![]() |
| |
BIARPUN tidak lagi memegang tampuk kepimpinan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), tetapi bagi Datuk Mustapha Maarof beliau berpuas hati dengan pencapaian persatuan itu selama tiga penggal dia menerajuinya.
Malah, beliau tidak bekecil hati apabila ditewaskan oleh Harun Salim Bachik yang kini memegang jawatan Presiden Seniman bagi tempoh 2009-2011.
Setiap keputusan diterimanya dengan hati terbuka. Apa yang penting baginyamelihat jawatankuasa baru menerajui Seniman sebaiknya. "Saya terima apa yang berlaku. Inilah demokrasi. Sesiapa sahaja berhak memilih calon yang dirasakan layak untuk menerajui Seniman.
"Tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam Seniman, itu tidak bermakna perjuangan saya akan terhenti setakat ini.
"Saya akan terus membantu dan menyokong barisan kabinet yang baru ini demi memastikan persatuan ini akan terus membela nasib karyawan seni tempatan," katanya dalam nada tenang sewaktu ditemui selepas berakhirnya pemilihan jawatankuasa baru Seniman untuk penggal 2009-2011 yang diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, Kompleks Finas, Hulu Kelang, petang Jumaat lalu.
Untuk jawatan Presiden, Harun menang tipis sebanyak 78 undian berbanding Mustapha yang menerima 74 undian menerusi 159 ahli Seniman yang membuang undi.
Namun begitu, hanya 152 undian sah yang diterima sahaja kerana lebihan tujuh undi lagi merupakan undi rosak.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden pula, ia disandang oleh pelakon Shahriza Mahmud sekali gus mengetepikan kedudukan pengarah tersohor, Ahmad Idham Ahmad Nazri yang sebelum ini menduduki kerusi tersebut.
Jawatan Setiausaha Kehormat masih lagi dipegang oleh pengarah, Yusof Kelana manakala penolongnya pula merupakan pelakon senior, Zulkifli Ismail yang sebelum ini dipegang oleh pelakon Sabree Fadzil.
Wafa Abdul Kadir pula dilantik sebagai Bendahari untuk penggal ini menggantikan Abu Bakar Omar.
Barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Seniman untuk penggal ini pula terdiri daripada Zed Zaidi, Rena Tan, Faizal Hussein, Jehan Miskin, Serina Redzuawan, Abass Abu Bakar dan Wazata Mohd. Zain.
Mengulas pemilihan jawatankuasa baru itu, Mustapha memandangnya dari sudut positif. "Apabila anak-anak muda ini dipilih, sudah pasti mereka mempunyai misi dan matlamat yang tersendiri untuk terus meletakkan persatuan ini di tahap tertinggi.
"Nasihat saya buatlah sesuatu perkara dan kerja itu dengan sebaik-baiknya agar semua pihak dapat hasilnya dengan saksama," katanya lagi.
Pada masa yang sama, Mustapha berpuas hati dengan sumbangannya selama tiga penggal memegang jawatan Presiden.
Malah, kesemua ahli Seniman juga menghormati segala tindakannya selama ini dan Mustapha menyifatkannya sebagai ukhuwah untuk mengukuhkan lagi kedudukan serta ikatan perpaduan dalam Seniman.
"Mungkin jawatankuasa yang baru ini boleh teruskan apa yang mahu mereka perjuangkan demi memastikan kesemua karyawan seni tempatan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Jika mereka sendiri mempunyai perancangan atau matlamat yang boleh menjana dan memberi kebaikan kepada semua pihak, teruskan sahaja," ujarnya.
Sementara itu, Harun yang ditemui pula berkata, dia menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh ahli Seniman untuk memegang tampuk kepimpinan Seniman penggal ini.
Sudah pasti, dia akan meneruskan perjuangan yang telah dimulakan dan Harun berikrar akan menyelesaikan segala kemelut serta masalah yang membelenggu karyawan seni tanah air.
Menyifatkan tanggungjawab ini amat berat dan besar untuk dipikulnya, tiada lain yang diharapkannya hanyalah sokongan dan semangat daripada semua ahli Seniman.
"Dalam persatuan ini, bagi saya tiada istilah veteran ataupun muda kerana semuanya berpaksi kepada satu nama iaitu seniman.
"Jurang umur juga seharusnya dihapuskan jika kita mahu berganding bahu menyelesaikan masalah yang sekian lama tidak pernah diselesaikan.
"Saya bersama ahli jawatankuasa yang lain juga mahu melihat perubahan yang berlaku dalam persatuan ini demi kebaikan semua pihak," katanya.
Disoal apakah perancangannya untuk dua tahun akan datang ini, pelakon yang mula menempa nama menerusi drama bersiri Rumah Kedai ini memberitahu, beliau bersama saf kepimpinan baru Seniman akan terus berusaha menaik taraf kedudukan karyawan seni.
Antaranya tentang masalah royalti dan kebajikan anak seni tempatan yang sudah bertahun-tahun tidak pernah selesai serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan artis.
"Kalau kita semua bekerjasama dan cuba mencari jalan penyelesaiannya, saya yakin ia mampu dijayakan dengan baik. Apa yang penting ialah sikap positif dan optimis dengan setiap langkah yang telah dirangkakan," kata pelakon berusia 50 tahun ini lagi.
Selain itu juga, Harun sendiri sudah merangka manifestonya yang merangkumi lapan perkara termasuklah menubuhkan Koperasi Seniman (M) Berhad bagi menjana dana untuk memberi peluang perniagaan.
Bukan itu sahaja, Harun juga mahu menyatukan ahli Seniman yang baru dan lama agar semua ahli dapat bersatu dalam menjayakan perkara demi kebaikan mereka.
"Saya mahu menjadikan Seniman sebagai badan yang menjaga kebajikan artis dan maka itu, saya bercadang mahu mewujudkan insurans berkelompok selain berusaha menghantar ahli mengerjakan umrah dan haji," ujarnya lagi sambil menyifatkan Mustapha telah menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi selama menerajui Seniman.
Harun juga menyatakan aspirasinya untuk meneruskan impian Mustapha yang mahu melihat Seniman memiliki bangunannya sendiri agar ia dapat dijadikan mercu tanda kebanggaan anak seni.
Mengulas mengenai suasana ketika Mesyuarat Agung Tahunan Ke-12 Seniman, Harun bersyukur kerana semuanya berjalan lancar biarpun sebelum ini ada ura-ura mengatakan akan berlaku perbalahan yang mampu mencetuskan situasi panas.
Ketika pengumuman keputusan pemilihan dibuat, sebaik nama Harun diumumkan sebagai Presiden Seniman yang baru, beberapa ahli dilihat mula mengangkat kaki dan pulang.
Adakah itu memberi tanda bahawa gelombang baru yang cuba dibawa masuk tidak direstui oleh segelintir ahli yang mungkin tidak berpuas hati dengan keputusannya?
Sedangkan misi utama Harun adalah untuk menyatukan semua ahli Seniman tanpa mengira umur demi memantapkan lagi persatuan itu.
"Setiap keputusan yang diambil bersifat demokrasi dan kita kena hormat dengan suara orang ramai.
"Apa yang penting adalah muafakat dan kesepakatan untuk mengukuhkan kedudukan Seniman.
"Kalau barisan kabinet ini tidak menjalankan tugas mereka dengan baik, maka mereka tidak patut disokong dan dipilih untuk penggal akan datang," ulas aktor Zulhuzaimy pula yang dilihat bersemangat melontarkan hujah pada petang itu.
Antara isu yang dibangkitkan pada mesyuarat itu sudah semestinya tentang isu royalti dan KWSP seperti mana yang diperjuangkan oleh golongan artis sebelum ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: