Sunday, December 13, 2009

Fara baru


RUTIN sehariannya kini nyata berubah. Dek palitan kontroversi sepanjang perjalanan seninya sebelum ini, gadis kelahiran Taiping, Perak ini tidak mahu terus mengalah.

RUTIN sehariannya kini nyata berubah. Dek palitan kontroversi sepanjang perjalanan seninya sebelum ini, gadis kelahiran Taiping, Perak ini tidak mahu terus mengalah.

Memulakan fasa baru kehidupannya, Farawahida Razali (Fara) mahu mencuba yang baru. Kini, Fara memanjangkan langkah memberanikan diri menceburi bidang lakonan.

Tambah menarik, bukan produksi layar perak mahupun kaca TV yang menjadi pilihan penyanyi ini, sebaliknya teater menarik minatnya.

Kata Fara, sebagai orang baru dalam dunia lakonan, tidak salah dia mencuba bidang berkenaan. Meskipun agak sukar namun pengalaman yang diterimanya cukup berharga.

“Fara bakal membawakan watak Puteri Yasmin menerusi teater Sinbad yang akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 11 hingga 13 Disember ini.

“Fara sedar, teater bukannya mudah. Malah, ada juga pelakon yang tidak berani berlakon di atas pentas berkenaan. Begitupun, selaku orang baru yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam bidang ini, ia menjadi medan terbaik untuk Fara menimba pengalaman.

“Lagipun, bila kita bercakap mengenai teater, ramai yang sudah sedia maklum ia melalui proses latihan yang panjang sebelum dipentaskan. Latihan berkenaan juga akan membantu membentuk bakat lakonan Fara.

“Bekerja dengan pelakon teater berpengalaman, menjadi satu pengalaman berguna kepada Fara,” katanya.

Menurut Fara, terdapat tiga watak utama dalam teater itu. Selain Puteri Jasmin, Sinbad dan Ratu Sheeba turut memainkan peranan penting.

“Ratu Sheeba ialah watak jahat. Dia mencuri batu permata milik bapa Fara iaitu Dewa. Batu permata itu boleh menukarkan manusia menjadi binatang.“Bagaimanapun, tiada sesiapa yang mampu mendapatkan kembali batu permata berkenaan melainkan Sinbad yang terkurung di dalam penjara. Selepas perjanjian dibuat, akhirnya Sinbad setuju untuk mendapatkan batu permata berkenaan tetapi dengan syarat, Puteri Jasmin harus mengikutnya.

“Membaca skrip yang diberi, Sinbad mempunyai jalan cerita menarik dan dipenuhi pelbagai plot yang mendebarkan. Namun, terus terang Fara katakan bahawa Fara agak gemuruh membawa watak itu,” katanya.

Tambah Fara, sudah lama dia menyimpan angan mahu mencuba sesuatu yang berbeza dengan nyanyian. Bagaimanapun, sebelum ini dia hanya mampu memendamkan keinginan berkenaan kerana terikat dengan syarikat rakaman lalu.

“Tidak perlulah diceritakan kembali di sini. Lagipun, dulu Fara mahu fokus kepada nyanyian dan kini bila sudah bergerak sendiri, barulah Fara berani mencuba.

“Untuk lakonan pertama ini, Fara juga yakin ramai akan mengkritik. Namun, selaku orang baru, Fara menerimanya dengan hati terbuka. Kritikan itu nanti akan diguna untuk memperbaiki kekurangan,” katanya.

Menyentuh soal nyanyiannya, Fara sedang mencari material untuk dijadikan single terbarunya. Kata gadis berusia 24 tahun ini, dia masih lagi dalam proses mencari lagu yang sesuai dengan imej barunya.

“Bercakap soal imej, bukan imej luaran yang perlu Fara ubah tetapi imej lagu itu sendiri. Fara tidak mahu lagi bayangi dengan lagu-lagu lama.

“Buat masa ini, Fara sudah menerima ciptaan komposer muda dan juga yang berpengalaman. Namun, kerana sibuk dengan pementasan teater yang akan diadakan tidak lama lagi, ia terpaksa ditangguhkan.

“Insya-Allah, jika tiada aral, single berkenaan akan dirakamkan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya yang masih meletakkan keutamaan terhadap bidang seni suara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: