sesetengah pihak.

Masih Mencari

Kala usia menjelang 36, Janet masih selesa bersendirian. Katanya tika ini diri masih tidak mencari peneman sejati. Namun, menerima seandainya jodoh yang datang daripada berlainan agama dan kepercayaan.

"Saya lebih fokuskan kerjaya buat masa ini. Dan syukur keluarga saya bukanlah jenis yang suka mendesak untuk saya berkahwin secepat mungkin.

"Asalkan hidup happy setiap hari, saya cukup berpuas hati. Keluarga saya sangat penyayang dan saya akan lakukan yang terbaik untuk mereka.

"Wanita di luar sana tidak perlu takut dengan gelaran andartu jika kita happy dengan cara hidup sekarang. Saya tak pernah ambil kisah apa yang masyarakat nak katakan, yang penting saya tahu tanggungjawab dan ikhlas dengan setiap yang dilakukan," ujar Janet yang lantang berbicara.

Tidak Pernah Bermasalah

Sering datang lewat ke lokasi Seharum Kenanga terbitan Bright Networks, antara rungutan yang kedengaran daripada pengarah Meor Hashim Manap, namun menurut Janet ia bukanlah isu yang harus diperbesarkan.

"Saya tidak dimarahi produser. Saya mengaku perkara tersebut dan sudah jelaskan keadaan sebenar. Jika benar saya bermasalah kenapa masih ada produser yang mengambil saya berlakon.

"Saya pun nak buat yang terbaik untuk setiap produser yang mengambil saya berlakon. Biarlah ianya setimpal dengan bayaran yang saya terima.

"Saya bukanlah seorang yang suka memberi masalah kepada orang lain," katanya.

Janet Khoo akan tampil dalam drama Seharum Kenanga yang berkisar kepada pergolakan rumahtangga antara Dania (Janet Khoo) dan Omar (Faizal Hussein). Drama terbitan Raja Alawiyah ini bakal disiarkan di saluran RTM1 mulai 23 Disember 2009 pada jam 1.30 petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: