
SEBUAH kelab pacuan empat roda (4WD), Kelab Redah 4x4 yang aktif menganjurkan pelbagai program memandu lasak di dalam hutan bagi meneroka keindahan air terjun, sungai dan belantara dengan kerjasama Majlis Daerah Jerantut akan menganjurkan program Jambori 4WD 1 Malaysia di Lata Kiul, Jerantut, Pahang pada 25 hingga 27 Disember ini.
Menurut pengerusi program tersebut, Kamil Mohd Kassim, tema 1 Malaysia dipilih sebagai sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menitikberatkan kepentingan perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini.
Beliau berkata, jambori 4WD 1 Malaysia itu membawa erti permuafakatan masyarakat dan persatuan serta hobi dan minat dalam sukan lasak di satu tempat yang kaya dengan khazanah alam semula jadi.
"Di samping itu, program ini akan membawa peserta mahupun individu, pihak penaja, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan menghayati dan bersyukur dengan khazanah alam semula jadi di negara ini,'' katanya dalam satu kenyataan e-mel kepada Kosmo! di Kuala Lumpur.
Lata Kiul dipilih sebagai lokasi perhimpunan kerana ia menyimpan khazanah alam semula jadi iaitu air terjun dan kawasan hutan yang menarik di samping sebuah kelab golf dan rekreasi yang boleh dibangunkan sebagai kawasan riadah kepada orang awam.
Selain itu, suasana perkampungan Orang Asli dan kawasan perkelahan semula jadi yang terletak dekat situ turut mempengaruhi pihak penganjur untuk memilih lokasi tersebut sebagai tempat perhimpunan.
"Kita juga berharap agar penganjuran program seperti ini dapat memperkenalkan dan mempromosikan Jerantut sebagai kawasan pelancongan bagi aktiviti 4WD di Malaysia,'' tambahnya.
![]() |
| AIR terjun di Lata Kiul, Jerantut, Pahang. |
Kamil berkata, bagi memeriahkan jambori tersebut, pihaknya telah menyusun aktiviti yang akan dijalankan selama tiga hari dua malam.
Antaranya, pertandingan siri sirkit 4WD, demonstrasi pemanduan lasak 4WD, pameran peralatan 4WD, sukaneka yang melibatkan pihak penganjur, peserta dan penduduk Orang Asli, perkhemahan, barbeku dan pameran.
"Gerai makanan dan jualan peralatan sukan dan rekreasi serta pertunjukan kebudayaan Orang Asli juga akan diadakan," ujarnya.
Sehubungan itu, pihak penganjur mempelawa kelab 4WD dari seluruh negara dan orang ramai termasuk penduduk sekitar menyertai jambori tersebut. Sebarang pertanyaan dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 012-3579218 (Kamil) atau 012-3057959 (Mohd Hazizul).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: