![]() |
| Cinta Eein dan Arif mula berputik sejak dua tahun lalu. |
Genap setahun pada 20 Disember ini pernikahan kembarnya, Nora'Asikin Rahmat atau Ekin dengan Mawi, tiba pula giliran Nora'Ain,30, atau Eein untuk bergelar isteri.
Syukurlah, majlis serba sederhana di Masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, berlangsung dengan selamat tengah hari semalam.
Eein bersama pasangannya Datuk Arif Abdullah,41, selamat diijabkabulkan selepas dua tahun menjalinkan hubungan cinta.
Pihak lelaki membawa sembilan dulang hantaran sementara sebelah perempuan pula membalas 11 dulang.
Mengenakan busana dari Butik Cosry, Bangsar, kedua-dua mempelai nampak ayu bak pinang dibelah dua.
Sebelum ini Arif yang berketurunan Cina masih lagi dengan agama asalnya iaitu Kristian. Syukurlah, demi cintanya terhadap Islam, Arif yang juga usahawan syarikat hartanah berhasrat memilih Islam.
Ia berlaku kerana pergaulan Arif sendiri dengan orang Melayu selain dia berminat untuk mendalami agama Islam.
Kira-kira empat bulan lalu, Arif membuat keputusan untuk memeluk Islam tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.
Kata Eein, suaminya menukar agama kerana Islam dan bukan kerana untuk memperisterikan dia.
Sepanjang dua tahun melayari hubungan cinta selepas pertemuan pertama mereka melalui seorang kenalan, Eein merasakan mereka mempunyai keserasian.
Maka sebaik sahaja Arif memeluk Islam, terus mereka membincangkan soal berumah tangga dengan memilih tarikh 12 Disember untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri.
"Syukurlah... dalam tempoh dua tahun hubungan kami, tak ada masalah. Sebaliknya saya amat menyukai dia yang mempunyai pekerti mulia," ujar Eein.
Memilih suami bergelar Datuk, seolah-olah memperlihat seperti dia mahu berlumba-lumba.
Manakan tidak, si kakak mendapat Mawi, penyanyi dan jutawan popular dan tentunya si adik juga mengimpikan lelaki kedudukan yang sama.
Saat ditanya perkara itu ujar Eein, itu semua secara kebetulan.
Dia juga tidak pernah terfikir untuk bertemu jodoh dengan orang yang mempunyai gelaran berkenaan. Jauh sekali untuk menandingi kakak kembarnya itu.
Tetapi soal jodoh adalah ketentuan Tuhan yang dia sendiri tidak pernah menduga.
"Saya tak pernah pun hendak berlumba-lumba dengan kakak kembar saya. Kalau dia kahwin dengan Mawi, saya pun kena cari orang yang lebih mewah daripada Mawi? Tidak begitu. Mungkin ini semua secara kebetulan sahaja.
"Dalam erti kata lain mungkin sudah jodoh saya dengan lelaki yang berada atau berkedudukan. Tak pernah dirancang pun," jelasnya.
Keluarga tidak menghalang hasrat memilih duda anak tiga itu sebagai suaminya, menurut Eein dia meminati Arif kerana lelaki itu bertanggungjawab dan mempunyai sifat kepimpinan.
Walaupun bukan mudah mendalami agama baru ini tetapi sejak sekian lama menurut Eein, suaminya selalu mempelajari Islam.
Dan sesuatu yang amat bermakna baginya apabila Arif membuat keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadat.
"Eein gembira selepas mendapat tahu dia nak tukar agama kepada Islam. Sebagai isteri, memang Eein mempunyai tanggungjawab besar untuk mendidik dia menjadi muslim sebenar," jelasnya.
Bercerita soal berbulan madu, buat masa ini mereka masih belum memikirkan perkara itu kerana masih terlalu awal.
Dalam masa yang sama majlis pernikahan mereka pula dirancang dalam tempoh yang singkat.
Katanya, mungkin selepas majlis persandingan yang dijadual cuti persekolahan tahun hadapan barulah mereka hendak merancang lokasi menarik untuk berbulan madu.
Mengenai wang hantaran, kata Eein perkahwinannya itu agak pelik.
Bukannya apa, Arif sudah berjanji untuk memberi wang hantaran kepada ibu Eein dalam jumlah yang mereka sendiri pun tak tahu.
Tetapi itu semua bukanlah kemestian kerana selama ini menurut Eein, ibunya tidak pernah hendak menjual anak.
Cuma sebagai ibu bapa, apa yang lebih penting mahu melihat anak-anak mereka bahagia dengan pilihan hati masing-masing.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: