![]() |
| AZRI (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada 14 suspek pecah rumah dan samun di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR - Dua kumpulan samun dan pecah rumah tumpas dengan tertangkapnya 14 suspek termasuk seorang wanita di sekitar bandar raya ini baru-baru ini.
Kumpulan pertama yang terlibat dalam 18 kes samun dianggotai sembilan lelaki termasuk seorang wanita. Ketua kepada kumpulan tersebut merupakan lelaki berusia 31 tahun yang tidak bekerja.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Azri Abd. Rahman berkata, semua ahli kumpulan tersebut ditahan di beberapa buah rumah di PPR Kerinchi Pantai Dalam di sini pada pukul 5 petang 1 Disember lalu.
Tangkapan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada sepasang kekasih yang disamun sekumpulan kira-kira 20 lelaki bersenjatakan parang di atas Jambatan Putra Ria di Jalan Syed Putra di sini pada pukul 6.30 petang 28 November lalu.
"Mangsa lelaki cuba melawan menyebabkan dia ditumbuk di muka sebelum kumpulan suspek itu merampas dua buah telefon bimbit dan melarikan diri," kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, mangsa yang dapat mengecam salah seorang daripada 20 suspek itu membuat laporan polis menyebabkan polis menyerbu beberapa buah rumah di PPR Kerinchi dan menahan sembilan suspek termasuk seorang wanita yang kesemuanya berusia di antara 15 dan 31 tahun.
Kesemua suspek yang ditahan tidak bersekolah dan mereka aktif melakukan samun di tepi-tepi jalan sejak 11 bulan lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: